Pages

Terima Kasih Anda Semua..

Kata-kata Anjell

ASSALAMUALAIKUM..

Blog ini adalah hasil nurkilan seorang budak science yang perasan nak jadi novelis...

Maaf bila tertypo.. Budak ini masih junior..

Significance of this simple blog to me : 'A PLACE TO EASE TENSION, DIFFERENT WORLD FROM THE ACTUAL ONE'

Monday 19 December 2016

Dheo's (PROLOG)


PROLOG

Kali pertama aku buka mata? Kosong. Hati rasa kosong. Fikiran pun rasa kosong. Apa yang aku ingat? Juga kosong.

Siapa aku? Macam mana aku boleh berada di sini? Apa yang telah terjadi kepadaku? Kenapa aku langsung tak ingat apa-apa?

Semuanya dijawab oleh lelaki separuh umur yang setia menunggu di sampingku. Orang yang bergelar ayahku. Wajah cengkungya jelas-jelas kepenatan. Ada lingkaran gelap di bawah mata yang menjadi bukti nyata bahawa dia terkesan dengan keadaanku.

Nurissa. Itu yang dia panggil aku. Nama penuh, Nurissa Rose binti Noriman. Aku dimasukkan ke hospital gara-gara kemalangan jalan raya. Teruknya sampai doktor tak tahu sama ada mereka boleh selamatkan aku atau tidak. Dengan izin Allah, aku berjaya melepasi tahap kritikal. Tapi aku koma untuk jangka masa yang tak siapa yang tahu.

Sehinggalah sekarang. Setahun. Itulah jumlah masa aku terlantar di atas katil ini. Sangat terkejut. Juga bersyukur. Rasa macam mati dihidupkan semula. Mereka semua mendefinasikannya sebagai keajaiban. Tapi aku pula mendefinasikannya sebagai peluang kedua. Mungkin aku diberikan peluang untuk tebus kesalahanku? Atau berbakti kepada orang yang sayangkanku? Atau sebenarnya ini semua berkat orang-orang yang doakan aku agar terus kuat berjuang? Wallahualam. Aku sendiri pun tak tahu.

Malangnya aku bukan diriku sebaik saja aku buka mata. Setiap yang berlaku pasti ada komplikasi yang bakal kutanggung. Hantukan kuat pada belakang kepalaku buatkan aku alami retrograde amnesia. Kata doktor, keadaan ini mungkin sementara. Boleh jadi beberapa hari, beberapa bulan dan mungkin juga sehingga ke akhir hayatku. Perasaanku bila doktor cakap macam tu?

Kosong.

Dan beberapa hari telah pun berlalu. Keadaanku masih sama. Hidup tanpa tahu siapa kita yang sebenarnya amat memenatkan dan stres. Aku bagaikan tak punya identiti diri. Hati selalu tertanya-tanya, bagaimana kehidupanku sebelum aku hilang ingatan? Baikkah aku? Atau jahatkah aku? Berapa banyak pahala aku? Atau lebih banyak dosa terkumpul? Rasa bagaikan hidup tak lengkap.

Mungkin emosi masih kurang stabil, aku sering menangis apabila ditinggalkan sendirian. Entah kenapa aku rasa satu kehilangan yang amat besar tanpa ingatan. Aku tak tahu kenapa aku rasa bagaikan aku lupakan sesuatu yang paling bermakna dalam hidupku. Hati bagaikan sedang dambakan sesuatu.

Atau sesorang? tapi malangnya tiada satu pun memori lepas yang terimbas dalam fikiranku.

Satu hari, apabila aku membuka mata, masih tiada apa-apa yang berubah. Pandangan kosong ke arah siling putih bilik pesakit itu. Hanya bunyi pendingin hawa yang jadi melodi di halwa telinga. Bezanya, bilik itu kosong tanpa ayah.

Hidup mesti diteruskan. Itulah motivasi yang selalu aku tiupkan ke dalam jiwa sendiri. Tiap-tiap hari.

Aku cuba duduk sendiri. Otot-ototku masih lemah gara-gara dah lama tak digunakan. Sesuatu yang berbeza hari itu. Di sisi meja kecil di sebelah katilku, ada sekuntum mawar putih cantik terletak. Bibir secara automatiknya menguntum senyum. Aneh. Ini kali pertama aku senyum sepanjang aku buka mata.

