Pages

Terima Kasih Anda Semua..

Kata-kata Anjell

ASSALAMUALAIKUM..

Blog ini adalah hasil nurkilan seorang budak science yang perasan nak jadi novelis...

Maaf bila tertypo.. Budak ini masih junior..

Significance of this simple blog to me : 'A PLACE TO EASE TENSION, DIFFERENT WORLD FROM THE ACTUAL ONE'

Thursday 27 February 2020

Dia Tetap Sempurna (BAB 5)


BAB 5

Aku pandang sekeliling kawasan Starbucks itu. Kalau dibandingkan dengan pagi tadi, kafe ini makin dibanjiri umat manusia. Mungkin kerana dah menginjak ke tengah hari, sememangnya waktu puncak manusia-manusia keluar melahap. Macam mana aku boleh tahu? Sebab sejak dari pagi lagi aku masih tak berganjak dari mejaku itu. Ya.. meja yang sama ketika aku berjumpa Suria.

Kalau pagi tadi aku dating dengan Suria, sekarang ni aku punya urusan dengan orang lain pula. Ada hal penting yang harus dibincangkan. Siapa lagi kalau bukan kekasih jadian aku yang kacak bergaya itu.

Audi. Pantaskan aku buat kerja?

Sebaik sahaja Suria angkat kaki, aku terus menghubungi Audi. Nasib baik dia masih ingat aku. Bila aku cakap aku inginkan bantuan daripadanya, dia tanpa ragu bersetuju untuk bertemu denganku. Kami bersepakat untuk bertemu di kafe ini memandangkan dia pun berada di kawasan berdekatan. Ada mesyuarat katanya.

Tapi.. kalau dah mesyuarat itu, memang mesyuarat betul! Dah nak kebas punggung aku sebab sedari tadi hanya duduk. Air pun dah bekas kedua. Mahu insomnia malam ni gara-gara terlebih kafien.

Nasib baiklah hari ini aku penyabar orangnya. Sanggup untuk menunggu. Cuba kalau berjanji masa aku tengah datang bulan? Mahu aku bertukar jadi mak drakula kalau lewat seminit.

Aku capai bekas air di depanku. Dahaga. Masih tinggal tak sampai suku lagi. Bibir dimuncungkan untuk menyedut straw itu. Dua kali sedut, dah bunyi slurp.. slurp.. slurp. Habis daa!

Tiba-tiba aku rasa ada susuk berdiri di depan mejaku. Terus aku berhenti sedut straw. Kepala dipanggung untuk melihat si empunya badan. Bukan seorang, tapi dua. Audi yang sengih bersalah kepadaku. Dan juga Sera yang tengah melambai-lambai ke arahku. Senyum lebar macam tengah iklan Colgate.

Audi dan Sera tarik kerusi di depanku. Audi menghadapku. Bila mata kami bertentangan, aku angkat sebelah kening. Bertanya.

Audi berdehem sekali. Basahkan tekak.

“Hai, sayang! Sorry I’m late,” ucap Audi dengan nada penuh rasa bersalah.

Wah.. belum apa-apa lagi, Audi dah mulakan permainan?

Sorry I tag along. Audi cakap dia nak jumpa you. I terus excited sebab dah lama kita tak jumpa, kan?” Dengan penuh kegembiraan, Sera bersuara.

Lama tak lama, rasanya hampir seminggu sejak pertemuan pertama kami. Aku ingatkan itu adalah pertemuan terakhir kami juga. Tapi nampaknya takdir mempunyai perancangan lain.

Aku hanya senyum.

It’s okay. I tak kesah pun,” balasku. Serius jujur. Sebab Sera ni jenis yang happy-go-lucky, orang tak akan rasa menyampah dengan dia. Nak marah dia pun rasanya tak jadi.

Tapi.. dengan adanya Sera, tergendalalah perancangan aku seketika. Macam mana aku nak berunding dengan Audi kalau dah ada Sera? Mungkin aku perlu tunggu masa lain. Buat masa ini, aku hanya perlu bergembira dengan kehadiran mereka.

“You sihat?” tanya Sera.

“Alhamdulillah, sihat. You?” soalku balik.

“Alhamdulillah sekarang dah sihat. Dua hari lepas I demam tau. Nasib baik dah hilang dah. Tinggal batuk-batuk sikit aje sekarang ni.” Sera terlebih peramah bercerita. Aku hanya mengangguk tanda mengerti.

Diam.

I go order first. Sera..”

No.. no.. no.. you duduk, Audi,” potong Sera. Halang Audi yang baru nak bangun.

“Hari ni I nak belanja you sebab you dah tolong I masa I demam. Biar I yang pergi beratur. You nak apa? Macam biasa, kan?” Sera pula bangun.

Audi cuma angguk. Macam biasa yang dimaksudkan Sera tu aku tak tahu la apa. Nasib baik Sera tak tanya aku apa-apa pasal selera Audi. Buatnya dia bukak pop quiz tengah-tengah alam ini, memang sadakallahulazim la.

“You jangan minum yang ais pula. You baru baik dari demam,” pesan Audi. Terselit keperihatinan.

“Ala.. tapi I nak caramel frapuccino!” bantah Sera. Degil.

“Tekak you tu tak elok lagi. Selsema pun baru hilang, kan? Nak demam balik? Jangan mengadu dekat I lagi kalau demam lagi. Sebab you yang cari sakit sendiri,” marah Audi. Nada suara masih lembut.

