Pages

Terima Kasih Anda Semua..

Kata-kata Anjell

ASSALAMUALAIKUM..

Blog ini adalah hasil nurkilan seorang budak science yang perasan nak jadi novelis...

Maaf bila tertypo.. Budak ini masih junior..

Significance of this simple blog to me : 'A PLACE TO EASE TENSION, DIFFERENT WORLD FROM THE ACTUAL ONE'

Monday 27 February 2012

Eksperimen Cinta (BAB 27)

BAB 27

Tengku Aaron membuka kot hitamnya dan membalutkannya pada kerusi empuknya. Dia duduk sambil memusingkan kerusinya. Kejap ke kiri. Kejap ke kanan. Dan ada masanya dia diam kejap sebelum kembali memusingkan kerusinya kiri dan kanan. Dokumen-dokumen penting yang perlu ditandatangan terbuka depannya. Dibaca tulisan hitam putih itu tapi satu pun tak masuk dalam kepalanya.

     Dipandang lukisan senja di dinding bilik pejabatnya. Lukisan yang simple tapi halus. Hanya bermodalkan kertas lukisan dan cat air yang ditinggalkan secara tidak sengaja oleh seorang pekerjanya di biliknya ketika membincangkan lakaran untuk iklan Triumph Air suatu ketika dahulu. Dan pelukisnya adalah Damia. Lukisan itu dilukis oleh Damia ketika dia meminta wanita itu untuk menemaninya dulu. Kononnya untuk diletakkan di bilik mesyuarat. Memang betul dia ingin meletakkan lukisan di bilik mesyuarat. Tapi dia tak berniat nak letakkan lukisan yang dilukis Damia.

     Dua hari selepas itu, ada seorang pemuda menghantarkan bungkusan untuknya. Ingatkan apa. Rupa-rupanya lukisan Damia yang dah siap dilukis dan dah dikenakan ton warna. Sangat cantik. Siap difremkan lagi. Dan yang anehnya, dia sanggup menukarkan lukisan bunga matahari yang selama ini tergantung cantik di dinding pejabatnya dan dibeli dengan harga hampir RM20 000 di Jerman dengan lukisan itu untuk diletakkan di bilik mesyuarat.

     Ingatkan Damia, jiwanya jadi tak tenteram. Teringat peristiwa pagi tadi.

     “Hadiah..”

     Dan selepas itu dengan suka lagi rela dia menghadiahkan satu ciuman lembut pada dahi Damia. Bukan dia tak nampak wajah Damia yang jelas-jelas terkejut. Tergamam habis sambil mata tepat memandang wajah Tengku Aaron. Pastinya tak percaya yang dia berani mencium perempuan itu. Dan nyatanya dia sendiri terkejut sebenarnya. Tak sangka dia betul-betul mencium dahi Damia. Siap dengan senyuman manis lagi! Betul-betul luar jangkaannya. Tapi senyuman manis selepas itu adalah memang lahir dari hatinya yang ikhlas.

     Tengku Aaron pejam mata. Kembali teringat peristiwa lepas sarapan tadi. Isterinya sedang khusyuk mengikat tali lehernya sehingga Damia sendiri tak sedar yang dirinya sedang asyik direnung oleh Tengku Aaron walaupun cuma sekejap. Comel sungguh wajah Damia yang seakan-akan sedang berfikir tadi. Jarak yang dekat antara mereka membuatkan haruman Damia menusuk hidungnya. Dia suka dengan haruman itu. Terasa tenang dan damai.

     Wajah Damia yang begitu dekat dengannya membuatkan tangannya hampir saja mengusap pipi Damia. Entah bila keinginan itu muncul. Gila betul! Dia tak pernah rasa macam ni dengan mana-mana perempuan. Nasib baik sempat dikawal tangannya. Tapi.. entah kenapa ciumannya boleh terlepas tadi. Terasa semuanya berlaku diluar kawalannya. Hatinya bagai ditarik untuk mencium dahi wanita itu. Apa yang dia tahu, dalam hatinya terasa bahagia memperlakukan Damia sebegitu.

