Pages

Terima Kasih Anda Semua..

Kata-kata Anjell

ASSALAMUALAIKUM..

Blog ini adalah hasil nurkilan seorang budak science yang perasan nak jadi novelis...

Maaf bila tertypo.. Budak ini masih junior..

Significance of this simple blog to me : 'A PLACE TO EASE TENSION, DIFFERENT WORLD FROM THE ACTUAL ONE'

Tuesday 28 July 2015

Hero Seorang Cinderella (BAB 18)


BAB 18

“Hish.. mana si Luke ni? Orang suruh ambik ais, bukan pergi buat ais. Korek ais kat kutub utara ke apa?” Tengku Ian membebel sendiri. Pergelangan kaki kanan disentuh. Auchh… baru terasa bahana jatuh lubang tadi.

Gara-gara mencari Medina tadi, kakinya dah terseliuh. Lepas jatuh tadi, takdelah sakit sangat. Ni dah berjam-jam berlalu, makin menyengat pulak. Pergelangan kaki kanannya pun dah bengkak dan berwarna kebiruaan. Dia pun tak sangka dia mampu berjalan dengan kaki yang bengkak macam ni. Huh.. buat malu je la jantan terseliuh kaki!

Kepala kembali teringatkan Medina. Lega dia melihat Medina selamat tadi. Allah saja yang tahu betapa bersyukurnya dia bila nampak Medina pulang dengan selamat. Terlalu bersyukur sampai-sampai dia marahkan Medina yang dah buatkan dia rasa risau macam ni. Gilakan?

Dia bukannya apa. Geram! Semua orang di sini risaukan Medina, tapi budak tu seriang kanak-kanak ribena berseronok. Ada orang ajak pergi jalan-jalan tengah laut? Huh!

Bunyi orang berjalan buatkan Tengku Ian berpaling ke belakang. Niat untuk memarahi Luke yang lambat terbantut bila nampak orang lain depan mata. Medina. Pegun berdiri di depannya.

Tengku Ian diam. Tiba-tiba rasa canggung semacam. Medina juga selesa senyap. Cuma mata melihat pergelangan kaki Tengku Ian yang sedikit kebiruan dan bengkak itu. Lagi rasa bersalah Medina dibuatnya.

Medina duduk di depan Tengku Ian. Lelaki itu memandangnya pelik.

“Awak nak buat apa ni?” soal Tengku Ian.

Your ankle.. let me treat.”

Tengku Ian cuma diam. Teragak-agak dia melunjurkan kaki kanannya ke arah Medina. Medina mengambil seketul ais yang agak besar. Dengan berhati-hati Medina melakukan urutan ais di tempat yang bengkak itu supaya cepat surut.

“Sakit ke? I’m sorry.” Medina bertanya apabila sesekali ada tindakan refleks pada kaki Tengku Ian.

Tengku Ian tak memberi apa-apa jawapan. Jatuh ego dia kalau mengiakan walaupun memang kenyataannya sakit. Berdiam itu lebih baik. Hanya mata memandang tindakan Medina pada kakinya itu. Sekali pun Medina tak pernah mengalihkan pandangan daripada kakinya. Malukah gadis itu? Atau segan dengannya?

“Saya nak minta maaf. Sebab saya, kaki awak jadi macam ni.” Medina minta maaf.

Tengku Ian diam lagi. Tak tahu nak bagi jawapan apa. Malu sebenarnya sebab kaki terseliuh. Dan malu bila dia terlebih emosi memarahi Medina macam budak perempuan nak datang bulan tadi.

Dia marah lagi ke? Kebisuan Tengku Ian mengundang persoalan. Medina tak tahu apa dalam fikiran Tengku Ian. Tapi dia sedih kalau Tengku Ian masih marahkan dia.

“Saya tak tahu awak risaukan saya. Maaf sebab dah menyusahkan awak hari ni.”

“Awak memang tak patut buat macam tu. Perangai awak yang suka merayau-rayau seorang diri tu dah menyusahkan semua orang. Awak tahu tak kami kat sini macam orang gila risaukan awak lepas Zuyyin cakap awak kena culik?” marah Tengku Ian.

Medina diam. Tertunduk dia. Hati terkesan dengan amarah Tengku Ian itu. Sedih. Terasa kedua-dua mata mula berair. Makin lama, makin banyak. Bila mata dikerdipkan, laju turun hingga ke dagu. Tak tahu kenapa dia rasa sensitif sekarang ni.

Eh, dah lama sangat bisu ni! Kebisuan Medina buatkan Tengku Ian tunduk memandang gadis itu. Tergamam Tengku Ian melihatnya. Walaupun Medina menundukkan wajahnya, matanya cekap menangkap ada air jernih mengalir di pipi gadis itu.

Medina… menangis?

“Dee.. awak menangis ke?” Tengku Ian bertanya.

Senyap!

Kau pun bodoh, Ian. Dah tahu budak tu menangis, lagi nak tanya? Tak pernah lagi rasanya dengar ada orang mengiakan kalau dia menangis. Jawapan klise pasti menidakkan walaupun air mata dah mengalahkan air terjun Niagara. Tak pun salahkan habuk. Kesian habuk kena fitnah.

