Pages

Terima Kasih Anda Semua..

Kata-kata Anjell

ASSALAMUALAIKUM..

Blog ini adalah hasil nurkilan seorang budak science yang perasan nak jadi novelis...

Maaf bila tertypo.. Budak ini masih junior..

Significance of this simple blog to me : 'A PLACE TO EASE TENSION, DIFFERENT WORLD FROM THE ACTUAL ONE'

Saturday 27 January 2018

Dheo's (BAB 4)


BAB 4

“Kak Tiqah kenal ke Dheo Han?” soalku lagi. Melihat wajah terkejut Kak Tiqah, aku tahu dia tahu sesuatu tentang lelaki bernama Dheo Han itu.

“Kenapa Cik Rissa tanya?” Kak Tiqah tanya aku balik. Jelas kelihatan wajahnya yang bagaikan cuba menyembunyikan sesuatu.

Aku tayang kertas yang berada di tanganku itu.

“Rissa jumpa ni dalam ofis ayah. Surat ni menyatakan harta benda ayah berpindah milik kepada Dheo Han. Kak Tiqah tahu kenapa?” soalku lagi.

Kak Tiqah diam.

“Kak Tiqah tahu sesuatu yang saya tak tahu ke?” desakku lagi. Firasat menyatakan Kak Tiqah tahu semua ini tapi sengaja merahsiakan daripadaku.

“Dheo Han adalah pemilik La Prince.”

Macam pernah dengar je? Bukan ni ke yang sibuk Nuha dan Nini gosipkan dulu. Jadi, kita bercakap tentang Dheo Han yang sama. Tapi, apa kena mengena orang hebat macam Dheo Han itu dengan ayah yang cuma biasa-biasa? Macam mana ayah boleh kenal dia?

Aku biarkan Kak Tiqah menyambung ceritanya.

“Beberapa bulan sebelum Encik Noriman meninggal dunia, banyak perkara yang terjadi sebenarnya. Encik Noriman ada masalah kewangan. Kali ni agak kritikal. Banyak cara Encik Noriman lakukan untuk atasi masalah itu.”

“Ayah ada masalah kewangan?” Aku terkejut. Kak Tiqah angguk.

“Gara-gara ekonomi sekarang, syarikat ayah Cik Rissa susah nak untung. Banyak hutang ditanggung. I’s Café pun turut kena tempiasnya. Encik Noriman diisytiharkan bankrupt kalau tak dapat selesaikan hutang-hutang bank.”

Bankrupt? Hampir rebah aku mendengarnya. Lantas tangan memegang peti ais yang bersebelahan denganku. Sebagai sokongan sebelum aku cium tanah.

Bankrupt. Aku mencerna maklumat itu. Bukan kecil masalah yang ayah hadapi kalau sampai dah diisytiharkan bankrupt. Masalah kewangan ayah sangat besar kalau dah segala hak milik ayah dipertaruhkan untuk melangsaikan hutang itu.

Inikah sebabnya ayah selalu balik lambat? Inikah sebabnya wajah ayah selalu mendung? Selalu ayah tenang bila denganku. Kerana apa? Kerana ayah tak mahu aku tahu. Ayah memang mahu menanggung masalahnya sendiri.

Sehingga akhir nyawanya pun aku masih tak tahu apa-apa. Ya Allah, anak jenis apa aku ni? Kalau aku tahu ayah ada masalah kewangan, aku pasti akan cuba menolong sehabis mungkin. Aku rasa aku seorang anak yang tak berguna. Pemikiran itu lantas membawa air mata di tubir mata.

“Kenapa saya tak tahu apa-apa, Kak Tiqah? Kenapa tiada siapa yang bagitahu saya?” soalku dalam tangisan.

“Semua orang taknak risaukan Cik Rissa. Cik Rissa dah ada masalah lain untuk difikirkan.”

“Tapi, apa kaitannya dengan Dheo Han?” soalku lagi.

Kak Tiqah diam.

“Kak Tiqah rasa, ada baiknya Cik Rissa jumpa Encik Ridhwan. Hanya dia yang boleh jelaskan semua ni,” jawab Kak Tiqah akhirnya.

  ----

Aku meraup wajah dengan kedua-dua tapak tangan. Fikiran berserabut. Dugaan apakah lagi ini? Aku baru kehilangan ayah. Dan sekarang, aku hilang segala-galanya.

Encik Ridhwan, peguam ayah dengan wajah yang sedih mengesahkan bahawa dengan rasminya ayah diisytiharkan muflis dan segala harta benda atas nama arwah awah disita dan dilelong sehinggalah segala hutang dilunaskan.

Hutang ayah? Banyak. Sangat banyak. Nak sebut pun aku rasa ngeri. Dengan kudrat aku yang tak punya apa-apa ni, aku mengais sampai mati pun belum tentu terlunas hutang-hutang itu.

Sehinggalah muncul Dheo Han. Semasa hayat ayah, Dheo Han merupakan orang yang melunaskan segala hutang-hutang ayah. Segala harta benda atas nama ayah berpindah kepadanya. Semuanya. Rumah. Kereta. Syarikat ayah. Aset ayah. Dan I’s Café. Dengan itu, aku memang tak punya apa-apa. Papa kedana.

Tapi satu persoalan yang terlintas di kepalaku. Macam mana ayah boleh sesenang itu menyerahkan segala-galanya kepada lelaki Dheo Han itu? Ayah bagi dengan rela hati atau ayah dipaksa? Terutama sekali I’s Café. I’s Café itu bukan sekadar kafe. Ada nilai sentimental sendiri yang memang mustahil dijual kepada orang asing. Ayah sendiri pernah berjanji walau apa pun terjadi, I’s Café takkan jatuh ke tangan orang lain.