“Yalah.. yalah..” Sera akur. Tapi sempat tarik muncung tanda protes. Mungkin merajuk dengan Audi.

Aku hanya menjadi pemerhati. Kalau ada pop corn di tangan, aku rasa mahu beku beberapa inci di depan mulut. Tak nak konsentrasi terganggu gara-gara terlalu ralit dengan babak drama di depanku.

Lain macam dia orang ini! Kalau aku ini kekasih sebenar Audi, rasanya mahu punggung rasa macam dipanggang sebab rasa tergugat. Mahu dalam kepala dah fikirkan cara untuk menghumban Sera ke dalam mana-mana kolam berdekatan. Cemburu.

“You, Dara?” Dia pandang aku pula.

“Oh, nothing! Thank you.” Aku senyum sekadar untuk berdiplomasi.

Kenyang. Perut aku ni dah kembung wei dengan air. Nafsu makan aku dah terkatup rapat. Lagipun, aku masih kenyang dengan sarapan tadi.

“Alright then. Gonna leave you two lovebirds alone, okay?” balas Sera balik. Sempat kenyit mata nakal ke arahku.

Aku tahan rasa perutku yang bagaikan digeletek itu. Kalaulah dia tahu…

Sera berlalu untuk beratur. Agak panjang juga sebab memang sekarang adalah waktu puncak. Ramai pula hari ini. Mungkin sebab ada buat promosi. Audi sempat menghantar susuk Sera dengan matanya sebelum kembali pusing menghadap aku.

“Err.. sorry sebab Sera, kita tak boleh nak bincang apa-apa. And sorry for dragging you into this mess. Again.” Audi minta maaf.

 “It’s okay. Consider you owe me twice now.” Aku senyum penuh makna. Mungkin kehadiran Sera ada gunanya. Akanku gunakan kesempatan ini untuk laksanakan misiku. Aku akan pastikan Audi nak tak nak kena bersetuju denganku.

Audi telan liur. Seram agaknya tengok senyum aku. Dia berdehem kecil sebelum tegakkan duduknya. Sekali kepala pusing ke arah Sera. Bila melihat Sera masih panjang beratur, Audi kembali bersuara.

“Sementara Sera tak ada ni, apa yang awak nak saya tolong?”

“Saya nak minta tolong awak untuk menyamar jadi boyfriend saya.” Tanpa berdolak-dalih, aku jujur dengannya.

“Boleh saya tahu kenapa tiba-tiba nak saya menyamar jadi boyfriend awak?” Kening tebal Audi sedikit berkerut.

Wait! Awak memang tak ada boyfriend ke?” soalnya lagi.

Nope.” Aku geleng kepala. Jujur.

Audi pandang aku atas bawah, atas bawah. Analisis.

“Kenapa? Susah sangat ke nak percaya?” Aku tahan rasa. Annoying tiba-tiba walaupun Audi tak berkata apa-apa. Aku bagaikan dapat mengagak apa dalam kepala lelaki itu. Prejudis. Mesti dia ingat aku menipu.

Kind of.”

“Kenapa?”

Because you’re beautiful. Orang cantik mustahil tiada kekasih,” jawab Audi.

Aku mencebik.

What about you? Awak handsome, tapi kekasih pula dari keturunan bunian,” sinisku.

Okay.. point taken.”

“Saya nanti ada reunion sekolah. Let’s just say yang saya ada hutang untuk dibayar. Payback. Saya perlukan seorang lelaki yang kacak, kaya dan tinggi untuk ditayang nanti,” kataku jujur. Pedulilah kalau dia cakap aku terdesak atau mata duitan pun. Bukannya betul.

Let me guess. Kisah cinta monyet tak kesampaian?” Audi tahan gelak.

Aku angkat sebelah bahu.

“Lebih kuranglah,” jujurku lagi. Nak malu apa?

I need show them that I found someone better. More handsome. Richer. More mouth watering.”

So, you’re going to flaunt me in front of your friends?”

Iyup. Sebab awak kacak, kaya dan tinggi. Hanya awak yang penuhi kriteria yang saya cari.”

Wow.. should I be proud to be chosen? Bila ni? Senang saya nak clearkan jadual saya nanti.”

“Nanti saya hantarkan kad undangan melalui whatsApps. Lupa nak cakap. Reunion ni nanti atas cruise.”

Mata Audi terbeliak sekejap.

Cruise?”

Aku angguk.

“Four days, three nights.”

“Four days, three nights?” Dia ulang lagi apa yang aku cakap.

Err.. kalau cruise saya tak bolehlah! Saya mabuk laut.”

Eh, macam kukenal alasan itu!

“Sekarang banyak jenis ubat. Tu bukan alasan.” Aku bidas balik menggunakan kata-kata Suria.

“Boleh ke tak?” soalku lagi. Sedikit mendesak bila aku nampak muka Audi ikhlas tak ikhlas.

 “Apa yang boleh ke tak?” Belum sempat Audi memberi jawapan, kedengaran suara Sera menyampuk.

Kepala kami tertoleh ke arah suara itu. Sera dah muncul dengan menu yang dipesannya. Setelah duduk, Caramel Machiatto dan Smoked Chicken & Cheese Pie diletakkan di depan Audi. Untuknya sendiri pula adalah Chamomile Blend Tea dan Chicken & Salad. Nampaknya dia dengar cakap Audi supaya tidak membeli minuman berais.