“Dee.. aw.. awak jangan menangis pulak.” Gabra Tengku Ian dibuatnya. Sampai tergagap-gagap suara. Haa.. tahu pun kau takut, Ian! Tak payah cakap jangan. Benda dah jadilah!

Tengku Ian pandang sekeliling. Takut jugak kalau ada orang lain yang nampak Medina menangis. Nampak takpe lagi. Takut orang fitnah dia yang buat Medina menangis. Err.. tapi memang kau pun yang buat dia menangis, Ian!

“Tak.. saya takde niat pun nak marahkan awak. Awak janganlah menangis.” Tengku Ian cuba memujuk. Tangan mula menggaru kepala yang tak gatal. Kemudian belakang leher. Kemudian dagu. Haa.. garu, Ian, garu! Kat mana lagi kau nak garu?

Senyap lagi. Mati kutu Tengku Ian dibuatnya. Nak buat apa lagi? Lap air mata dia? Gosok bahu dia? Peluk dia? Huh.. itu namanya mintak sepakan percuma. Kut sampai Pulau Redang free tak bertiket!

Medina, sit in front of me. Let’s talk heart to heart,” pujuk Tengku Ian.

Lega Tengku Ian bila Medina mengikut arahannya. Wajah muram gadis itu direnung dalam-dalam. Macam tak percaya perempuan hati batu macam Medina pun tahu menangis. Tapi, kalau dah perempuan tu, perempuan juga. Berjiwa lembut.

Medina yang perasan dengan renungan Tengku Ian terus mengelap air matanya. Damn! Malunya! Kenapa boleh sampai menangis ni? Tak berapa stabil pulak hormon dia malam ni. Tak pernah ada seorang pun yang pernah melihat air matanya. Tapi depan Tengku Ian, begitu senang ia tumpah.

“Dah habis menangis dah?”

Rasa darah naik sampai ke muka. Malu usah nak cakap! Medina cuma berlagak selamba.

“Saya minta maaf sebab dah buat awak menangis, Medina. Saya tak berniat nak buat awak sedih. Saya betul-betul risaukan awak,” kata Tengku Ian ikhlas.

Medina terdiam. Sebab Tengku Ian betul-betul risaukan dialah, dia rasa bersalah. Selama ini, dia suka buat hal sendiri. Tiada yang ambil berat pasal dia melainkan Zuyyin. Papa dia sendiri pun kadang-kadang terlalu sibuk untuk fikirkan dia. Nak harapkan mak tiri dan kakak tiri dia tu? Huh.. babun dah bertanduk pun, belum tentu benda tu jadi!

“Saya tak sangka orang luar macam awak pun risaukan saya,” luah Medina. Dia tak suka orang lain risaukan dia. Tapi, apa yang dia boleh buat kalau ada orang risaukan dia? Perasaan bersalah tu pasti wujud, seakan-akan dia telah mengecewakan orang lain yang mengambil berat tentang dia. Tak suka, tapi terharu.

“Saya bukan orang luar, Dee. Saya kawan awak. Sayakan selalu kata saya ikhlas berkawan dengan awak. Dah tentu saya risau kalau apa-apa jadi kat awak. Apa awak ingat saya ni main-main ke? Bila dengar Zuyyin cerita awak kena culik, awak tahu tak perasaan saya masa tu? Saya takut. Takut kalau awak kena apa-apa.”

“Saya dulu pernah kena culik, Dee. Masa tu saya baru balik dari tadika. Ada orang tarik saya masuk ke dalam van. Kemudian saya dibawak ke tempat yang saya sendiri tak tahu kat mana. Penculik-penculik tu mintak tebusan satu juta. Saya masih dapat ingat lagi kata-kata penculik tu. Bunuh saya lepas mereka dapat duit.” Tengku Ian mula bercerita.

“Allah panjangkan nyawa saya, Dee. Saya diselamatkan oleh polis. Pegawai polis yang cuba lindungi saya cedera parah sebab kena tikam. Penculik-penculik tu kena tangkap. Ada yang mati kena tembak depan mata saya. Awak tahu tak perasaan bila saksikan orang kena bunuh depan mata? Darah merata-rata.”

Walaupun peristiwa itu dah lama berlalu, Tengku Ian masih ingat dengan jelas. Rasa seperti baru semalam semuanya terjadi. Kerana peristiwa itulah dia berubah menjadi sangat pendiam dan fobia dengan dunia luar. Sehinggakan kedua-dua orang tuanya memutuskan untuk berhijrah ke luar negara untuk mencari persekitaran baru.

Kemudian muncul Farizzam dan Ayana dalam hidupnya. Kehadiran mereka berdua sedikit sebanyak mengembalikan diri Tengku Ian yang lama. Perlahan-lahan dia lupakan peristiwa itu. Perlahan-lahan dia mula bergaul dengan dunia. Ketika itu, cuma Farizzam kawannya. Cuma Farizzam yang dia percaya.

Dia hampir-hampir lupakannya, sehinggalah hari ini. Peristiwa Medina diculik mengembalikan ingatannya. Semuanya ada hikmahnya. Dia gerun bila ingatkan semuanya, tapi sekurang-kurangnya dia tahu dia dah mampu untuk menanggani trauma itu.

