Pages

Terima Kasih Anda Semua..

Kata-kata Anjell

ASSALAMUALAIKUM..

Blog ini adalah hasil nurkilan seorang budak science yang perasan nak jadi novelis...

Maaf bila tertypo.. Budak ini masih junior..

Significance of this simple blog to me : 'A PLACE TO EASE TENSION, DIFFERENT WORLD FROM THE ACTUAL ONE'

Monday 31 December 2012

Suamiku Paling Sweet (BAB 25)

BAB 25

“Kakak ipar? Siapa kakak ipar?” Aku dengar suara Syuk. Dia pandang aku. Secara logiknya memang la Syuk akan pandang aku sebab Hakimi tegur kami berdua. Takkan Syuk kot? Mereka jumpa pun tak pernah. Ya tak?

Aku macam biasa tetap tayang muka selamba. Macam tak dengar apa-apa je gayanya. Tayang muka takut terkantoi pun tak. Tapi yang pasti, aku tak sanggup nak pandang Izz. Bimbang pulak meletus gunung berapi.

“Fitri.. ikut saya sekarang. Saya ada hal nak bincang pasal students ni.” Aku tengok muka Izz selamba je keluarkan arahan. Macam tadi, langsung tak dijelingnya aku.

Encik Fitri angguk.

Izz memang buat pilihan yang paling tepat. Diheretnya Encik Fitri mengikutinya tanpa menghiraukan kata-kata adiknya itu. Mata mengekori langkah mereka sehinggalah mereka menghilang di balik pintu kaca lut cahaya yang besar. Hmm… agaknya tu la bilik Izz kut. Yalah… nikan pertama kali aku datang syarikat ni. Dan pertama kali jugak aku tahu yang ni syarikat Izz.

Sedikit sebanyak aku lega. Sekurang-kurangnya aku tak payah menghadap Izz sekarang. Terkejut pun tak hilang-hilang lagi, tahu? Sangat terkejut bila tahu aku sebenarnya sekarang ni tengah berdiri dalam syarikat kepunyaan Izz. Suami aku sendiri. Geram betul hati ni. Kalau ikutkan darah muda aku ni, sekarang jugak aku nak berdepan dengan Izz. Menghamburkan segala rasa tak puas hati dan minta penjelasan!

Tapi masalahnya sekarang ni, aku kena mengahadap pulak soalan luar syllabus yang Hakimi tinggalkan sorang-sorang. Kalau takde orang lain, memang sekarang ni jugak aku kejar Hakimi yang tersengih-sengih tu. Bikin kontroversi betul!

“Kakak ipar? Siapa kakak ipar, Qisya?” Lagi sekali Syuk bertanya.

Tengok… tak habis-habis lagi rupanya isu kakak ipar. Arghh.. tensionnya aku! Minah ni pun, selagi tak jawab soalan dia, selagi tu la dia akan tanya. Bukan aku tak kenal si Syukriah ni!

Aku buat tak tahu lagi. Tapi mata dah jeling maut si Hakimi. Dia tayang muka tak bersalah.

            Hati Allah saja yang tahu betapa sekarang ni, nak jugak aku baling kasut bot kat muka kacak Hakimi yang seriang kanak-kanak ribena tempah maut. Tak pun bagi penampar jepun. Kut terus sampai jepun betul-betul jadinya! Geram betul!

            “Who’s kakak ipar?” Entah dari ceruk mana datang pulak si Maya. Berdiri di tepi aku.

            “Hye, Kak Maya.. Long time no see.” Aku tegur Maya sambil mengangkat tangan kanan. Sengaja malas nak layan persolalan Syuk. Aku pun satu. Masa ni la nak bertegur sapa bagai, kan? Macam tak wujud je manusia-manusia lain di keliling kami.

            “Oh, hye! Baru I perasan. You.. Qisya, right?” teka Maya selepas cuba mengecam aku. Aku cuma senyum seraya mengangguk.

            “Ni kawan Qisya, Syuk. Kami students yang masuk hari ni.” Aku perkenalkan Syuk pulak. Mereka saling berbalas senyuman.

            “Now I faham maksud Kimi. Kimi.. you ni suka sangat kenakan oranglah. I faham Qisya kalau keluar daripada mulut si Kimi ni. Dia pun pernah jugak panggil I kakak ipar.”

            Hakimi gelak dan aku pulak hanya mampu senyum tawar. Hakimi pun pernah panggil Maya kakak ipar? Agaknya memang betul kut yang Izz dengan Maya bukan sekadar kawan. Tapi kali ni lain.

Faham ya? Dia tak tahu yang Hakimi memang maksudkan yang sebenar. Kalau tahu yang sebenar, mahu berjoget inang Maya kat sini. Apatah lagi kalau keluar daripada mulut Izz. Tak tahu kenapa, tapi aku yakin yang Maya punya hati dekat Izz.

            “Bukan semua perempuan I panggil kakak ipar. Kan, Qisya?” Hakimi pandang aku. Dia senyum nakal.

            Serius aku rasa nak terajang si Kimi ni! Sabar.. sabar.. sabar separuh daripada iman, Qisya. Ingat tu! Adik ipar kau sorang tu memang tak pernah tak sengal. Namanya bukan Hakimi kalau tak sengal, Qisya. Aku cuba sedapkan hati sendiri.

            “Yalah… you tu memang suka sangat sakat abang ngah you tu, kan? Pantang tengok perempuan dekat dengan abang ngah you, mulalah nak panggil kakak ipar,” celah Maya.

            Hakimi cuma senyum sebelum pandang aku. Macam mengiakan kata-kata Maya.

            “Ada-ada je dia ni. Nak gaduh ke?” Aku balas kata-kata Hakimi. Sengaja muka garang ditayang. Lama aku tak bertekak dengan mamat ni.

            Hakimi sengih. “Garangnya.. takut Kak Maya,” balas Hakimi. Suka hati je nak heret nama Maya.

            “You jangan layan sangat si Kimi ni. Semua orang kat office ni dah immune dah dengan dia.” Maya bagi nasihat yang aku rasa memang sangat berguna.

            “I masuk office I dulu. Nice meeting you and kawan you, Qisya.” Maya meminta diri.

            Maka tinggallah aku, Syuk dan Hakimi. Tersengih-sengih mamat tu pandang aku. Lama tak jumpa. Kali terakhir rasanya masa malam sejarah hitam tu. Taknak ingat la aku kalau pasal malam tu!

Tak berubah pun mamat ni.

            “Lama tak jumpa awak, Qisya. Tak sangka awak student yang akan masuk hari ni.”

            “Dan saya pun tak sangka akan masuk syarikat ni.”

Aku harap dia faham yang abang ngah dia tu sepatah haram pun tak ceritakan pasal syarikat ni. Memang nak kena si Izz ni! Memang aku lancarkan mogok la balik nanti.

            ---------

Aku menutup mulut yang menguap menggunakan belakang telapak tangan kananku. Mata tiba-tiba rasa mengantuk bila menghadap PC Dell. Aku dan Syuk sedang menjalankan kerja pertama kami daripada Encik Fitri. Kami ditempatkan di satu bilik kosong bersama-sama.

            Aku pandang sebelah. Khusyuk je si Syuk buat kerja. Aku mengeluh tiba-tiba bila kenangkan Izz. Betapa mood aku dah patah. Hilang terus rasa teruja hari pertama datang pejabat gah ni. Semuanya sebab kewujudan Izz.

