Pages

Terima Kasih Anda Semua..

Kata-kata Anjell

ASSALAMUALAIKUM..

Blog ini adalah hasil nurkilan seorang budak science yang perasan nak jadi novelis...

Maaf bila tertypo.. Budak ini masih junior..

Significance of this simple blog to me : 'A PLACE TO EASE TENSION, DIFFERENT WORLD FROM THE ACTUAL ONE'

Saturday 27 July 2019

Dia Tetap Sempurna (BAB 2)


BAB 2

Kereta produa Axiaku diparkir di dalam satu kawasan petak kuning. Betul-betul di depan kedai yang terpampang S&S Cat House itu. Mungkin sebab masih awal pagi, suasana sekeliling kawasan itu masih lengang. Yalah.. baru pukul tujuh setengah pagi kut! Kedai-kedai ni kalau bukan gila keuntungan biasanya buka pada pukul sembilan atau sepuluh pagi.

Dan aku pun kalau bukan sebab kena paksa dengan Kak Ainin, takde maknanya aku nak muncul di depan kedai kucing ni. Baik aku cium bau bunga kedai dia, daripada aku cium bau najis-najis mutawassitah segala keturunan kucing di dalam kedai ni.

Aku keluar dari perut kereta. Tak dilupakan cawan Starbucks yang berisikan Cappucino panas itu. Juga kotak sederhana besar yang berisi beberapa jenis kek cawan yang dibuat Kak Ainin semalam. Lepas tiada apa yang tertinggal dan mengunci kereta, aku melangkah ke arah kedai kucing yang roller shutter besinya baru dibuka separuh itu.

Aku tolak pintu kaca lut sinar yang masih tertulis ‘Close’ itu. Oh, ya! Sebelum ada yang tuduh aku tak reti membaca atau cakap adab letak kat punggung, aku lupa nak bagitahu yang kedai ini merupakan kedai Along aku. Abang kandung seibu, seayah, dua nenek, dua datuk dan sama keturunan-keturunan yang lain.

Kenapa aku boleh sesat ke sini? Oh, harusnya angkara kakanda perempuan kesayangan aku itu! Sebabnya kakanda perempuan aku itu mahu meminjam Velfire kakanda jantanku ini. Katanya senang nak angkut banyak barang untuk digunakan untuk majlis Encik Audi. Yang penting, sedap naik. Daripada sewa van kedua dengan orang lain, baik rembat harta abang kandung sendiri. Jimat. Itu adalah mazhab yang kakak aku selalu pakai. Dan aku pula adalah salah satu pengikutnya. Haha.

Si kakak nak pinjam kereta dengan abang. Si abang pula kenakan syarat. Boleh pinjam asalkan dapat kopi Starbucks percuma selama seminggu. Si kakak dan abang bersetuju dengan rundingan mereka. Dan cuba teka siapa yang jadi kuli batak mereka? Ya.. haruslah aku! Akulah yang bertanggungjawab menculik Velfire untuk kakakku itu dan aku jugalah tukang beli Starbucks untuk kakanda jantanku ini.

Hai, nasib badan! Inilah nasib anak bongsu. Kena tendang-tendang je kerjanya. Nasib baik berbaloi. Sebab apa-apa yang aku nak, semua mereka bagi. Maklumlah.. anak bongsu. Haha.

“Along!” panggilku kuat. Mencari-cari susuk abang sulungku itu.

Kosong. Pekerja-pekerja abangku itu pun tiada. Haruslah.. kedai buka pukul sepuluh pagi. Yang aku nampak sekarang ni hanyalah sangkar-sangkar kucing. Dan bila dengar suara aku melalak itu, spesis rimau-rimau kecik itu tenung aku tajam-tajam. Tak puas hati dengan aku la tu.

Grr.. seram! Nasib baiklah kau semua kena kurung. Kalau tak mahu melompat aku sebab aku tak suka kucing. Fobia.

“Along!” ulangku sekali lagi.

Tiba-tiba Along muncul. Tengah dukung anak keduanya yang baru berusia lima bulan. Qaseh namanya. Dan bila dia nampak aku, Qaseh diletakkan di dalam baby strollernya.

“Assalamualaikum, Along.” Aku salam tangan Along sebelum tunduk cium pipi gebu Qaseh.

Along jawab salam.

“Nah, Capuccino!” Aku hulurkan cawan kertas yang masih panas itu. Gigih aku guna khidmat abangda google semata-mata mahu mencari kafe Starbucks yang beroperasi di awal pagi ni.

“Ni Kak Ainin bagi cup cakes. Favourite Kak Long.” Aku letakkan pula kotak berisi kek cawan itu di atas meja.

“Terima kasih, adindaku. Kak Long mesti melompat suka ni,” jawab Along. Tangan mengusik-usik kotak di dalam plastik itu. Tapi tak dibukanya.

Cakap pasal kakak iparku yang seorang tu, takde nampaklah pulak.

“Mana Kak Long Siti?” soalku.

“Awal-awal lagi dah pergi berjuang. Tu yang Along kena jaga Qaseh ni,” cerita Along.