Bergilir-gilir aku dan Audi dipandang apabila kami berdua masih senyap.

“Apa yang boleh ke tak?” ulang Sera lagi sambil membuka plastik pembalut makanannya.

“Tak ada apa-apa pun. I cuma ajak Audi temankan I pergi majlis reunion sekolah I dulu. Kalau dia tak nak pergi, I cakap I akan merajuk teruk sampai menyesal dia nanti.” Aku menjawab soalan Sera dengan selamba. Sambil mata tak lepas pandang Audi. Bagi isyarat. Haraplah dulu dia lulus bab komsas Bahasa Melayu. Baru faham yang aku tengah berkias dengannya.

Maksud tersirat aku adalah, kalau dia tak nak pergi, memang aku bongkarkan semuanya kepada Sera nanti. Kan aku dah cakap tadi. Kehadiran Sera kali ini akanku gunakan sebaik mungkin untuk laksanakan misiku.

Bila nampak halkum Audi bergerak sekali, aku tahu dia faham. Terus aku sengih kepadanya.

“You patut pergi, Audi. It’s going to haunt you if you mess with your girl,” balas Sera. Ayat keduanya itu dalam bentuk bisikan tapi telinga lintahku sempat tangkap.

Sekali lagi Audi teguk liur. Dan sekali lagi, aku senyum sinis.

Terima kasih, Sera.

Aku bongkokkan sedikit tubuhku ke depan. Kedua-dua siku ditongkatkan di atas meja dan daguku pula ditompang oleh kedua-dua tapak tanganku.

So, sayang? Awak boleh pergi ke tak?” Dengan senyuman paling manis aku bertanya. Kelip-kelip pandang Audi.

“Err.. okey. Sure, sayang.”

Dan aku terus senyum lebar.

“Oh, thank you, sayang!”

  -----

Setelah makan tengah hari bersama Audi dan Sera, aku terus berkejar ke kedai kucing Along. Macam biasalah, kontrak tugas budak penghantar air kopi Starbucks belum tamat lagi. Hari ini merupakan hari terakhir.  Dan gara-gara punya janji dengan Audi, hari ini aku hantar lambat sedikit. Kebiasaannya memang awal pagi.

Terkocoh-kocoh aku berlari ke dalam kedai. Pertama, sebab cuaca memang panas terik. Panas-panas macam ni, kulit aku memang dahagakan kawasan berhawa dingin atau berkipas. Kedua, sebab aku belum solat lagi. Dan setelah solat, aku harus berkejar ke universitiku pula. Aku ada kelas pukul lima petang nanti.

Aku disapa oleh Yat, salah seorang pekerja Along sebaik sahaja aku melangkah masuk.

“Along mana?” soalku.

“Ada kat tingkat atas. Tengah tengok dia orang siapkan cat room,” jawab Yat.

Cat room? Oh, lupa! Along pernah cakap. Tapi aku tak pernah nak ambil tahu. Tak berminat pun. Dah siap nanti, ditambah pula rimau-rimau kecik itu dilepaskan untuk bermain di situ memang haramlah kaki aku nak jejak sana.

“Ni kopi Along. Yat tolong bagi ya? Dara nak solat zohor dululah. Belum solat lagi,” ujarku.

Yat cuma angguk. Aku terus berlalu ke tingkat atas untuk ke surau kecil yang disediakan di sebelah klinik Kak Long Siti. Cepat-cepat laksanakan tanggungjawab besar setiap muslim itu. Usai solat, baru rasa lega. Badan pun rasa sedikit segar. Patutlah orang cakap solat itu merupakan cara untuk mengecas semula tenaga.

Setelah mengenakan lipstik dan memastikan tudung bawalku cantik terbentuk, aku melangkah keluar. Kedengaran bunyi pelbagai jenis mesin, menandakan memang ada kerja-kerja pembinaan sedang berjalan. Kaki melangkah ke arah bunyi itu. Terlintas di hati untuk melihat rumah kucing yang sedang dibina itu. Sementara kawasan itu masih bebas daripada segala spesis rimau kecik.

Cari Along. Lepas itu bertolak pergi universiti. Kemudian..

“Adoi!” Padah berkhayal, tiba-tiba aku terlanggar sesuatu yang keras. Aku hampir melayang ke belakang kalau bukan ada tangan kasar yang mendarat di kedua-dua belah pinggangku. Menstabilkanku.

Phew.. nasib baik! Kalau tak aku dah cium tanah.

Bila mata pandang depan, hanya warna putih menghiasi pandangan. Bila nampak kesan lipstikku cantik dicap di situ, wajahku bertukar seram.

Gulp! No… not again!

Sebaik sahaja aku angkat kepala untuk melihat gerangannya siapa, rasa macam nak pengsan terus.

Automatik aku menapak ke belakang dua langkah, membuatkan tangannya yang mendarat di pinggangku itu jatuh ke sisinya. Mata tepat memandang kesan yang aku tinggalkan di dadanya itu. Baru lepas pakai lipstik, terang dia faham-faham sendirilah. Nasib baik tak 3D aje!

Telan liur. Oh, lantai belah, lantai bertakup! Silalah telan aku hidup-hidup.

“Memang bucket list kau tahun ni ke, cium dada lelaki sebanyak mungkin?” Suara garau itu menjengah telinga. Seperti mana aku ingat padanya, nampaknya dia juga ingat padaku.

