Pages

Terima Kasih Anda Semua..

Kata-kata Anjell

ASSALAMUALAIKUM..

Blog ini adalah hasil nurkilan seorang budak science yang perasan nak jadi novelis...

Maaf bila tertypo.. Budak ini masih junior..

Significance of this simple blog to me : 'A PLACE TO EASE TENSION, DIFFERENT WORLD FROM THE ACTUAL ONE'

Thursday, 18 July 2019

Dia Tetap Sempurna (BAB 1)


BAB 1

            Kepada: Cik Dara Nailufar binti Saleh

            Dengan segala hormatnya, kami menjemput Cik/Puan/Encik ke majlis ‘We Welcome You Back’ untuk para alumni Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping yang bakal diadakan seperti butiran berikut:

Tak sampai separuh kad keras sederhana besar lagi wangi itu aku baca, terus aku campak ke atas meja. Bosan! Tak payah baca penuh, memang aku dah tahu isinya apa,

Aku mengeluh. Pening. Hikayat apa lagi aku nak reka ni? Biasanya, pantang datang musim nak reunion, memang aku jadi jaguh pencipta hikayat antarabangsa. Ada saja alasan aku reka sebab aku memang taknak pergi. Selalunya alasan aku adalah jauh.

Tapi itu lapan tahun yang lepas. Dari zaman muda belia dan sekarang sudah menginjak ke alam dewasa. Alasan tiada duit, tiada pengangkutan dah basi. Lagi, kalau aku taknak pergi, sah-sahlah Suria, kawan baik aku tu seret aku. Budak tu selalunya memang terlebih cerdik kalau bab nak aku ikut kepala dia.

Telefonku berdering minta diangkat. Panjang pun umur budak tu. Baru fikirkan dia, dah munculkan diri. Mesti lepas tersedak-sedak sebab kena kutuk dengan aku ni. Haha.

Aku menggesek ikon hijau pada telefon pintarku itu.

“Aku tak kira. Tahun ni aku nak kau pergi.”

Takde salam, takde apa, nak cair tahi telinga aku disembur Suria.

“Amboi.. kau ni dah kenapa? Salam takde, mukadimah sepatah haram tak cakap. Yakin je kau aku yang angkat, ya?” sinisku.

Suria gelak di hujung talian.

Sorry, beb. Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh.” Cukup dengung, cukup harakat Suria bagi salam.

“Walaikumussalam. Haa.. macam tu la adab nak bercakap di telefon. Pertama, bagi salam. Kedua, kena jelaskan kau tu siapa? Apa hajatnya? Nak cakap dengan siapa?” Dengan lemah-lembut aku buka kelas adab-adab menjawab telefon dengannya.

“Dah.. dah.. aku dah faham. Kelas bersurai. Syukran laki ya, ustazah.”

Aku tergelak mendengarnya. Memang patut perempuan ni jadi kawan akrabku. Memang dah faham aku macam mana.

“Dara.. aku tak kira! Kali ni aku nak kau pergi. Kalau tak, memang aku culik kau!” Suria sambung lagi. Siap bagi amaran.

Aww.. takutnyer titew!

“Patutnya aku rakam perbualan ni, lepas tu bagi kat polis. Bukti kukuh kalau ada orang culik aku nanti.”

“Dara!!” Suria menjerit kegeraman. Rasanya kalau ada teddy bear kat sebelah dia tu, mahu kena gigit sampai tercabut telinga. Itu kalau teddy bear. Kalau aku pula yang berada di sebelahnya, rasanya mahu kena cekik sampai semput oksigen. Haha.

Aku garu-garu keningnya yang tak gatal. Sel-sel otak mula berhubung.

“Aku..”

“Dah! Tak payah bagi alasan lagi. Dah basi la! Aku dah hafal alasan kau tu dari lima tahun lepas lagi. Perlu ke aku listkan satu persatu?” Suria potong ayatku. Siap menyinis pulak tu. Sabar jela!

Aku sengih. Memang betul pun. Tiap tahun jugaklah aku perah akal nak cari alasan untuk mengelak. Buat masa sekarang ni, alasan semua menjadi. Cukup suara sendu sikit, dengan memek muka sedih, alasan dah diterima.