“Kali ni berjuang kat mana?”

“Kandang lembu.”

Aku angguk-angguk sendiri. Kedengaran agak kelakar tapi itulah hakikatnya. Sebab Kak Long Siti merupakan seorang doktor haiwan. Malah dia punya klinik haiwan sendiri yang terletak di tingkat atas kedai haiwan ini dengan nama S&S Veterinary Clinic. Masih lagi bertatih-tatih tapi tetap mendapat sambutan. Padanlah dua orang ni berjodoh. Sama-sama cintakan haiwan.

“Patutlah Baby Piana ni duduk dengan papa dia. Shiyan dia kena tinggal. Nasib baik Baby Piana ni baik, kan?” Aku mengagah-agah Qaseh. Sambil cubit-cubit pipinya. Tersengih-sengih dia. Geram aku nak gigit pipi tembamnya itu.

Aku selalu panggil Qaseh, Baby Piana. Bila aku tengok Qaseh, aku teringatkan video Baby Pian dan si Anjing Riki. Selalu aku tengok bila layan Instagram. Kelakar. Bolehlah buat gelak. Kalau Baby Pian ada sembilan helai rambut, Qaseh pulak rambut jarang-jarang. Sebab tu aku panggil Qaseh, Baby Piana. Bunyi macam perempuan sikit.

Apatah lagi nama abang aku Sufian Dawood. Memang kenalah. Baby Piana binti Baby Pian. Masa kali pertama aku cakap pasal ni kat Along, dia cakap dia nak lempang aku sampai bertukar jadi Anjing Riki. Haha.

Nampak Along hirup cappucinonya dengan penuh gaya. Macam tengah penggambaran iklan. Aduh.. sedap pulak nampak dia teguk benda alah tu! Aku patut beli untukku satu. Dan abang bertuahku itu memang abang yang baik. Sikit pun dia tak tawarkan kepadaku. Cis!

Hmm.. sedap! Esok yang sama ya, dik.” Along sengih. Amboi.. seronok dia mengoder dengan aku! Maklumlah.. dapat kopi percuma selama seminggu.

Along letak cawan kertas itu di atas meja. Lalu diraba-rabanya satu bekas kecil yang berada di hujung meja itu.

“Nah, kunci!” Along menyerahkan kunci Velfire kepadaku.

Buatkan aku terus teringat tujuan asalku ke sini. Terus aku menoleh ke arah jam di tangan. Pukul lapan pagi.

“Alamak.. dah lambat dah! Nanti Kak Ainin membebel.” Penat aku nak tadah telinga nanti.

“Jaga kereta Along elok-elok. Jadi apa-apa, Along suruh Kak Long kau angkut kau sekali esok. Jual kau terus.” Along siap bagi amaran.

“Kat siapa?”

“Bapak ayam.”

Aku terus gelak. Sengal Along aku. Kalau dah ikut Kak Long aku, memang bapak ayam yang dimaksudkan itu adalah bapak kepada spesis ayam yang sebenar-benarnya. Itu maksudnya kakak iparku esok pergi berjuang dalam reban ayam pula.

“Ni rasa nak langgar tiang ni.” Aku sengih.

“Kau jangan derhaka dengan aku, dik! Aku ni wali kau. Tak kahwin kau nanti,” ugut Along lagi.

Aku gelak lagi. Lucu. Tak habis-habis dengan ugutan jadi wali aku tu.  

“Haha.. ya lah! Sebab nak kahwin punya pasal, adik jaga Velfire along tu elok-elok. Adik pergi dulu. Kirim salam XOXO kat Kak Long dan Yusof.” Aku pamitan. Tangan Along disalam sekali lagi.

 “Babai Baby Piana. Cik Su pergi dulu. Mmuahh!”

   ----------

Hampir dua jam bertungkus-lumus, akhirnya segala jenis gubahan yang dilakukan oleh Kak Ainin dan beberapa pekerjanya akhirnya hampir siap. Hanya perlukan beberapa sentuhan terakhir. Patutlah gubahan tangan kakakku itu mendapat permintaan tinggi. Sebab memang nampak kemas dan elegan. Dan mampu disiapkan dalam masa yang cepat.

Tugas aku pula hanyalah sekadar membantu. Tukang hulur bunga. Tukang hulur gunting. Walaupun aku dan Kak Ainin berkongsi darah yang sama, tapi memang aku tak berbakat langsung dalam bab gubahan-gubahan bunga ni. Sebab itulah kali ini aku lebih selesa duduk di tepi. Sesekali menjadi jurugambar tak bertauliah. Ambil beberapa keping gambar yang cantik-cantik untuk tujuan promosi di Facebook dan Instagram nanti.

Aku pandang Kak Ainin. Sedang berbincang dengan Cik Yanie, Ketua Pengurusan Majlis tempat ini. Katanya ada majlis perasmian sempena tempat ini baru dibuka. Nampak tangan Kak Ainin bergerak-gerak ke udara. Dan Cik Yanie pula angguk-angguk setuju. Tengah sibuk lagi Kak Ainin. Malas nak kacau.