Tapi kenapa ayah akhirnya memungkiri janjinya? Adakah atas desakan keadaan? Encik Ridhwan sendiri mengatakan Dheo Han tak pernah berurusan dengan ayah. Dan Dheo Han pula baru kembali ke Malaysia. Encik Ridhwan juga pernah mengatakan Dheo Han mempunyai hubungan baik dengan musuh syarikat ayah. Macam mana kalau semua ni ada agenda tersendiri dan demi kepentingan sendiri?

Arghh.. memikirkan segala persoalan itu, berdenyut hebat dahiku. Sakit. Stres. Semua persoalan ni memang tak bertemu jawapannya. Bila aku tanya pada Encik Ridhwan, hanya gelengan yang aku dapat. Bila aku tanya Kak Tiqah, Kak Tiqah pun cakap tak tahu. Semua orang tak tahu.

Jadi.. aku tahu cuma seorang yang tahu jawapannya.

Dheo Han!

Gara-gara sebaris nama itu, aku nekad melangkah ke hotel gah itu. Hanya di situ aku yakin aku dapat bertemu dengannya. Aku hanya ikut gerak hati. Aku tahu bukan senang untuk lepas masuk dan berjumpa dengan orang terbesar hotel itu. Sebab itulah aku cuma tawakal dengan setiap langkah yang kaki aku bawa.

Sehinggalah tiba di tingkat teratas hotel itu. Itu tekaanku. Orang besar akan berbangga dengan statusnya. Maka orang yang tinggi kedudukannya secara teknikalnya akan memilih tempat tertinggi. Ternyata tekaanku betul. Bila kaki mula menapak di balik pintu kaca itu, semua tengok aku pelik macam aku berkawan dengan Avatar.

 ----

“Cik.. Cik tak boleh masuk!” Halangan perempuan itu aku buat tak dengar. Kaki dia tak sepantas kaki aku melangkah. Tangan ingin menolak pintu kayu yang tertera D.T.H itu sebelum perempuan cina tu sailang aku. Aku yakin inilah pejabatnya.

Tiba-tiba aku rasa tanganku ditarik. Cepat betul perempuan cina tu. Ditariknya tangan aku untuk menghalang aku daripada menceroboh masuk.

“Saya nak jumpa Encik Dheo Han kejap je. Lepas tu saya keluar la.” Aku berdegil. Tanganku ditarik balik. Tak kurang kuatnya.

Selepas terlerai, terus aku menyelusup masuk ke dalam. Masa itu emas. Kena cepat-cepat kalau taknak perempuan cina tu berkarate denganku sekali lagi. Bila dah ada dalam bilik tu, kakiku terus terpasak di tempatku berdiri.

Bagaikan dipaku. Hanya mata yang terkedip-kedip memandangnya. Beberapa meter dari tempatku berdiri, ada seorang lelaki kacak yang sedang duduk tegak di kerusi empuknya. Sedang khusyuk dengan komputer ribanya. Sehinggalah kemunculanku dan perempuan cina itu mencuri tumpuannya. Lantas dia angkat muka.

Nafas hampir tersekat saat mata kami bersabung. Anak matanya hitam pekat. Bagaikan penuh misteri terlindung. Wajahnya dingin. Tak beremosi. Rasa lembik terus sendi lutut saat mata itu menikam anak mataku.

Cold but beautiful! Terasa bagaikan magnet. Aku tertarik dengannya.

Bagaikan pernah dilihat sebelum ni.

Do I know you?” Itu soalan pertama yang terpacul di bibirku. Serius aku tak sedar.

Sunyi. Persoalanku dibiarkan tak berjawab. Bilik besar berhawa dingin itu kurasakan makin menjunam suhunya. Memang bilik ni makin sejuk atau memang aura lelaki itu yang sememangnya mengalahkan iceberg di Kutub Utara?

Di balik meja kayu mahogany mewah milik lelaki bernama Dheo Han itu, ditiliknya aku dari atas sampai bawah.

Jantung tiba-tiba berubah kencang.

Do I know you?” Suaranya. Penuh maskuliniti dan karisma. Tapi terselit amaran tersiratnya.

Aku telan liur. Nada suaranya buatkan aku tersedar sesuatu. Dia betul. Soalan tu patut dia yang tanya. Sebab orang macam dia, semua orang kenal. Tapi orang biasa macam aku, orang hebat macam dia ni kenal ke?

I’m.. I’m sorry, Mr. Han. It’s my mistake. I’m going to drag her out..” Tergagap-gagap perempuan cina tu berkata. Tengok gaya gagap dan gaya berkarate denganku tadi, aku rasa dia mesti PA Dheo Han.

Namun, cukup Dheo Han mengangkat sebelah tangannya, terdiam terus perempuan itu daripada terus merapu.

Leave us,” arah Dheo kepada perempuan itu. Tapi matanya seinci pun tak beralih dari wajahku. Bagai nak ditelannya aku hidup-hidup. Gulp!

Dengan muka penuh berat hati, perempuan itu melangkah keluar. Sempat dikerlingnya aku sebelum dia menutup pintu kayu besar yang menjadi pemisah itu. Mungkin tengah berdoa semoga dia tak hilang kerja sebab dah gagal mengekang aku, tetamu yang tak diundang daripada terlepas masuk ke dalam bilik bosnya itu.