            “Masuk kali ni aku rasa dah lima kali kau mengeluh, Qisya. Kau kenapa? Nampak muram je?” Syuk tegur aku.

            Syuk pun perasan ke? Tapi mana mungkin aku cerita hal sebenar.

            “Takdelah.. saja bosan mengahadap PC ni.” Aku beralasan.

            “Ke sebab abang Haikal kau tu?” Syuk senyum mengusik.

            “Abang Haikal aku? Takde kena-mengena la,” nafiku. Nak lempang jugak si Syuk ni. Suka hati dia je nak letak ‘kau’ lepas abang Haikal tu.

            “Adik dia handsome la.” Syuk gelak. Memang aku setuju. Aku turut sengih. Dah sangkut ke?

            “Kimia? Nampak je macam player mamat tu. Dah ada kekasih hati tu, tahu?” Sengaja aku patahkan mood Syuk.

            “Ala… melepas aku! Dahlah abang Haikal pun kau dah sapu!”

            Spontan aku tepuk lengan Syuk yang tengah memegang tetikus di sebelahku. Menjerit kesakitan dia bila kena tampar macam tu.

            “Tu baru namanya aku sapu. Suka hati je kau ni. Dengar dek staf lain, tak ke haru? Lebih-lebih lagi kalau si Haikal tu dengar. Apa aku nak cakap? Malu wei..”

            “Nak cakap apa? Entah-entah dia pun memang minat kau. Yala.. anak dia pun dah panggil kau mummy. Apa lagi yang tak cukup pada kau? No wonderlah kalau Encik Hakimi tadi panggil kau kakak ipar. Entah-entah memang abang Haikal kau tu ada hati kat kau.”

            Tengok.. dia letak lagi ‘kau’! Tension aku bercakap dengan si Syuk ni! Tak habis-habis dok kenankan aku dengan Izz. Kami dah kahwin, Syuk! Tak payah nak sibuk jodohkan kami.

            “Setakat panggilan kakak ipar tu, apalah sangat? Kau tak dengar ke yang Maya cakap Kimi tu pernah panggil dia kakak ipar?”

            “A’a.. ya tak ya jugak, kan? Maya tu jawatan dia apa, wei?” soal Syuk.

“PA Iz.. Izz Haikal.” Nyaris-nyaris aku tersasul panggil Izz. Nasib baik sempat sambung. Kat pejabat ni takde yang panggil Izz kecuali Maya.

Oo.. PA. Hmm.. patutlah.” Syuk senyum sendiri. Musykil aku!

“Apa yang patut?”

“Entah-entah Haikal dengan Maya tu bercinta. Tapi, takde orang tahu sebab hubungan bos dan pekerja. Betul tak?” komen Syuk lagi. Dah mula dah karier detektif tak bertauliah Syuk. Agaknya dah sign kontrak dengan pengarah Detective Conan kut!

            Tak tahu kenapa panas hati pulak aku dengar Syuk cakap macam tu. Kalau betul Izz dan Maya bercinta, memang kenalah Izz dengan aku. Sepatutnya aku kena selidik sejauh mana hubungan mereka. Aku rasa ada hikmahnya jugak aku tercampak kat sini. Aku boleh tengok dengan mata aku sendiri macam mana hubungan dorang.

“Lagipun aku tengok dorang sama cantik sama padan. Kan, Sya?”

Hmm..” Aku jawab malas.

“Anak dia boleh terima dia macam kau tak? Dia panggil mummy jugak ke?” soal Syuk lagi. Malas nak jawab. Tension aku! Hanya aku mummy Hafiy, okay?

Aku bangun.

“Nak pergi mana?” soal Syuk.

“Bosan aku layan topik kau tu. Tak mengembangkan otak langsung. Ada ke sibukkan hal si Haikal dengan Maya tu? Aku nak pergi pantri. Nak segarkan mata dan hilangkan mengantuk. Tiba-tiba pulak rasa dahaga,” jawabku.

Baik aku blah sebelum terpecah habis segala-galanya. Nyaris-nyaris nak kantoi hari ni. Bahaya betul!

     ----------

Aku layan perasaan di pantri. Tak faham betul aku. Pantri kat tingkat sepuluh. Jauh betul! Terpaksa aku turun lima tingkat semata-mata nak cari segelas air? Merungut lagi kau, Qisya! Dahlah baru datang syarikat orang. Nak kritik-kritik segala bagai pulak. Kau kena la faham yang syarikat ni bukannya syarikat kecik. Bukannya ada dua orang staf je. Kena la adil letak pantri yang besar ni.

            Tangan mengacau air nescafe original 3 in 1 dalam mug merah tapi fikiran melayang entah ke mana. Perlahan-lahan air dalam mug itu dihirup. Lambatnya nak berlalu hari ni! Baru hari pertama tapi serius aku dah hilang seronok nak kerja. Kenapa dalam banyak-banyak syarikat, syarikat ni jugak yang aku dapat?

            “Kenapalah dalam beatus-ratus syarikat kat KL ni, syarikat mamat tu jugak aku sangkut?” bebelku sendiri. Tak puas hati betul!

            Ni semua tangan Syuk punya pasal. Dah hilang tuah dah, Syuk! Adoyai.. kuat sangat ke jodoh aku dengan Izz sampai boleh duduk satu pejabat pulak tu? Dan aku pulak, kenapalah tak pernah ambil tahu Izz kerja kat mana? Syarikat apa? Bodohlah aku ni! Nak je aku hantuk-hantuk kepala ni kat dinding.

            Sabar, Qisya. Sebulan je. Sebulan je aku terpaksa bertahan untuk menghadap Izz di pejabat.

            Lawrence’s Lands and Properties.. Tiba-tiba teringat sesuatu. Aku tepuk dahi. Adoi.. Kenapalah aku boleh lupa yang nama papa Manaf sebelum peluk islam adalah James Lawrence? Keluarga Lawrence. Kan mama dah cakap dulu. Bodohnya..

            “Bodohlah kau ni, Qisya. Kan dah jadi macam ni. Saper suruh kau tak ambik tahu apa-apa pasal Izz? Tengok sekarang ni..” bebelku lagi.

            Dan Izz pulak bukannya reti-reti nak cakap yang ni syarikat dia awal-awal dulu. Takde la aku terkejut bapak beruk macam ni. Kalau mamat tu depan aku sekarang ni, tahulah aku nak buat apa! Sengaja nak naikkan tekanan darah aku.

            Tiba-tiba aku rasa macam ada manusia lain selain aku kat pantri ni. Lantas aku berpaling ke belakang.

            Izz.

            Aku sedikit tergamam namun cepat-cepat aku kawalnya. Cepat betul doa aku dikabulkan. Dah terpacak Izz depan aku. Aku nampak Izz tenang je di muka pintu masuk pantri. Hanya kami berdua kat sini. Buat apa mamat ni datang sini? Kenapa masa ni jugak dia nak datang kat pantri? Ikut aku ke?

            Err.. dia dengar ke aku membebel sorang-sorang tadi?

            Terus aku atur langkah untuk tinggalkan pantri ni. Malas pulak mengahadap Izz sekarang. Aku tengah marah ni, tahu? Tak hilang-hilang lagi. Kalau aku berbincang dengan dia sekarang, memang satu bangunan agaknya boleh dengar suara aku. Baik perang kat rumah!

            Izz halang aku. Tangannya didepakan untuk menghalang laluanku.  Bila aku ke kanan, dia ke kanan. Bila aku ke kiri, dia turut ke kiri. Haish.. geramnya aku! Ingat tengah main galah panjang ke apa?