Lalu aku keluar dari tempat itu gara-gara bosan yang melampau. Mahu merayau-rayau. Teringin juga melihat seluruh kawasan yang agak luas itu sementara tempat ini belum dibuka kepada orang ramai.

Bangunan yang diberi nama Le’Fre ini berkonsepkan seperti IKEA, tapi takdelah sebesar tempat itu. Semua jenis perabot dan alat kelengkapan rumah dah tersusun di setiap ruangan. Serba-lengkap. Siap dengan tag harga lagi menandakan tempat itu bersedia untuk beroperasi.

Aku berlalu ke bahagian lampu. Kelihatan chandelier yang serba cantik tergantung di atas kepala. Dekorasi dan sebagai display. Semuanya dah disambungkan ke punca kuasa. Jadi semua lampu di situ bercahaya cantik. Macam pesta lampu pulak aku rasa. Ambil gambar kat sini lawa juga!

“You cakap I boleh jumpa dia hari ni. Mana dia? You tipu I lagi!” Aku dengar satu suara nyaring yang macam nak ajak orang bergaduh.

Automatik kepala menoleh ke arah punca suara itu. Yalah.. di tempat yang agak sunyi ini, suara perempuan itu pasti kedengaran satu oktaf lebih tinggi.

“I.. I.. tak tipu.”

“Haa.. gagap! Tipu lagi!”

“Mana ada..”

Aku tengok je dua manusia tu bertukar serangan. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Lelaki kacak dan perempuannya cantik. Pasangan kekasih ke?

Mungkin rasa drama sebabak mereka mendapat perhatian penonton luar, ketika itulah kepala lelaki itu menoleh ke arahku. Aku nampak muka dia agak berserabut. Lama dia tenung aku. Kemudian dia senyum manis. Berkerut kedua-dua keningku. Senyum kat aku ke?

Oh, mungkin dia senyum kat orang belakang aku kut!

“Sayang.. itu pun awak.” Belum sempat aku nak pusing untuk tengok belakang aku, lelaki itu muncul di depanku.

Sah dia cakap dengan aku!

Help me, please!” katanya perlahan. Cuma aku yang dengar. Dia buat muka kesian. Muka penuh merayu-rayu supaya aku tolong dia.

Tolong apa?

Baru je aku nak bukak mulut bertanya, kedengaran suara perempuan itu pula.

Oh, really?” Penuh keterujaan.

Tiba-tiba dia turut muncul di depanku. Terkejut aku. Dua orang ni keturunan Edward Cullen ke? Atau bekas raja dan ratu pecut? Laju betul! Tiba-tiba dah muncul di depan aku.

Tell me.. tell me.. Audi, ni girlfriend you, kan? OMG, she’s beautiful!” Suara perempuan itu penuh ceria sambil pandang aku dari atas sampai bawah. Wajahnya juga sebegitu. Seriang kanak-kanak ribena.

Audi. Oh, inilah lelaki yang bercakap denganku hari tu.  COO syarikat IG Lenz Furniture? Dan melihat gayanya yang bersut kemas itu, aku rasa aku dah tak salah orang. Patutlah Kak Ainin boleh bertukar miang buluh bila bercakap pasal Audi. Memang dia handsome kut.

Kami bertentang mata. Sekali lagi Audi memberi isyarat supaya aku menolongnya tanpa pengetahuan perempuan itu. Kesian pulak aku tengok mamat ni.

Aku senyum kepada perempuan yang aku tak tahu nama itu.

One.. two.. three.. Action!

“Haah. I’m his girlfriend, Dara.” Aku perekenalkan diri sambil hulurkan tangan kepada perempuan itu.

Nampak Audi macam baru dapat sedut oksigen. Penuh kelegaan mukanya.

I’m Sera. His best friend.” Sera tepis tangan aku. Terus dia peluk aku erat-erat macam kami dah berkawan dari zaman pakai pampers lagi. Barat sangat!

“Ya.. I tahu. Audi selalu cerita pasal you. Dia cakap you dengan dia memang rapat,” autaku penuh yakin. Bakat lakonan aku ni dah layak jadi heroin Akasia aku rasa. Haha.

Really. Tapi Audi tak selalu cerita pasal you dekat I. Selalu dia mengelak bila I tanya pasal you. I pun tak tahu kenapa dia sorok you, taknak bagi jumpa I.” Sera tarik muncung. Tak puas hati sambil jeling lelaki di sebelahnya.

Aku ketawa dibuat-buat. Nak cerita apa kalau dah memang tak wujud.

“Mungkin dia takut kita jadi BFF dan lupakan dia. Dara and Sera, Rara square. You know.. girl’s power. Kacip Fatimah bergabung, tongkat ali pun kalah.”

“Hahaha.. Your girlfriend is funny, Audi. I like Rara square.” Giliran Sera ketawa mendengarnya. Terhibur.

Aku nampak Audi dah raup muka. Risau agaknya dengan skrip tak bertulis aku ni. Takut memakan diri.