“Macam drama, kan? Tapi itulah yang saya alami. Saya cuma taknak awak rasa apa yang saya rasa, Dee. Ni bukan drama. Bila kena culik, ada hero nak datang selamat. Sekelip mata, nyawa di hujung pedang,” bicara Tengku Ian lagi.

Medina cuma mendengar. Tak sangka lelaki di depannya itu punya zaman kanak-kanak yang menakutkan. Dia bersyukur dia selamat. Dia bersyukur kerana tidak merasai apa yang Tengku Ian pernah rasai dulu.

“Sekali lagi saya minta maaf.” Tiada apa yang Medina boleh katakan selain maaf.

“Saya harap ni kali pertama dan terakhir awak buat macam ni. Jangan buat orang yang kisahkan awak risau, Medina. Lepas ni, awak kena janji yang awak akan ke mana-mana berteman. Sekurang-kurangnya dengan Zuyyin.” Lembut suara Tengku Ian.

“Saya janji.” Macam tak percaya, Medina berjanji dengan Tengku Ian.

I’m just deeply grateful that you are safe. And now, confide in me, Medina. What happened? Tell me the whole story,” pinta Tengku Ian.

Medina agak keberatan. Perlu ke dia panjangkan isu ini?

“Itu pun kalau awak anggap saya sebagai kawan awak. Atau memang awak sengaja suka-suka buatkan kami kat sini risaukan awak?” duga Tengku Ian pula.

“Darius. Dia yang bawak saya ke tengah laut. Mungkin dia tahu saya takkan setuju kalau dia ajak saya, sebab tu dia guna cara aneh sikit nak ajak saya. Ya.. memang bukan keinginan saya untuk ikut dia. Apa yang Zuyyin nampak tu memang betul,” cerita Medina.

“Darius?” Tengku Ian sedikit terkejut. Naluri lelakinya tak pernah silap. Lelaki itu mempunyai minat pada Medina. Tapi, kenapa Medina? Dah makan penumbuk pun masih tak serik-serik lagi ke?

“Awak patut laporkan pada polis.”

   ------------

Laporkan pada polis? Terngiang-ngiang lagi cerita Darius petang tadi.

“Puteri. Puteri yang cadangkan supaya saya culik awak. Sebab dia cakap awak budak degil. Cara biasa tak boleh tundukkan awak, sebab tu saya kena bawak awak ke tengah laut.”

Sebab tu dia tak boleh laporkan kepada polis. Sebab nanti akan libatkan keluarga dia juga kalau Darius bukak mulut. Semuanya idea Puteri tak guna tu! Oh, jangan risau! Dia awal-awal lagi dah buat perhitungan dengan Puteri. Sebaik sahaja dia tinggal berdua dengan Puteri, terus saja dia heret Puteri. Tangan dah hampir-hampir nak cekik minah tu tadi.

“Berani kau ajar Darius benda-benda mengarut macam ni? Kalau kau tu bukan anak tiri papa, memang aku dah lapor kau kat polis, tahu? Biar kau busuk dalam penjara.”

“A..aku tak sengaja. Dia asyik tanya aku macam mana nak rapat dengan kau, aku suruh je la dia culik kau. Aku tak maksudkannya pun. Aku sendiri tak sangka dia betul-betul culik kau.” Tergagap-gagap Puteri menjawab. Muka pun dah pucat.

“Ni nasib baik aku hidup, tahu? Kalau aku mati, memang suka la kau, kan? Aku bagi amaran kat kau, Puteri. Sekali lagi kau racun fikiran budak tu, kau jangan ingat aku nak duduk diam!” Medina bagi amaran. Ikutkan hati, nak je cekik sampai biru!

“Hei, lepaslah!” Medina tolak tangan Medina. Pura-pura tak gerun dengan pandangan Medina yang macam hujung pedang tu. Tajam menusuk ke jantung!

“Bersyukurlah kau sebab kau anak tiri papa aku!”

   ----------------

“Medina!” Tengku Ian petik jari untuk menyedarkan Medina yang nampak mengelamun itu. Ke mana dah budak ni pergi? Takkan ke tengah laut lagi kut?

Medina yang tersedar terus pandang Tengku Ian. Hilang Darius, hilang Puteri. Hanya raut tampan Tengku Ian di depan mata. Medina geleng kepala.

“Saya taknak panjangkan hal ni. Nanti semuanya lebih complicated. Saya selamat. Lagipun Darius tak buat apa-apa pun tadi. Macam yang saya cakap sebelum ni, dia cuma nak ajak saya jalan-jalan. Saya tak rasa dia ada niat jahat sebenarnya,” kata Medina sekadar untuk menutup cerita. Apa yang dah berlaku antara dia dan Darius petang tadi, biarlah rahsia.

Are you sure?” Tengku Ian meminta kepastian.

Medina angguk.

“Pasal cerita zaman kanak-kanak saya tu, saya harap awak rahsiakan daripada orang lain,” kata Tengku Ian.

Medina pelik tapi cuma akur. Mungkin Tengku Ian tak mahu orang lain tahu tentang peristiwa hitam itu. Mungkin risau ada yang mengambil kesempatan.

“Dan saya pun berharap awak tak cerita kat siapa-siapa pasal apa yang saya cerita tadi,” pinta Medina pula. Tiada siapa yang tahu melainkan Tengku Ian. Pada Zuyyin pun dia tak cerita. Apatah lagi papa.