Bunga mawar bunga kesukaanku agaknya. Tangan terus capai. Kelopak lembut putih itu diusap perlahan. Cantik. Kemudian dibawa ke hidung. Dalam-dalam nafas ditarik bersama bau manis bunga mawar itu. Tenang. Sekali lagi bunga itu dipandang. Ada satu kad kecil terikat di batang mawar putih itu.

Rest well. Till we meet again, Rose
                                     Encik Duri

Rose? Dia panggil aku Rose. Tulisan tangan berangkai itu bagai dekat di hati. Sangat cantik. Sekali melihat pun aku sudah jatuh hati dengannya.

Encik Duri?

Kalau awak ros, saya durinya…

Auchh! Aku pegang kepalaku. Suara siapa yang melekat dalam kepalaku ini?

Erat-erat aku pejam mata. Cuba redakan sakit kepala yang tiba-tiba menyengat.

“Encik Duri,” sebutku. Ulang dan ulang lagi dalam kepala. Cuba membayangkan insan yang berselindung di balik sebaris nama itu. Siapa dia? Kenapa dia datang ketika aku sedang lena?

Yang pasti dia kenal siapa aku. Dan aku dapat rasakan dia adalah orang penting dalam hidupku. Kawan aku? Atau kekasih? Atau tunang? Arghh.. kenapa tiada langsung memoriku tentang siapa dia ni?

Pantang otak mula bekerja keras, sakitnya bagai mahu meletup kepala ni. Sekali lagi jari mengurut kepala. Rileks, Nurissa. Rileks. Nafas ditarik dalam-dalam, cuba untuk tenangkan diri sendiri. Beberapa kali doktor berpesan supaya aku jangan stres kalau aku taknak rumitkan lagi keadaan. Kalau aku nak baik, jangan paksa diri.

Ros di tangan dibawa ke hidung lagi. Sedut bau lagi sekali. Fikiran kembali tenang. Aku yakin bunga ros adalah bunga kesukaanku. Bunga dari Encik Duri. Suatu hari nanti, pasti aku akan tahu siapa dia.

Aku menguap. Tiba-tiba rasa penat. Tubuh kembali dijatuhkan ke atas katil secara mengiring. Bunga itu digenggam erat ke dada sebelum tutup mata. Tanpa sedar, bibir sempat mengorak senyuman. Gembira entah kenapa.

A pretty rose definitely blows a good spirit. Tiba-tiba terngiang-ngiang ayat itu dalam kepala. Aku setuju.

Lenaku setelah itu diulit mimpi indah. Sangat indah. Terbayang seulas senyuman yang terukir bersama satu lesung pipit di pipi kanannya. Lawa. Hati rasa senang bila melihat senyum gembiranya itu. Aku rasa aku mahu selalu menjadi penyebab untuk dia tersenyum. Malangnya, wajah pemilik senyuman indah itu samar-samar.

Wait for me, mia bella..

Suara sama juga yang berkata. Juga samar-samar. Tapi selalu kudengar.

Sering tertanya-tanya. Siapakah dia?

Monday 25 April 2016

HERO SEORANG CINDERELLA IS GOING TO BE PUBSLISHED!!!

ASSALAMUALAIKUM .....

ALHAMDULILLAH syukur ke hadrat Ilahi..

Dear my laling-laling readers and followers, 

Tujuan tuan tanah mengupdate blog kali ini sudah pastilah mahu mengkhabarkan berita gembira. Cuba jeling tajuk balik....

Ya.. ya.. Mungkin ramaaaaaaiiii yang dah tahu tapi, kerana tidak mahu bergelar munafik (Janji wajib ditepati. Dah janji nak announce kuat-kuat dulu), Maka.... dengan ini saya mahu mengumumkan anakanda keempat saya sudah selamat melihat dunia. Nama indah beliau diberi (Of cozz semua dah tahu) adalah HERO SEORANG CINDERELLA aka HSCBig applauses to EKSPERIMEN CINTA, SUAMIKU PALING SWEET and TUNDUKKAN PLAYBOY ITU kerana dah dapat adik baru. Yayyy!!!