     Tiba-tiba Tengku Aaron geleng kepala. Gila! Apa kena dengan aku ni? Dah kena sampuk ke nak kena hempuk? Dapat dirasakan yang dirinya sedikit berubah. Berubah kenapa? Kerana perkahwinan dengan Damia ke? Atau kerana Damia yang tak pernah membangkang cakapnya walaupun wanita itu sendiri tak rela? Bila difikirkan balik, memang Damia tak pernah membantah cakapnya walaupun kadang-kadang dia memang sengaja nak kenakan Damia. Kalaupun isterinya itu menolak, itu pun cuma sekejap. Sudahnya tetap akan dilaksanakan walaupun mungkin Damia sendiri tak puas hati dengannya.

     Kenapa kau polos sangat Damia? Kepolosan yang mengingatkan dia pada seseorang yang dah lama meninggalkannya. Dan dia begitu merinduinya. Insan yang membuatkannya rasa bersalah sampai sekarang. Juga penyebab dia makin berdendam dengan Tengku Andrean dan Seri.

     Kenapa Tengku Aaron rasa dirinya makin lemah sekarang ni? Mana Tengku Aaron yang dulu ni?

     “Arghh.. buat malu je! Mesti dia ingat aku suka dia.”

     Tengku Aaron meraup muka. Takkan la aku nak suka perempuan macam tu. Tak boleh! Aku tak boleh ada apa-apa perasaan pada Damia. Perempuan semua sama la. Mula-mula mengaku cinta. Lepas tu mulalah nak berlaku curang. Depan nampak baik, belakang mulalah tumbuh tanduk. Dendam dan ego mula menguasai diri. Cuba menghalang hati dari mengingati Damia.

     Pen hitam yang terbiar bersama kertas-kertas di atas meja dicapai. Masa kerja tak boleh campur aduk dengan perkara peribadi. Tengku Aaron seorang yang professional. Tengku Aaron cuba kembalikan mood bekerjanya. Dia tak boleh terlalu asyik fikirkan perempuan itu. Apa yang dia perlu buat sekarang adalah cuba menjadi Tengku Aaron yang dulu. Tengku Aaron yang tinggi egonya dan menganggap Damia tidak mempunyai apa-apa makna padanya.

     Dia harus cuba menjauhi Damia..

     -------

Dah seminggu perkara tu terjadi. Damia mahupun Tengku Aaron kedua-duanya berlagak macam tiada apa-apa berlaku. Seminggu yang sibuk ini telah meminimakan jumlah mereka bertentang mata. Boleh dikira berapa kali dalam seminggu mereka bersua muka. Kalau bukan tugas Damia mengejutkan Tengku Aaron bangun pagi dan menyediakan sarapan, rasanya memang mereka tak akan bertemu. Sebab bila pulang dari kerja, kedua-duanya perut dah kenyang. Kedua-duanya lebih senang terperap dalam bilik. Kadang-kadang pula Tengku Aaron balik bila jam menunjukkan pukul sepuluh malam. Tertanya-tanya juga Damia ke mana Tengku Aaron pergi. Mungkin keluar dengan perempuan lain untuk berhibur? Entahlah.. Damia tak nak masuk campur urusan lelaki itu.

     Bila hujung minggu pula, kedua-duanya lesap entah ke mana meninggalkan rumah besar mereka macam rumah puaka. Sunyi. Hidup kedua-duanya bagaikan bujang. Sangat membosankan tapi itulah yang berlaku. Sedikit sebanyak rancangan Tengku Aaron untuk menjauhi Damia dah terlaksana.

     Tapi kali ini kedua-duanya tak boleh mengelak…

     “Malam ni kita ada dinner rumah Mak Su. Ingat tak?” soal Tengku Aaron pada Damia. Sedikit hairan melihat Damia di rumah. Tak keluar ke hari ni?

     Ketika itu Damia sedang membaca majalah Wanita di buaian kayu di tepi kolam renang. Gara-gara disindir Tengku Aaron, Damia mula membaca majalah Wanita daripada Remaja. Biar nampak matang sikit. Tapi.. tak sebest Remaja la..

     Damia angkat muka. Tengku Aaron baru balik dari bermain badminton berdiri di depannya. Bila masa mamat ni balik pulak? Tak dengar bunyi kereta pun.

“Ingat la..”

     “Hmm.. baguslah. Bukan apa. Kau tu biasanya nyanyuk tak cukup ubat.”

     Sekali ayat pedas keluar daripada mulut Tengku Aaron, Damia hanya mampu menahan rasa. Memekakkan kedua-dua telinga agar hati tak rasa sakit. Damia cuba untuk tidak berkurang ajar dengan suaminya. Insyaallah selagi dia boleh sabar. Majalah Wanita itu dibelek lagi.