Bila dapat peluang, tangan aku ditarik rapat ke arahnya.

            “Apa awak ni? Nak peluk-peluk orang pulak,” marahku bila Izz peluk aku. Bergabung dengan marah pagi tadi sebenarnya. Bergabung juga dengan kemarahan daripada kata-kata Syuk yang Izz bercinta dengan Maya. 

Aku tolak tubuh Izz yang dekat denganku. Tapi Izz masih tak lepaskanku. Makin menggelegak darah. Weh.. cukuplah pagi tadi je kau peluk aku! Melampau! Ingat aku ni bantal peluk kau ke?

            “Sya isteri abang.”

            Huh! Tak menjawab persoalan langsung! Aku tanya lain, sengaja auta jawapan lain. Takde kaitan pulak tu. Nak je aku jawab macam ni. Isteri ke, nenek ke, tapi saya tak suka awak peluk saya, faham?

            “Kita kat tempat awam, Izz,” kali ni aku macam merayu. Cuba ingatkan dia yang kami bukannya kat rumah.  Mana la tahu dia lupa. Cakap dengannya memang kena berlembut. Berkeras sangat karang makin dia berkeras jugak.

            “But still Sya isteri abang.” Bengang aku dengar jawapan dia.

            “Kalau staf lain nampak macam mana?”

Aku jeling di belakang Izz. Manalah tahu kalau-kalau ada staf lain yang datang sini. Free je kantoi. Nasib baik jugak tingkat ni memang jarang ada staf sebab tingkat ni menempatkan bilik besar mesyuarat, pantri dan juga surau. Tapi.. bimbang jugak. Sebab apa nak jadi takde siapa yang boleh jangka, kan?

            “Kimi tengah jaga line.” Dia menjawab selamba. Geramnya hati! Aku gigit bibir bawah.

            Kimi… aku rasa memang betul la dia nak kena terajang sampai jepun. Ke nak ke pluto, biar hilang terus dari bumi. Geramnya aku! Boleh pulak adik-beradik ni bersekongkol? Masa ni pulak la si Kimi tu nak tunjuk perangai adik mithali dia!

            “Tapi kat sini ada CCTV.” Aku dapat idea bila terpandangkan sesuatu di bucu pantri.

            Izz turut pandang CCTV tu dan mendengus geram. Baru Izz longgarkan pelukannya sebelum lepaskanku. Aku tarik nafas lega. Hari-hari macam ni boleh semput aku.  Memang aku kena pastikan ada CCTV ke baru aku selamat?

            Izz pandang aku. Aku pandang Izz. Arghh… sampai subuh lusa pun memang takkan habis kalau dok saling pandang-memandang macam ni. Tension aku!

            “Encik Haikal.. tak payah nak adakan pertandingan siapa pandang siapa paling lama kat sini. Saya nak sambung kerja.” Sengaja aku sabdu cukup-cukup namanya tu. Sengaja nak letakkan formaliti. Nak tunjuk jugak yang aku ni tengah bengang sekarang ni.

            Aku cuba melepasinya. Sekali lagi dia halang dengan tangannya.

            “Nak apa lagi?” bengang suaraku bertanya.

            “Sya marah abang ke?” soalnya.

            “Memang marah. Kenapa tak cakap yang ni company awak?” Meledak habis amarah aku. Siapa suruh tanya. Ya tak? Tambah-tambah lagi memang aku tengah pendam amarahku padanya. Sekali meledak keluar, memang nasib la.

            “Sya tak tanya pun,” jawabnya. Sakit hati aku dengar.

            “Kan saya dah tanya hari tu!”

            “Sya tanya abang kenal ke tak. So, abang jawab la abang kenal. Abang tak menipu, kan?” Oh.. menjawab pulak! Pandai ya sekarang mentang-mentang ni syarikat dia.

            “Malas la saya nak cakap dengan awak ni. Saya tak suka kena tipu, tahu?” bengang suaraku.

            “Okay.. okay.. abang minta maaf, okay?” pintanya.

            Dia pegang tangan aku, tapi aku cepat tepis. Nak pegang tangan aku pulak! Nak kena tendang sampai parking lot kat basement agaknya! Ke nak sampai rooftop kut ya nak lebih tinggi?

            “Dahlah awak tipu saya hidup-hidup lepas tu bila jumpa pagi tadi buat muka tak bersalah pulak. Geram, tahu?” Aku mula singsing lengan baju sampai ke siku.

Haa.. kan dah mula singsing lengan baju ni! Baru best nak marah. Marah aku tak hilang-hilang lagi. Lebih-lebih lagi bila dia buat tak kenal aku pagi tadi. Makin sakit hati aku.

            “I’m sorry. Abang mengaku tu salah abang. Tapi abang buat macam tu sebab abang taknak ganggu Sya. Lagipun Sya taknak orang lain tahu yang kita dah kahwin, kan? So, abang terpaksa berlakon yang abang bukan siapa-siapa dengan Sya. Abang akan ikut Sya kalau tu yang Sya nak,” terangnya panjang lebar.

            Betul jugak katanya. Aku memang taknak orang lain tahu kalau boleh. Nyaris-nyaris kantoi tadi pun nasib baik sempat diselamatkan oleh Izz dan Maya secara tak langsung.

            “Kenapa Sya tak suka satu pejabat dengan abang? Sya malu ke kalau orang tahu yang abang suami Sya? Sya malu bila orang tahu yang Sya dah kahwin?” soalnya.

            Aku pandang matanya bila dia cakap macam tu. Tajam pandangan matanya buatkan aku terkelu jugak. Dia fikir macam tu ke? Malu ke aku kalau orang tahu dia suami aku? Sebelum aku jawab, ada satu soalan yang bermain dalam kepalaku. Perempuan mana yang malu kalau punya suami yang sempurna macam Izz? Faham-fahamlah jawapan aku bila aku cakap macam tu.

Dan malu ke aku kalau orang tahu aku dah kahwin? Entahlah.. aku keliru untuk jawab soalan tu. Malu ke aku?

            “Awak jangan nak mengarut sampai ke situ pulak. Saya cuma tak suka. Saya tak selesa. Saya rasa pergerakan saya terbatas. Saya akan rasa tingkah laku saya kat sini selalu diperhatikan awak,” luahku. Yang tu aku tak tipu.

            “Abang janji abang akan ikut apa yang Sya nak. Abang akan anggap Sya sebagai anak kawan ibu. Abang akan rahsiakan perkahwinan kita sampailah Sya sendiri yang sedia nak orang lain tahu. Kalau itu yang buat Sya bahagia, abang akan ikut. Okay?”

            “Apa-apa la, Encik Haikal. Dekat office, kita bos dan pekerja, okay? Jangan nak berabang-abang dengan saya pulak depan orang lain.” Aku ingatkannya.

            “Okay.. abang tak kisah.” Dia setuju.

            “Tapi tak bermaksud abang tak boleh nak tunjuk minat abang kat Sya, kan?” Dia senyum.

            “Jangan nak mengarutlah!” marahku.

            “Salah ke? Rasanya tak salah kalau perlahan-lahan abang tunjukkan kat orang lain yang abang sememangnya dah jatuh cinta pada Sya,” hujahnya. Terus keras lidah aku.

            “Saya nak sambung kerja la, Izz. Lama sangat kat pantri ni. Apa pulak kata Syuk. Takut pulak kalau Encik Fitri cari saya.” Aku minta diri.

