Pages

Terima Kasih Anda Semua..

Kata-kata Anjell

ASSALAMUALAIKUM..

Blog ini adalah hasil nurkilan seorang budak science yang perasan nak jadi novelis...

Maaf bila tertypo.. Budak ini masih junior..

Significance of this simple blog to me : 'A PLACE TO EASE TENSION, DIFFERENT WORLD FROM THE ACTUAL ONE'

Thursday, 27 February 2020

Dia Tetap Sempurna (BAB 4)


BAB 4

“Kena kejar kucing? Hahaha.” Berdekah-dekah Suria ketawa. Tak cukup dengan mulut, tangan pula siap ketuk-ketuk meja lagi menandakan betapa terhiburnya dia dengan cerita tak kelakar aku itu.

“Wei.. kut ya pun tak payahlah sampai kau berkompang dengan meja ni! Over la.” Perlahan aku marah Suria. Pandang kiri kanan. Member meja depan dah macam nak terkehel tulang tengkuk, pusing ke arah kami. Dia jeling maut.

Aku hanya sengih kepadanya. Tanda minta maaf sebab dah mengganggu ketenteraman sejagat. Apa boleh buat, kawan baikku ini dah gaya macam baru terlepas dari Tanjung Rambutan. Aku haraplah dia faham.

Tapi Suria bukannya peduli kiri kanan. Sudahnya aku tebalkan muka untuk terus duduk berdua di meja ini. Nak buat macam mana, dah namanya kawan baik.

“Tak.. masalahnya serius kelakar dowh! Kalau jenis Pitt Bull atau Husky yang kejar kau, aku tak hairan sangat kalau kau terbang sekali pun. Tapi, kucing? Comel gila kut!” balas Suria setelah ketawanya mereda. Jari mengelap hujung mata yang berair.

“Comel-comel jugak. Tapi kalau dah dia keluar kuku dia tu, grr.. seram!” Terus terbayang kuku-kuku tajam di balik tapak kaki kucing itu. Meremang bulu tengkuk. Cepat-cepat aku geleng kepala. Hapuskan bayangan itu. Ngeri!

Suria geleng kepala dengan bibir masih tersungging sengih. Kemudian straw di dalam cawan Sturbucks plastik yang berisi frapuccino itu dibawa ke mulut. Rakus disedutnya sampai berbunyi-bunyi. Betul-betul dahaga. Mana tak dahaga?  Kering air liur dia lepas gelakkan aku.

So, lepas tu apa jadi?” soal Suria balik. Cawan plastik kembali diletak ke atas meja. Perhatian diberi semula kepadaku. Bersedia untuk mendengar ceritaku. Atau bersedia untuk gelakkan aku.

“Lepas tu, aku pecutlah macam Usain Bolt. Nak dijadikan cerita, punyalah malang nasib aku, aku terlanggar pulak seorang lelaki ni. Sampai jatuh terduduk aku. Macam nangka busuk. Nasib baik  tak kuak lentang atas jalan tar hari tu.”

“Malunya!” Suria buat muka.

Laju kepala angguk setuju. Kemudian sambung bercerita. Bagaimana aku boleh meninggalkan kesan gincu pada baju tak bersalah lelaki itu.

Dan gelak Suria pecah untuk pusingan kedua.

“Kau ni cupid ke apa? Panah asmara kat hati lelaki tu? Habislah lepas ni dia jatuh cinta dengan kau.” Suria sempat mengusik. Tiba-tiba tanganku rasa gatal nak cekik leher orang.

Handsome tak? Mesti dia handsome kan sebab tu kau mandram dia?” Suria ingin tahu. Sengih pula.

Terus aku membayangkan rupa Eskandar ketika itu. Gaya yang sangat simple. Bukan jenis yang kemas. Bukan gaya orang ada-ada.

“Tak handsome pun,” kataku jujur.

Pada mata aku, Eskandar tak kacak pun. Hanya biasa-biasa. Dengan gaya berserabainya, pakai baju dan seluar lusuh lagi. Nampak selekeh. Mungkin gaya kerjanya buatkan dia berpakaian sebegitu.

“Ala.. rugilah! Dahlah dapat first kiss dari kau.”

Giliran aku pula ketawa. Sengal kawan baik aku ni!