Sama macam kekanda-kekanda-kekandanya, HERO SEORANG CINDERELLA diterbitkan oleh syarikat penerbitan KARYASENI. Sama juga, saya tak ambil order online. Maka..... sebarang urusan jual beli online bolehlah berurusan terus dengan KARYASENI & PENULISAN2U atau mana-mana online seller yang lain. Maaf banyak-banyak.



Macam biasalah, bukan ANJELL namanya kalau tak turunkan pesanan berkerat-kerat tiap kali novel baru keluar. (Maaflah kalau rasa dah baca benda ni sejak zaman EKSPERIMEN CINTA lagi)

Pesanan penaja:


Novel kali ini bertemakan KEKELUARGAAN kut. Tak tahu berjaya ko idokk. Tengok tajuk pun dah nampak CINDERELLA, maka paham-pahamlah hidupnya pasti ala-ala Cinderella. Tapi.... tak ada la pulak hilang kasut ke, hilang barang ke apa ya. Shweet Mweet hero and heroin tu.. haruslah ada (ALAMAK SPOILER!)


PESANAN PENAJA DARI PENULIS DENGAN RASA MASIH PUNYA BANYAK KELEMAHAN INI:

++ Minta maaf kalau novel ni tak macam di blog

++ Minta maaf kalau apa yang korang expect dari novel ni tak kesampaian..

++ Minta maaf kalau  novel ni buatkan korang rasa rugi sebab dah belinya

++ Minta maaf kalau korang rasa novel ni tak berbaloi dengan masa yang ditunggu..

++ Minta maaf kalau novel ni tak seronok langsung dan membosankan.

++ Maaf atas segala cacat cela novel ini, sesungguhnya Cik Penulis ini masih punya banyak kelemahan dan kekurangan

++Minta maaf n minta maaf in everything...

Kalau rasa nak beli, belilah. Kalau rasa taknak, siapalah saya untuk memaksa. Ya dak?? HUHU..

Janganlah dibandingkan karya ini dengan kekanda-kekandanya sebelum ini. Macam yang saya cakap tadi, setiap novel yang keluar, temanya lain-lain. Lain orang lain citarasa. Jangan expect tinggi. Saya taknak ada yang terkuciwa sendiri. Jangan sesekali berfikir 'NOVEL ANJELL GRENTI BEST!' .. Sungguh.... sekali pun saya tak pernah dan berani jamin karya-karya saya best. KERANA APA?? Stail penulisan mungkin berubah. Writer's block dah jadi macam sindrom. Ada kalanya kita tak mampu maintainkan sesuatu. Kita juga tak boleh terlalu senang hati dan berlapang memikirkan setiap orang dapat menerimanya. Bersama waktu, sesungguhnya lahir lagi novelis-novelis lain yang lebih hebat   (Kita bersyarah dulu, ya anak-anak.)

TERIMA KASIH SEBAB TAK BERPUTUS ASA DAN MEMBERIKAN SEMANGAT SEPANJANG MENUNGGU NOVEL INI DITERBITKAN. SEMOGA TERHIBUR DENGAN PERANGAI TENGKU IAN UZZAM DAN NURA MEDINA. YANG BAIK DIJADIKAN TELADAN, YANG BURUK DIJADIKAN SEMPADAN   (Bersyarah lagi ya, anak-anak)

LOVE U ALLSS.....




Terima kasih kerana dah ambil masa membaca apa yang saya bebelkan ini, dan di sini saya sertakan cover dan sinopsis HSC

Ini cover HSC.


"Cuma pejamkan mata, dia pasti akan muncul"

Kali ini tema Pink lagi. Anjell dan Pink tak dapat dipisahkan. Tolak TPI, yang lain semua ada pink. Kenapakah kebetulan ini padahal saya tak minat pink. Haha..




SINOPSIS

Penulis : Anjell
Penerbit : Karyaseni 
HARGA : RM28.00(SM)/RM31.00(SS) 
Halaman : 736 
ISBN : 978-967-469-007-6


Ini adalah kisah seorang Cinderella dan heronya…

Sekali pandang, orang mesti cakap dia sesuai untuk Cinderella versi thriller. Dia cantik tapi muka dia beku. Senyum ikhlasnya mahal. Jelingannya tajam mengalahkan pedang. Semuanya hanya untuk menutup kisah hidupnya. Itulah Nura Medina.