Itulah.. aku ni sekali menipu, memang sampai ke sudah aku menipu! Haha.

“Err.. Sera! You bukan nak jumpa abang you ke?” celah Audi tiba-tiba.

Sera seakan-akan teringatkan sesuatu.

“OMG! He’s going to kill me. Got to go! And Audi.. I approve her!” Sera pandang Audi dan kenyit sebelah mata.

Aku nampak wajah Audi sedikit memerah sebelum dia sengih bersalah. Telan liur.

Sera kembali pandang aku. Senyum lebar.

See you again, Dara.”

Yeah.. In your dream.

Sebab aku tahu tak mungkin akan ada pertemuan kedua antara kami. Tapi aku cuma senyum. Melambai-lambai sedikit sehingga dia menjauh dari pandangan. Bila dah nampak keadaan selamat, aku tumpukan perhatian kepada lelaki di depanku itu.

Tapi tumpuan lelaki itu masih berada pada susuk kawan baiknya yang sedang menjauh itu. Lama juga sebelum dia mengalihkan matanya. Bila mata kami berlaga, dia berdehem.

Awkward..

So, boyfriend saya! Ada apa-apa nak cakap?” soalku sambil berpeluk tubuh. Sebelah kening diangkat. Sabdu cukup-cukup masa sebut ‘boyfriend saya’ tu.

Err.. thank you. Best friend saya tu.. dia weird sikit!”

Bukan weird, tapi terlebih gula! Namun aku diamkan je. Hanya tunggu dia sambung.

“Dia selalu cakap saya sorok kekasih sebab jarang luangkan masa dengan dia. Makin lama dia push, akhirnya saya termengaku yang saya memang dah ada girlfriend. Dia betul-betul teruja bila tahu saya dah ada girlfriend. Bila dia tanya lagi, maka wujudlah girlfriend bunian saya itu. Dia selalu nak jumpa, tapi saya cipta macam-macam alasan untuk mengelak. Until now,” ceritanya sambil menggosok-gosok belakang lehernya.

Aku dapat rasakan dia tak selesa bercerita dengan orang yang baru dikenalinya itu. Tapi sebab dia dah seret aku sekali, jadi menjadi tanggungjawabnya untuk bercerita pokok pangkalnya.

Aku diam.

You have feelings for her. Don’t you?” tebakku.

“Mana ada!” sangkalnya keras.

“Mengaku je la. Saya tahu awak ada perasaan kat dia.”

Well.. no concern of yours.”

Okay.. since it’s no concern of mine, I can go and tell her the truth then,” ugutku. Buat gaya acah-acah nak berlalu.

No! Yes.. I love her!” Suara Audi cemas. Main mengaku je janji aku tak bocorkan rahsianya. Kemudian pandang kiri kanan. Nasib baik takde orang.

Damn it. I hide it from everyone for almost ten years but I reveal it to you in only ten minutes.” Aku dengar dia membebel perlahan. Marah diri sendiri.

Aku pula senyum sedikit. Well.. let’s call it the perks of being Dara Nailufar! Haha.

Don’t worry. Your secret is safe with me.” Aku buat gaya zip mulut. Percayalah.. sebangang-bangang aku ni, kalau bab-bab menjaga rahsia orang, aku memang amanah.

“Kalau awak suka dia, kenapa awak tak bersama dengan dia?” korekku. Di bawah lampu-lampu cantik ni la aku nak berlagak jadi kaunselor cinta kan?

“Dia dah ada orang lain.” Kedengaran agak perit suara Audi.

Tiba-tiba memori silam datang lagi. Hati rasa sesuatu. Namun aku cepat-cepat tepis. Semua dah jadi sejarah!

“Dia tak tahu awak suka dia, kan?” tekaku lagi.

Her happiness is more important. Saya takkan ganggu relationship orang lain. Kalau kami ada jodoh, adalah. Kalau tiada, nak buat macam mana? Maybe I’ll be her forever best friend.”

Entah kenapa rasa sedih dengan ayat itu. Kata-kata itu buatkan aku yakin Audi ni merupakan orang yang baik sebenarnya. Aku doakan semoga mereka berdua berjodohan. Mungkin Sera belum nampak cinta Audi. Dan aku rasa mereka berdua sebenarnya serasi bersama.

Tapi.. sayanglah aku rasa! Sebab Audi ni punyalah Mr. Perfect. Kacak tak payah cakap. Punya kerjaya yang stabil. Kaya pulak tu. Lagi bonus kalau dia baik. Idaman setiap wanita tu. Mana nak cari yang macam tu sekarang ni? Rugilah Sera kalau tak nampak cinta Audi padanya.

Enough with this sappy love story. Awak buat apa kat sini?” Audi ubah topik.

“Oh, saya dengan kakak saya, Kak Ainin! Saffi Florist,” jawabku.

“Hmm.. Cik BMW?”

Erk! Merah mukaku mendengarnya. Dia ingat pulak dah! Rasa Audi macam sindir aku. Juga rasa malu sebab dah permainkan nama dia. Padan muka kau, Dara.