Of course.. lidah seorang Eskandar mana pernah tak tajam!

Terus membahang rasa wajah. Malu. Macam mana perkara sama boleh berulang? Dengan lelaki yang sama pula tu. Aku rasa lepas ini aku dah kena tukar lipstik kut sebab lipstik ini dah kena sumpahan.

“Ma.. mana ada. Saya tak sengajalah!” Tetapku menjawab walau rasa malu tak tertanggung. Gagap pun gagaplah.

Aku memberanikan diri untuk angkat kepala. Berlagak selamba walaupun sekarang ini macam nak sumpah diri jadi kura-kura. Biar boleh sorok kepala dalam cengkerang. Sebulan pun tak apa.

Mata hitamku berlaga dengan anak mata coklat cairnya. Nampak dingin dan kepenatan. Terus aku pandang dia dari atas sampai bawah. Kali ini dia turut memakai baju-t putih. Tapi putihnya kali ini betul-betul putih bersih macam lepas iklan sabun basuh. Buatkan kesan bibirku jelas melekap di dadanya. Nampaklah kat situ betapa pendeknya aku.

Aku kembali pandang wajahnya. Wajahnya jelas kepenatan. Ada kantung di bawah matanya. Jambangnya juga sedikit tebal berbanding minggu lepas. Rambut pula dibiarkan lepas. Macam baru lepas sesat dalam hutan sebulan.

Betullah cakap aku dulu. Rambut coklat tua dia separas bahu. Nampak beralun lembut. Rasa macam geram pula nak larikan jari dicelahnya.

Astaghfirullahalazim! Apa kau mengarut ni, Dara? Cepat-cepat aku tersedar bila pemikiran nakal itu muncul. Entah kenapa boleh fikir macam itu!

“Kau buat apa kat sini? Bukan kau takut kucing ke?” soalnya pelik.

“Ni kedai abang saya. Awak tu pula buat apa kat sini?” Aku pula yang bertanya. Juga pelik.

Belum sempat dia menjawab, aku dengar nama Eskandar dipanggil. Buatkan si tuan badan terus berpaling. Tanpa membuang masa, dia terus meninggalkanku bagaikan aku tak wujud.

Bila mereka saling menghadap, aku nampak mata lelaki itu tertancap pada dada Eskandar beberapa saat sebelum beralih pandang ke arahku. Bergilir-gilir aku dan Eskandar dipandang. Aku tahu sel-sel otak dia tengah berhubung sekarang ini. Faham apa yang jadi. Sekali lagi mukaku rasa berbahang.

Kemudian nampak bibir lelaki itu naik, bagaikan cuba mengusik. Namun, bagaikan tahu apa yang bakal dihamburkan oleh lelaki itu, Eskandar terlebih dahulu membuka langkah menuju ke arah rumah kucing itu. Buatkan lelaki itu terus mengekorinya.

Tanpa sedar, kakiku juga mengikut mereka. Makin aku mendekat, makin kuat bunyi tukul ketuk paku dan bunyi mesin gerudi dinding. Kawasan itu bersepah dengan segala macam perkakas dan papan bermacam saiz.

Aku nampak ada dua orang lelaki sedang bertungkus-lumus bekerja. Nampaknya mereka semua ini orang yang diupah Along. Aku nampak Eskandar berbincang sesuatu dengan lelaki yang memanggilnya tadi. Kepala angguk-angguk sebelum lelaki di depan Eskandar menyambung kerjanya.

Eskandar berlalu ke arah sebuah meja. Aku mendekatinya. Rasa ingin tahu apa yang sedang dilakukannya itu. Aku nampak ada beberapa helai kertas bersaiz A4 yang terbentang di atas meja itu. Aku nampak juga tangan Eskandar yang memegang pensil itu mencatat sesuatu.

“Kau tak patut ada kat sini.” Suara itu buatkan langkah kakiku mati.

Susuk Eskandar masih tegak menghadap meja itu. Tangan pun masih bekerja. Buatkan aku jadi musykil sendiri. Suara yang aku dengar tadi, bukan imaginasi aku, kan?

Macam mana dia boleh tahu aku ada di belakangnya sedangkan ruangan itu bising dengan macam-macam bunyi? Dia ni ada sensor macam pintu automatik ke? Boleh rasa aura ataupun cas positif negatif yang dikeluarkan tubuh manusia? Seram!

Aku tanpa mempedulikannya, teruskan berjalan. Berdiri di sisinya untuk melihat hasil kerjanya.

“Kau tak patut ada kat sini,” ulang Eskandar. Memang betullah suaranya tadi.

Aku silang tangan di dada.

“Eh, kenapa pula? Bukannya susahkan awak pun. Ni kedai Along saya, suka hati sayalah,” jawabku sedikit bengang.

Suka hati nenek dia aje nak halau aku. Adik tauke ni, okey? Haa.. kan dah berlagak dah aku!

“Sini banyak habuk. Free aje dapat pneumonia nanti. Along kau juga yang susah,” balasnya mendatar. Masih konsentrasinya pada kertas-kertas itu.

Buatkan aku malu sendiri. Rasa nak tampar muka sendiri sampai kepala pusing tiga ratus enam puluh darjah. Malu sebab dah salah tafsir maksud kata-kata Eskandar itu. Terkunci habis segala tatabahasaku.

Sudahnya aku diam.