            “Hmm.. yalah.”

            “Jangan ingat saya dah tak marah kat awak, tahu? Saya masih marah ni!” sempat pulak aku berkata sebelum tinggalkannya.

            Err.. perlu ke aku cakap macam tu? Pedulilah!

Tiba di sofa hitam di tengah-tengah tingkat ni, aku nampak Hakimi tengah melayan iPhonenya. Oh.. kat sini ya si tukang jaga line duduk. Ni sorang yang aku nak sekeh je kalau dapat peluang. Tersengih-sengih dia pandang aku.

“Apa tengok-tengok?” marahku sebelum berlalu pergi.

---------

Penat betul hari ni. Baru hari pertama dah jadi macam-macam. Bukan setakat tubuh dan otak je penat. Jantung aku pun rasanya dah penat mengepam darah ke seluruh badan sebab macam-macam kejutan aku dapat hari ni. Nasib baik tak berhenti je jantung aku ni.

            Sedar tak sedar dah pukul lima petang. Menandakan dah berlalunya hari pertama aku di pejabat ni. Balik ni kena siapkan report pulak. Adoi.. penatnya! Sangat lega bila dah berlalu hari ni.

            “Kau balik dengan apa, Sya?” soal Syuk.

            Seperti yang dijanjikan, aku datang dengan Syuk dan akan pulang sendiri. Sebab aku taknak susahkan Syuk untuk menghantarku pulang. Dia pun penat  jugak. Tambah-tambah lagi aku memang taknak Syuk tahu kat mana rumah aku.

Daripada aku susahkan Syuk, baik aku susahkan suami sendiri. Betul tak? Bukanke tugas isteri adalah untuk menyusahkan suaminya? Ahaks… falsampah mana pulak kau pakai ni, Qisya? Ajaran sesat betul!

            “Ada orang datang jemput,” jawabku. Ya.. aku dah telefon Pak Ayub dan Pak Ayub dalam perjalanan untuk menjemputku.

            Tiba-tiba teringatkan kata-kata Pak Ayub pagi tadi. Baru aku faham maksud Pak Ayub yang tanya aku kenapa aku tak pergi kerja dengan Izz.

            “Kau taknak tumpang aku ke?” Syuk menawar budi.

            “Tak payahlah. Aku taknak susahkan kau. Kau bolehlah terus balik kolej.”

            “Apa yang susahnya? Nak balik Bangi jugak, kan?”

            “Nanti kau kena hantar aku. Kesian kau. Penat pulak kau nanti. Tengah peak hour ni. Memang jam.” Aku beralasan lagi.

            “Takpe ke kau tunggu sorang-sorang?” Syuk bagaikan bimbangkan aku. Aku senyum.

            “Okay je la. Bukannya lama pun. Kejap lagi sampai la tu. Kan ramai lagi staf yang tak balik lagi. Pak guard kat sni pun ada. Don’t worry.. Aku ada tae kwon do, okay.” Aku gelak.

            “Kalau macam tu, aku balik dulu la.” Syuk meminta diri.

            “Bye.. jumpa besok.” Aku lambai pada Syuk yang dah menghilang dalam perut keretanya.

            Aku duduk di atas kerusi batu sorang-sorang. Jam di tangan dikerling sekilas. Hampir lima setengah petang. Pak Ayub tengah on the way. Tengah sangkut dalam jam kot? Reda je la, Qisya kalau balik lambat.

            Aku pandang jalan pulak. Macam tengah tunggu marka je gayanya. Tak lama selepas itu, sebuah kereta berwarna silver yang cukup aku kenal berhenti betul-betul depan tempatku duduk. Hmph.. memang marka la yang sampai!

            Izz keluar daripada perut keretanya dan berjalan ke arahku.

            “ Sorry.. abang lambat. Jom, Sya.”

            “Mana Pak Ayub?” soalku. Bukan tadi aku nampak Izz keluar awal ke? Aku ingat dia dah balik dulu ataupun ke tempat lain dulu sebelum balik rumah. Kan lepas kejadian kat pantri tadi kami sama-sama setuju yang aku ni cuma anak kawan ibunya.

            “Hari ni Sya balik dengan abang.”

            “Tapi Pak Ayub..”

            “Abang dah call Pak Ayub. Hari ni balik dengan abang. Okay, sayang?” Dia senyum.

            Sayang! Kali pertama dia panggil aku macam tu. Buatkan jantung aku berdegup pantas jugak. Apa demam ke Izz ni sampai-sampai nak bersayang-sayang dengan aku? Tengah-tengah jalan keluar pulak tu.

            Eleh.. entah-entah dia nak pujuk kau, Qisya. Diakan tahu kau tengah marah sekarang ni. Hatiku bersuara.

            “Nanti orang lain nampak.” Aku enggan.

            “Dah habis waktu pejabat, Qisya. Sekarang ni yang berdiri depan Sya ni bukannya Encik Haikal, bos Sya. Tapi Izz, suami Sya.” Dia senyum lagi.

            “Jomlah.. hari dah makin gelap ni. Nak abang dukung ke?” sempat pulak dia bergurau. Nak kena baling batu agaknya dia ni. Biar betul sikit!

            Aku bangun mengekorinya. Memang dah takde jalan lain dah selain balik dengan dia. Malas dah nak bertekak dengan dia kat tengah-tengah jalan ni. Baik aku cepat-cepat blah sebelum orang lain nampak.

            “Bukan ke awak keluar awal tadi?” soalku ketika kami dah masuk ke dalam kereta.

            “A’a.. abang pergi cari ni.” Dia mencapai sesuatu di tempat duduk belakang. Entah apa yang dicarinya, tak pulak aku ambil tahu. Aku kenakan tali pinggang kaledar.
            Aku terkejut bila tiba-tiba dia suakan sejambak bunga ros merah kepadaku. Tergamam aku dua saat.

            “Just for my beloved wife, Qisya Iris,” ucapnya lembut dan romantis.

            “Apa ni?” soalku sekadar cuba menutup rasa hati yang terharu. Aku betul-betul tak sangka yang Izz akan bagi aku bunga.

            Izz senyum paling manis.

            “Abang dah buat Sya marah hari ni. I’m sorry? Abang tahu tak cukup tapi, abang betul-betul minta maaf,” ucapnya lagi.

            Aku terdiam. Tak tahu nak cakap apa sebenarnya. Aku rasa aku kena belajar sesuatu daripada Izz. Selalu minta maaf bila dah buat salah.

            “Kalau saya ambik bunga ni, kira saya dah maafkan awak ke?” soalku.

            Izz angguk. Aku pandang pulak mata cantik dia. Macam mana tak lembut hati bila mata dia betul-betul redup dan ikhlas? Huh! Akhirnya aku mengalah. Perlahan-lahan aku menerima bunga ros itu.

            Izz senyum lega. Sukalah tu aku dah tak marah!

            “Dengan syarat jangan tipu saya lagi.” Sempat aku bersyarat.

            “Ya.. abang janji.”

            “Tak cukup lagi. Malam ni belanja saya makan sedap-sedap..”

            “Baik, Puan Qisya.”

            “Lepas tu…”

            “Ada lagi?” Izz potong percakapanku.

            “Awak nak saya maafkan awak, tak?” Aku kembali naik angin. Tangan dicekak ke pinggang.

            “Okay.. apa dia?” Izz bersabar melayan karenahku. Aku senyum dalam hati. Menang!