Dan sekarang, bilik yang dingin makin dingin jadinya. Baru sedar aku kini tinggal berdua dengan lelaki yang tak pernah kukenal itu. Haraplah aku bukan bergimrama ke mulut buaya sekarang ni. Tiba-tiba bermacam benda pelik terlintas dalam kepala. Macam mana kalau dia cuba apa-apakan aku? Kalau aku jerit, entah dengar entah tidak orang kat luar.

Gulp! Baru sekarang rasa nak hantuk kepala sendiri ke dinding mengenangkan kebodohan sendiri. Aku patutnya datang berteman tadi. Ajak Kak Tiqah. Tak pun Azrul. Sekurang-kurangnya dia lelaki.

Tiba-tiba dia berdiri. Automatik kakiku mengundur selangkah. Mod berjaga-jaga. Tapi aku cuba kumpul kekuatan. Tayang wajah yang penuh keberanian biarpun lutut tunggu masa untuk sembah bumi.

Dengan penuh gaya, dia melangkah ke arahku. Hanya bunyi tapak kasut berkilatnya merapatiku kedengaran. Makin dia dekat, makin nak gila jantungku berdegup. Silap-silap arwah aku gara-gara cardiac arrest.

Sehinggalah tegak dia berdiri di depanku. Taklah rapat sangat, tapi cukuplah untuk aku sedut aroma bau yang keluar dari kot hitamnya itu. Meruap-ruap. Dia sangat tinggi. Aku yang tinggi ni pun aku rasa cuma separas dagunya. Kepala terpaksa mendongak untuk melihatnya.

Bila dah dekat, baru aku nampak dengan jelas wajah Dheo Han. Gara-gara gaya rambutnya yang mendedahkan dahi, dapat dilihat satu parut panjang yang menghiasi dahi kirinya. Ya.. menghiasi. Sebab parut itu sikit pun tidak mencacatkan ketampanannya. Rasa nak je aku larikan hujung jari untuk menyentuh parut itu.

Argh.. gila kau Nurissa! Bagaikan baru tersedar dengan pemikiranku sendiri. Entah kenapa aku boleh berfikir macam tu. Tak pernah-pernah aku fikir nak pegang parut orang. Buatnya lelaki di depanku itu tahu, mahu dijentiknya aku sampai tersangkut di puncak KLCC.

Are you just going to rudely stare at me, young lady?” Aku rasa dah beberapa minit berlalu, asyik suaranya yang kedengaran. Walaupun dia selalu berbicara dengan muka sejuk bekunya itu.

Dahlah aku yang biadap redah masuk bilik dia. Sekurang-kurangnya aku kena berbudi. Kira okeylah dia tak panggil abang guard kat bawah untuk datang seret aku keluar. Jadi, sebelum dia berubah fikiran untuk menghalau aku keluar, ada baiknya aku jangan buat dia marah.

 “Sorry.” Aku berdehem. Cuba susun ayat dalam kepala. Cari tatabahasa yang boleh dia faham bila aku cakap nanti.

Tapi sebelum tu.. kalau awak jauh sikit dari saya, boleh tak? Tak tenteram jiwa saya macam ni. Aku cuma tarik nafas dalam-dalam untuk tenangkan diri.

“Saya Nurissa. Nurissa Rose binti Noriman. Saya anak kepada arwah Noriman.” Aku perkenalkan diri.

Muka dia masih sama. Tak bereaksi. Beku.

Aku pandang muka dia. Baru perasan sesuatu. Ke dia tak faham bahasa Melayu? Sebab bila tengok balik muka dia, memang takde rupa orang Malaysia. Nama dia pun Dheo Han. Dan bila ingat balik, takde sepatah pun perkataan melayu yang keluar daripada mulutnya.

I’m sorry. Do you understand malay?” soalku.

“Mestilah faham. I am Malaysian. So, ada apa-apa yang saya boleh tolong?”

“Saya nak tahu. Kenapa awak beli semua harta ayah saya? Apa hubungan awak dengan ayah saya? Macam mana ayah saya setuju untuk bagi semuanya pada awak?”

Well.. hobi saya mengumpul harta. When I get the chance, I’ll grab it. Saya tolong dia langsaikan hutang tu, provided he had to give all of his properties to me. That was the deal. He didn’t agree but he had to. No choice,” jelasnya sambil mengangkat sebelah bahunya.

“Awak paksa ayah saya jual semua tu. Awak ugut dia. Awak ambil kesempatan dengan keadaan yang terdesak masa tu.” Mencerun mataku memandangnya. Menuduh.

 “Nope. Dia tahu apa yang dia buat. Dia tahu cepat atau lambat benda ni akan jadi. He knew I would come one day. Because he kept something precious of mine for too long and it’s time for me to take it back,” katanya sambil mata tepat merenung ke arahku.

Tercengang-cengang aku mendengarnya. Secara teknikalnya ayah ada hutang dengan Dheo Han? Ayah tak pernah cerita pun tentang Dheo Han.

Somehing yours? Apa dia?” soalku ingin tahu.

Tapi dia cuma diam. Hanya matanya tak lepas dari wajahku. Jadi aku kira, apa yang dia maksudkan itu adalah sesuatu hak milik ayah yang dia dah miliki. Mungkin rumah? Saham syarikat? Mustahil I’s Café.

You got what you were looking for so I want I’s Café back.” Kedengaran agak biadap permintaanku.

Sorry?” Dia minta aku ulang balik. Maklumlah cara aku cakap tu macam nak minta beras.

“Saya nak balik I’s Café,” ulangku sekali lagi. Kali ini Bahasa Melayu.

Dia ketawa. Humorless laugh.