Perhatianku kini beralih kepada kertas-kertas di atas meja itu. Mula fokus pada isi kertas itu. Aku tak berapa faham. Tapi apa yang aku nampak, bagaikan pelan tempat ini. Bagaimana idea rumah kucing yang diinginkan oleh Alongku.

Hmm.. awak tak jawab soalan saya tadi. Awak pulak buat apa kat sini?” Aku ulang soalan yang ketika kami berlanggar tadi.

Kali ini pensil kayu di tangannya diletakkan di tepi. Eskandar tegakkan tubuh sebelum pandang aku. Bibirnya menguntum senyum senget.

“Aku tukang kayu.”

Dia Tetap Sempurna (BAB 4)


BAB 4

“Kena kejar kucing? Hahaha.” Berdekah-dekah Suria ketawa. Tak cukup dengan mulut, tangan pula siap ketuk-ketuk meja lagi menandakan betapa terhiburnya dia dengan cerita tak kelakar aku itu.

“Wei.. kut ya pun tak payahlah sampai kau berkompang dengan meja ni! Over la.” Perlahan aku marah Suria. Pandang kiri kanan. Member meja depan dah macam nak terkehel tulang tengkuk, pusing ke arah kami. Dia jeling maut.

Aku hanya sengih kepadanya. Tanda minta maaf sebab dah mengganggu ketenteraman sejagat. Apa boleh buat, kawan baikku ini dah gaya macam baru terlepas dari Tanjung Rambutan. Aku haraplah dia faham.

Tapi Suria bukannya peduli kiri kanan. Sudahnya aku tebalkan muka untuk terus duduk berdua di meja ini. Nak buat macam mana, dah namanya kawan baik.

“Tak.. masalahnya serius kelakar dowh! Kalau jenis Pitt Bull atau Husky yang kejar kau, aku tak hairan sangat kalau kau terbang sekali pun. Tapi, kucing? Comel gila kut!” balas Suria setelah ketawanya mereda. Jari mengelap hujung mata yang berair.

“Comel-comel jugak. Tapi kalau dah dia keluar kuku dia tu, grr.. seram!” Terus terbayang kuku-kuku tajam di balik tapak kaki kucing itu. Meremang bulu tengkuk. Cepat-cepat aku geleng kepala. Hapuskan bayangan itu. Ngeri!

Suria geleng kepala dengan bibir masih tersungging sengih. Kemudian straw di dalam cawan Sturbucks plastik yang berisi frapuccino itu dibawa ke mulut. Rakus disedutnya sampai berbunyi-bunyi. Betul-betul dahaga. Mana tak dahaga?  Kering air liur dia lepas gelakkan aku.

So, lepas tu apa jadi?” soal Suria balik. Cawan plastik kembali diletak ke atas meja. Perhatian diberi semula kepadaku. Bersedia untuk mendengar ceritaku. Atau bersedia untuk gelakkan aku.

“Lepas tu, aku pecutlah macam Usain Bolt. Nak dijadikan cerita, punyalah malang nasib aku, aku terlanggar pulak seorang lelaki ni. Sampai jatuh terduduk aku. Macam nangka busuk. Nasib baik  tak kuak lentang atas jalan tar hari tu.”

“Malunya!” Suria buat muka.

Laju kepala angguk setuju. Kemudian sambung bercerita. Bagaimana aku boleh meninggalkan kesan gincu pada baju tak bersalah lelaki itu.

Dan gelak Suria pecah untuk pusingan kedua.

“Kau ni cupid ke apa? Panah asmara kat hati lelaki tu? Habislah lepas ni dia jatuh cinta dengan kau.” Suria sempat mengusik. Tiba-tiba tanganku rasa gatal nak cekik leher orang.

Handsome tak? Mesti dia handsome kan sebab tu kau mandram dia?” Suria ingin tahu. Sengih pula.

Terus aku membayangkan rupa Eskandar ketika itu. Gaya yang sangat simple. Bukan jenis yang kemas. Bukan gaya orang ada-ada.

“Tak handsome pun,” kataku jujur.

Pada mata aku, Eskandar tak kacak pun. Hanya biasa-biasa. Dengan gaya berserabainya, pakai baju dan seluar lusuh lagi. Nampak selekeh. Mungkin gaya kerjanya buatkan dia berpakaian sebegitu.

“Ala.. rugilah! Dahlah dapat first kiss dari kau.”

Giliran aku pula ketawa. Sengal kawan baik aku ni!

“Walaupun Eskandar tak handsome, tapi dia baik.” Aku seakan-akan mempertahankan Eskandar. Meskipun petah bicaranya tajam, seolah-olah tidak mengambil pusing dengan dunia sekeliling tapi aku tahu Eskandar baik orangnya. Dia punya satu aura yang aku pun tak tahu nak cakap macam mana.

“Ni kau yang panah asmara dia atau dia panah asmara kau ni?” sindir Suria. Jeling aku semacam.

Aku julingkan mata ke atas. Malas nak layan.

“Aku cakap benda betul. Orang kacak tak semestinya baik. Orang kacak selalunya pura-pura baik. Gentleman la kononnya. Padahal?” Sekali lagi aku juling mata ke atas. Kata-kataku penuh pesimistik. Agak kuat sehingga lelaki yang duduk di meja depan tadi sekali lagi berpaling sekilas. Keningnya berkerut tak puas hati.