     Melihat Damia yang diam, Tengku Aaron malas nak ganggu. Nampak khusyuk benar baca majalah. Tenung majalah sampai nak naik juling mata aku tengok! Tengku Aaron tahu yang Damia dah malas nak layan dia. Dia ingin berlalu ke kamarnya. Tapi, air biru yang tenang beralun di depannya bagaikan memanggilnya. Hmm.. dah lama dia tak berenang.

     T-shirt hitam yang dipakainya ditanggalkan sebelum dia terjun ke dalam kolam renang dengan gaya ala-ala penerjun professional. Berdecit bunyi air sewaktu tubuh Tengku Aaron menimpa permukaan air.

     Konsentrasi Damia terganggu dengan adegan itu. Dilihatnya Tengku Aaron yang sedang berenang di kolam. Pertama kali dia melihat Tengku Aaron berenang. Tengku Aaron selamba berenang bagaikan tiada orang disitu. Kejap-kejap kuak dada. Lepas tu kuak lentang. Bestnya nampak Tengku Aaron mandi kolam. Nak harapkan dia memang takkan berlaku la. Sebab dia tak reti berenang. Tak pasal-pasal ada yang mati lemas. Dahlah kolam renang tu nampak agak dalam.

     Ahh.. tak boleh jadi ni! Rasanya Tengku Aaron yang sedang asyik berenang itu dah berjaya mengalihkan perhatiannya. Kejap-kejap dia curi pandang pada lelaki itu. Kejap-kejap dijelingnya Tengku Aaron. Majalah Wanita di tangannya dah tak menarik dah.

     Damia bangun. Baik dia cepat-cepat berlalu sebelum lelaki tu perasan yang dia jelling-jeling dari tadi lagi. Majalah Wanita ditutup. Nak balik bilik.

     “Mia..” panggilan Tengku Aaron membuatkan langkah Damia terhenti. Apa dia nak ni? Jangan diajaknya aku berenang sudah!

     “Apa dia?” soal Damia balik. Ketika itu dilihatnya Tengku Aaron berenang ke tepi kolam sambil menongkatkan tangannya agar tak tenggelam. Rambutnya yang dah jatuh berjuntai diraup ke belakang.

     “Boleh ambilkan towel tak? Aku lupa nak ambil,” pinta Tengku Aaron.

     Macam mana nak ingat ambil towel kalau dah nampak kolam terus terjun? Hii.. dia ni! Suka sangat kacau kerja aku. Damia tak puas hati. Rasa macam malas nak ambilkan tuala untuk lelaki itu. Nak tak nak tetap kena ambil. Kalau tak ambil, memang macam kena landa tsunami la lantai rumah mereka. Yang kena lap dia jugak! Jadi, demi tak menyusahkan diri sendiri dan atas kepentingan diri sendiri, kakinya laju melangkah ke bilik lelaki itu. Ingin mengambil tuala seperti yang diminta Tengku Aaron.

     “Nah..” Damia hulurkan tuala putih itu kepada Tengku Aaron.

     “Thanks..” Tengku Aaron tersenyum sambil tangan mencapai tuala yang dihulurkan Damia.

     Damia tak sempat nak tafsirkan senyuman itu. Bila dirasakan ada sesuatu di balik senyuman itu, Damia sudah terlambat. Tindakan Tengku Aaron lebih cepat. Sedar-sedar tubuhnya ditarik masuk ke dalam kolam renang bersama lelaki itu.

     “Aaron!!” Jeritan Damia antara geram dan cuak. Geram Tengku Aaron yang ketawa seronok sebab dah berjaya kenakannya. Cuak kerana dia tak pandai berenang.

     “Saya tak pandai berenang!” Terkapai-kapai tangannya di permukaan air.

     Damia cemas. Hanya satu dalam kepalanya. Dia akan mati lemas! Terasa kakinya tak memijak apa-apa. Beberapa kali dia tengelam timbul di permukaan air. Ada ketika dia tertelan air dan air masuk ke dalam hidungnya ketika dia cuba mencari nafas. Pedih sekali!

     “Wei.. wei.. rileks la! Aku bukannya nak bunuh kau pun!”