Are you kidding me?” Serius! Mencerun mata bekunya ke arahku. Buatkan automatik liur lalu tekak.

“I’s Café tu bagaikan nyawa saya. Saya sayang sangat kafe tu. Saya nak ucapkan terima kasih sebab selamatkan kafe tu dari dilelong bank. Tapi, saya nak balik kafe tu,” jelasku. Berharap dia mengerti.

“Saya beli kafe tu bukan seringgit dua, tahu? Do you think I’m going to give it to stranger? Ridiculous.”

Memang gila pun. Tindakanku dari awal lagi memang gila. Tapi kalau dah sayangkan sesuatu, memang sanggup. Apatah lagi aku ni jenis yang pantang menyerah kalah. Menyerah kalah bukan dalam kamus hidup Nurissa la. Aku seorang pejuang. Dari aku koma lagi, aku adalah seorang pejuang.

“Saya nak beli.”

“Pakai apa? Arwah ayah awak dah diisytiharkan muflis. Do you have any penny?

Diam. Kata-katanya itu buatkan aku kembali teringat pada arwah ayah. Baru seminggu ayah tinggalkan aku. Baru seminggu aku yatim piatu, sebatang kara. Terasa luka kembali berdarah. Sedih. Tapi aku cuba tahan air mata daripada mengalir.

Aku kuat! Aku dah tiada siapa yang boleh bergantung harap jadi aku kena kuatkan diri sendiri untuk teruskan hidup.

“Half million. That was the price,” sambungnya lagi.

Ternganga aku mendengar nilai yang disebutnya. Separuh juta? Kafe itu semahal itukah? Dah tentulah aku takde duit. Malah aku tak tahu berapa duitku sekarang ni. Dia betul. Aku dah jatuh miskin.

Tiba-tiba aku rasa kecewa. Hilang terus impianku untuk memiliki I’s Café balik. I lost I’s Café for good. Tiada apa-apa yang aku boleh lakukan. Sesayang mana pun aku pada kafe itu, aku tak mampu memilikinya.

“Boleh awak bagitahu saya, apa yang awak akan lakukan pada kafe tu?”tanyaku perit.

Mungkin dia akan robohkan kafe itu. Mungkin dia akan gantikan dengan restoran mewah yang setaraf dengan hotel La Prince dia ni.

Hilang sudah memoriku bersama I’s Café. Hilang sudah pengikat antara aku, arwah ayah dan arwah ibu. Hilang kafe itu bagaikan hilangnya separuh nyawaku. Perit. Tapi aku terpaksa relakan. Mungkin kalau aku kaya, aku boleh miliki kembali kafe itu. Entah bila la agaknya. Mungkin mustahil.

Well.. saya tak decide lagi.”

“Tolong jangan robohkan kafe tu.”

Why?”

“Saya sayang kafe tu.”

What it got to do with me? It’s mine.”

Betul tu. Memang tiada kaitan dengan hidupnya. Siapalah aku di matanya? Cuma gadis sesat yang masuk ke hotelnya. Hanya orang asing yang baru ditemuinya hari ini. Tak ada kepentingan langsung baginya. Aku pipit. Dia enggang. Begitulah perbezaan darjat kami sekarang ini.

“Awak boleh lakukan apa saja dengan kafe tu, tapi tolong jangan robohkan kafe tu. Saya sanggup lakukan apa sahaja untuk awak tak robohkan kafe tu. Saya dah hilang ibu dan ayah. Saya dah takde sesiapa lagi. Saya cuma ada kafe tu sahaja,” kataku. Cuba menahan air mata daripada keluar. Kepala ditundukkan ke arah lantai. Taknak dia cakap aku cuba raih simpatinya pakai air mata.

Sunyi. Selepas beberapa saat berlalu, aku panggung kepala. Aku nampak Dheo Han mengetap rahangnya kuat. Wajah tegang. Untuk seketika, aku berasa gerun dengan pandangan matanya tika itu.

Kenapa? Aku ada tersalah cakap ke? Dia marah aku ke? Aku teguk liur.

Mungkin melihat wajahku yang dah macam hilang darah, Dheo mengalihkan wajahnya ke sisi. Aku nampak dia menarik nafas panjang sebelum wajahnya kembali ditolehkan ke arahku. Wajahnya kembali ke seperti asal. Dingin tak beremosi.

Okay.. I can promise you that. Saya takkan robohkan kafe tu.” Mendengarnya, aku dah cukup gembira. Aku senyum.

“Tapi bersyarat.” 

Monday 22 January 2018

Dheo's (BAB 3)

BAB 3
“Ayah.. air!” Aku meletakkan satu cawan kecil di hadapan ayah. Ketika itu, ayah sedang duduk di luar balkoni rumah. Tengah hirup udara malam.

“Terima kasih,” ucap ayah seraya menghadiahkan aku satu senyuman.

Aku turut mengambil tempat di sebelah ayah. Ayah tengah membaca buku agama. Tapi ada komputer riba miliknya yang terletak di depannya. Mungkin sedang membuat kerja sambil bersantai.

Ayah.. ayah.. dah tua-tua pun masih kerja kuat lagi.

“Ayah.. ayah janganlah fikirkan kerja sangat. Ayah tak boleh penat. Ayah kena ingat yang ayah tu, dah tua. Kesihatan kena jaga. Rehat kena cukup. Tidur kena cukup.” Aku memulakan syarahan. Geleng kepala.

“Mana ada ayah kerja sangat. Tengok ni.. ayah tengah membaca.” Sempat ayah nak bergurau denganku.