            “Esok belikan saya cheese cake.” Terbayang-bayang cheese cake depan mata. Yummy.. boleh meleleh jugak air liur setengah  liter.

            Izz tergelak.

            “Sejak bila jadi macam Hafiy ni?” soalnya. Aku baru perasan sesuatu. A’aa la.. sejak bila pulak aku jadi macam Hafiy?

            “Hmm.. sejak saya jadi mummy Hafiy.”

            Izz senyum. Berpuas hati dengan jawapan aku kot.

            “Boleh ke tak?” soalku lagi.

            “Anything for you, sayang..” kata Izz. Gear kereta ditukar. Baru nak mulakan perjalanan pulang ke rumah.


** SO SORRY LAMA XDE ENTRY..MACAM-MACAM DAH JADI KAT SAYA BULAN NI..HUHU... HARAP ENTRY NI CUKUP TOK KALIAN SEMUA..

Monday 10 December 2012

Suamiku Paling Sweet (BAB 24)

BAB 24

Malam tu, pukul sembilan malam barulah Izz dan Hafiy pulang ke rumah. Pukul sembilan malam kau. Keluar sebelum makan tengah hari, pulang malam? Sampai-sampai tanya nak makan malam kat mana pun, jawab nak makan kat luar? Wah.. seronok betul mereka berseronok tanpa aku. Mentang-mentang aku suruh keluar, memang keluar betul-betul ni. Ke Izz nak balas dendam?

     Masa mereka balik, aku tengah tonton TV di ruang tamu dengan abang. Mama dengan papa entah ke mana. Dalam bilik kut. Aku buat muka biasa-biasa je. Macam tak kisah sangat. Egolah katakan. Masuk je rumah, terus aku dengar suara Hafiy yang berteriak memangggil namaku.

     “Mummy… Hafiy belikan cheese cake untuk mummy. Jomlah kita makan sama-sama.” Hafiy melompat duduk di sisiku. Dia tunjukkan satu kotak sederhana besar yang dibawa Izz.

     Tersenyum aku melayan karenah budak ni sorang. Dia betul-betul belikan aku cheese cake? Waa.. ingat jugak dia kat aku ya walaupun dah jumpa Maya. Terharu.. terharu.. Cheese cake? Yummy.. yummy.. lamanya tak makan makanan kegemaran aku kalau makan kat Secret Recipe tu.

      “Jomlah, mummy. Kita makan cheese cake. Hafiy dah lapar dah. Tengok.. perut Hafiy dah kecik dah.” Hafiy tayang muka comel sambil tayang perutnya. Aku tergelak. Apa yang kecik. Sama je aku tengok.

     “Yala.. mummy ambilkan sudu dulu ya. Kita makan ramai-ramai. Pergi panggilkan atuk dengan nenek..” Aku bongkokkan tubuh untuk berbisik dengan Hafiy.

     “Kalau tak, nanti dorang merajuk,” bisikku pada Hafiy.

     Hafiy pulak mendekatkan bibirnya ke telingaku.

     “Yake? Tapi.. Tak comellah orang tua merajuk,” bisiknya.

     Aku ketawa mendengar Hafiy berkata sebegitu. Hafiy jugak turut ketawa bila aku ketawa.

     “Apa pulak scandal dua orang ni? Musykil betul.” Abang gelengkan kepala melihat karenah aku dan Hafiy.

     “Biarlah. Jelouslah tu.” Aku jelir lidah pada abang.

     “Cepat.. panggilkan atuk, nenek dengan nek su sekali,” arahku pada Hafiy.

     “Ai’ai.. bos.” Hafiy tabik padaku sebelum berlari naik ke tingkat atas.

     Aku pula mengambil sudu, piring, beberapa biji gelas dan sebotol air kosong sejuk ke ruang tamu. Baru lepas makan nasi, makan pulak cheese cake. Makan pulak pukul sembilan malam. Hmm.. memang seimbang sangatlah diet aku. Pedulilah.. bukannya selalu buat macam ni. Hehe..

     Masa aku tiba di ruang tamu, Izz dan abang tengah bercakap pasal apa entah. Aku pun malas nak ambil tahu. Aku nampak Hafiy.

     “Atuk dengan nenek cakap dorang taknak. Dorang suruh kita makan dulu. Nek su pun cakap macam tu.” Hafiy menyampaikan laporan.

     Aku dah boleh agak sebenarnya. Memang taklah orang tuaku dan Mak Su tu nak makan benda-benda manis macam ni. Malam-malam macam ni pulak tu. Saja je aku suruh Hafiy panggil sekadar nak cukup syarat.

     Aku potong kek tu dan letakkan dalam piring. Pertama sekali aku serahkan kepada Hafiy. Kemudian kepada Izz, abang dan barulah untukku sendiri. Sesudu disuap. Emm.. yummy! Sedap sampai nak jilat sudu ni.

     “Hafiy.. seronok keluar?” Abang bertanya kepada Hafiy.

     “Seronok, Pak Long. Daddy bawak Hafiy pergi Times Square. Lepas tu pergi taman main gelongsor.” Hafiy bercerita.

     “Wah.. asyik main je la ya, Hafiy hari ni? Mesti tak bosan, kan?” korek abang lagi.

     “Bosan la, Pak Long. Asyik main sorang-sorang je. Tak seronok la. Kenapalah mummy tak ikut tadi? Kalau tak mesti seronok mummy teman main.”

     Dan buat sakit mata je tengok Izz dan Maya? Huh!

     “Aik.. daddy tak teman Hafiy main ke?” soal abang lagi. Aku selesa diam. Taknak bukak mulut. Kalau tak, mesti ada je yang tuduh aku jelous. Izz pun selesa tengok TV. Entah cerita apa la yang abang layan, aku pun tak tahu.

     “Tak.. asyik cakap dengan Aunty Maya je.” Hafiy mengadu lagi.

     “Haa.. kan ada Aunty Maya. Aunty Maya tak teman Hafiy main ke?”

     “Teman. Tapi kejap-kejap je. Sebab Aunty Maya cakap, dia tengah buat kerja dengan daddy.”

     Meskipun mata pandang TV, tapi aku sempat dengar perbualan antara abang dengan Hafiy tu. Oo.. betullah dia dan Maya buat kerja. Dalam hati aku rasa lega sikit.

     “Hmm… Aunty Maya cantik, tak?” soal abang lagi.

     Aku pandang abang. Hai.. lain macam je soalannya? Aku mula tak sedap hati. Adalah tu benda yang tak tercapai di akalmu dan hanya tercapai di akal Qairul yang dia nak buat.

     “Cantik. Kan, daddy?” Hafiy tanya Izz.
     Aku turut pandang Izz. Nak jugak aku tengok pandangan Izz pada Maya selama ni. Izz tak angguk dan tak jugak geleng.

     “Daddy.. Aunty Maya cantik, kan?” gesa Hafiy lagi bila daddynya tak bagi jawapan. Nak taknak, kau kena jawab, Izz. Jawab je cantik, Izz. Takde orang nak marah pun sebab Maya memang cantik. Dan penipu besarlah kalau jawab tak cantik. Ya tak?

     “Hmm.. cantik.” Haa.. kan aku dah cakap. Mesti dia cakap cantik punya. Kalau tanya mana yang lebih cantik antara aku dan Maya, agaknya memang aku dah kalah terlebih dahulu. Weh.. sejak bila kau perasan cantik, Qisya? Ahaks!