Aku rasa tahun ni aku kena mantapkan lagi lakonan aku. Mungkin kita mula dengan drama air mata pulak?

“Jomlah, Dara. Kita pergi, nak? Kali ni lain sikit. Confirm seronok.” Suria seakan-akan memujuk aku.

“Lain apanya? Buat kat tengah laut ke? Atau kat bulan?” Aku juling mata ke atas.

“Haa.. betullah tu.”

“Buat kat bulan?” Aku terkejut. Bulat kedua-dua biji mata. Nasib baik tak jatuh kerusi sebab terkejut.

“Bukanlah. Gila ke apa kau ni? Kau ingat ni apa? Sailormoon? Buat kat laut la.”

“Kat laut?” Lagi sekali aku terkejut.

“Kau baca kad ke tak ni?” Suria macam marah.

Aku terus capai kad yang aku campak tadi. Baca balik isinya.

Tempat: Laguna Hall, Aurora Seacruise.

Cruise?” Aku ternganga.

“Yalah. Buat atas kapal besar kut. Best kan? Jomlah.. bila lagi nak naik cruise.” Suria dah teruja. Macam budak-budak baru dapat kinder Bueno.

Aku masih tak percaya. Siapa yang jadi pengarah program kali ni? Gila gempak! Dapat buat atas kapal kut! Sah-sah dapat sponsor hebat. Gila la!

“Siapa yang manage benda ni tahun ni?” soalku. Nak tahu juga siapa yang hebat sangat dapat buat majlis reunion ni atas kapal persiaran besar macam tu.

“Inilah masalah seorang Dara Nailufar. Nama dah alaf dua puluh satu, tapi macam duduk dalam gua. Ada group WhatsApp, jadi halimunan. Baik kau bagi telefon kau tu kat opah kau. Sekurang-kurangnya opah kau tu peramah, nak bertegur-sapa dengan orang.” Dia membebel.

Aku gelak. Memang betul pun aku tak pernah aktif dalam kumpulan WhatsApp kelas kami dulu. Pendek kata, aku memang mute terus satu tahun. Haha. Pedulilah kalau orang nak cakap aku sombong atau apa. Lagi pun aku ada sebab tersendiri.

“Cakap je la. Kau membebel sampai tahun depan pun, tak ubah apa-apa keadaan pun,” bicaraku malas.

Si Suria ni pun bukannya tak tahu kenapa aku tak aktif. Selama ini pun, dia yang jadi pak posto untukku. Membawa gosip-gosip hangat yang berlaku dalam kumpulan WhatsApp itu. Kalau aku nak berinteraksi dengan kawan-kawan yang lain pun, aku lebih suka whatsapp secara peribadi.

Aku tak sertai WhatsApp kumpulan tu semata-mata nak tengok orang muat naik gambar acah-acah sweet muntah berdarah, dengan kapsyen ‘Mohon orang tu jangan jealous’ atau ‘Sweet BF ever’ atau ‘Papa, mama punya tau.’

What the fish? Aku ni bukan lagi budak tujuh belas tahun yang nak berperang tarik rambut disebabkan lelaki. Jadi, daripada telefonku semak dengan notifikasi-notifikasi yang tak memberangsangkan sel-sel otak aku tu, aku terus mute setahun. Dosa tak dapat. Hati pun tenang.

 “Alah.. kalau aku cakap mesti kau taknak pergi.”

Okey.. aku dah tahu siapa. Orang sama yang bertanggungjawab kenapa aku jadi halimunan dalam WhatsApp kumpulan kelas kami. Tak peliklah kalau dia dapat buat kat tempat yang hebat macam tu. Anak orang kaya kan. Huh.. nak menunjuk la tu! Putus nafsu aku nak pergi.

“Apa.. dah habis tempat kat atas darat ni ke, sampai-sampai nak kacau ketenangan hidupan laut tu? Tak kesian ke dekat ikan-ikan dalam laut? Jiwa kacau sebab pencemaran. Nanti tak cukup zat. Kau jugak nak makan nanti.” Aku membebel.