“Rissa tegur je. Rissa tengok sejak kebelakangan ni, ayah asyik sangat fikirkan pasal kerja. Kadang-kadang balik lewat malam. Lesap sikit, mesti tengah kerja. Ayah ada masalah ke?” Prihatin suaraku bertanya.

Dah lama aku perasan. Ayah dah jarang balik awal ke rumah. Biasanya, jumpa ketika sarapan. Jumpa balik, sarapan besoknya. Dan aku perasan ayah kelihatan agak penat. Wajah tua ayah nampak makin lesu. Ayah bagaikan dirudung masalah tapi lebih selesa untuk menghadapinya sendirian.

“Biasalah, Rissa. Adat kerja, ada turun naik. Hari ni kita senang, esok kita susah. Hari ni kita susah, mungkin esok kita senang. Rissa jangan risau, ayah okey je,” dalih ayah. Masih cuba nak sedapkan hati anak dara dia.

“Rissa cuma risau je. Ayah tu ada masalah jantung. Jadi apa-apa nanti, macam mana?” Kuliah kesihatan masih berterusan. Aku memang risau masalah yang satu itu. Ayah memang ada masalah jantung. Memang kena selalu bergantung pada ubat.

“Ayah masih sihat, Rissa. InsyaAllah tak jadi apa-apa.” Mudah ayah jawab.

“Ayah lagi risaukan Rissa. Bila ayah balik lambat, Rissa sorang-sorang kat rumah.”

Eh.. kita pulak yang dia risaukan?

“Rissa dah besar, ayah. Sihat walafiat. InsyaAllah selamat berada dalam rumah sendiri,” kataku balik.

“Haa.. kalau ayah risaukan Rissa, ayah kenalah selalu balik awal. So, takdelah Rissa duduk rumah sorang-sorangkan?” tambahku lagi. Bagi idea cantik punya. Haraplah ayah setuju. Aku pun takdelah makan tak berteman. Ayah pun boleh rehat panjang. Boleh masuk tidur awal. Sempatlah juga nak berfather-daughter bonding denganku.

Ayah ketawa kecil mendengar ideaku itu.

“Ayah ada idea lagi bernas taknak bagi Rissa duduk sorang-sorang kat rumah lepas ni.” Ayah mula senyum misteri.
Okey.. hati dah rasa semacam. Haraplah ayah tak cadangkan benda pelik-pelik.

“Apa kata cari teman serumah? Nanti takdelah kena tinggal sorang-sorang kalau ayah balik lambat. Ada teman berborak. Ada teman bergaduh.”

“Teman serumah? Ayah nak sewakan bilik untuk orang luar ke?” Berkerut dahiku bertanya. Tak berapa berkenan kalau ada orang luar masuk.

Kemudian aku tersedar sesuatu.

“Oh, no! Ayah nak kahwin lain!” Aku terjerit kecil. Mulut meluas nganga pandang ayah. Tak percaya!

Dan ayah terus menghamburkan ketawanya. Ketawa besar. Sampai terhinjut-hinjut bahunya. Kenapa? Apa yang lawak?

Aku cuma diam. Menunggu hingga ketawa ayah reda.

“Bukan ayahlah. Ayah dah tua. Buat apa? Rissa la yang kahwin,” jawab ayah setelah sisa ketawanya hilang. Hujung jari di bawa ke mata. Gosok mata yang sempat berair lepas dengar entah apa yang lawak.

“Rissa nak kahwin?” Kali ini aku mencebik.

Aku nak kahwin? Haha. Dalam mimpi bolehlah. Siapa yang nak kahwin dengan aku ni? Kalau tak hafal surah Yasin, surah Al-Mulk, jangan haraplah nak mimpi. Kalau jenis yang tolak orang lain untuk jadi imam ketika solat berjemaah, memang ayah pangkah awal-awal. Kalau kisah para nabi dan sahabat tak berada dalam tangan, sila tarik diri awal-awal.

Tengok.. bukan sembarangan syarat ayah letakkan untuk menjadi imam aku. Mana tak menggigil lutut anak teruna orang? Letak syarat macam aku ni bidadari syurga. Siapalah calon yang berjaya curi hati ayah nanti?

Jangan cakap Fateh! Macam mana aku boleh lupa pasal anak angkat ayah yang sorang tu? Anak angkat yang aku tak pernah jumpa. Pelik tapi benar.

“Ya.. Rissa la. Rissa kan dah besar. Dah layak kahwin. Kalau dah kahwin nanti, takdelah ayah nak risau sangat. Ayah pun dah makin tua. Nanti dah tak larat nak jaga Rissa.”

“Muda lagilah ayah. Nanti-nantilah kita bangkitkan pasal kahwin.” Cepat-cepat aku berdalih sebelum dia sebut nama Fateh.

Mulut mula menguap. Patutlah.. dah pukul sepuluh malam.

“Rissa masuk bilik dululah ayah. Ngantuk la. Ayah sambunglah membaca. Tapi, jangan tidur lambat pulak.” Aku minta diri. Sempat turunkan pesanan untuk ayah. Bukan selalu ayah balik awal.

Ayah ketawa sekejap sebelum menjawab. “Yalah.”

  --------

“Hoi, Bunga!” Laungan seseorang itu buatkan aku hampir berlari untuk menyorok di celah kereta orang. Tak pun angkat spanduk ‘ Saya Tak Kenal Dia. Dia Bukan Kawan Saya’

Tak guna punya kawan! Dilaungnya depan khalayak. Tak tahu malu betul. Tak pasal-pasal segala spesis manusia berpaling ke arahku. Tak pasal-pasal aku yang kena tempiasnya.