Seratus lapan puluh darjah pula dengan heronya. Heronya masih versi Prince Charming. Dia kacak membunuh. Senyumnya ikhlas versi pencair hati. Jelingannya mampu bikin anak dara penasaran. Dan kepulangannya ke Malaysia kali ini bersama satu amanah. Itulah Tengku Ian Uzzam.


Macam mana Tengku Ian boleh menjadi hero seorang Cinderella? Al-kisahnya bermula pada suatu malam.


“Tips. Kalau awak ingat saya malam ni, saya pasti akan selamatkan awak.”-  TENGKU IAN UZZAM


Bermulalah misi Tengku Ian untuk mendekati Medina. Terus-menerus si hero selamatkan Cinderellanya. Sehinggalah tersingkapnya satu rahsia.


“Dunia ni penuh dengan ketidakjujuran. Bila dah kena fitnah, 99.9% pilih untuk percaya.” – NURA MEDINA


“In the situation of 99.9% of distrust, I am your 0.1% that will trust you. Always.” – TENGKU IAN UZZAM


Itu janji Tengku Ian. Dan apabila Medina berada dalam situasi 99.9% itu, masihkah Tengku Ian menjadi 0.1% dia? Dan berjayakah Tengku Ian menjalankan amanah yang diberikan


    ++++

Ayuh kita buka kaunter tanya sendiri, jawab sendiri:

1. Novel ni publish bulan berapa ya?

This novel is specially published for PESTA BUKU ANTARABANGSA 2016 (PBAKL) di MAEPS, Serdang pada 29 APRIL - 9 MEI 2016. Tahun ni tak buat di PWTC ya.. Maka... HANYA DIJUAL PADA PESTA BUKU SAHAJA!!

Limited edition ke?? Kalau saya jawab ya, grenti kepala kena penggal. Hehe... Jangan risau... BUKAN LIMITED EDITION. Sebenarnya novel ni terbitan KARYASENI untuk JUN 2016. Kalau dah tak boleh beli kat PBAKL 2016, Maka... silalah tunggu sehingga bulan Jun sampai.

2. Bila masuk kedai buku/order online??

Nampak tak saya siap bold JUN 2016, Maka masuk kedai buku biasanya pertengahan bulan Jun la agaknya. Order online pun buka bulan Jun. Jadi... usahlah menggigihkan diri dan membazir tenaga menapak ke MPH atau Popular  atau mana-mana kedai buku di musim el nino ini, semata-mata untuk mencari novel ini ya. Pusing kedai-kedai buku seluruh Malaysia pun pasti anda takkan jumpa, Take note! Menapak ke kedai buku tengah-tengah bulan JUN, HOKEY??


3. PBAKL ni akak ada tak?

Err... nak jumpa saya ke?? Fortunately.. tahun ni insyaAllah saya turun padang. Jadual saya, insyaAllah 7 MEI 2016 jam 12-2 PETANG. Pastinyalah di booth KARYASENI/PENULISAN2U (saya tak ingat dah nombor berapa). Sematlah tanggal ini baik-baik di mindamu kalau nak jumpa saya (Ada ke orang nak jumpa saya). Kalau ada jodoh, berjumpalah kita ya. First time turun padang kut!!! (Hai... masa aku nak pergi ni la dia buat PBAKL kat ceruk Serdang. Tengah-tengah musim El nino pulak tu!!) Dugaan.... Semoga semuanya dipermudahkan. Amin. (Psss... saya ni pendiam dan pemalu orangnya. Ahaks!)




    +++++++++++++++++

FIFTH NOVEL TO GO: ALPHA MALE. 
Current status: Writer's block (Anjell dan Writer's block berpisah tiada. Haha)

Bila nak publishnya??? Jangan tanya nak publish. Tanya bila nak sambung tulis dan siapkan manuskrip dulu.. Sebab memang mereput dan tak disentuh-sentuh langsung. Huhu..

Biasalah... we go slow and steady. Maintain the quality than quantity. Satu tahun, satu novel. Nak Alpha Male? Tunggulah tahun 2017. InsyaAllah.... selagi Allah berikan ilham, kesihatan, umur yang panjang. Maka.... akan adalah novel itu. Boleh je nak siapkan cepat-cepat. Tapi malas. Haha...