“Kau.. kalau berfikir mesti tak macam manusia normal yang lain, kan?” bidas Suria.

Cis, mengutuk aku! Ada ke cakap aku tak berfikir macam manusia normal yang lain. Bukankah pakar motivasi selalu berkata, kita haruslah berfikir di luar kotak?

 “Kalau buat kat laut, aku tak bolehlah. Aku mabuk laut,” autaku. Otak memang laju kalau bab-bab auta orang ni.

“Aku tak kira. Mabuk tu lain hal. Ubat macam-macam ada sekarang ni. Yang penting, aku akan pastikan kau pergi. Titik!” Suria terus matikan talian.

Eee.. geramnya aku! Biadab betul minah ni. Aku mengeluh. Telefon kuletak di atas meja. Macam mana nak mengelak ni?

    -----------------

Huh.. bosannya! Mana pulak la Kak Ainin ni? Ditinggalkannya aku sorang-sorang untuk jaga kedai ni. Kenapalah aku yang kena? Kedai dah gah, tapi pekerjanya entah ke mana semuanya. Tinggallah aku jadi budak jaga meja ni.

Bunyi telefon kedai itu mengalihkan pandanganku. Haish.. baru tadi lepas bertekak dengan Suria. Siapa pulak yang kacau ketenangan hidup aku ni? Malas-malas aku angkat gagang telefon biru itu.

“Ya.. assalamualaikum, selamat pagi. Kedai bunga Saffi Florist. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Aku bagi ayat rasmi setiap kali angkat telefon tu.

Dia diam.

“Helo.. assalamualaikum, saudara, saudari di hujung talian,” sapaku lagi. Senyap lagi memang wassalam la telefon tu.

“Waalaikumussalam. Ni orang lain yang angkat ya?” Aku dengar suara si pemanggil. Lelaki. Macho jugak suara.

Aku jarakkan gagang dari telinga. Tenung sesaat. Orang lain yang angkat? Orang mana sebelum ni? Orang utan? Orang-orang?

“Ya.. orang lain.” Aku cuma mengiakan. Malas nak cakap banyak.

“Oo.. patutlah. Sedap suara. Lunak bak buluh perindu. Berdegup kencang jantung saya yang dengar…”

Hai.. petanda awal gagang telefon nak kena hempas ni! Berdegup kencang jantung dia? Meh sini aku buat kena serangan jantung terus!

“Saya, Audi.” Lelaki itu memperkenalkan diri. “Awak?”

“BMW.” Haa.. kan dah kena dengan aku! Terus bisu mamat tu.

“Ya, Encik Audi. Boleh saya bantu?” soalku. Cuba bersikap formal. Kerenah pelanggan macam-macam. Yang lebih loyar buruk daripada ni pun aku dah pernah dapat.

Maklumlah.. inikan kedai bunga. Yang datang cari bunga mestilah yang acah-acah mat romeo kelas satu. Acah nak bergula dengan buah hati sendiri tapi pantang dengar suara perempuan lain, mulalah ulat bulu mintak kena clorox.

Kalau dah lelaki tu, lelaki jugak! Huh. Sebal!

Lelaki itu berdehem di hujung talian.

“Saya Audi dari IG Lenzz Furniture. Boleh tempah bunga kan?” tambah lelaki itu.

Ya.. haruslah boleh tempah bunga sebab ni bukan kedai basikal! Apa daa..

“Ya.. encik nak tempah bunga apa ya? Boleh saya dapatkan detailsnya?” soalku lagi. Mula serius. Tangan mencapai buku catatan pelanggan yang selalu Kak Ainin letak di atas meja ini.

“Bunga apa yang ada ya?”

“Bunga apa yang Encik nak?” soal aku balik. Jenuh aku nak cerita satu-satu bunga kat dalam kedai ni. Dah nama kedai bunga, maksudnya macam-macam bungalah ada.

“Atau encik boleh bagitahu saya, bunga yang encik cari tu untuk tujuan apa?” Aku cuba berdiplosmasi.

“Hmm.. Rafflesia ada?”