Dia melambai-lambai dengan gembiranya. Sengih lebar sebelum berlari ke arahku. Gaya macam tak bersalah langsung. Tak perasan agaknya muka aku ni dah macam gunung berapi Karakatoa yang tunggu masa nak meletus.

Sampai je dia depan mata, buku setebal suku kamus dewan tu aku hempuk ke bahu dia. Kalau tulang retak pun aku dah tak peduli.

“Adoi.. sakitlah!” Dia melompat ke tepi. Gosok-gosok bahu kiri yang dah jadi mangsa kezaliman aku tadi.

“Tahu pun sakit. Yang kau panggil aku macam tu, kenapa? Malu aku, tahu tak?” marahku geram.

Ya.. dia panggil aku Bunga. Kenapa? Sebab nama aku ada Rose. Tapi katanya dia taknak panggil aku Rose. Katanya itu sangat biasa. Dan untuk orang abnormal macam dia, jadi dia juga cadangkan sesuatu yang abnormal untuk memanggilku. Maka dia pilih Bunga sebab ros adalah bunga.

Pelikkan? Memang pelik pun. Sepelik perangai kawan baik aku sorang ni. Siapakah dia? Dia adalah Fahim. Ya, lelaki! Satu-satunya kawan lelakiku. Tapi hanya sekadar kawan. Nak lebih dari kawan? Rasanya tak kut. Sebab kalau ikutkan, kadang-kadang macam dia lagi perempuan dariku.

Yup.. no offense! Tapi dia seorang lelaki lembut. Tapi dia sangat sempoi. Tak pernah nak kisah dengan imej sendiri. Selamba pergi kelas dengan t-shirt jersinya, cermin mata besar dan rambut sikat tepinya. Kalau orang tak kenal akan cakap dia nerd. Tapi untuk aku yang terlebih kenal dia ni, kalau cakap dia nerd mahu aku gelak guling-guling dari Dewan Tunku Canselor sampai ke Bangunan Perdana Siswa.

“Nak malu apa? Bukannya aku mencarut panggil kau. Aku panggil Bunga. Ke nak aku panggil Baby next time?” Dia senyum miang di hujung ayatnya. Aku julingkan mata ke atas. Menyampah.

“Tapi nama aku bukan Bunga.”

“Tapi ros adalah bunga.”

Mental aku bercakap dengan budak ni. Ada je yang dia nak jawab.

“Kau kalau aku panggil Kumbang, kau malu tak?”

“Apa ni? Nickname manja-manja ke? Aww.. Bunga! Sho shweet. Of course aku tak kisah. Kau Bunga, aku Kumbang.” Kata-katanya hampir buatkan aku hempuk buku sekali lagi. Tapi kali ni bukan kat bahu dia. Tapi kepala sendiri.

“Bukan Kumbang. Tapi Kambing,” bidasku lagi.

“Aku Kambing, kau Kembang. Kira okeylah. Aku Kumbang Kambing. Kau Bunga Kembang.”

Aku tergelak mendengarnya. Ada-ada je idea dia nia. Mamat ni je la yang mampu hiburkan hatiku. Pada masa yang sama rasa nak cekik sampai biru! Geleng kepala.

“Malas aku nak layan kau ni.” Modal aku bila aku rasa air liurku ni sangat berharga untuk dihabiskan dengan bertikam lidah dengan Fahim.

“Kelas dah habis. Kau terus balik rumah ke?” soal Fahim. Ketika itu kami berdua sedang berjalan ke tempat parking kereta.

Aku geleng kepala.

“Nak ikut.” Bersinar matanya pandangku. Macam budak kecik tak pernah keluar jalan.

“Aku nak pergi I’s Café,” jawabku. Terus masam muka Fahim.

“Bosannya. Asyik pergi I’s Café je. Takde tempat lain ke?” rungut Fahim dengan muka tak puas hati.

Fahim sendiri dah faham sangat dengan perangai aku. Kafe tu pun dah macam rumah kedua dia. Semua orang dia kenal. Semua orang pun kenal dia.

“Takde. Nak ikut ke tak?”

“Nak ikut. I’s Café pun I’s Café la. At least dapatlah jugak makanan free.” Fahim gelak. Antara sebab kenapa dia suka datang I’s Café. Sebab dapat makanan percuma. Hai.. nasib baiklah kawan! Nasib baik jugak seorang. Sepuluh orang kawan aku macam ni, mahu bankrap kafe  tu.

“Tapi I’s Café ada Azrul.”

Kali ini aku pula yang ketawa. Tak habis-habis. Kalau pergi I’s Café, aku pun tak tahulah kenapa Fahim tak boleh nak ngam dengan Azrul. Fahim yang aku kenal seorang yang sangat ramah dengan orang lain. Semua orang akan senang dengan Fahim disebabkan oleh perangai gila-gila dia tu.

Kecuali dengan Azrul. Kalau berjumpa, ada je yang nak digaduhkan. Kadang-kadang tu, keluar jugak perangai terlebih jantan Fahim. Dah macam abang long. Hilang habis aura lelaki lembut dia. Nak tergelak aku kalau diingatkan balik.

So, nak pergi ke tak?” soalku balik.

“Bolehlah. Tapi kau cakap kat Azrul, duduk dalam perimeter sepuluh meter dari aku, okey?”

Aku gelak lagi.

“Apa-apalah.”

Nak perimeter bagai, macam nak pergi perang. Ingat zaman Jepun attack Malaya ke? Fahim.. Fahim..

 “Tapi sebelum tu, balik dulu. Aku nak ambik sketching book dulu.” Macam biasalah. Nurissa dan buku lukisan berpisah tiada.