Aku sengih bersalah. Tak angguk. Tak jugak geleng. Faham-faham sendirilah.

“Saya suka gubahan kakak awak. Tiap kali syarikat saya adakan majlis atau perlukan gubahan bunga, saya selalu tempah dengan kakak awak. Dan selalu juga saya rekomenkan kepada kawan-kawan saya yang lain.”

Kembang juga hidung aku bila Encik COO ni puji-puji kakak aku. Rasa bangga gila ada kakak yang berbakat macam tu.

“Kak Ainin memang berbakat. Dia dapat dari arwah mak saya,” balasku pendek.

“Dan awak? Mesti pandai gubah-gubah jugak, kan?”

“Sayangnya saya tak warisi kelebihan tu. Kalau Kak Ainin gubah, jadi taman bunga. Tapi kalau saya gubah, jadi kawasan perkuburan.” Aku nyatakan fakta.

Audi ketawa mendengarnya. Dia ni memang dengan aku memang selalu terhibur ya?

“Majlis perasmian dah nak mula. Saya kena masuk dewan sekarang ni. Terima kasih sebab bantu saya hari ni.”

Audi keluarkan sesuatu dari dompetnya.

My business card. Ring me if you need any favor. I owe you a big one,” katanya sambil menghulurkan sekeping kad kecil berwarna hitam.

Aku menyambutnya sebelum Audi meminta diri untuk berlalu. Aku hanya memandang sepi kad kecil itu. Walaupun aku rasa aku takkan jumpa dia lagi, tapi aku tetap masukkan kad itu ke dalam poket kecil beg galasku itu.

Ayuh kita sambung misi Dara The Explorer!

Thursday 18 July 2019

Dia Tetap Sempurna (BAB 1)


BAB 1

            Kepada: Cik Dara Nailufar binti Saleh

            Dengan segala hormatnya, kami menjemput Cik/Puan/Encik ke majlis ‘We Welcome You Back’ untuk para alumni Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping yang bakal diadakan seperti butiran berikut:

Tak sampai separuh kad keras sederhana besar lagi wangi itu aku baca, terus aku campak ke atas meja. Bosan! Tak payah baca penuh, memang aku dah tahu isinya apa,

Aku mengeluh. Pening. Hikayat apa lagi aku nak reka ni? Biasanya, pantang datang musim nak reunion, memang aku jadi jaguh pencipta hikayat antarabangsa. Ada saja alasan aku reka sebab aku memang taknak pergi. Selalunya alasan aku adalah jauh.

Tapi itu lapan tahun yang lepas. Dari zaman muda belia dan sekarang sudah menginjak ke alam dewasa. Alasan tiada duit, tiada pengangkutan dah basi. Lagi, kalau aku taknak pergi, sah-sahlah Suria, kawan baik aku tu seret aku. Budak tu selalunya memang terlebih cerdik kalau bab nak aku ikut kepala dia.

Telefonku berdering minta diangkat. Panjang pun umur budak tu. Baru fikirkan dia, dah munculkan diri. Mesti lepas tersedak-sedak sebab kena kutuk dengan aku ni. Haha.

Aku menggesek ikon hijau pada telefon pintarku itu.

“Aku tak kira. Tahun ni aku nak kau pergi.”

Takde salam, takde apa, nak cair tahi telinga aku disembur Suria.

“Amboi.. kau ni dah kenapa? Salam takde, mukadimah sepatah haram tak cakap. Yakin je kau aku yang angkat, ya?” sinisku.

Suria gelak di hujung talian.

Sorry, beb. Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh.” Cukup dengung, cukup harakat Suria bagi salam.

“Walaikumussalam. Haa.. macam tu la adab nak bercakap di telefon. Pertama, bagi salam. Kedua, kena jelaskan kau tu siapa? Apa hajatnya? Nak cakap dengan siapa?” Dengan lemah-lembut aku buka kelas adab-adab menjawab telefon dengannya.

“Dah.. dah.. aku dah faham. Kelas bersurai. Syukran laki ya, ustazah.”

Aku tergelak mendengarnya. Memang patut perempuan ni jadi kawan akrabku. Memang dah faham aku macam mana.

“Dara.. aku tak kira! Kali ni aku nak kau pergi. Kalau tak, memang aku culik kau!” Suria sambung lagi. Siap bagi amaran.

Aww.. takutnyer titew!

“Patutnya aku rakam perbualan ni, lepas tu bagi kat polis. Bukti kukuh kalau ada orang culik aku nanti.”

“Dara!!” Suria menjerit kegeraman. Rasanya kalau ada teddy bear kat sebelah dia tu, mahu kena gigit sampai tercabut telinga. Itu kalau teddy bear. Kalau aku pula yang berada di sebelahnya, rasanya mahu kena cekik sampai semput oksigen. Haha.

Aku garu-garu keningnya yang tak gatal. Sel-sel otak mula berhubung.

“Aku..”

“Dah! Tak payah bagi alasan lagi. Dah basi la! Aku dah hafal alasan kau tu dari lima tahun lepas lagi. Perlu ke aku listkan satu persatu?” Suria potong ayatku. Siap menyinis pulak tu. Sabar jela!