“Saya takde hak nak cerita kat orang lain. Cuma.. sekarang ni, awak okey?” Prihatin Tengku Ian bertanya. Naik angin punya pasal, dia lupa nak tanya keadaan Medina setelah balik dari menghilang tadi.

Sekali lagi Medina angguk. Dia okey. Cuma penat sikit. Lama berjuang kat tengah laut tanpa makan dan minum.

“Kesian awak seharian terperangkap kat tengah laut tu. Awak dah makan?” soal Tengku Ian lagi.

Kali ni Medina menggeleng. Rasa lapar tengah laut tadi terus hilang lepas Tengku Ian marahkan dia. Apatah lagi melihat kaki Tengku Ian yang cedera. Dia risau.

Selepas membersihkan diri dan solat tadi, dia terus cari Tengku Ian. Kebetulan dia terjumpa dengan Luke dan Lukelah yang memberitahu tempat ni kepadanya. Bila dia cakap dia nak rawat Tengku Ian, Luke pandang dia semacam sebelum bersetuju. Sempat nampak senyum nakal lelaki itu sebelum dia berlalu tadi. Malas Medina nak layan.

“Jom.. saya temankan awak makan.”

“Eh.. eh.. tak payahlah. Kaki awak..” Medina cuba menghalang.

“Alah.. ni sikit je la. Jomlah, kita makan, ya? Saya pun sebenarnya lapar jugak. Tadi tak rasa nak makan. Sekarang baru ada selera nak makan,” ajak Tengku Ian. Ya.. hipotalamus kembali berfungsi lepas nampak Medina selamat. Sejujurnya dia pun tak makan sejak Medina hilang tadi.

“Kalau macam tu, biar saya balut kaki awak dulu.”

“Eh, takde luka, buat apa nak balut?” Tengku Ian pelik.

“Amboi.. ingat balut ni untuk luka je ke? Saya nak balut sebab nak bantu bengkak kat kaki awak tu supaya cepat surut. Ini namanya compression bandage,” jawab Medina.

Macam tu ke? Tengku Ian cuma diam. Cuma mata melihat tangan Medina yang ligat membalut kaki kanannya itu. Setelah siap, Tengku Ian membelek-belek kakinya itu. Lawa balutan Medina. Selesa pun selesa. Tak ketat sangat, tak longgar sangat.

“Cantik awak balut. Ada seni,” puji Tengku Ian.

“Tengok kakilah.” Medina ketawa. Tangan buat kerja, kaki yang dapat nama? Haish!

“Nanti kalau saya nak solat, macam mana saya nak balut balik?” soal Tengku Ian.

Medina baru terfikir. Ya tak ya jugak.

Hmm.. awak boleh panggil saya untuk bandage kaki awak. Kita jumpa kat sini,” putus Medina.

“Atau awak nak saya ajarkan pada Luke atau Ku Zam?” soal Medina lagi. Manalah tahu Tengku Ian tak selesa dengannya. Lagipun senang. Dalam bilik pun boleh buat.

“Awak lagi better kut,” jawab Tengku Ian. Bila lagi nak ambil kesempatan kalau bukan dalam kesempitan? Iya dak? Haha. Kira berbaloilah. Kaki dapat sakit, tapi dia dapat dekat dengan Medina.

Hmm.. okey.” Medina bersetuju tanpa mengesyaki apa-apa.

“Nanti setiap dua jam, awak boleh letakkan ais lima belas minit kat kaki awak. Sebelum tidur lepas ni, kalau boleh awak letak la kaki kanan awak ni tinggi sikit. Nak bagi bengkak cepat surut. Lepas tu makan Panadol untuk ubat tahan sakit.” Medina memberi nasihat.

“Okey.” Apa-apa saja asalkan dia tak payah jumpa doktor. Malas!

“Kaki awak sekarang ni sepatutnya kena berehat.” Medina mahu Tengku Ian berfikir sekali lagi.

“Takpe.. awakkan ada. Nanti awak boleh treat kaki saya lagi, kan?” Tengku Ian sengih.

Malas Medina nak layan! Kalau tak, elok kaki mamat tu tak bertongkat, tak pasal-pasal kena tempah tongkat besok.

“Kita nak makan kat mana ni?” soal Medina sambil mengemaskan barang-barangnya.

“Haa.. saya ada tempat baru yang kita boleh try.”

Medina bulatkan matanya. Lagi? Hmm.. ayuh jalankan misi jalan-jalan cari makan!

“Jomlah.. saya lapar gila sekarang ni!” Tengku Ian bangun.

Haish.. mamat ni! Tak padan dengan kaki sakit. Perut tetap nombor satu!

Saturday 25 July 2015

Hero Seorang Cinderella (BAB 17)


BAB 17

“Ian! Ian!” Farizzam melaungkan nama Tengku Ian.

            “Ku Zam, tunggu!” Luke melajukan langkah kakinya. Lambat sesaat, mungkin Tengku Ian akan buat kerja gila.

Luke sempat menangkap lengan Tengku Ian. Terus terhenti tindakan Tengku Ian.

“Lepas, Luke!” Tengku Ian memberi amaran.