Sebenarnya dah ada idea untuk projek novel 2018. Tajuk apa?? Kalau tiba-tiba saya mengigau, saya terupdate cerita tu. haha. Boleh je nak siapkan dua-dua. Tapi... macam statement di atas, SAYA MALAS. 

Oh, mahu beri pencerahan kenapa ALPHA MALE dan tak boleh baca di blog. Aritu.. al kisahnya ada sorang budak tergelap hatinya dan copy and paste almost exactly cerita saya tu di laman web penulisan2u (Cerdik gak budak tu. COPY cerita novelis KARYASENI/PENULISAN2U pastu pi post kat laman web penulisan2u). Malas panjang bicara, draftkan balik je la ALPHA MALE tu. Semoga kanak-kanak ribena itu terbuka balik pintu hidayahnya dan bertaubat. Manalah tahu ada penulis lain pulak yang jadi mangsa.... Kalau kanak-kanak ribena tu terbaca post ni, haraplah cepat bertaubat ya awak (Haruslah pernah baca blog ni, kalau tak macam mana boleh copy ALPHA MALE. Iya dok??) Bertaubatlah awakk... penat nak perah otak ni awak tahu? Nak jadi penulis tu, tak salah. Saya tak marah kalau cerita saya mencetuskan idea awak untuk menulis. Tapi, tolonglah jangan sampai sebijik-sebijik sampai orang boleh cakap tu cerita saya. Kalau dalam research paper ni, dikira plagiarism, lecturer boleh failkan awak dan the owner of the papers being plagiarized boleh saman awak, tahu?? (bersyarah lagi sekali ya, anak-anak). Bukan nak cakap saya je, ramai lagi penulis yang dicopy paste ceritanya.

Tunggulah bila tiba masanya, terbuka hati nak update ALPHA MALE, saya akan update. Saya pun sangat rindu untuk update blog.

Terima kasih sudi membaca post saya yang ni. Kepada yang dah dapatkan HERO SEORANG CINDERELLA, Terima kasih banyak-banyak sebab sudi menyokong saya. Selamat membaca dan Maaf atas segala cacat-cela novel ini. Sesungguhnya saya juga masih belajar dan akan selalu belajar.


SEKIAN. SALAM SAYANG, ANJELL.

Sunday 17 April 2016

Hero Seorang Cinderella (TEASER 2)


TEASER 2

“Cempedak goreng ada?”

Mulut Tengku Ian ternganga selepas mendengar pertanyaan Medina itu. Sempat sengih kepada pelayan yang nampak blur dengan soalan luar alam Medina itu. Mesti terpinga-pinga. Yang isterinya ni pun satu hal. Masuk kafe, mintak cempedak goreng apa hal?

“Err.. tak ada kak. Menu kami macam yang tertulis kat dalam ni,” jawab pelayan itu sambil menunjukkan menu di atas meja mereka.

Medina agak kecewa. Tekak tiba-tiba rasa nak makan cempedak goreng. Akhirnya mengoder makanan dan minuman yang tertulis pada menu. Kemudian senyap. Sekali pun dia tak pedulikan Tengku Ian.

Tengku Ian dah tak senang duduk. Apabila Medina keluar rumah, dia turut mengejar. Mahu berbaik-baik dengan Medina. Apabila Medina masuk ke dalam kafe ini, dia turut masuk dan duduk di hadapan Medina. Dia tahu kehadirannya memang tak dialu-alukan.

“Sayang tengah fikir apa?” soal Tengku Ian. Mencari modal untuk memulakan perbualan dengan Medina. Garu-garu kepala jugalah apabila tengok Medina anggap dia tak wujud.

“Tengah fikir macam mana nak lari dari rumah,” jawab Medina selamba.

Wajah Tengku Ian di depannya berubah pucat. Turun ke kaki semua darah dia.

Relax. I’m kidding, okay?” sambung Medina lagi sebelum kena buat CPR kat suami dia yang mungkin kena cardiac arrest lepas dia cakap macam itu.