“Oo.. tu encik kena tunggu bulan depan. Sebab Jabatan Perhilitan cakap bunga tu tak kembang-kembang lagi. Kalau Encik nak, insyaAllah bulan depan saya pergi petik.” Selamba aku bidas balik. Ni Dara Nailufar la! Salah orang der kalau nak loyar buruk.

Lelaki itu diam. Mesti dia tengah confuse sama ada aku ni serius ke tak. Aku tahu dia cuma nak main-main. Kalau nak bunga rafflesia, tak payah cari kedai ni. Ingat kedai kakak aku ni di dalam hutan negara ke?

“Eh, takpe! Kalau macam tu, saya nak bunga lain la.”

“Encik nak bunga apa? Ros? Tulip?”

“Kalau saya nak tuan kedai bunga ni boleh?”

“Eh, boleh! Cuba la mintak dengan abang ipar saya. InsyaAllah encik masuk ICU je. Paling tak pun kena tendang sampai sembelit sebulan,” balasku lagi.

Lelaki itu ketawa terbahak-bahak di hujung talian. Terhibur sungguh dia dengan aku.

Hmm.. ngeri tu! Kalau macam tu, saya nak bunga yang tengah bercakap dengan saya ni la. Boleh tak?”

Telinga mula berasap selepas mendengar kata-kata lelaki itu.

“Encik, saya ni ada banyak kerja berfaedah lain lagi yang boleh buat selain daripada nak layan encik main bunga kembang, bunga kuncup ni. Kalau encik..” Tengah-tengah emo ni, tiba-tiba gagang telefon ditarik.

Aku angkat muka. Kak Ainin! Mata dia dah kalah mata laser superman. Marah la tu sebab aku cari pasal dengan pelanggan dia. Aku tayang muka tak bersalah. Siapa suruh aku jaga kaunter ni? Aku ni bukan jenis penyabar sangat nak melayan pelanggan loyar buruk macam tu. Sorry naik lori langgar tiang sikit eh!

Aku cuma mendengar Kak Ainin bercakap dengan si Audi tu. Lembut yang dah tentu seratus lapan puluh darjah kontra dengan adik dia ni. Tunggulah lepas ni. Mesti bernanah telinga kena bebel dengan Kak Ainin.

“Kau ni, kalau tak jayakan misi nak bankrapkan kedai kakak kau ni sehari-hari tak boleh agaknya.” Kak Ainin membebel sebaik sahaja perbualan antara dia dan lelaki itu tamat.

Aku mencebik. Peduli apa aku. Bukan kedai aku. Haha. Jahat gila punya adik!

“Nasib baiklah aku cepat tadi. Kalau tak, memang terbang rezeki lima ribu hari ni.” Kak Ainin geleng kepala.

Wow.. lima ribu! Celik terus mata aku yang bosan tadi.

“Ada apa, Kak?” Aku berminat nak tahu. Durian runtuh hari ni. Nasib baiklah Kak Ainin sempat balik kedai tadi. Macam Kak Ainin cakap tadi, kalau tak melepas rezeki lima ribu ringgit tu.

“IG Lenzz Furniture ada event hari Khamis ni. Dia tempah bunga dengan kita. Tadi tu Encik Audi. Dia COO syarikat tu. COO kau tahu? Kenapa tak cakap baik-baik dengan dia? Untung-untung jadi adik ipar aku.”

Ewah.. dah ke laut pemikiran dia. Entah mamat benua mana tiba-tiba dia nak kenenkan dengan aku. Adik ipar dia? COO? Tak heran la. Lelaki ni makin dia kaya, makin kuat ujian. Makin kaki ringan nak cari lain. Kalau yang dah kahwin lain tu, lagilah sengaja cari pasal. Sengaja nak mintak belakang kena garu dengan cangkul!

“Apasal aku pulak? Kalau kau gatal sangat, kau je la pergi kahwin dengan mamat tu.” Tak puas hati! Yakin je mamat COO tu bujang. Entah-entah dah tua. Yalah.. jawatan COO tu tinggi kut! Tua lagi gatal. Ee.. geli aku!