“Ian, kau ni kenapa? Kau bertenanglah. Jangan buat kerja gila!” marah Farizzam pula. Tarik jauh-jauh Tengku Ian daripada bot entah siapa-siapa tu. Tengku Ian ni, main rembat entah bot siapa! Tahulah risaukan Medina, tapi jangan sampai curi bot orang!

“Kau tahu tak sekarang ni, sesaat masa dibazirkan, nyawa Medina makin dalam bahaya?” soal Tengku Ian lantang.

“Ya.. tapi kau tak perlu buat kerja gila macam ni. Kau tahu ke kat mana Medina sekarang ni? Kat tengah laut tu luas. Bahaya. Macam-macam boleh jadi. Kalau kau pergi sorang-sorang, lagi bahaya!” Farizzam tak kurang lantangnya marahkan Tengku Ian.

Luke di tengah-tengah cuma berdiam diri. Hanya mampu melihat kedua-dua beradik itu bertegang leher. Nak menyampuk, sangat-sangat tak sesuai sekarang ni. Semestinya dia tidak menyebelahi mana-mana pihak.

“Kau tak risaukan Medina ke? Sebagai abang, sepatutnya kau lebih risaukan dia sekarang ni!” marah Tengku Ian. Farizzam tergamam mendengar kata-kata Tengku Ian yang kuat itu.

Tengku Ian sendiri terkejut bila dia terlepas kata. Namun dia cuba mengawal riak wajahnya. Haraplah Farizzam tak perasan.

“Ya.. aku pun risaukan Medina sekarang ni,” jawab Farizzam jujur. Suaranya dah mula turun. Dia mahu Tengku Ian tahu yang bukan lelaki itu saja yang risaukan Medina sekarang ni.

“Mungkin Medina sekarang ni tengah dalam ketakutan. Macam mana kalau penjahat tu cederakan dia? Macam mana kalau dia kena pukul?” Suara Tengku Ian mula kendur. Membayangkan sesuatu yang buatkan bulu romanya meremang.

Tengku Ian pejam mata. Jauhkanlah semua itu, ya Allah. Tak sanggup dia membayangkan Medina diperlakukan sebegitu.

“Kau pernah rasa macam mana jadi mangsa culik?” soal Tengku Ian.

Farizzam dan Luke terdiam.

“Kau pernah rasa macam mana berada dalam tahanan penjahat selama seminggu? Cuma seminggu tapi seksanya macam setahun rasanya. Kau tak tahu bila siang, bila malam. Kaki, tangan, mulut, mata semua terikat. Kau tak dapat jumpa mak dan ayah kau. Dan bila kau menangis, kau akan dipukul. Apalah yang budak lima tahun tahu masa tu selain menangis mencari mak dan ayah dia?”

Farizzam dan Luke masih diam. Tak tahu nak cakap apa. Kenyataannya semua itu pernah dilalui oleh Tengku Ian ketika zaman kanak-kanaknya. Pasti tiada yang menyangka lelaki seceria Tengku Ian mempunyai trauma ketika zaman kanak-kanaknya.

Mengingatkan semua itu buatkan kepalanya sakit. Rasa macam baru semalam semuanya terjadi. Tengku Ian memicit dahinya dengan tangan.

“Ku Zam!”

“Ian.” Kedengaran suara Luke dan Farizzam memanggilnya serentak.

“Kau okey tak ni?” soal Farizzam risau. Inilah yang dia paling risaukan! Emosi Tengku Ian. Dia tahu tidak semudah itu Tengku Ian lupakan semuanya. Walaupun dah berpuluh tahun berlalu, refleks tubuhnya masih ada. Apatah lagi bila mendengar Medina diculik.

“Aku okey.” Tengku Ian memberi isyarat yang dia betul-betul okey sekarang ni.

“Aku pernah rasa semua tu, Zam, Luke. Dan aku takkan izinkan Medina rasa macam yang aku rasa dulu. Sebab tu aku kena buat sesuatu,” tambah Tengku Ian lagi. Tarik nafas dalam-dalam. Cuba membuang jauh-jauh bayangan semalam.

“Ya.. tapi bukan kau sorang. Kau amanah kami dan kami kena ada bersama kau. Kami pun tak mungkin akan biarkan kau rasa apa yang kau rasa dulu,” tambah Farizzam pula. Bahu Tengku Ian ditepuk. Memberi semangat kepada Tengku Ian.

“Negara kita ada undang-undang. Ada polis. Kita serahkan kepada pihak berkuasa. Dan pada masa yang sama, kita kena berusaha. Tapi jangan buat kerja gila yang boleh bahayakan diri sendiri pulak,” nasihat Farizzam lagi.

  -----------

Bunyi enjin bot dimatikan. Medina agak dia dah berada di tengah lautan. Terasa beralun dek ombak di atas bot ini. Dia duduk dengan berhati-hati. Tangan, mulut dan mata semua berikat. Karang terlebih bergerak, mahu jatuh masuk laut. Free je jadi arwah hari ni.

Selamatkanlah aku, ya Allah. Medina berdoa dalam hati. Janganlah manusia dua orang tu apa-apakannya. Sekarang ni, kalau dia dibunuh pun belum tentu ada orang tahu. Nauzubillah!