     Tapi, kenapa aku rasa sakit hati bila dia puji Maya cantik? Hai.. hati.. hati.. Selalu rasa pelik tak kena pada tempatnya. Tak layak kau rasa macam tu. Tukan hak Izz nak cakap siapa cantik pada matanya? Dah memang kenyataannya si Maya tu cantik, apa boleh buat?

     “Haa.. kan Hafiy dah cakap. Cantik, Pak Long.” Hafiy gembira bila Izz bersetuju dengannya. Dia tak tahu yang aku ni rasa macam mana. Waa.. kenapalah kebenaran ni memeritkan? Cewah… nak berjiwang karat empat belas pulak malam ni.

     “Kalau dengan mummy, siapa lebih cantik? Mummy ke, Aunty Maya?” Abang tanya lagi. Mata sempat jeling aku.

     Sekarang ni, aku rasa macam nak lempang je abang yang aku rasa macam sengaja nak naikkan darah aku. Cari nahas betul. Betul-betul soalan cepu mas ni! Tak sanggup rasanya tahu kebenaran yang buat sakit hati. Ikutkan hati memang aku nak lari masuk bilik sekarang ni jugak. Tapi, aku nak juga tahu jawapannya. Hai.. susah betul!

     “Emm…” Hafiy pandang aku. Jari telunjuk kanannya diletakkan di pipi kanannya. Macam sedang menilai aku. Cantik ke tak aku kalau nak dibandingkan dengan Maya. Oh, bukan! Sebenarnya, layak ke tak aku nak menandingi Maya? Haa.. tu baru betul!

     Aku rasa sekarang ni baik Hafiy jangan bukak mulut. Tak sanggup aku dengar dia puji Maya.

     Hafiy senyum lepas dia pandang aku.

     “Of course la mummy yang lagi cantik. Kan, daddy?” sekali lagi Hafiy minta pandangan daddynya. Huh.. aku tak rasa apa-apa sebab aku tahu yang dia cuma nak ambil hatiku kut.

     Izz tak jawab. Cuma mata pandang aku. Tayang muka kesian la tu. Aku terus alihkan mata untuk tengok TV. Kononnya langsung tak kisah dengan tajuk hot malam tu. ‘Siapa Lebih Cantik.’ Jom kita vote!

     “Mummy is the most beautiful mummy in the world. Mestilah mummy yang lebih cantik daripada Aunty Maya,” komen Hafiy lagi.

     “Huh… macam ni pun cantik ke? Hafiy tak payah tipu Pak Long. Cakap je yang betul. Mummy Hafiy tak cantik pun.” Abang macam cuba memprovokku.

     “Mana ada Hafiy tipu Pak Long. Memang mummy cantiklah. Daddy pun pernah cakap mummy cantik sebab daddy suka orang pakai tudung.”

     “Oh, ya ke?” Abang macam tak percaya. Kemudian, aku tengok dia pandang Izz.

     “Izz.. betul ke? Adik aku dengan Maya, mana satu lebih cantik?” Abang tanya Izz. Hish, tak boleh jadi ni! Abang ni sengaja nak cari nahas dengan aku. Tanya pasal cantik pulak dah. Sensitif tu! Tanya pulak kat laki aku.

     Aku bangun.

     “Sibuk la abang ni. Huh.. malas dah nak layan. Baik masuk bilik.”

     Aku terus berlalu. Tambah-tambah pulak aku memang nak siapkan kerja sikit malam ni. Ni semua kerja tergendala yang dibawa Syuk petang tadi.

     --------

Aku sibuk membelek nota yang dibawa oleh Syuk petang tadi di meja jepunku. Depan aku ada laptop. Nak study sikit malam ni. Kenapalah aku rasa semester ni semacam disaster sikit, hah? Adoi.. kena extra rajin ni kalau nak jaga pointer.

     Sedang aku sibuk membaca, aku dengar pintu bilik dikuak. Izz dah masuk bilik. Ya la.. masa ni memang afdal sangat la kalau nak tidur. Barulah cukup lapan jam waktu tidur. Orang tak sibuk, boleh la buat macam tu. Tapi, untuk seorang pelajar memang takkan tercapai hasrat murni macam tu.

     Aku tak pedulikannya. Tiba-tiba malas pulak nak study. Rest kejap. Terus aku tekan mouse pada folder games. Main game Plants vs. Zombies pun macam best je? Lama gila tak main. Nak habiskan survival. Menguji iman betul la zombi-zombi ni. Nak je aku cekik-cekik.

     Izz datang padaku. Hish.. dia ni. Nak kacau aku la tu! Sehari dia tak ganggu hidup aku, tak boleh ke? Tapi, aku diam je meskipun tak senang hati. Masih merajuk dengan peristiwa kat ruang tamu tadi. Tapi, kenapa pulak aku nak merajuk, hah? Rasanya dia takde buat apa-apa pun.

     “Buat apa?” Dia intai laptopku.

     “Main ragbi,” jawabku selamba. Masa tu zombi yang pakai baju ragbi tengah makan tall nut yang aku tanam.

     Haa.. kan dah kena! Bukannya dia tak dengar bunyi game ni kuat macam apa.

     “Sya marahkan abang ke?” soalnya selepas duduk sebelahku.


     “Saper marah awak?” soalku selamba. Mata masih tepat menatap tumbuhan-tumbahan yang aku tanam. Semuanya menanti masa nak kena makan. Kurang ajar kau zombi!

     “Abang minta maaf sebab keluar lama.” Dia minta maaf. Kenapa pulak nak minta maaf? Ada aku cakap aku marah dia ke?

     “Saper cakap saya marah? Hafiy pun gembira sebab boleh keluar. Dia pun enjoy, baguslah tu.” Mendatar aku jawab. Kau pun enjoy jugak.

     “Tadi kawan Sya datang buat apa?”

     “Dia bagi kerja untuk kelas yang saya tak datang.”

     Izz pandang kertas atas mejaku. Maaflah Izz.. meja aku ni tak sekemas meja kerja kau. Macam ni la kalau aku buat kerja. Kat mana-mana je ada kertas. Belum lagi tengok musim nak exam. Tak nampak lantai dah aku rasa sebab penuh dengan kertas. Masa tu jugaklah nak baca semua. Nasib kau la ya kahwin dengan student.

     Kemudian, aku nampak dia pegang satu kertas. Aku jeling sekilas. Hmm.. borang untuk projek Dr. Abdul Razi. Borang kebenaran untuk masuk ke syarikat Lawrence’s Lands & Properties.

     “Lawrence’s Lands & Properties?” Izz macam tanya aku.

     “Hmm.. kenal ke?” soalku. Izzkan punya syarikat sendiri. Manalah tahu kut-kut dia tahu kat mana letaknya syarikat ni.

     “Kenal.” Dia jawab sepatah.

     Haa.. kan dah aku dah agak. Terus bersinar-sinar mata aku. Senang sikit kerja aku nak korek serba-sedikit pasal syarikat ni.

     “Kenapa Sya ada surat syarikat ni?” Izz tanya aku. Jangan cakap tu syarikat musuh dia dah. Dalam businesskan banyak musuh.

     “Ada projek sikit. Untuk research dan practikal sekali. Ada sorang lecturer ni nak kitorang semua buat kerja outdoor sikit. Semua main undi je. Satu syarikat dua orang. Saya dengan Syuk. Saya tak datang, so Syuk tolong cabutkan undi. Dapat syarikat ni la. Syarikat apa entah. Tak kenal pun.”