“Walaupun Eskandar tak handsome, tapi dia baik.” Aku seakan-akan mempertahankan Eskandar. Meskipun petah bicaranya tajam, seolah-olah tidak mengambil pusing dengan dunia sekeliling tapi aku tahu Eskandar baik orangnya. Dia punya satu aura yang aku pun tak tahu nak cakap macam mana.

“Ni kau yang panah asmara dia atau dia panah asmara kau ni?” sindir Suria. Jeling aku semacam.

Aku julingkan mata ke atas. Malas nak layan.

“Aku cakap benda betul. Orang kacak tak semestinya baik. Orang kacak selalunya pura-pura baik. Gentleman la kononnya. Padahal?” Sekali lagi aku juling mata ke atas. Kata-kataku penuh pesimistik. Agak kuat sehingga lelaki yang duduk di meja depan tadi sekali lagi berpaling sekilas. Keningnya berkerut tak puas hati.

Kenapa? Terasa? Perasan handsome ke apa?

“Yalah.. yalah.. kau aje la betul.” Suria mengalah.

Okay.. enough with this topic! Kita cakap pula pasal kenapa aku culik kau pagi-pagi ni,” sambung Suria lagi. Tepat mata dia tenung aku.

Tiba-tiba rasa macam berada di dalam satu bilik kecil, bersedia untuk disoal-siasat.

Reunion.” Sepatah bicara daripada mulutnya itu dah bikin liurku laju turun tekak.

Automatik tangan pegang perut.

“Alamak.. serangan pertubuhan-pertubuhan e.coli bersatu! Usus besar tiba-tiba lancarkan mogok!” kataku. Muka buat-buat berkerut.

Baru aje nak bangun, Suria sudah merentap tanganku. Kembali duduk.

“Kau jangan nak aneh-aneh dengan aku, Dara!” Muka Suria bertukar garang. Tahu saja bila aku nak cabut. Dengan muka tak puas hati, belakang kuhempas sedikit kasar untuk bersandar ke kerusi. Tangan disilang di dada.

“Aku malas pergilah!” Aku akhirnya mengalah.

Setelah beberapa hari Suria mengatur stategi, akhirnya dapat jugak dia ‘tangkap’ aku. Macam mana aku tak terperangkap kalau dah dia serang hendap ketika aku berada di kedai Kak Ainin. Minta izin pula daripada kakakku itu untuk menculikku. Memang jalanlah.

Nak tak nak, aku kena menghadap dia ni. Huh!

“Ala.. Dara! Pergilah. Seronok la kali ni. Bukan biasa-biasa. Kita kali ni sambil menyelam, kita makan burger. Kau tak payahlah fikirkan pasal reunion tu semata. Kau fikir kita naik cruise untuk vacation. Bila lagi nak naik cruise murah? Kena bayar 30% aje kut.” Suria memujuk. Dah gaya ala-ala promoter pun ada.

“Aku seganlah nak minta duit ngan Kak Ainin atau Along,” bahasku separa jujur. Duit memang tak jadi isu. Sebab kalau ikutkan kedua-dua kakak dan abangku itu akan masukkan duit tiap-tiap bulan kepadaku. Maklumlah akukan masih bergelar pelajar. Lagipun, memang dia orang selalu pesan, kalau ada masalah duit jangan segan untuk meminta.

Tapi itulah, bila orang memberi dan kita menerima, lama-lama kita akan segan walaupun dengan adik-beradik sendiri. Walau mereka sendiri tak pernah berkira. Apatah lagi dengan usia gayut macam aku yang dah layak bekerja ini, aku rasa aku membebankan mereka.

“Kalau macam tu, biar aku belanja kau. Amacam?” Suria berkata macam harga tiket kapal persiaran itu seringgit dua.

“Jangan nak mengarutlah!” bangkangku. Aku tahu kawan baikku yang sengal ini sebenarnya memang orang kaya. Tapi dia bukan jenis yang berlagak. Lepak di mana-mana pun dia tak kesah. Cakap lepas. Gaya pun tak ikut protokol sangat. Sebab itu dia melekat berkawan dengan aku.

“Dah tu apa lagi alasan kau?” serang Suria lagi.

“Yang kau ni sibuk nak heret aku dah kenapa? Kau tak ada kawan lain ke?” soalku balik tanpa menjawab soalannya.