“Bos, bos nak buat apa dengan dia?” Medina mencuri dengar lagi.

Bos? Maksudnya ada orang lain. Ini mesti bos punya angkara. Siapa bos melaun yang mintak nak makan penampar sulung aku ni? Kalau aku kenal, siaplah kau!

Rasa takut dah hilang entah ke mana, berganti dengan perasaan geram menggunung. Ikatan pada mulut Medina dibuka.

“Kau siapa? Apa kau nak, hah?” soal Medina sebaik sahaja dia boleh bersuara.

Good job.” Medina mendengar soalannya tidak dihiraukan. Sebaliknya si bos memuji kecekapan anak buahnya buat kerja.

Eh, kejap! Macam pernah dengar je suara si bos tu.

“Darius?” Medina lebih cekap menangkap pemilik suara itu.

Darius cuma diam tidak menjawab. Dari mula Medina ditolak masuk ke dalam bot lagi dia sudah menjadi pemerhati. Ternyata tindakannya betul. Dua lelaki diperlukan untuk membawa Medina sebab Medina bukan calang-calang perempuan. Silap langkah, makan penumbuk lagi sekali rasanya.

“Kau nak apa, Darius?” Geram Medina rasa sekarang ni. Gigi diketap kuat. Kalau gigi dia ni tak cukup kalsium, mahu merekah dek kerana kuatnya dia mengetap gigi. Kalau dia dapat Darius ni, memang dia selam Darius dalam laut. Tak sangka Darius sanggup bertindak sejauh ini.

“Saya cuma nak ajak awak jalan-jalan.”

“Jalan-jalan hotak kau. Kau ingat aku ni apa?” marah Medina. Macam ni dia ajak aku jalan-jalan? Ada keturunan lanun dalam darah ke? Atau ada angan-angan nak jadi Jack Sparrow.

“Kau hantar aku balik sekarang!” arah Medina.

Medina mula bangun. Risau melihat Medina yang tidak seimbang itu, Darius mengarahkan kedua-dua anak buahnya supaya memegang Medina. Takut Medina jatuh ke dalam laut.

Bila rasa kedua-dua lengannya dipegang, Medina meronta. Cukup pantang bila ada lelaki pegang dia.

“Lepaslah! Berani kau pegang aku?” Medina menguatkan rontaannya. Hanya kaki yang tidak berikat, Medina mula menghayunkan kakinya.

Medina tak tahu apa yang berlaku. Yang pasti, dia rasa hayunan kakinya bagaikan terkena orang lain dan akhirnya..

Bedebush!

“Bos!” Serentak itu, kedengaran kedua-dua lelaki yang memegangnya itu menjerit. Terus pegangan pada lengannya dilepaskan.

Medina mengambil peluang itu untuk menarik kain penutup matanya. Perlahan-lahan pandangannya yang kabur jadi makin jelas. Nampak ada dua lelaki sedang berdiri di tepi  bot sambil memandang seorang lelaki yang terkapai-kapai dalam laut.

Terkejut Medina melihat Darius yang terkapai-kapai di dalam laut itu.

“Tolong.. aku tak pandai berenang!” Tenggelam-timbul suara Darius kedengaran.

Medina pandang ke arah anak-anak buah Darius itu. Masih belum bertindak apa-apa.

“Apa lagi? Pergilah selamatkan bos korang tu!” arah Medina lantang. Pegun je! Karang jadi arwah mamat tu!

“A.. aku tak reti berenang. Kau la pergi.”

“Habis.. kau ingat aku reti ke?” Kedua-dua lelaki itu saling bertolakan antara satu sama lain.

“Kau dua orang tak reti berenang?” soal Medina yang menjadi pemerhati. Tak tahu nak percaya ke tak.

Mereka berdua cepat-cepat angguk. Lagi melopong Medina dibuatnya.

“Cepat buka ni.” Medina tunjukkan ikatan pada tangannya. Nampak muka enggan kedua-dua lelaki itu.

“Cepatlah. Kau nak bos kau tu jadi arwah ke? Atau kau ingat aku ni duyung, berenang tak payah guna tangan?” marah Medina. Cepat-cepat mereka berdua longgarkan ikatan tangan Medina.

Sebaik saja tangannya bebas, Medina terus terjun ke dalam laut. Terus dia capai Darius yang sedang terkapai-kapai itu. Cepat-cepat Medina berenang ke tepi bot bersama Darius. Orang suruhan Darius turut menarik mereka ke dalam bot.

Terbatuk-batuk Darius. Matanya pedih menahan masin air laut. Tekak pun rasa perit gara-gara tertelan banyak air. Bersyukur rasanya bila masih selamat.

“Bos.. bos okey?”

Medina menggeleng kepala melihat situasi itu. Tak tahulah nak gelak ke nak apa sekarang ni. Lagak taiko bukan main, tapi berenang pun tak reti. Ada hati nak bawak orang sampai ke tengah laut. Kalau dia pun tak reti berenang tadi, konfem tamat riwayat si Darius ni.

“Terima kasih, Medina,” ucap Darius.

Medina mendengus geram. Pertama kali rasa nak terajang orang bila dengar oranag berterima kasih kat dia. Huh.. Tak pasal-pasal basah kuyup dia hari ni.