   -------

“Kau tunggu kat dalam kereta. Jangan nak ikut aku masuk rumah pulak. Karang kena tangkap basah, satu hal pulak.” Aku titipkan pesanan untuk Fahim sebaik sahaja tiba di perkarangan rumahku.

“Kena tangkap basah la best. Dapat kahwin. Dapat bini lawa macam kau.” Fahim sengih.

“Betul nak kahwin dengan aku?” Giliran aku pula senyum sinis.

Laju si Fahim menggeleng. Kalau tak kenangkan sendi kepala yang kukuh, mahu berpusing tiga ratus enam puluh darjah. Haha.

“Taknak. Tak mau. Ngeri seh dapat bapak mentua macam uncle,” jawab Fahim sambil geleng kepala.

See.. dia pun seram. Tapi kira dia special la sebab ayah luluskan dia untuk jadi kawan aku. Maksudnya Fahim memang baik. Dan Fahim memang boleh dipercayai.

Aku gelak dulu sebelum buka pintu kereta. Bila pandang ke arah garaj kereta, baru perasan kereta ayah masih berada di situ. Ayah masih kat rumah? Pelik. Ayah balik makan tengah hari agaknya. Tanpa membuang masa, aku terus masuk ke dalam rumah. Kali ini aku melangkah ke bilik kerja ayah dulu. Sebab aku yakin seratus peratus yang ayah memang ada di dalam bilik itu.

Pintu bilik ayah sedikit terbuka ketika kaki mendekatinya. Lagi pelik. Bilik itu sunyi seperti selalu. Tapi entah kenapa ketika kaki melangkah, aku merasakan ada sesuatu yang tak kena. Hati rasa tak sedap.

Tapi aku tetap juga melangkah. Berjaga-jaga.

“Assalamualaikum. Ayah.. ayah ada kat dalam ke?” sapaku.

Sebaik sahaja memasuki bilik itu, bilik itu kelihatan kosong. Tiada bayang ayah. Ayah biasanya akan duduk di atas kerusi kerja. Tak pun di sofa. Mungkin ayah berada di dalam bilik tidur.

Kaki ingin melangkah keluar. Namun naluri entah mengapa menyuruhku untuk melihat di balik meja kerja ayah yang agak terselindung itu. Akhirnya aku menurut kata hati. Kaki kembali diorak ke meja kerja ayah. Kelihatan ada beberapa kertas sedikit bersepah. Laju tangan ingin menyusun balik.

Aku tunduk untuk mengambil kertas yang berada di atas lantai. Saat aku membongkok, apa yang berada di depan mata buatkan aku terkaku. Segala kertas di tangan terus sembah bumi.

“Ayah!” panggilku kuat.

Susuk ayah sedang terbaring kaku itu dirapati. Menggigil tanganku untuk memegang ayah. Takut! Ya Allah.. apa aku nak buat ni?

Aku pangku kepala ayah.

“Ayah.. ayah..” panggilku lagi. Kali ini aku menggoncang tubuh ayah.

Masih kaku.

“Ayah.. bangunlah. Jangan takutkan Rissa.” Aku goncang lagi. Kali ini air mata yang aku tahan dah mengalir keluar.

“Ris.. sa.” Aku dengar suara lemah ayah.

Betapa leganya aku saat itu. Rasa bersyukur yang teramat. Aku nampak ayah buka mata.

“Ayah.. ayah bertahan, ya? Rissa panggilkan ambulans.”

Ayah geleng kepala perlahan.

“Ayah penat. Ayah rin.. rindu ibu.” Makin lebat air mataku mendengar suara lemah ayah itu.

Aku geleng kepala laju-laju. Tak sanggup nak terima.

“Ayah jangan cakap macam tu. Rissa pelukan ayah lagi. Rissa sayang ayah. Rissa yakin ayah akan okey.”

Tapi ayah cuma senyum.

Aku terus capai telefon pintarku. Dalam keadaan cemas sebegini, otak jadi buntu. Aku tak tahu nak buat apa. Menggigil tangan menekan untuk panggilan kecemasan. Tergagap-gagap aku memberitahu alamat rumah.

Aku pandang wajah ayah. Ayah nampak makin lemah. Aku sendiri tahu masa ayah tak panjang. Tapi aku masih enggan menerimanya. Secebis harapan, aku berdoa semoga ayah selamat.

Kelihatan ayah seakan-akan mahu mengungkapkan sesuatu. Namun gara-gara keadaannya yang lemah, tiada apa yang keluar. Ayah cuba sekali lagi.

“D..”

“Apa dia, ayah?” Lantas aku merapatkan telingaku ke bibir ayah. Siapa tahu itu mungkin menjadi pesanan terakhir ayah?

“Dh.. Dheo.”

Cuma sepatah. Dheo?

Bingung. Tapi aku abaikan semua itu. Semuanya tak penting sekarang ni.

“Ayah kena banyak mengucap,” kataku. Aku bisikan kalimah syahadah ke telinga ayah. Dalam situasi sekarang, hanya itu yang mampu aku lakukan. Aku reda dengan apa yang bakal terjadi selepas ini.

Bertemankan kalimah syahadah dan bersaksikan dengan mataku sendiri, ayah pergi selama-lamanya. Aku menjadi saksi ketika dada ayah berhenti berombak. Dan aku juga menjadi saksi ketika ayah menutup matanya di atas pangkuanku.