“Yang lain semua dah setuju nak pergi. Yang lain tiap-tiap kali reunion aku jumpa. Kau ni aje yang tak pernah nak muncul. Semua dok tanya pasal kau. Musykil kau ni penduduk bumi lagi ke tak?” balas Suria.

“Macamlah kalau aku tak pergi, kapal tu karam,” sinisku.

“Atau kau sebenarnya tak nak pergi sebab Safwan dan Raina?”

Oh, she hits the bull’s-eye!

“Tahu pun! Dua ekor tu apa cerita?” soalku. Dalam menyampah, aku serius nak tahu. Juga pelik macam mana mereka berdua boleh kekal sampai sekarang.

“Bahagia aje aku tengok. Macam biasalah tiap-tiap hari Raina upload gambar sweet.”

Gag reflex activated!” potongku seraya membuat gaya nak muntah.

“Kapsyen-kapsyen dia aku rasa masih tuju untuk kau.”

“Dah lapan tahun berlalu, aku ingat tahap cerdik dia meningkatlah satu level. Sama aje rupanya. Dia tak tahu ke aku bukannya baca pun ayat-ayat sweet muntah berdarah dia tu? Hmm.. nak cakap bodoh, kasar sangat! Sebab dia tu dulu budak lepasan MRSM.”

Suria ketawa kecil mendengarnya.

“Entahlah weh. Usaha tangga kejayaan kut. Dengan harapan kau baca satu hari nanti.”

“Harapan tinggal harapan. Aku tak pernah ambil tahu kut. Tak minat langsung. Apa yang dia dapat kalau aku baca? Tak tahu ke aku ni dah move on? Safwan aje pun.”

Aku tayang muka menyampah. Lapan tahun berlalu, terlajak bodohlah aku kalau aku masih ada hati dengan Safwan. Biasalah.. zaman remaja. Zaman hingus tak kering. Zaman hormon tengah mencanak tinggi. Fitrah manusia, mesti rasa gatal nak bercinta termasuk aku.

“Sebab tu kau kena pergi, Dara. Kau kena buktikan yang kau dapat yang lagi baik. Yang kau dah move on.” Suria mengapi-apikan keadaan.

“Aku dah fully move on daripada perasaan aku pada Safwan. Tapi tak bermaksud aku boleh lupakan apa yang dia dan Raina dah buat dulu.” Walaupun dah bertahun berlalu, sakitnya mungkin dah hilang tapi parutnya akan kekal. Sebagai peringatan seumur hidupku.

Diam. Rasa suasana bertukar serius. Suria pun tak berani berbahas kalau aku dah tekan suis mod serius.

“Tapi tak bermaksud hidup aku tak bahagia lepas tu. I’m glad for everything,” sambungku lagi. Mungkin kalau semuanya tak berlaku, aku tidak menjadi aku yang sekarang.

“Kalau macam tu, jomlah pergi, Dara. Kalau kau tak pergi, orang tak tahu kau dah move on. Semua tak tahu apa dah jadi dengan hidup kau sekarang. Kau rasa kenapa Raina tu tak putus-putus update status nak suruh kau baca? Sebab dia tahu dia dapat apa yang kau tak dapat. Dia rasa dia menang. Dia suka tengok kau sengsara. Sebab dia rasa kau masih lagi macam dulu.”

Gila jijik orang perangai macam itu! Aku pun tak tahu apa makanan dia sehari-hari sampai hatinya busuk macam tu. Dahlah gigih tak bertempat. Lapan tahun kut!

“Kau dah berubah, Dara. Dah tak chubby macam dulu. Slim. Makin lawa. Drop dead gorgeous. Semua orang mesti terkejut dan tak percaya kalau tengok kau nanti. Tak rasa kau perlu buktikan kepada semua ke?”

Kembang hati jugalah aku dengan pujian Suria itu. Memang tak dapat dinafikan masa telah mengubahku. Dan aku juga memilih untuk menyendiri. Sebab dah tak lalu nak hadap drama. Boleh dikatakan aku putuskan hubungan dengan hampir semua orang kecuali Suria.  

Lapan tahun yang lepas, aku dikategorikan sebagai seorang yang gemuk. Safwan pula boleh dikatakan jejaka terhangat masa itu. Kacak. Pandai. Popular. Aku hanyalah gadis yang lemah hatinya. Punya perasaan untuk menyintai dan dicintai. Hati remaja aku pun boleh terpanah melihat kesempurnaan Safwan itu. Siapa yang tidak?