     “Hmm..” dahinya berkerut sambil melihat kertas tu. Macam tengah memikirkan sesuatu.

     “Bila start projek ni?” soalnya.

     “Bulan depan.”

     “Hmm.. macam seronok je projek ni.” Dia senyum. Misteri nusantara betul aku tengok. Seronok dia cakap?

     “Seronok?”

     “Ya la.. seronok. Sebab abang dulu takde pun benda-benda macam ni. Sya bertuah. Sebab dah boleh expose dengan workers’ environment dah.” Izz keluarkan pendapatnya. Hmm.. ya la tu, Izz. Agaknya macam ni la pemikiran Dr. Abdul Razi tu.

  ------

Hari ni hari pertama aku akan menjejakkan kakiku di Lawrence’s Lands and Properties. Rasa berdebar pun ada jugak. Macam tak pernah praktikal je gayanya. Macam hari pertama nak masuk kerja pun ada. Aku dah cakap kat Izz yang hari ni merupakan hari pertama aku akan ke Lawrence’s Lands and Properties. Dia hanya mengucapkan good luck kepadaku.

     “Nak abang hantarkan ke? Abang tahu kat mana tempat tu.” Izz menawar budi. Masa tu kami di ruang tamu. Dia dah bersiap sedia untuk ke pejabatnya. Segak je dengan kameja ungu mudanya dengan seluar slack hitam.

     “Takpelah. Saya nak pergi dengan Syuk. Rasanya Syuk ada GPS. Awak pergilah kerja dulu. Nanti Pak Ayub hantar saya.” Aku menolak pelawaannya. Aku taknak susahkan dia. Manalah tahu dia akan masuk lambat gara-gara nak hantar aku. Tak pasal-pasal rosak disiplin dia gara-gara aku.

     “Hmm.. kalau macam tu, abang pergi dulu. Take care,” ucap Izz. Aku salam tangan Izz.

     Oo.. lupa nak cakap! Sejak akhir-akhir ni, hubungan aku dengan Izz dah agak baik. Nak cakap sampai tahap kamcing tu takdelah. Tapi, agak ada perubahan kalau nak dibandingkan dengan waktu mula-mula aku masuk rumah ni.

    Dan satu lagi perubahan adalah, aku dah mula bersalam dengannya bila nak keluar. Sebenarnya sebab kena brainwash kaw-kaw dengan mama. Sebab taknak dengar mama membebel panjang, aku ikut je. Tak luak pun setakat salam tangan.

     Macam biasa juga, lepas aku salam tangan dia, mesti dia akan cium dahi aku. Mula-mula dulu, nak melompat jugak aku. Nak lempang orang pun ada. Tapi, lepas lama-lama buat, dah jadi biasa dah. Dah immune orang kata.

     Pak Ayub menghantarku ke universiti macam biasa. Cuma bezanya kali ni, aku bukan nak pergi kuliah. Tapi, aku dah janji dengan Syuk untuk pergi dengannya. Syuk duduk kolej. Dia dah tawarkan budi untuk ambil aku di rumah tapi aku je yang taknak. Sebab aku rasa menyusahkan dia pulak. Lagipun aku taknak dia tahu rumah aku duduk sekarang.

     “Lawa je Qisya hari ni. Nak pergi mana?” Pak Ayub menegur aku. Aku ketawa.

     Aku pandang baju yang aku pakai. Biasa je? Kemeja biru muda, seluar slack hitam dan bertudung biru. Okay.. mungkin agak lain sikit sebab biasanya aku pergi kuliah pakai baju kurung.

     “Hari ni Sya kena keluar universiti. Ada kerja sikit. Sya kena pergi syarikat Lawrence’s Lands and Properties. Macam praktikal jugak la.” Aku bercerita kepada Pak Ayub.

     “Oo.. tapi, kenapa Sya tak pergi dengan Haikal je?” Pak Ayub pelik. Mesti dia fikir hari ni hari pertama aku masuk kerja, jadi Izz kena tunjuk sokongan dia. Macam tu la kut.

     “Sya taknak susahkan dia, Pak Ayub. Lagipun saya nak pergi dengan kawan saya.” Aku terangkan kepadanya.

     “Kalau macam tu, apa lagi yang Pak Ayub boleh cakap.”

     -------

Aku dan Syuk masuk ke pintu masuk utama syarikat itu. Tertera gah tulisan emas ‘Lawrence’s Lands and Properties’ di dinding dibelakangi oleh dua orang penyambut tetamu perempuan. Waa.. bapak besar syarikat ni! Segan aku nak lalu. Cantik dan nampak mewah. Dalam hati aku dah agak dah syarikat ni memang bukan calang-calang syarikat ni.

     “Weh, Syuk! Serius kau syarikat ni?” Aku berbisik pada Syuk. Kami berdua macam rusa masuk kampung dah aku rasa. Ke nak macam kambing masuk bandar? Ah.. mana-manalah. Hakikatnya aku dan Syuk memang dah macam kat dunia lain dah lepas masuk syarikat ni.

     “Betullah.. tengok surat ni. Kan sama dengan lambang kat belakang tu?” Syuk turut berbisik. Takut jugak kalau salah masuk syarikat. Malu wei!

     Aku tengok surat yang ditunjukkan Syuk. Memang sama lambang dalam surat tu dengan kat dinding penyambut tetamu tu.

     “Ya.. ada apa, Cik?” Agaknya lepas tengok aku dan Syuk macam takde arah nak dituju, penyambut tetamu yang manis tu menegur kami. Aku sempat jeling tag nama di dadanya. Haliza.

     Perkara pertama aku dan Syuk buat bila kena tegur macam tu adalah, sengih.

     “Err.. kami nak jumpa Encik Fitri.” Syuk mewakilkan kami. Encik Fitri merupakan instructor kami di sini.

     “Oo.. you all ni student UKM tu, kan?”

     “A’aa.. kitorang la tu.” Aku menyampuk.

     “Oo.. nanti saya call PA Encik Fitri. Saya rasa sekarang ni cik berdua boleh naik tingkat lima belas,” katanya. Haliza senyum. Haa.. kan bagus ada penambut tetamu yang baik hati dan peramah macam ni. Aku turut rasa senang dengan Haliza.

     “Okay.. terima kasih, ya Cik Haliza,” ucapku.

     Kami menapak ke lif. Tak tunggu banyak masa, cepat pulak lif sampai. Bila membolosi pintu lif, hanya kami berdua je. Nampaknya semua dah masuk kerja. Ya la.. kami berdua pun dah lambat sebenarnya. Ni semua sebab traffic jam punya pasal. Reda je la kalau kena marah.

     “Weh.. gila gempak company ni.” Syuk tayang muka kagum.

     “Betul.. bertuah betul kita dapat company besar macam ni. Bertuah betul tangan kau.” Aku setuju. Kalau bukan tangan Syuk yang cabut undi, memang melepas la peluang kami nak tengok syarikat gempak macam ni.

     “Well.. tengok jemari runcing aku ni la!” Syuk tayang muka berlagak sambil menunjukkan jemarinya. Buat aku rasa menyampah. Tapi, aku tetap gelak dengan perangai Syuk.

     “Baru sekarang aku rasa Dr. Abdul Razi tu hebat sebab boleh ambil company ni,” kata Syuk.

     Aku angguk-angguk setuju. Kalau tak hebat, mana mungkin dapat kepercayaan syarikat ni. Mana mungkin syarikat ni bagi student macam kami ni senang-senang masuk.