“Kalau ikutkan hati jahat aku ni, aku dah biar kau mati kembung dalam laut tu, kau tahu? Barulah mati tak sempat bertaubat,” bidas Medina. Jeling Darius tajam-tajam. Rasanya Darius sekarang ni kecik mengalahkan segala jenis cucu cicit mikroorganisma pada matanya.

“Tak macho langsung la weh. Culik orang ke tengah laut tapi semua tak reti berenang,” sindir Medina sedas. Tertunduk terus ketiga-tiga lelaki itu.

“Tak pernah dibuat orang tahu, mangsa culik selamatkan penculiknya,” bebel Medina lagi. Hujung tudungnya diperah. Tak selesanya dengan baju yang melekat-lekat  pada tubuhnya sekarang ni. Nasib baik semua warna gelap. Takdelah nampak auratnya.

“Kau bawak aku balik sekarang. Aku nak tukar baju. Rimas aku dengan baju basah macam ni,” arah Medina. Nampak muka enggan kedua-dua orang suruhan Darius. Mungkin tidak akan patuh selain daripada arahan ketua mereka.

“Kau nak aku tendang semua masuk laut ke?” Aura amaran dari suara Medina. Dahlah kaki memang rasa ringan nak side kick orang masuk laut sekarang ni.

Terus lelaki dua orang tu terkocoh-kocoh menghidupkan enjin bot kembali. Mengikut arahan Medina. Risau kalau betul kena tendang masuk laut macam bos mereka. Kalau tadi, mungkin Medina baik hati nak menolong. Kalau kali kedua? Memang cari nahas!

“Err.. cik. Enjin bot tak boleh hidup la,” lapor salah seorang anak buah Darius dengan muka takut-takut.

“Apa? Tadi elok je. Macam mana boleh tak hidup?” Medina berang.

“Tak tahulah, cik. Mungkin minyak habis.” Cepat-cepat menjawab sebelum Medina naik angin lagi.

“Habis, macam mana nak balik? Aku tak kira. Pandai korang bawak aku datang sini, pandailah korang bawak aku balik. Dengan kadar yang paling segera!”

“Baik, cik.”

Macam tak percaya situasi boleh bertukar seratus lapan puluh darjah. Siapa diculik dan siapa penculik? Medina rasa macam dialah kepala gangster yang menculik Darius sekarang ni. Lelaki itu selesa diam sambil pandang sekeliling.

Tunggulah sampai kat darat nanti, apa aku nak buat kat mamat tiga ekor ni ya? Medina mula berfikir.

  -----

Medina kerling jam di tangan. Dah hampir pukul enam petang. Dah berapa jam berlalu, tapi mereka semua masih tersadai di dalam bot ni. Minyak enjin bot habis. Lawak di senja hari yang tak berapa nak kelakar.

Kalah drama! Masa ni la semua nak jadi. Kena culik, lepas tu enjin bot tak boleh hidup. Kalau nak lebih tragis sikit, mungkin lepas ni bot ni karam, lepas tu semua tersadai kat pulau entah mana-mana. Nauzubillah!

Hih.. bilalah nak sampai ke darat ni! Dari tadi lagi tunggu kut-kut ada bot atau kapal yang lalu. Tapi hampa. Kiri kanan belakang depan, semuanya air laut. Takde nampak langsung daratan. Entah berapa batu jauh mereka dari daratan, dia pun tak tahu. Laut China Selatan ni luas. Sekarang hanya berserah pada nasib.

Penat dah menunggu. Baju yang basah tadi pun dah kering. Perut makin lapar. Solat Asar pun macam terpaksa dikorbankan hari ni. Ya Allah, berdosanya rasa! Medina mengeluh. Keluhan yang buatkan Darius disebelah menoleh ke arah Medina.

“Saya minta maaf,” ucap Darius. Dia tak sangka semuanya jadi macam ni. Niat sebenarnya cuma mahu Medina mengikutnya. Sangkanya Medina akan akur dengannya. Sekurang-kurangnya, Medina punya rasa gerun bila berada di tengah laut yang memang takde tempat lain untuk lari. Nak-nak lagi dengan tiga lelaki. Tapi lain pulak jadinya.

Masuk kali ni dah berapa puluh kali Medina dengar Darius minta maaf. Cuma dia malas nak layan.

“Awak tahu tak awak ni dah dikira menculik? Kalau saya report polis, mahu kena penjara!” Medina seakan-akan mengugut Darius.

“Saya takde niat pun nak culik awak. Awak janganlah report kat polis.”

Huh.. pengecut jugak! Buat jahat taknak fikir berkali-kali. Malas Medina nak fikir. Dia pun tak cedera. Darius pun takdelah buat benda tak senonoh kat dia. Cuma dia tak tahulah apa yang merasuk Darius sampai-sampai pendek akal buat kerja gila macam ni.

Lepas tu menyusahkan hidup orang. Mintak-mintaklah takde orang perasan yang dia hilang. Kalau tak huru-hara jadinya. Tiba-tiba Medina teringatkan Tengku Ian. Tengku Ian perasan ke tak dia tiada sebab biasanya lelaki itu suka mencarinya? Kalau perasan, apa yang dia akan lakukan agak-agaknya?