“Kalau aku ni tak kahwin lagi, memang aku dah masuk jarum.”

Gatal!

“Yalah tu COO. Kalau tak takkanlah dia sendiri yang telefon kedai ni. Macam takde anak buah yang lain kalau setakat nak buat tempahan bunga.”

“Yalah.. aku yakin Audi ni COO. Dia kerja dengan papa dia. Family business. Dia dah berapa kali buat tempahan bunga dengan kedai ni. Aku pun dah berapa kali jumpa dia. Dan.. dia handsome.” Kak Ainin sengih.

Gatal squared plus power root of miang!

Seriau wei tengok kakak aku senyum miang macam tu!

“COO ke, CPR ke, kau ingat aku heran sangat? Kaya tak reti nak setia buat apa? Tambah lagi kalau handsome. Tambah modal nak pasang spare part. Baik aku bercinta dengan tukang kayu.” Bercakap dari pengalaman, okey!

“Bercinta betul-betul dengan tukang kayu baru tahu.” Kak Ainin mengejek.

“Kalau dah jodoh, aku terima je.” Aku taknak kalah.

“Dah.. Malas aku nak bertekak dengan kau ni. Nanti kau tolong aku hantarkan bunga ni ke sana.”

“Kenapa aku pulak?” Aku tak puas hati. Dahlah kena heret datang sini. Lepas tu jadi budak penghantar bunga pulak. Haish! Macam takde orang lain je.

“Kau tu kena sedar diri, aku kakak, kau adik. Siapa suruh dah tua gayut pun tak kerja-kerja lagi. Nasib baik aku kakak yang baik nak bela kau, tahu?” Makan dalam sungguh ayat Kak Ainin.

“Hei.. mana ada gayut? Aku baru dua puluh lima kut. Kau tunggulah aku habis master nanti. Kedai kau ni pun aku tak ingin nak jejak, tahu?” balasku geram.

“Tu kalau kau dah habis master. Sekarang ni belum, so padan muka jadi hamba aku. Dah.. pergi buat kerja.” Kak Ainin serahkan sekeping kertas kecil kepadaku. Tempahan Audi tadi kut.

Aku mencebik. Protes tak protes, aku ikut jugak cakap kakakku itu.

------

Hola.. amiga amigos! I'm back. Sorry for the long wait. Maaf kerana menyepi. Minta maaf cerita ni baru masuk blog. Haha. Cik Anjell dah lama tinggal so kayakk baby gitu harus belajar balik, merangkak2 gitu. 

Hopefully you guys enjoy cerita baru ni ya.  Terima kasih kerana sudi baca dan maaf atas segala kekurangan. 

12 comments:

  1. Yeay ! Tak sabar nak tunggu update lagi :)

    ReplyDelete
  2. Finally! After so long you didnt update! ❤️❤️

    ReplyDelete
  3. I love You. Thank you dear. Finally.. u back again..
    please keep us updated.. Hope to read the completed story by next Pesta Buku 2020

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah tak sia2 saya menunggu anda sblm2 ni! Bkn hrp utk kak anjell update jee, tpi hrp sngt buku ni nnti dpt dipublishkan!!

    ReplyDelete
  5. Bca bab 1 pun dh terhibur 10 kli ganda dh ni! Fightingg, tk sabar nk bca bab seterusnya plk!

    ReplyDelete
  6. As usual, permulaan yg mantap 😉

    ReplyDelete
  7. Anjel bila nk sambung bab 16 kat wattpad��

    ReplyDelete
  8. Anjell
    Bila nak publish novel lagi ?
    Nak baca novel selepas dheo's
    Saya tgk blog anjell pun sebab saya nak tgk perkembangan novel yg seterusnya
    Harap blh bls

    ReplyDelete
  9. Ulalalalalalalalallaa.......my tesoro buat come back..uwu.... fighting kak anjell!!!
    Remember to take a very good care of your health first....Kami bisa nunggu kok...

    ReplyDelete

Assalamualaikum..
Habis baca jangan lupa komen..
Terima kasih n sudilah jenguk lagi.. : )