Tengku Ian melepaskan nafas lega. Boleh hilang semua oksigen kalau bercakap dengan Medina ini. Dahlah Medina ini boleh dikategorikan sebagai bertindak mengikut perasaan sekarang ini.

“Kenapa? Cuak ke?” soal Medina berbaur sindiran.

“Mana tak cuak kalau isteri abang nak lari rumah? Jangan cakap macam tu lagi.” Suara Tengku Ian berubah serius.

Medina mencebik. Malas nak komen banyak. Kalau dia nak lari rumah, dia dah tak cakap. Sekarang belum terfikir lagi. Akan datang, siapa tahu?

Hazel, sit down!” Suara yang penuh authority itu buatkan Medina turut angkat kepala. Dari meja depan dia.

Kening mula berkerut. Dari tadi lagi, dia tengok pasangan itu. Asyik nak bergaduh  aje. Medina nampak perempuan yang bernama Hazel itu duduk balik. Kecut perut agaknya lepas dengar suara lelaki di depan dia itu.

Siapa mamat itu? Abang dia? Tunang dia? Suami dia? Garang gila!

“Abang pergi toilet kejap.” Suara Tengku Ian buatkan Medina mengalihkan pandangannya daripada pasangan itu. Tengku Ian dipandang. Cuma sekejap sebelum dia buat tak tahu.

Mood masih merajuk! Kemudian Tengku Ian bangun daripada kerusinya dan meninggalkan meja mereka.

I have a proposition!” Lagi sekali pandangan Medina terarah ke arah pasangan itu selepas mendengar suara Hazel.

Shoot,” jawab lelaki di depan Hazel itu. Keyakinan pada muka lelaki itu tak goyah sikit pun.

Kemudian nampak mereka berdua saling bertatapan. Dua-dua tak nak mengalah. Dah boleh rasa bzz..bzz.. current elektrik daripada pandangan mereka berdua itu. Medina geleng kepala. Sah bermasalah pasangan ni! Ingatkan dia dan Tengku Ian aje pasangan sedang bergaduh di dalam kafe ini.

“Tengok apa?” tegur Tengku Ian lepas dia balik dari tandas. Turut menoleh ke arah pandangan Medina.

“Tengok couple gaduh. Tu mesti lelaki yang cari pasal.” Selamba Medina menuduh.

Tengku Ian diam. Kenapa dia rasa Medina maksudkan orang lain  aje?

So, here is my proposition. Saya setuju untuk kahwin dengan awak. Tapi.. kalau awak ada perempuan lain, atau awak dah tak nak saya, jujur dengan saya. Tak kisahlah darling ke, salmonella ke, e.coli ke..”

Medina rasa nak tergelak lepas dengar ayat Hazel itu. Dia perasan juga yang perempuan bernama Hazel itu cakap boleh tahan sedapnya. Dah beberapa kali dia tercuri dengar perbualan mereka. Kata kuncinya adalah, TER. Sebab seawal mereka tiba lagi, mereka itu bergaduh tak pandang kiri kanan.

“.. Just tell me the truth. I’ll back off. Period! I can’t tolerate infidelity. Once is enough.” Hazel bersuara lagi. Macam sedih ayat terakhir wanita itu.

Ini mesti dia pernah kena curang dengan sesiapa ni. Lelaki kat depan dia itu ke? Agaknyalah! Kalau tak, tak adanya wujud darling, salmonella dan e.coli yang macam Hazel cakap itu.

Muka pun memang dah stok-stok yang boleh bikin perempuan jatuh tersungkur. Hazel di depan mata pun dia boleh nampak perempuan lain terteleng-teleng jeling lelaki itu. Sama macam apabila dia di depan mata, tapi perempuan tak segan-silu kerling suami dia. Semestinya dia boleh rasa apa yang Hazel rasa sebab dia perempuan.

“Kalau saya nak dua-dua? Lelaki boleh kahwin empat.” Soalan tak sayang nyawa daripada lelaki itu buatkan kening Medina turut terangkat sebelah. Amboi.. belum apa-apa lagi dah nak madukan Hazel? Mengesahkan lagi teori Medina tadi.

Tapi.. kalau dah lelaki itu curang, kenapa Hazel nak kahwin dengan dia? Hih.. kalau aku jadi Hazel ni, dah nampak dah bakal ada lekuk kat dinding sebelah gara-gara ada kepala kena hantuk kat situ! Medina pula yang mendengus.