Hoi, Medina! Fikir benda lain, boleh? Mamat tu dah faham perangai kau yang suka lesap sorang-sorang. Kalau kau hilang, takde siapa nak pelik punya.

Baguslah kalau takde orang perasan. Aku pun taknak orang risaukan aku. Alah.. buat apa nak risau? Bukannya kena culik betul-betul. Ni semua gurauan tak lucu Darius. Tapi.. Ada ke orang nak risau pasal aku? Hati Medina tiba-tiba mendesis. Macam takde je?

“Tunggulah bila dah sampai kat darat, baru saya nak fikir. Sekarang ni, saya cuma nak selamat sampai darat. Malaysia,” balas Medina balik.

Sungguh badan sangat penat sekarang ni. Seharian berada di bawah panas matahari tanpa makan dan minum. Ya Allah, cepatlah sampai!

   -----------------

Medina menghentikan langkah apabila melihat bilik Zuyyin dan Puteri yang bercahaya itu. Pintu bilik dibuka dan dia boleh melihat dengan jelas beberapa orang yang berada di dalam bilik itu. Ramai. Kenapa? Ada persidangan apa? Medina melangkah ke arah bilik itu.

“Dee!” jerit Zuyyin yang perasan dengan kehadirannya. Semua kepala menoleh ke arahnya.

Laju kaki Zuyyin melangkah ke arah Medina. Tubuh Medina dipeluk, buatkan Medina sedikit terkejut. Zuyyin peluk dia macam taknak kasi lepas.

“Ying.. kenapa kau ni?”

“Kenapa? Kau pergi mana? Kau okey ke? Aku nampak kau kena culik tadi.”

Aduh.. dia nampak pulak dah! Patutlah muka semua orang macam tengah tunggu sesuatu. Papa dia pun ada. Huh.. kan dah cakap. Grenti huru-hara. Kenapalah Zuyyin nampak?

“Mana ada aku kena culik la. See.. aku balik dengan selamat.” Medina menafikannya.

“Dee, cerita kat papa perkara sebenar. Dee jangan takut. Jangan sorokkan apa-apa. Ceritakan siapa punya angkara buat anak papa macam ni,” celah Datuk Azizan. Lega melihat Medina pulang dengan selamat. Dia risau tadi kalau-kalau pihak polis datang mengkhabarkan berita buruk. Sedari tadi lagi dia berdoa semoga anaknya itu selamat.

“Mana ada apa-apa, papa. Ada orang ajak Dee pergi jalan-jalan tengah laut tadi. Bila nak balik, tengok-tengok enjin tak boleh hidup. Itu yang menunggu sesiapa yang lalu,” cerita Medina.

Dia tak menipu. Memang Darius ajak dia pergi jalan-jalan. Cuma cara dia mengajak tu memang mintak makan selipar. Medina malas nak panjangkan hal ini. Dia pun dah selesai dengan Darius.

“Jangan risau, aku takkan report polis. Kiranya hutang aku sebab tampar kau hari tu dah berbayar. Sekarang kita kosong-kosong. Lepas ni, jangan kacau hidup aku lagi.” Itulah kata-kata Medina sebaik sahaja kaki jejak darat. Dia taknak masalah kecil ni jadi besar.

Bodohkah dia sebab lepaskan Darius macam tu je? Biarlah.. orang lain tak tahu. Dan dia punya alasan lain kenapa dia tidak boleh melaporkan kepada polis.

“Lain kali, jangan buat orang risau tak tentu hala. Menyusahkan orang je la!” Suara kasar Tengku Ian menyampuk itu menerbangkan semua lamunan Medina. Kembali ke alam nyata.

Medina terkedu. Menyusahkan orang? Mata mereka berlaga. Pandangan Tengku Ian penuh dengan perasaan berkecamuk. Wajah lelaki itu tegang. Tak macam Tengku Ian yang biasa. Medina tak faham.

Terus Tengku Ian bangun dari tempat duduknya. Dia melangkah keluar dari bilik itu. Medina cuma memandang langkah lelaki itu. Entah kenapa, Medina sedih dengan kata-kata Tengku Ian.

“Dia kenapa?” soal Medina.

“Biasalah.. dia risau. Medina tak payah pedulikan kata-kata dia ya?” Farizzam seakan-akan memujuk. Dia sendiri terkejut dengan suara Tengku Ian yang tinggi dan kasar itu. Tak macam Tengku Ian yang dia kenal. Terlalu risaukah Tengku Ian sampai-sampai jadi macam tu?

No. I mean.. kaki dia kenapa?” Perlahan Medina bertanya. Matanya tak salah menangkap langkah Tengku Ian yang tak seperti biasa. Sebagai seorang yang pakar dalam menganalisa cara orang berjalan, dalam sekelip mata dia dapat menangkap sesuatu yang tak kena dengan kaki kanan Tengku Ian tadi.

“Dia terseliuh sikit tadi. Masa cuba cari Medina sekeliling pulau ni. Tapi dia kata sikit dan tak sakit. Medina jangan risau,” jawab Farizzam lagi.

Jawapan itu buatkan Medina diburu rasa bersalah. Sebab dia, Tengku Ian jadi macam tu. Tapi kenapa sampai jadi macam tu?