Aku sengih. Memang betul pun. Tiap tahun jugaklah aku perah akal nak cari alasan untuk mengelak. Buat masa sekarang ni, alasan semua menjadi. Cukup suara sendu sikit, dengan memek muka sedih, alasan dah diterima.

Aku rasa tahun ni aku kena mantapkan lagi lakonan aku. Mungkin kita mula dengan drama air mata pulak?

“Jomlah, Dara. Kita pergi, nak? Kali ni lain sikit. Confirm seronok.” Suria seakan-akan memujuk aku.

“Lain apanya? Buat kat tengah laut ke? Atau kat bulan?” Aku juling mata ke atas.

“Haa.. betullah tu.”

“Buat kat bulan?” Aku terkejut. Bulat kedua-dua biji mata. Nasib baik tak jatuh kerusi sebab terkejut.

“Bukanlah. Gila ke apa kau ni? Kau ingat ni apa? Sailormoon? Buat kat laut la.”

“Kat laut?” Lagi sekali aku terkejut.

“Kau baca kad ke tak ni?” Suria macam marah.

Aku terus capai kad yang aku campak tadi. Baca balik isinya.

Tempat: Laguna Hall, Aurora Seacruise.

Cruise?” Aku ternganga.

“Yalah. Buat atas kapal besar kut. Best kan? Jomlah.. bila lagi nak naik cruise.” Suria dah teruja. Macam budak-budak baru dapat kinder Bueno.

Aku masih tak percaya. Siapa yang jadi pengarah program kali ni? Gila gempak! Dapat buat atas kapal kut! Sah-sah dapat sponsor hebat. Gila la!

“Siapa yang manage benda ni tahun ni?” soalku. Nak tahu juga siapa yang hebat sangat dapat buat majlis reunion ni atas kapal persiaran besar macam tu.

“Inilah masalah seorang Dara Nailufar. Nama dah alaf dua puluh satu, tapi macam duduk dalam gua. Ada group WhatsApp, jadi halimunan. Baik kau bagi telefon kau tu kat opah kau. Sekurang-kurangnya opah kau tu peramah, nak bertegur-sapa dengan orang.” Dia membebel.

Aku gelak. Memang betul pun aku tak pernah aktif dalam kumpulan WhatsApp kelas kami dulu. Pendek kata, aku memang mute terus satu tahun. Haha. Pedulilah kalau orang nak cakap aku sombong atau apa. Lagi pun aku ada sebab tersendiri.

“Cakap je la. Kau membebel sampai tahun depan pun, tak ubah apa-apa keadaan pun,” bicaraku malas.

Si Suria ni pun bukannya tak tahu kenapa aku tak aktif. Selama ini pun, dia yang jadi pak posto untukku. Membawa gosip-gosip hangat yang berlaku dalam kumpulan WhatsApp itu. Kalau aku nak berinteraksi dengan kawan-kawan yang lain pun, aku lebih suka whatsapp secara peribadi.

Aku tak sertai WhatsApp kumpulan tu semata-mata nak tengok orang muat naik gambar acah-acah sweet muntah berdarah, dengan kapsyen ‘Mohon orang tu jangan jealous’ atau ‘Sweet BF ever’ atau ‘Papa, mama punya tau.’

What the fish? Aku ni bukan lagi budak tujuh belas tahun yang nak berperang tarik rambut disebabkan lelaki. Jadi, daripada telefonku semak dengan notifikasi-notifikasi yang tak memberangsangkan sel-sel otak aku tu, aku terus mute setahun. Dosa tak dapat. Hati pun tenang.

 “Alah.. kalau aku cakap mesti kau taknak pergi.”

Okey.. aku dah tahu siapa. Orang sama yang bertanggungjawab kenapa aku jadi halimunan dalam WhatsApp kumpulan kelas kami. Tak peliklah kalau dia dapat buat kat tempat yang hebat macam tu. Anak orang kaya kan. Huh.. nak menunjuk la tu! Putus nafsu aku nak pergi.

“Apa.. dah habis tempat kat atas darat ni ke, sampai-sampai nak kacau ketenangan hidupan laut tu? Tak kesian ke dekat ikan-ikan dalam laut? Jiwa kacau sebab pencemaran. Nanti tak cukup zat. Kau jugak nak makan nanti.” Aku membebel.

“Kau.. kalau berfikir mesti tak macam manusia normal yang lain, kan?” bidas Suria.

Cis, mengutuk aku! Ada ke cakap aku tak berfikir macam manusia normal yang lain. Bukankah pakar motivasi selalu berkata, kita haruslah berfikir di luar kotak?

 “Kalau buat kat laut, aku tak bolehlah. Aku mabuk laut,” autaku. Otak memang laju kalau bab-bab auta orang ni.

“Aku tak kira. Mabuk tu lain hal. Ubat macam-macam ada sekarang ni. Yang penting, aku akan pastikan kau pergi. Titik!” Suria terus matikan talian.