Kenapa? Terasa? Perasan handsome ke apa?

“Yalah.. yalah.. kau aje la betul.” Suria mengalah.

Okay.. enough with this topic! Kita cakap pula pasal kenapa aku culik kau pagi-pagi ni,” sambung Suria lagi. Tepat mata dia tenung aku.

Tiba-tiba rasa macam berada di dalam satu bilik kecil, bersedia untuk disoal-siasat.

Reunion.” Sepatah bicara daripada mulutnya itu dah bikin liurku laju turun tekak.

Automatik tangan pegang perut.

“Alamak.. serangan pertubuhan-pertubuhan e.coli bersatu! Usus besar tiba-tiba lancarkan mogok!” kataku. Muka buat-buat berkerut.

Baru aje nak bangun, Suria sudah merentap tanganku. Kembali duduk.

“Kau jangan nak aneh-aneh dengan aku, Dara!” Muka Suria bertukar garang. Tahu saja bila aku nak cabut. Dengan muka tak puas hati, belakang kuhempas sedikit kasar untuk bersandar ke kerusi. Tangan disilang di dada.

“Aku malas pergilah!” Aku akhirnya mengalah.

Setelah beberapa hari Suria mengatur stategi, akhirnya dapat jugak dia ‘tangkap’ aku. Macam mana aku tak terperangkap kalau dah dia serang hendap ketika aku berada di kedai Kak Ainin. Minta izin pula daripada kakakku itu untuk menculikku. Memang jalanlah.

Nak tak nak, aku kena menghadap dia ni. Huh!

“Ala.. Dara! Pergilah. Seronok la kali ni. Bukan biasa-biasa. Kita kali ni sambil menyelam, kita makan burger. Kau tak payahlah fikirkan pasal reunion tu semata. Kau fikir kita naik cruise untuk vacation. Bila lagi nak naik cruise murah? Kena bayar 30% aje kut.” Suria memujuk. Dah gaya ala-ala promoter pun ada.

“Aku seganlah nak minta duit ngan Kak Ainin atau Along,” bahasku separa jujur. Duit memang tak jadi isu. Sebab kalau ikutkan kedua-dua kakak dan abangku itu akan masukkan duit tiap-tiap bulan kepadaku. Maklumlah akukan masih bergelar pelajar. Lagipun, memang dia orang selalu pesan, kalau ada masalah duit jangan segan untuk meminta.

Tapi itulah, bila orang memberi dan kita menerima, lama-lama kita akan segan walaupun dengan adik-beradik sendiri. Walau mereka sendiri tak pernah berkira. Apatah lagi dengan usia gayut macam aku yang dah layak bekerja ini, aku rasa aku membebankan mereka.

“Kalau macam tu, biar aku belanja kau. Amacam?” Suria berkata macam harga tiket kapal persiaran itu seringgit dua.

“Jangan nak mengarutlah!” bangkangku. Aku tahu kawan baikku yang sengal ini sebenarnya memang orang kaya. Tapi dia bukan jenis yang berlagak. Lepak di mana-mana pun dia tak kesah. Cakap lepas. Gaya pun tak ikut protokol sangat. Sebab itu dia melekat berkawan dengan aku.

“Dah tu apa lagi alasan kau?” serang Suria lagi.

“Yang kau ni sibuk nak heret aku dah kenapa? Kau tak ada kawan lain ke?” soalku balik tanpa menjawab soalannya.

“Yang lain semua dah setuju nak pergi. Yang lain tiap-tiap kali reunion aku jumpa. Kau ni aje yang tak pernah nak muncul. Semua dok tanya pasal kau. Musykil kau ni penduduk bumi lagi ke tak?” balas Suria.

“Macamlah kalau aku tak pergi, kapal tu karam,” sinisku.

“Atau kau sebenarnya tak nak pergi sebab Safwan dan Raina?”

Oh, she hits the bull’s-eye!

“Tahu pun! Dua ekor tu apa cerita?” soalku. Dalam menyampah, aku serius nak tahu. Juga pelik macam mana mereka berdua boleh kekal sampai sekarang.

“Bahagia aje aku tengok. Macam biasalah tiap-tiap hari Raina upload gambar sweet.”

Gag reflex activated!” potongku seraya membuat gaya nak muntah.

“Kapsyen-kapsyen dia aku rasa masih tuju untuk kau.”

“Dah lapan tahun berlalu, aku ingat tahap cerdik dia meningkatlah satu level. Sama aje rupanya. Dia tak tahu ke aku bukannya baca pun ayat-ayat sweet muntah berdarah dia tu? Hmm.. nak cakap bodoh, kasar sangat! Sebab dia tu dulu budak lepasan MRSM.”

Suria ketawa kecil mendengarnya.

“Entahlah weh. Usaha tangga kejayaan kut. Dengan harapan kau baca satu hari nanti.”

“Harapan tinggal harapan. Aku tak pernah ambil tahu kut. Tak minat langsung. Apa yang dia dapat kalau aku baca? Tak tahu ke aku ni dah move on? Safwan aje pun.”

Aku tayang muka menyampah. Lapan tahun berlalu, terlajak bodohlah aku kalau aku masih ada hati dengan Safwan. Biasalah.. zaman remaja. Zaman hingus tak kering. Zaman hormon tengah mencanak tinggi. Fitrah manusia, mesti rasa gatal nak bercinta termasuk aku.