     Tengku Aaron cepat-cepat memaut pinggang Damia dekat dengannya. Menghalang Damia  daripada terus tenggelam. Damia berpaut pada leher Tengku Aaron. Kemas sekali terasa pautan Damia pada lehernya membuatkan Tengku Aaron yakin yang gadis itu betul-betul ketakutan. Cuak juga dia melihatnya. Bimbang terjadi apa-apa pada Damia.

     Damia terbatuk-batuk kecil akibat tertelan air. Laju nafasnya ditarik. Terasa macam paru-paru dah tak cukup oksigen. Damia betul-betul takut. Rasa macam maut sedang menanti. Tak semena-mena Damia menangis ketakutan.

     “Shh.. dah takde apa-apa,” pujuk Tengku Aaron dengan rasa bersalah. Cuba tenangkan Damia yang laju nafasnya. Damia makin kuat menangis. Apa yang terjadi, makin kejap pelukan Damia pada tubuhnya.

     Melihat Damia yang betul-betul takut membuatkan Tengku Aaron makin rasa bersalah. Sumpah dia tiada niat nak apa-apakan Damia. Dia cuma ingin kenakan Damia. Tak sangka Damia tak pandai berenang. Tak sangka pula ini yang terjadi. Nasib baik dia cepat tadi. Kalau tak memang tak mustahil Damia lemas.

     Air mata Damia tak berhenti mengalir. Tengku Aaron yang cuba memujuknya langsung tak diendahkan. Akhirnya, Tengku Aaron membiarkan Damia terus menangis dan melepaskan semua rasa takutnya. Diam antara mereka. Hanya kedengaran esakan Damia. Sepanjang perkahwinan mereka, itulah kali pertama dia melihat Damia menangis beria-ia. Dua minit Damia menangis di dada Tengku Aaron.

     Damia mengusap air matanya. Nasib baik tak lemas. Nasib baik dia sempat memeluk seseorang. Aku peluk siapa? Damia bagaikan baru tersedar. Jangan cakap aku sedang peluk…. Gulp! Damia telan liur. Tak berani memandang empunya diri yang begitu rapat dengannya. Cepat-cepat tangan yang sedang melingkari leher dan pinggang manusia di depannya dirungkaikan.

     “Kau dah okey ke?”

     Suara yang cukup dikenali Damia. Datangya daripada insan di depannya itu. Oh, tidak!! Damia angkat muka. Merah mukanya.

     “Apa awak buat ni? Nak bunuh saya ke?” marah Damia sekadar ingin menutup malunya. Pertama kali dia meninggikan suara pada Tengku Aaron.

     “Lepaslah!” Damia menolak dada Tengku Aaron yang dekat dengannya.

     Tengku Aaron diam. Tangan kirinya masih utuh pada pinggang Damia.

     “Lepaslah..” Damia makin bengang. Buat bodoh pulak dia lepas lancarkan misi nak bunuh aku?

     “Diamlah. Kalau aku lepas, memang lemas la kau. Nak ke?” ugut Tengku Aaron. Dia lepaskan pinggang Damia. Sengaja nak mengacah. Damia terasa dia mula tenggelam. Terus dipeluk Tengku Aaron di depannya. Kemas.

     “Kita dah lepaskan dia, dia pula taknak lepaskan kita?” Merah muka Damia mendengar kata-kata Tengku Aaron. Kurang asam kau!

     “Tu la.. ingat aku nak sangat peluk kau ke? Degil. Kalau tak reti berenang jangan banyak cakap,” sindir Tengku Aaron.

     “Saya nak naik la. Cepat bawak saya naik.”

     Tengku Aaron berenang ke tepi kolam. Membuatkan jarak antara mereka makin dekat. Damia makin tak senang duduk. Jantung yang berdegup laju kerana cemas tadi dah bertukar laju kerana jarak yang begitu dekat dengan Tengku Aaron. Debaran itu muncul lagi. Apatah lagi dia tak pernah sebegitu dekat dengan mana-mana lelaki.

     Damia cepat-cepat meninggalkan Tengku Aaron selepas dia naik ke tepi kolam. Dah tak dipedulikan lagi tubuhnya yang basah lencun tanpa dilapkan terlebih dahulu. Lagipun, nak lap dengan apa? Tuala yang dibawa untuk Tengku Aaron tadi pun dah turut sama berendam dalam kolam. Damia tak pandang belakang dah. Rasa segan nak memandang Tengku Aaron.