Hazel ni, lembut sangat la! Tolonglah jangan reda aje kena buli dengan lelaki. Medina pula yang tak puas hati. Kalau Ian ni, hai.. memanglah aku…

“Eh, tak ada masalah. Awak dengan bakal arwah madu saya tu datang jumpa saya. Then, pilih. Siapa nak masuk ICU, siapa nak masuk enam kaki ke bawah?” Ternyata jawapan yang Hazel bagi lagi win. Medina tahan gelak. Okey.. dia tarik balik apa yang dikatakan tentang Hazel.

Tanpa sedar, Medina ukir senyuman. Kelakar tengok pasangan itu bergaduh. Dengan Hazel yang gaya ‘ada aku kisah’ dan lelaki itu pula macam ada aura alpha male. Macam mana agaknya kalau dorang itu bersatu? Sekurang-kurangnya kerenah pasangan itu dah buatkan stres Medina menurun satu graf.

Lelaki.. lelaki.. Medina geleng kepala. Kemudian mencerun mata pandang lelaki depan Hazel itu. Macam tahu-tahu dirinya diperhatikan, lelaki di depan Hazel itu angkat kepala. Mata mereka berlaga. Mata lelaki itu bagaikan tak punya perasaan. Tertutup dengan wajah kacak tapi ego dia. Macam dia cakap tadi, aura alpha male.

“Huh.. lelaki.. semua sama! Gatal.” Kuat suara Medina. Wajah lelaki itu sedikit berubah. Agaknya tahu Medina maksudkan dia. Malu? Marah? Lepas itu, muka lelaki itu kembali normal lepas dia berdehem. Eleh.. nak control macho la tu!

Hazel turut berpaling. Nampak muka wanita itu agak blur sebelum tangkap maksud ayat Medina. Kemudian nampak dia macam tahan ketawa lepas tengok muka terkedu lelaki di depannya itu.

Tengku Ian yang tengah sedut kopinya terus tersembur selepas mendengar apa yang dikata Medina. Cepat-cepat pusing belakang apabila nampak pandangan Medina ke arah itu. Sah mereka dengar!

“Medina!” Tak tahu nak marah ke nak apa dengan Medina sekarang ini.

 Sempat senyum kepada pasangan itu sebagai tanda maaf. Haraplah mereka faham yang isteri depan dia ini tengah terumbang-ambing hormonnya. Sangat tak sangka Medina boleh berkata macam itu. Nasib baiklah pasangan itu tak datang cari gaduh dengan mereka. Kalau tak, mahu jadi tampar beregu.

“Apa? Betul apa? Lelaki.. semua sama. Mana reti nak jaga hati perempuan. Nak-nak lagi kalau ada perempuan lain depan mata,” balas Medina. Kali ini hanya Tengku Ian yang dengar.

Tengku Ian diam. Tak surut-surut lagi marah isterinya itu.

“Terasa ke?” provok Medina lagi.

Tengku Ian ketap gigi. Medina sekarang memang suka mencabar kesabarannya. Ya Allah.. berilah aku kesabaran untuk menghadapi isteri aku yang tak berapa nak dewasa sangat ni!

Medina bangun.

“Eh, nak pergi mana?” soal Tengku Ian. Nak lari ke mana pula dah bini aku ni?

“Dah tak ada mood nak duduk sini. Bosan. Cempedak goreng tak ada, apa pun tak ada.”

Allah.. tak habis-habis lagi cempedak goreng isteri aku ni!

“Sekarang rasa nak makan aiskrim,” tambah Medina lagi.

“Itukan aiskrim,” kata Tengku Ian sambil tunjuk aiskrim depan mata Medina.

“Tu bukan aiskrim. Tu air batu manis.”

Air batu manis? Tengku Ian ternganga. Apa tu? Tak pernah dengar pula.

“Rasa nak makan Baskin Robbin la.” Medina terus tinggalkan tempat itu.

Tengku Ian cepat-cepat bangun untuk mengejar sebelum Medina hilang tak berjejak. Sabar.. sabar.. sabar..

Kenapa isteri dia sekarang ini pelik?