“Sebab tu kau kena pergi, Dara. Kau kena buktikan yang kau dapat yang lagi baik. Yang kau dah move on.” Suria mengapi-apikan keadaan.

“Aku dah fully move on daripada perasaan aku pada Safwan. Tapi tak bermaksud aku boleh lupakan apa yang dia dan Raina dah buat dulu.” Walaupun dah bertahun berlalu, sakitnya mungkin dah hilang tapi parutnya akan kekal. Sebagai peringatan seumur hidupku.

Diam. Rasa suasana bertukar serius. Suria pun tak berani berbahas kalau aku dah tekan suis mod serius.

“Tapi tak bermaksud hidup aku tak bahagia lepas tu. I’m glad for everything,” sambungku lagi. Mungkin kalau semuanya tak berlaku, aku tidak menjadi aku yang sekarang.

“Kalau macam tu, jomlah pergi, Dara. Kalau kau tak pergi, orang tak tahu kau dah move on. Semua tak tahu apa dah jadi dengan hidup kau sekarang. Kau rasa kenapa Raina tu tak putus-putus update status nak suruh kau baca? Sebab dia tahu dia dapat apa yang kau tak dapat. Dia rasa dia menang. Dia suka tengok kau sengsara. Sebab dia rasa kau masih lagi macam dulu.”

Gila jijik orang perangai macam itu! Aku pun tak tahu apa makanan dia sehari-hari sampai hatinya busuk macam tu. Dahlah gigih tak bertempat. Lapan tahun kut!

“Kau dah berubah, Dara. Dah tak chubby macam dulu. Slim. Makin lawa. Drop dead gorgeous. Semua orang mesti terkejut dan tak percaya kalau tengok kau nanti. Tak rasa kau perlu buktikan kepada semua ke?”

Kembang hati jugalah aku dengan pujian Suria itu. Memang tak dapat dinafikan masa telah mengubahku. Dan aku juga memilih untuk menyendiri. Sebab dah tak lalu nak hadap drama. Boleh dikatakan aku putuskan hubungan dengan hampir semua orang kecuali Suria.  

Lapan tahun yang lepas, aku dikategorikan sebagai seorang yang gemuk. Safwan pula boleh dikatakan jejaka terhangat masa itu. Kacak. Pandai. Popular. Aku hanyalah gadis yang lemah hatinya. Punya perasaan untuk menyintai dan dicintai. Hati remaja aku pun boleh terpanah melihat kesempurnaan Safwan itu. Siapa yang tidak?

Bayangkanlah apa yang jadi bila dah dapat peluang? Dipendekkan cerita, Safwan mendekatiku. Rasa macam kisah dongeng bila mimpi menjadi nyata. Kami makin rapat, seolah-olah pasangan bercinta. Layanan dia memang baik. Buatkan aku hari-hari makin jatuh hati dengannya.

Tapi.. aku harus tahu yang kisah dongeng akan kekal dongeng. Lelaki sesempurna dia, manakan pandang perempuan penuh kekurangan macam aku. Sebulan sebelum peperiksaan besar SPM, segala-galanya terbongkar. Bahawa apa yang kami lalui sebelum itu cumalah satu ciptaan demi sebuah pertaruhan. Semuanya dusta belaka.

Kejamkan? Bayangkanlah bagaimana aku cuba bangkit balik ketika hanya sebulan sebelum SPM. Macam mana pula Raina boleh muncul dalam cerita ini?

Dalam satu institusi, akan ada kategori popular, queen bee, nerd dan wallflower. Aku adalah kategori wallflower manakala Raina pula adalah queen bee. Kalau Safwan bagaikan raja ketika itu, maka Raina pula adalah ratunya.

Walaupun dulu aku gemuk, tapi mulutku memang berbisa. Aku bukan kategori yang lemah dan reda bila dibuli. Apa sahaja kata-kata yang keluar daripada mulut si Queen Bee itu, aku pasti membalas sampai terbisu minah itu. Mungkin sebab itulah dia berdendam denganku. Ego mahu membuatkan dia sentiasa lebih daripadaku. Dan oleh itu, cacian tentang bentuk fizikalku menjadi modalnya. Sampai muak aku mendengarnya. Tapi aku tak pernah kesah.

Sehinggalah dia menukar stateginya. Dia gunakan perasaan aku sebagai senjata perang. Nak dijadikan cerita, dia gunakan Safwan untuk jatuhkan aku. Dan bila semuanya terbongkar, jujur aku akui, aku memang kalah!

Terbayang kembali mereka berdua ketika itu. Seronok ketawakan aku dan mengatakan aku bodoh kerana percaya. Masih terngiang-ngiang lagi cacian mereka yang mengatakan orang gemuk macam aku kena sedar diri dan lelaki sesempurna Safwan tak akan pandang perempuan macam aku walaupun dengan sebelah mata. Kerana kali pertama patah hati, itulah kali pertama aku diam bila bertikam lidah.

Being broken is an accident. But to stay in it is a choice. Bak kata Saidina Ali bin Abi Thalib R.A, ‘The best revenge is to make yourself better’.

Gara-gara itu, aku bangkit kembali. Buktikan kepada mereka yang aku masih kuat. Tak senang. Tapi tak juga mustahil. Perhatian cuba ditumpukan penuh pada SPM. Alhamdulillah aku berjaya mendapat straight As. Kejadian dulu juga adalah pembakar semangat untukku berubah dari segi mental dan fizikal. Sebab itu aku berterima kasih juga dengan apa yang mereka berdua lakukan dulu.