     Tengku Aaron pula hanya memandang Damia yang sudah jauh meninggalkannya. Rambutnya diraup ke belakang. Jantungnya yang turut berdebar hebat tadi cuba ditenangkan. Apa yang aku buat ni? Kata nak jauhi Damia. Tapi makin kuat rasa untuk mendekati Damia. Tengku Aaron mengeluh sebelum turut naik ke tepi kolam

     -------

Gila punya manusia! Nak bunuh aku ke? Damia betul-betul bengang dengan tindakan Tengku Aaron sebentar tadi. Habis basah lantai dari kolam hingga ke biliknya. Yang kena lap lepas ni siapa lagi kalau bukan dia.

     Kalau aku mati tadi macam mana? Free je dia jadi duda hot. Aku ni bukannya reti berenang. Setakat pakai pelampung itik tu bolehla. Damia membebel sendiri. Yang dia paling geram teramat sangat macam mana dia seriang kanak-kanak ribena boleh peluk Tengku Aaron. Lama pulak tu! Mesti dia ingat aku sengaja nak ambil kesempatan. Malunya! Rasa macam taknak lagi melihat wajah Tengku Aaron. Bayang pun taknak tengok! Tapi.. memang mustahil. Malam ni kena jumpa lagi sebab mereka dah janji dengan Mak Su Tengku Aaron untuk makan malam di sana. Makan malam dibuat sempena anaknya yang baru pulang dari Amerika.

     Lupakan dan buat-buat biasa je, Damia! Macam takde apa-apa je. Setakat peluk-peluk macam tu, bagi Tengku Aaron yang buaya tu macam dah biasa la. Dia tak kisah. Percayalah, Damia! Damia cuba pujuk diri sendiri.

     --------

Tengku Aaron menutup pintu biliknya. Ingin ke dapur. Tiba-tiba tekaknya rasa dahaga pula. Sewaktu berada di anak tangga paling bawah, ketika itulah dia melihat Damia yang sedang mengemop lantai ruang tamu rumah mereka. Semestinya mengemop lantai yang basah sebab tadi. Niat nak ke dapur terus dilupakan. Kakinya merapati Damia.

     “Jangan pijak situ. Saya baru mop!” sempat Damia beri amaran pada Tengku Aaron sebelum lelaki itu mendekatinya.

     Kaki Tengku Aaron terus pegun di depan sofa berangkai tiga. Damia yang memegang batang mop turut berhenti. Dipandangnya Tengku Aaron. Segan semacam. Tapi lelaki itu nampak macam biasa je. Haa.. kan aku dah dah cakap. Dia takkan rasa apa-apa la kalau setakat peluk-peluk macam tu. Kata hati Damia bersuara lagi. Damia cuba berlagak biasa juga.

     “Ada apa, Tengku Aaron?” soal Damia. Damia menggeliatkan tangannya. Lenguh terasa tubuhnya. Padahal baru mengelap bahagian yang boleh dikatakan suku rumah. Hai.. kalau dimop seluruh rumah agaknya tak boleh bangun terus dia esok. Macam mana la Mak Som boleh kemaskan rumah besar ni?

     Kemudian dipandangnya Tengku Aaron yang dah duduk bersila atas sofa. Sengaja dia duduk bersila sebab tak nak bagi lantai yang baru dimop Damia kembali kotor. Damia dah boleh agak. Kalau Tengku Aaron mencarinya semestinya ada sesuatu yang nak disampaikan lelaki itu. Kalau setakat nak berbual-bual kosong, buat lawak lepas tu gelak-gelak manja tu memang kirim salam awal-awal la.

     “Aku…” Kata-kata Tengku Aaron terhenti. Damia menanti lagi.

     Aku nak mintak maaf pasal tadi. Hanya hati Tengku Aaron yang berbicara. Sedangkan lidah rasa macam tergeliat nak minta maaf daripada Damia. Nak mintak maaf ke? Nanti apa pulak yang dia fikir? Mesti dia pandang rendah kat aku. Antara hati yang betul-betul nak minta maaf dengan ego yang menghalang, mana satu harus didahulukan?

     “Aku rasa sebelum kita ke rumah Mak Su, kita perlu ikut plan A.” Akhirnya ego yang dituruti Tengku Aaron.