Buntu. Sebak. Aku terkaku beberapa minit. Aku masih cuba untuk mencerna hakikat itu. Dengan rasminya kini aku sudah jadi yatim piatu. Ayah dah tinggalkan aku. Dan aku kini tak punya siapa lagi.

Tangan mencapai telefon pintar yang terdampar di sisiku itu. Nombor Fahim ditekan. Dua kali deringan, kedengaran suara garau Fahim menyambut panggilan.

“Fa.. Fahim.. ayah!” Dan terus terhambur segala air mataku. Teresak-esak aku menangis di hujung talian.

   ------

Jenazah ayah dah selamat dikebumikan. Bersebelahan dengan pusara arwah ibu. Melihat jenazah ayah diturunkan ke liang lahad, sehabis mungkin aku cuba menahan air mata. Masih sedih, tapi aku tak nak meratapi. Sekurang-kurangnya aku bersyukur ayah meninggal ketika aku bersamanya. Sekurang-kurangnya aku dapat mengajarkan ayah kalimah syahadah ketika hujung nyawanya.

“Cik Rissa?” Sapaan itu buakan aku terus tegakkan dudukku. Ketika itu aku sedang berada di dalam bilik kerja ayah. Sedang duduk sambil memeluk kedua-dua lutut di atas sofa. Rindu yang membuak-buak buatkan kakiku automatik melangkah ke sini. Aku tahu di sini ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dan aku tahu, di sini jugalah tempat paling bermakna sepanjang hidup ayah.

Aku pandang ke arah insan yang menyapaku itu. Kak Tiqah. Sedang mengatur langkah ke arahku. Dari awal sehinggalah jenazah ayah disempurnakan, Kak Tiqah tetap setia menemaniku. Memelukku erat ketika aku memerlukan sokongan. Kak Tiqah sendiri turut menangis setelah mendengar tentang berita kematian ayah. Malah, seluruh warga yang mengenali ayah turut berduka.

“Baru beberapa hari ayah dikebumikan, saya dah rindu dia.” Air mataku tumpah lagi. Cepat-cepat aku kesat dengan hujung lengan bajuku itu.

“Saya dah takde sesiapa, Kak Tiqah.”

Shh.. jangan cakap macam tu! Semua orang kat sini sayangkan Cik Rissa. Kak Tiqah ada, Azrul ada, Fahim ada. Malah, semua warga I’s Café akan selalu ada dengan Cik Rissa,” pujuk Kak Tiqah.

Dia duduk bersebelahan denganku. Tubuhku ditarik ke dalam pelukannya. Digosok-gosoknya belakangku untuk memberi semangat.

“Cik Rissa jangan sedih. Cik Rissa kena kuat. Ramai orang akan sedih bila tengok Cik Rissa sedih.” Suara Kak Tiqah berubah serak. Seolah-olah turut menahan diri dari menangis.

Aku diam.

“Cik Rissa kena percaya, semua yang berlaku pasti ada hikmah. Allah uji Cik Rissa sebab Cik Rissa kuat. Jangan pernah buruk sangka dengan Allah.” Kak Tiqah memberi kata-kata semangat. Aku cuma membisu. Mencerna nasihat daripada Kak Tiqah itu. Mahu muhasabah diri.

Seketika kami diam. Bila rasa sebakku makin berkurangan, aku leraikan pelukan. Wajah Kak Tiqah dipandang.

“Ada apa Kak Tiqah cari saya?” soalku.

“Jom kita makan. Kak Tiqah taknak Cik Rissa sakit.” Suara Kak Tiqah penuh keprihatinan.

“Kak Tiqah keluarlah dulu. Lepas ni saya keluar. Saya dah okey.”

“Betul ni?” Kak Tiqah macam was-was. Aku senyum hambar.

“Ya.. saya dah okey. Nanti kita makan sama-sama. Saya nak tengok-tengok bilik ni kejap,” ujarku lagi.

Sebab aku masih lagi nak lepaskan rindu.

Teragak-agak Kak Tiqah angguk. Maka, tinggallah aku sendirian di dalam bilik itu. Aku bangkit dari dudukku. Nafas dalam ditarik sebelum dihela panjang-panjang. Sekeliling bilik itu dipandang. Bilik itu masih sama. Dan aku juga rasakan bagaikan ayah juga turut berada dekat denganku.

Aku berjalan ke arah meja kerja ayah. Ada buku cantik tersusun tak bersentuh. Di sebelahnya ada kertas-kertas kerja ayah. Kemudian aku terpijak satu sampul surat. Lantas aku tunduk untuk mengambilnya. Tak salah aku, inilah kertas yang aku kutip hari itu. Seolah-olah berada di sebelah ayah.

Kertas apa ni ya? Entah kenapa, rasa ingin tahu mula menebal. Terus aku buka sampul surat itu untuk mengambil isinya. Beberapa helai kertas dalam genggaman. Aku mula baca isinya.

Surat Pindah Hak Milik. Surat itu menyatakan beberapa harta milik ayah telah berpindah tuan. Ada tandatangan ayah dan ada tandatangan…

Dheo Han?

Lantas fikiranku melayang ketika di hujung usia ayah. Ayah juga ada menyebut Dheo. Dheo Han ke?

Bagaikan ada sesuatu yang tak kena. Hatiku rasa tak sedap. Aku terus berjalan keluar untuk mencari Kak Tiqah. Surat di tangan digenggam kemas. Sehingga renyuk sedikit. Kak Tiqah sedang membasuh pinggan di sinki.

“Kak Tiqah.”

Kak Tiqah berpaling.

“Siapa Dheo Han?”

Dan kedengaran berdenting bunyi cawan kaca terlepas dari tangan Kak Tiqah.