Eee.. geramnya aku! Biadab betul minah ni. Aku mengeluh. Telefon kuletak di atas meja. Macam mana nak mengelak ni?

    -----------------

Huh.. bosannya! Mana pulak la Kak Ainin ni? Ditinggalkannya aku sorang-sorang untuk jaga kedai ni. Kenapalah aku yang kena? Kedai dah gah, tapi pekerjanya entah ke mana semuanya. Tinggallah aku jadi budak jaga meja ni.

Bunyi telefon kedai itu mengalihkan pandanganku. Haish.. baru tadi lepas bertekak dengan Suria. Siapa pulak yang kacau ketenangan hidup aku ni? Malas-malas aku angkat gagang telefon biru itu.

“Ya.. assalamualaikum, selamat pagi. Kedai bunga Saffi Florist. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Aku bagi ayat rasmi setiap kali angkat telefon tu.

Dia diam.

“Helo.. assalamualaikum, saudara, saudari di hujung talian,” sapaku lagi. Senyap lagi memang wassalam la telefon tu.

“Waalaikumussalam. Ni orang lain yang angkat ya?” Aku dengar suara si pemanggil. Lelaki. Macho jugak suara.

Aku jarakkan gagang dari telinga. Tenung sesaat. Orang lain yang angkat? Orang mana sebelum ni? Orang utan? Orang-orang?

“Ya.. orang lain.” Aku cuma mengiakan. Malas nak cakap banyak.

“Oo.. patutlah. Sedap suara. Lunak bak buluh perindu. Berdegup kencang jantung saya yang dengar…”

Hai.. petanda awal gagang telefon nak kena hempas ni! Berdegup kencang jantung dia? Meh sini aku buat kena serangan jantung terus!

“Saya, Audi.” Lelaki itu memperkenalkan diri. “Awak?”

“BMW.” Haa.. kan dah kena dengan aku! Terus bisu mamat tu.

“Ya, Encik Audi. Boleh saya bantu?” soalku. Cuba bersikap formal. Kerenah pelanggan macam-macam. Yang lebih loyar buruk daripada ni pun aku dah pernah dapat.

Maklumlah.. inikan kedai bunga. Yang datang cari bunga mestilah yang acah-acah mat romeo kelas satu. Acah nak bergula dengan buah hati sendiri tapi pantang dengar suara perempuan lain, mulalah ulat bulu mintak kena clorox.

Kalau dah lelaki tu, lelaki jugak! Huh. Sebal!

Lelaki itu berdehem di hujung talian.

“Saya Audi dari IG Lenzz Furniture. Boleh tempah bunga kan?” tambah lelaki itu.

Ya.. haruslah boleh tempah bunga sebab ni bukan kedai basikal! Apa daa..

“Ya.. encik nak tempah bunga apa ya? Boleh saya dapatkan detailsnya?” soalku lagi. Mula serius. Tangan mencapai buku catatan pelanggan yang selalu Kak Ainin letak di atas meja ini.

“Bunga apa yang ada ya?”

“Bunga apa yang Encik nak?” soal aku balik. Jenuh aku nak cerita satu-satu bunga kat dalam kedai ni. Dah nama kedai bunga, maksudnya macam-macam bungalah ada.

“Atau encik boleh bagitahu saya, bunga yang encik cari tu untuk tujuan apa?” Aku cuba berdiplosmasi.

“Hmm.. Rafflesia ada?”

“Oo.. tu encik kena tunggu bulan depan. Sebab Jabatan Perhilitan cakap bunga tu tak kembang-kembang lagi. Kalau Encik nak, insyaAllah bulan depan saya pergi petik.” Selamba aku bidas balik. Ni Dara Nailufar la! Salah orang der kalau nak loyar buruk.

Lelaki itu diam. Mesti dia tengah confuse sama ada aku ni serius ke tak. Aku tahu dia cuma nak main-main. Kalau nak bunga rafflesia, tak payah cari kedai ni. Ingat kedai kakak aku ni di dalam hutan negara ke?

“Eh, takpe! Kalau macam tu, saya nak bunga lain la.”

“Encik nak bunga apa? Ros? Tulip?”

“Kalau saya nak tuan kedai bunga ni boleh?”

“Eh, boleh! Cuba la mintak dengan abang ipar saya. InsyaAllah encik masuk ICU je. Paling tak pun kena tendang sampai sembelit sebulan,” balasku lagi.

Lelaki itu ketawa terbahak-bahak di hujung talian. Terhibur sungguh dia dengan aku.

Hmm.. ngeri tu! Kalau macam tu, saya nak bunga yang tengah bercakap dengan saya ni la. Boleh tak?”

Telinga mula berasap selepas mendengar kata-kata lelaki itu.

“Encik, saya ni ada banyak kerja berfaedah lain lagi yang boleh buat selain daripada nak layan encik main bunga kembang, bunga kuncup ni. Kalau encik..” Tengah-tengah emo ni, tiba-tiba gagang telefon ditarik.