Bayangkanlah apa yang jadi bila dah dapat peluang? Dipendekkan cerita, Safwan mendekatiku. Rasa macam kisah dongeng bila mimpi menjadi nyata. Kami makin rapat, seolah-olah pasangan bercinta. Layanan dia memang baik. Buatkan aku hari-hari makin jatuh hati dengannya.

Tapi.. aku harus tahu yang kisah dongeng akan kekal dongeng. Lelaki sesempurna dia, manakan pandang perempuan penuh kekurangan macam aku. Sebulan sebelum peperiksaan besar SPM, segala-galanya terbongkar. Bahawa apa yang kami lalui sebelum itu cumalah satu ciptaan demi sebuah pertaruhan. Semuanya dusta belaka.

Kejamkan? Bayangkanlah bagaimana aku cuba bangkit balik ketika hanya sebulan sebelum SPM. Macam mana pula Raina boleh muncul dalam cerita ini?

Dalam satu institusi, akan ada kategori popular, queen bee, nerd dan wallflower. Aku adalah kategori wallflower manakala Raina pula adalah queen bee. Kalau Safwan bagaikan raja ketika itu, maka Raina pula adalah ratunya.

Walaupun dulu aku gemuk, tapi mulutku memang berbisa. Aku bukan kategori yang lemah dan reda bila dibuli. Apa sahaja kata-kata yang keluar daripada mulut si Queen Bee itu, aku pasti membalas sampai terbisu minah itu. Mungkin sebab itulah dia berdendam denganku. Ego mahu membuatkan dia sentiasa lebih daripadaku. Dan oleh itu, cacian tentang bentuk fizikalku menjadi modalnya. Sampai muak aku mendengarnya. Tapi aku tak pernah kesah.

Sehinggalah dia menukar stateginya. Dia gunakan perasaan aku sebagai senjata perang. Nak dijadikan cerita, dia gunakan Safwan untuk jatuhkan aku. Dan bila semuanya terbongkar, jujur aku akui, aku memang kalah!

Terbayang kembali mereka berdua ketika itu. Seronok ketawakan aku dan mengatakan aku bodoh kerana percaya. Masih terngiang-ngiang lagi cacian mereka yang mengatakan orang gemuk macam aku kena sedar diri dan lelaki sesempurna Safwan tak akan pandang perempuan macam aku walaupun dengan sebelah mata. Kerana kali pertama patah hati, itulah kali pertama aku diam bila bertikam lidah.

Being broken is an accident. But to stay in it is a choice. Bak kata Saidina Ali bin Abi Thalib R.A, ‘The best revenge is to make yourself better’.

Gara-gara itu, aku bangkit kembali. Buktikan kepada mereka yang aku masih kuat. Tak senang. Tapi tak juga mustahil. Perhatian cuba ditumpukan penuh pada SPM. Alhamdulillah aku berjaya mendapat straight As. Kejadian dulu juga adalah pembakar semangat untukku berubah dari segi mental dan fizikal. Sebab itu aku berterima kasih juga dengan apa yang mereka berdua lakukan dulu.

“Hoi, Dara! Dengar tak apa aku cakap ni?” Suria tolak tanganku. Membuatkan segala kenangan pahit dulu terbang entah ke mana.

Aku kembali pandang Suria. Kawan yang selalu ada ketika aku jatuh dulu. Tak putus-putus bagi aku kata semangat. Sempat juga sekolahkan Raina dan Safwan. Sampai lebam biji mata kiri Safwan masa itu. Haha.

“Dengarlah. Aku agak setuju dengan kau. Tapi, kalau aku pergi nanti, tak pasal-pasal Safwan jatuh hati dekat aku balik.” Sempat aku bergurau di hujung ayat.

Suria senyum sinis.

“Lagi bagus. Let the karma slap him hard in his face.”

“Hish.. mengarutlah kau ni! Kalau aku buat macam tu, apa bezanya aku dengan perempuan tu?” balasku. Tak setuju.

Aku mungkin tak akan lupakan apa yang dah jadi. Tapi tak bermaksud aku berdendam. Aku ini dah tua dah nak simpan pedendam. Aku anggaplah semuanya adalah pengalaman untuk menjadi lebih dewasa.