“Hoi, Dara! Dengar tak apa aku cakap ni?” Suria tolak tanganku. Membuatkan segala kenangan pahit dulu terbang entah ke mana.

Aku kembali pandang Suria. Kawan yang selalu ada ketika aku jatuh dulu. Tak putus-putus bagi aku kata semangat. Sempat juga sekolahkan Raina dan Safwan. Sampai lebam biji mata kiri Safwan masa itu. Haha.

“Dengarlah. Aku agak setuju dengan kau. Tapi, kalau aku pergi nanti, tak pasal-pasal Safwan jatuh hati dekat aku balik.” Sempat aku bergurau di hujung ayat.

Suria senyum sinis.

“Lagi bagus. Let the karma slap him hard in his face.”

“Hish.. mengarutlah kau ni! Kalau aku buat macam tu, apa bezanya aku dengan perempuan tu?” balasku. Tak setuju.

Aku mungkin tak akan lupakan apa yang dah jadi. Tapi tak bermaksud aku berdendam. Aku ini dah tua dah nak simpan pedendam. Aku anggaplah semuanya adalah pengalaman untuk menjadi lebih dewasa.

But a little revenge is okay, right?” Suria angkat-angkat kening. Tengok gaya dia senyum, aku dah nampak dah rangka permainan dalam kepala minah itu. Apa perancangan dia agaknya?

“Kau nak buat apa?”

“Ramai yang pergi nanti bawak plus one. Kau pun bawaklah plus one. Kau cari yang lebih dari segala-gala aspek kalau nak banding dengan Safwan nanti. Mesti Raina panas punggung nanti,” cadang Suria.

Aku geleng-geleng kepala. Gaya dia cakap macam senang aje semua tu. Macam kalau aku petik jari, dari Kuala Lumpur sampai Seremban lelaki berbaris di depan aku.

Tapi.. idea dia tu memang menarik juga! Dah lama aku menghilangkan diri. Dah tiba masanya aku muncul kembali. Bila lagi nak buat grand entrance? Bak kata Suria tadi, ‘A little revenge is okay.’ Teringin juga aku tengok muka diva Raina bertukar macam lepas tertelan cicak.

“Mana aku nak cekau wei? Boyfriend tak ada. Siapalah nak kat aku ni?” Aku buat ayat drama reject.

“Ah, kau! Kau tu yang jual mahal sangat,” cebik Suria.

“Lagipun, dalam kes ni tak semestinya boyfriend betul. Kita upahlah sesiapa yang hellok sikit untuk jadi kekasih kau nanti.” Suria keluarkan idea gila dia.

Ni mesti Suria dapat inspirasi dari drama Teman Lelaki Upahan.

“Tak pun aku kau sewa aje la abang aku. Abang akukan pakej lengkap. Amacam?” Bersinar-sinar mata dia ketika memberi cadangan.

“Hish.. kau nak tunang dia terajang aku sampai Kutub Utara ke apa? Sengaja nak suruh aku arwah cepat, kan?” marahku. Ada ke dia bagi abang dia yang dah bertunang? Cari pasal!

Tergelak Suria dibuatnya. Nampak dia perah akal lagi. Gigih betul dia ni!

“Kau tak ada kenal sesiapa ke, Dara? Kawan-kawan lelaki kau yang elok sikit?” soal Suria lagi.

Kepala terus terbayang kawan-kawan lelakiku. Kebanyakannya dah kahwin. Yang tinggal hanyalah yang biasa-biasa. Mana layak untuk bertanding dengan Safwan. Bukannya aku nak merendahkan mereka, tapi kalau aku nak tengok Raina itu tercekik ludah sendiri, aku kena cari yang lebih elok. Yang pastinya cukup lengkap dari segala sudut. Yang sekali orang pandang tak akan berkelip dan bikin lidah terkelu. Atau perkataan pertama yang keluar setelah melihatnya adalah ‘Wow.’

Pendek kata, dalam mimpi aje la. Haha. Mana nak cari yang serba sempurna dalam alam nyata ini? Bukan senang nak cari yang pakej lengkap. Biasanya kalau kacak belum tentu kaya. Bila dah kaya mesti perut boroi. Kalau ada, memang bonuslah.

Kacak. Tinggi. Kaya.

Pakej yang aku nak cari. Bukan sebagai suami, tapi sebagai kekasih upahan semata. Untuk empat hari, tiga malam. Kalau bukan yang sebenar pun, yang ada rupa dan gaya orang kaya pun dah cukup. Nanti boleh berlakon. Bukannya orang tahu pun.

Tapi.. Kalau dapat macam ciri-ciri yang aku nak tu memang bertuah la! Eh, kejap! Rasa macam ada aje. Tiba-tiba terlintas satu nama dalam kepalaku.

Kacak. Checked. Tinggi. Checked. Kaya. Checked.

Bagaikan baru teringatkan sesuatu, tangan terus meraba-raba beg galasku. Mencari dompet. Hati berdoa supaya apa yang dicari masih ada. Aku harap aku masih simpan.

Dan bila aku melihat kad kecil hitam terselit di balik resit-resit, terus aku senyum senget. Pandang Suria yang hanya menjadi pemerhati gelagatku.

“Aku rasa aku ada.”

Let’s pay him a visit. It’s time to collect debt!