Aku angkat muka. Kak Ainin! Mata dia dah kalah mata laser superman. Marah la tu sebab aku cari pasal dengan pelanggan dia. Aku tayang muka tak bersalah. Siapa suruh aku jaga kaunter ni? Aku ni bukan jenis penyabar sangat nak melayan pelanggan loyar buruk macam tu. Sorry naik lori langgar tiang sikit eh!

Aku cuma mendengar Kak Ainin bercakap dengan si Audi tu. Lembut yang dah tentu seratus lapan puluh darjah kontra dengan adik dia ni. Tunggulah lepas ni. Mesti bernanah telinga kena bebel dengan Kak Ainin.

“Kau ni, kalau tak jayakan misi nak bankrapkan kedai kakak kau ni sehari-hari tak boleh agaknya.” Kak Ainin membebel sebaik sahaja perbualan antara dia dan lelaki itu tamat.

Aku mencebik. Peduli apa aku. Bukan kedai aku. Haha. Jahat gila punya adik!

“Nasib baiklah aku cepat tadi. Kalau tak, memang terbang rezeki lima ribu hari ni.” Kak Ainin geleng kepala.

Wow.. lima ribu! Celik terus mata aku yang bosan tadi.

“Ada apa, Kak?” Aku berminat nak tahu. Durian runtuh hari ni. Nasib baiklah Kak Ainin sempat balik kedai tadi. Macam Kak Ainin cakap tadi, kalau tak melepas rezeki lima ribu ringgit tu.

“IG Lenzz Furniture ada event hari Khamis ni. Dia tempah bunga dengan kita. Tadi tu Encik Audi. Dia COO syarikat tu. COO kau tahu? Kenapa tak cakap baik-baik dengan dia? Untung-untung jadi adik ipar aku.”

Ewah.. dah ke laut pemikiran dia. Entah mamat benua mana tiba-tiba dia nak kenenkan dengan aku. Adik ipar dia? COO? Tak heran la. Lelaki ni makin dia kaya, makin kuat ujian. Makin kaki ringan nak cari lain. Kalau yang dah kahwin lain tu, lagilah sengaja cari pasal. Sengaja nak mintak belakang kena garu dengan cangkul!

“Apasal aku pulak? Kalau kau gatal sangat, kau je la pergi kahwin dengan mamat tu.” Tak puas hati! Yakin je mamat COO tu bujang. Entah-entah dah tua. Yalah.. jawatan COO tu tinggi kut! Tua lagi gatal. Ee.. geli aku!

“Kalau aku ni tak kahwin lagi, memang aku dah masuk jarum.”

Gatal!

“Yalah tu COO. Kalau tak takkanlah dia sendiri yang telefon kedai ni. Macam takde anak buah yang lain kalau setakat nak buat tempahan bunga.”

“Yalah.. aku yakin Audi ni COO. Dia kerja dengan papa dia. Family business. Dia dah berapa kali buat tempahan bunga dengan kedai ni. Aku pun dah berapa kali jumpa dia. Dan.. dia handsome.” Kak Ainin sengih.

Gatal squared plus power root of miang!

Seriau wei tengok kakak aku senyum miang macam tu!

“COO ke, CPR ke, kau ingat aku heran sangat? Kaya tak reti nak setia buat apa? Tambah lagi kalau handsome. Tambah modal nak pasang spare part. Baik aku bercinta dengan tukang kayu.” Bercakap dari pengalaman, okey!

“Bercinta betul-betul dengan tukang kayu baru tahu.” Kak Ainin mengejek.

“Kalau dah jodoh, aku terima je.” Aku taknak kalah.

“Dah.. Malas aku nak bertekak dengan kau ni. Nanti kau tolong aku hantarkan bunga ni ke sana.”

“Kenapa aku pulak?” Aku tak puas hati. Dahlah kena heret datang sini. Lepas tu jadi budak penghantar bunga pulak. Haish! Macam takde orang lain je.

“Kau tu kena sedar diri, aku kakak, kau adik. Siapa suruh dah tua gayut pun tak kerja-kerja lagi. Nasib baik aku kakak yang baik nak bela kau, tahu?” Makan dalam sungguh ayat Kak Ainin.

“Hei.. mana ada gayut? Aku baru dua puluh lima kut. Kau tunggulah aku habis master nanti. Kedai kau ni pun aku tak ingin nak jejak, tahu?” balasku geram.

“Tu kalau kau dah habis master. Sekarang ni belum, so padan muka jadi hamba aku. Dah.. pergi buat kerja.” Kak Ainin serahkan sekeping kertas kecil kepadaku. Tempahan Audi tadi kut.

Aku mencebik. Protes tak protes, aku ikut jugak cakap kakakku itu.

------

Hola.. amiga amigos! I'm back. Sorry for the long wait. Maaf kerana menyepi. Minta maaf cerita ni baru masuk blog. Haha. Cik Anjell dah lama tinggal so kayakk baby gitu harus belajar balik, merangkak2 gitu. 

Hopefully you guys enjoy cerita baru ni ya.  Terima kasih kerana sudi baca dan maaf atas segala kekurangan.