But a little revenge is okay, right?” Suria angkat-angkat kening. Tengok gaya dia senyum, aku dah nampak dah rangka permainan dalam kepala minah itu. Apa perancangan dia agaknya?

“Kau nak buat apa?”

“Ramai yang pergi nanti bawak plus one. Kau pun bawaklah plus one. Kau cari yang lebih dari segala-gala aspek kalau nak banding dengan Safwan nanti. Mesti Raina panas punggung nanti,” cadang Suria.

Aku geleng-geleng kepala. Gaya dia cakap macam senang aje semua tu. Macam kalau aku petik jari, dari Kuala Lumpur sampai Seremban lelaki berbaris di depan aku.

Tapi.. idea dia tu memang menarik juga! Dah lama aku menghilangkan diri. Dah tiba masanya aku muncul kembali. Bila lagi nak buat grand entrance? Bak kata Suria tadi, ‘A little revenge is okay.’ Teringin juga aku tengok muka diva Raina bertukar macam lepas tertelan cicak.

“Mana aku nak cekau wei? Boyfriend tak ada. Siapalah nak kat aku ni?” Aku buat ayat drama reject.

“Ah, kau! Kau tu yang jual mahal sangat,” cebik Suria.

“Lagipun, dalam kes ni tak semestinya boyfriend betul. Kita upahlah sesiapa yang hellok sikit untuk jadi kekasih kau nanti.” Suria keluarkan idea gila dia.

Ni mesti Suria dapat inspirasi dari drama Teman Lelaki Upahan.

“Tak pun aku kau sewa aje la abang aku. Abang akukan pakej lengkap. Amacam?” Bersinar-sinar mata dia ketika memberi cadangan.

“Hish.. kau nak tunang dia terajang aku sampai Kutub Utara ke apa? Sengaja nak suruh aku arwah cepat, kan?” marahku. Ada ke dia bagi abang dia yang dah bertunang? Cari pasal!

Tergelak Suria dibuatnya. Nampak dia perah akal lagi. Gigih betul dia ni!

“Kau tak ada kenal sesiapa ke, Dara? Kawan-kawan lelaki kau yang elok sikit?” soal Suria lagi.

Kepala terus terbayang kawan-kawan lelakiku. Kebanyakannya dah kahwin. Yang tinggal hanyalah yang biasa-biasa. Mana layak untuk bertanding dengan Safwan. Bukannya aku nak merendahkan mereka, tapi kalau aku nak tengok Raina itu tercekik ludah sendiri, aku kena cari yang lebih elok. Yang pastinya cukup lengkap dari segala sudut. Yang sekali orang pandang tak akan berkelip dan bikin lidah terkelu. Atau perkataan pertama yang keluar setelah melihatnya adalah ‘Wow.’

Pendek kata, dalam mimpi aje la. Haha. Mana nak cari yang serba sempurna dalam alam nyata ini? Bukan senang nak cari yang pakej lengkap. Biasanya kalau kacak belum tentu kaya. Bila dah kaya mesti perut boroi. Kalau ada, memang bonuslah.

Kacak. Tinggi. Kaya.

Pakej yang aku nak cari. Bukan sebagai suami, tapi sebagai kekasih upahan semata. Untuk empat hari, tiga malam. Kalau bukan yang sebenar pun, yang ada rupa dan gaya orang kaya pun dah cukup. Nanti boleh berlakon. Bukannya orang tahu pun.

Tapi.. Kalau dapat macam ciri-ciri yang aku nak tu memang bertuah la! Eh, kejap! Rasa macam ada aje. Tiba-tiba terlintas satu nama dalam kepalaku.

Kacak. Checked. Tinggi. Checked. Kaya. Checked.

Bagaikan baru teringatkan sesuatu, tangan terus meraba-raba beg galasku. Mencari dompet. Hati berdoa supaya apa yang dicari masih ada. Aku harap aku masih simpan.

Dan bila aku melihat kad kecil hitam terselit di balik resit-resit, terus aku senyum senget. Pandang Suria yang hanya menjadi pemerhati gelagatku.

“Aku rasa aku ada.”

Let’s pay him a visit. It’s time to collect debt! 

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum..
Habis baca jangan lupa komen..
Terima kasih n sudilah jenguk lagi.. : )