     -------

Aku dan Syuk akhirnya berjumpa dengan Encik Fitri. Aku ingatkan Encik Fitri ni dah tua sebaya dengan Dr. Abdul Razi. Tapi, muda gila. Dan Syuk sempat berbisik satu komen di telingaku.

     “Handsomenya.”

     Handsome ke? Hmm.. bolehlah. Senyum dia manis. Tapi aku memang langsung tak excited nampak lelaki handsome. Aku pun tak tahu kenapa sekarang ni aku macam tak berminat dengan lelaki lain. Mungkin sebab aku dah set dalam kepala yang aku ni dah kahwin, jadi aku memang tak pandang lelaki lain. Hmm.. boleh jadi juga.

     “Biasa je aku tengok,” balasku perlahan. Serius aku cakap yang aku rasa Encik Fitri tu tak handsome sangat. Masa tu Encik Fitri tengah bercakap apa entah dengan setiausahanya. Bagus punya plan. Encik Fitri tengah berbincang, aku dan Syuk tak jauh beberapa meter daripadanya seronok mengkritik. Dia tahu, mahu hari ni jugak kami dihalau keluar. Haha..

      “Aku tanya kau macam aku tanya pokok. Takde feeling. High taste sangat. Tahulah dia tak sekacak abang Haikal kau tu.” Syuk balas geram. Nak mengamuk jugak aku rasa dengan minah ni. Seret nama Izz sekali pulak tu.

     “Apa kaitan dengan dia pulak?” Aku tak puas hati.

     “Ya la.. dengan mamat kacak gila macam tu pun kau tak cair, apatah lagi orang macam Encik Fitri ni?” Hish.. Syuk ni! Sampai situ dia fikir.

     “Weh.. drop this subject wei. Nak kena tendang keluar kalau Encik Fitri ni tahu?” bisikku lagi. Masa tu Encik Fitri baru habis cakap dengan setiausaha dia. Dia jalan ke arah kami.

     “Sorry.. lama tunggu ya? Kat mana kita tadi?” tegur Encik Fitri. Dia senyum ke arah kami.

     “Encik cakap pasal carta organisasi tadi,” jawabku. Nasib baik masuk jugak dalam kepala aku apa yang dia cakap tadi.

     “Oo.. sampai situ ya tadi?” Dia tanya kami. Aku dan Syuk cuma angguk.

     “Okay.. memandangkan ni first time awak berdua masuk company ni, saya akan treat awak berdua macam awak berdua betul-betul staf baru kat company ni. So, first thing awak berdua kena buat adalah, berkenalan dengan staf-staf kat sini.”

     Kami angguk lagi. Jalan-jalan keliling syarikat ni? Macam seronok je.

     “Jom.. kita start dengan tingkat enam belas. Kalau ada rezeki boleh jumpa dengan ahli lembaga pengarah,” ajaknya.

     Kami menuju ke arah lif. Mahu naik ke tingkat enam belas. Bila tiba di tingkat enam belas, Encik Fitri memperkenalkan beberapa orang staf kepada kami. Aku dan Syuk angguk je la. Ingat ke tak lain cerita.

     Kemudian Encik Fitri tinggalkan kami berdua sekejap sebab dia ada kerja yang perlu diselesaikan dengan pengurus kewangan. Masa ni la aku dan Syuk ambil peluang untuk usha pejabat ni. Aku tengok semuanya tekun menghadap kerja masing-masing. Sunyi je. Serius gila. Bagus betul dan penuh disiplin.

     Aku duduk di atas sebuah soda kulit berwarna mustard yang dijadikan ruang menunggu. Penat berdiri dan nak berehat kejap. Mana pulak si Syuk ni? Mataku melilau-lilau mencari Syuk. Hai.. tempat kecik macam ni pun boleh hilang ke? Ke tengah sangkut dengan staf lelaki yang kacak-kacak? Syuk ni bukannya boleh percaya sangat. Pantang nampak lelaki kacak, mulalah nak jatuh kertas la.  Nak tanya tu la. Nak tanya ni la. Nak buat-buat rajin pun mungkin.

     Sedang mata melilau mencari, aku ternampak seseorang. Tengok rambut pun aku macam dah boleh kenal meskipun aku dah lama tak jumpa dia. Maya? Aku nampak Maya sedang melenggok berjalan tak berapa jauh daripadaku. Maya buat apa kat sini? Aku nak pastikan dia tu Maya atau bukan. Laju kaki aku bangun dan mencari gerangan perempuan itu.

     Hilang! Aku tak jumpa dah dia. Mana Maya? Ke aku salah tengok? Tapi aku memang yakin memang dia tadi. Tapi, bila fikir-fikir balik, apa motif aku kejar dia? Pelik..

     “Sya..” Aku berpaling. Syuk rupa-rupanya.

     “Kau cari siapa?” soalnya. Mungkin nampak macam aku tengah cari seseorang.

     “Cari kau la. Cari saper lagi? Ingatkan dah sesat dalam bilik lelaki kacak mana?” balasku. Sempat aku sindir seround. Nak cover.

     Syuk cuma sengih. “Sorry la wei. Pergi toilet jap.”

     “Dah.. jomlah. Encik Fitri dah panggil tu,” tambah Syuk lagi.

     Aku cuma angguk sebelum kaki mengikut Syuk. Tapi mata masih mencari-cari. Mana la tahu kalau betul aku nampak Maya. Kalau ya, dia buat apa kat sini? Bukan ke masa ni masa kerja? Dia kerja kat sini kut. Tapi, bukanke dia PA Izz? Aku macam boleh menangkap sesuatu. Kalau dia kerja kat sini, maknanya..

     Bukk

     “Adoi..” Aku mengaduh kesakitan bila dahi terlanggar seseorang. Hampir je aku terpelanting ke belakang kalau bukan sebab dia peluk pinggang aku. Tu la Qisya.. Berangan lagi!

     “Lain kali jalan, tengok depan.”

     Terus aku dongak kepala bila dengar suara itu. Mata terus menusuk ke dalam anak mata biru kehijauannya. Terkejut, tergamam, terkelu, terkedu dan nasib baik tak terpengsan je. Izz! Krdudukan kami begitu dekat sekali. Terus aku tolak dada dia untuk berdiri sendiri. Tak percaya yang sekarang ni Izz tengah peluk aku.

     “Maaf..” Aku tak tahu nak cakap apa je. Nak tengok muka dia pun rasanya tak sanggup. Malu campur tak percaya.

     Apa dia buat kat sini?

     “Encik Haikal..” Aku dengar suara Encik Fitri memanggil.

     “Haa.. Qisya dan Syukriah, ni la penolong pengarah urusan syarikat ni, Encik Izz Haikal. Ada rezeki jugak awak berdua nak jumpa dia.” Encik Fitri perkenalkan kami.

     Apa? Izz.. Oh, tidak! Katakan ni semua mimpi. Waa.. takkanlah aku dan Izz sepejabat kut? Tak mungkin.. rasa macam tak boleh nak terima kenyataan. Bila aku pandang Izz, wajah dia tenang macam biasa. Atau.. lebih senang kalau aku cakap yang dia macam berlagak tak kenal aku.

     Baru aku perasan yang bersama Encik Fitri, ada seorang lagi manusia yang dah lama aku tak jumpa. Bila aku pandang dia, dia angkat tangan padaku.

     “Hai.. kakak ipar.” Dia sengih.

     Aku rasa macam nak pengsan kat situ jugak. Oh, tidak!!