     Ingat ke apa tadi! Muka nampak macam nak cakap benda penting sangat. Kut la nak tolong aku mopkan lantai ke, ada jugak pekdahnya. Kecil tapak tangan, rumah besar ni aku tadahkan. Damia membebel dalam hati. Bazirkan masa aku je. Kerja mengemop lantai yang tergendala tadi kembali disambung.

     “Apa dia? Saya dengar sambil-sambil mop lantai,” jawab Damia.

     Kembali mendengar pada kata-kata Tengku Aaron. Ikut plan A,ya? Ya.. A untuk Aaron. Sebab segala rancangan memang lelaki itu yang aturkan. Dia hanyalah mak turut je.

     “Depan family Mak Su nanti, aku taknak orang lain syak yang perkahwinan kita ni tak macam orang lain..”

     “So, nak suruh saya buat apa tuan director? Jadi Erra Fazira pulak malam ni?” sempat Damia menyindir.

     Ingat aku ni macam dia ke? Hipokrit tahap konkrit. Bukan Damia tak tahu lakonan Tengku Aaron yang grenti tercalon dalam Oscar Awards. Nampak gayanya Malaysia telah melahirkan bintang lakonan yang bergemerlapan terang umpama bulan mengambang tak cukup hari!

     “Takde apa-apa. Just jalankan tanggungjawab kau sebagai isteri depan dorang.”

     Hmm.. kerja mudah! Kerja yang biasa je. Sekalipun Tengku Aaron tidak menyuruhnya, memang dia sedar tanggungjawabnya yang berstatus isteri. Huh.. ingatkan apa la tadi. Kut-kut disuruhnya aku cium dia depan orang ramai. Damia melihat Tengku Aaron. Nampak macam ada lagi benda yang ingin disampaikan.

     “Termasuklah depan orang kau kena respect aku,” sambung Tengku Aaron.

     “Respect?” soal Damia kurang mengerti. Respect macam mana maksudnya tu? Rasa-rasanya sepanjang perkahwinan mereka, sekali pun dia tak pernah berkurang ajar dengan Tengku Aaron. Kalau tak puas hati pun kutuk dalam hati je la. Tapi tak pernah diceritakan pada orang lain. Tinggikan suara pada Tengku Aaron pun tak pernah. Oh.. lupa pasal tadi! Itulah kali pertama dia tinggi suara dengan Tengku Aaron.

     “Yalah.. depan orang kau kenala panggil aku…”

     “Panggil apa?” Kerja mengemop Dami turut terhenti. Rasanya Damia dah dapat agak.

     “Abang.”

     Senyuman sarkastik Tengku Aaron betul-betul menyakitkan mata Damia. Punyalah sinis 40°C! Nampak sangat Tengku Aaron sendiri pun tak mengharapkan Damia memanggilnya sebegitu.

     “Huh. Never!” jawab Damia. Tengku Aaron angkat bahu. Tanda tak kisah.

     “Tunggu tiga wayar dalam kepala saya putus dulu la…” sambung Damia sebelum mengangkat baldi ke dapur.

     Abang? Huh! Rasanya boleh kejang lidahnya kalau memanggil Tengku Aaron sebegitu. Ee.. tak nak la! Boleh tertelan anak tekak dibuatnya.

13 comments:

  1. hahahah.. :P comel la dua org nihh

    ReplyDelete
  2. lorh...x prasan ader episode nih..terskip, tros bace epi 28..hehehe..

    ReplyDelete
  3. omomomo..... giler besh la criter ni.....
    aishh giler sweet

    ReplyDelete
  4. wee sesedap budak rebina damia peluk aaron! beshhh le tuh!
    kesian gak Damia - aaron ni msh g nk layan ego dier.
    but respect Damia - apa pown still respect aaron as a husband!
    hope this can kills off aaron egoistic attitude!

    ~ جزمين ~

    ReplyDelete
  5. terbaik best gilerr

    ReplyDelete
  6. cerita ni best sangat...diaorang dah jatuh cinta lettew...hehe

    ReplyDelete
  7. sweet cgt2. idea penulis mmg xpna kerg. thums up!!

    ReplyDelete
  8. sweet gilaaa :****

    ReplyDelete
  9. Abang ! So sweet !! Aww ..!

    ReplyDelete
  10. Hehe,Sweet jer Aaron dgn Damia ni :D

    ReplyDelete

Assalamualaikum..
Habis baca jangan lupa komen..
Terima kasih n sudilah jenguk lagi.. : )