Pages

Terima Kasih Anda Semua..

Kata-kata Anjell

ASSALAMUALAIKUM..

Blog ini adalah hasil nurkilan seorang budak science yang perasan nak jadi novelis...

Maaf bila tertypo.. Budak ini masih junior..

Significance of this simple blog to me : 'A PLACE TO EASE TENSION, DIFFERENT WORLD FROM THE ACTUAL ONE'

Sunday 26 February 2017

Dr. Alpha Male (BAB19)

BAB 19

Aku hanya berdiri di balik penjuru. Cik Ita dan suami sedang bersanding di atas pelamin. Nenek dan mak cik-mak cik aku semua sibuk nak menepung tawar pasangan pengantin. Tapi aku lebih selesa memerhati dari jauh.

Lebih spesifik, perhatikan Iwan dan Safura yang berada beberapa meter dariku. Mereka tak perasan mata aku ni dah macam laser melekat pada mereka. Cuba bersabar. Orang lain tak perasan sebab semua tengah khusyuk tengok raja sehari.

Iwan berbisik sesuatu kepada Safura. Safura gelak manja. Panas jugak hati tengok dua orang tu. Ewah-ewah.. dah lupa tunang nampak gayanya si Iwan ni. Bila dengan Safura, dia lupa aku. Buatkan aku tersedar sesuatu. Itulah penyebab dia curang. Bila dia dekat dengan Safura, dia dah tak ingatkan aku.

They definitely have something.” Orang sebelahku berbunyi. Berbisik tapi kesat bunyinya. Sedari tadi, dah macam bodyguard tak bergaji dia berdiri di tepiku. Siapa lagi kalau bukan Dr. Hilman.

Aku panggung kepala ke sebelah.

“Oh, ya ke? Saya ingat mereka berkawan je,” sinisku balik. Aku pun belum buta.

Dia cuma diam. Tapi mata tajam pandang ke arah merpati dua sejoli tu. Rahangnya diketap. Dia nampak marah. Pelik aku. Macam dia pulak yang tangkap makwe tengah dating dengan lelaki lain. Rileks sudah. Aku yang kena curang ni pun chill je. Makan hati dari jauh je la.

“Awak kena buat sesuatu. Jangan nampak lemah,” katanya lagi.

Jangan nampak lemah? Sebab aku tak lemah la aku mampu berdiri dengan gagahnya di depan dua ekor manusia tu. Mampu senyum. Mampu bergelak ketawa.

“Saya tahu apa yang saya buat, Dr.,” jawabku mudah.

But he likes throwing the jealous card. Hypochrite,” ujarnya lagi. Nada suara penuh jelik.

Aku setuju.

“Awak tahu, Hazel. Kadang-kadangkan, kalau nak ajar lelaki curang, kita kena tunjukkan apa yang dia rugi kalau lepaskan seorang perempuan.”

Sekali lagi aku panggung kepala pandang Dr. Hilman.

“Apa maksud Dr.?”

Make him insecure.”

Hah? Lagi aku blur. Belum sempat aku nak tanya, Dr. Hilman ketawa macho tiba-tiba.

Haa.. dah kenapa pulak tiba-tiba mengekek mamat ni?

Ketawa Dr. Hilman tak kuat. Tak cukup untuk mengganggu majlis persandingan, tapi cukup untuk membuat kepala Iwan menoleh ke arah sini.

Tiba-tiba Dr. Hilman berdiri di depanku. Bau minyak wanginya yang kuat mula cecah rongga hidung. Maskulin. Dada tiba-tiba berdebar melihat dia yang berdiri betul-betul di depanku. Bagai sedang mendominasiku dengan ketinggiannya.

“Apa awak buat ni?”Aku bersyukur suaraku tak bergetar bila bertanya.

Bila aku faham, terus meluas mataku. Dia nak buat Iwan cemburu. Acah-acah nak aku flirt dengan dia. Orang putih cakap apa? An eye for an eye, a tooth for a tooth. Kalau Iwan cari perempuan lain, aku kena cari lelaki lain.

Memang tak la!

“Dr. ingat saya ni apa? Saya ni masih tunang dia. Mana boleh menggatal dengan lelaki lain.” Perlahan tapi keras suaraku. Bukan nak berlagak tunang setia, baik, naif atau seangkatan dengannya. Tapi, masalahnya orang lain tak tahu yang Iwan curang. Kalau orang lain tengok, mesti cakap salah aku. Mesti mengata yang aku ni gatal dengan lelaki lain.

Aku pandang kiri kanan. Tiada yang tengok kami berdua. Nasib baik.

Dr. Hilman ketawa lagi. Tapi agak perlahan.

“Saya tahu. Awak memang tak boleh tertarik dengan lelaki lain. Tapi tak bermaksud lelaki lain tak boleh tertarik dengan awak, kan? So, let’s test the waters, how would he react when other man is attracted to you?”

Terkelu. Kelip-kelip mataku pandang dia.

“Hipotesis saya mengatakan yang dia sedang datang ke sini?” Selamba suara Dr. Hilman. Sebelah kening terangkat seakan-akan mahu mencabarku untuk berkata tidak.

Dan hipotesisnya betul. Dari hujung mata aku nampak Iwan berjalan ke arah kami.

But you look natural. You should at least be flushed.” Dia seolah-olah membebel seorang-seorang.

Kemudian, dalam-dalam anak mata gelapnya menusuk mataku. Kepalanya ditundukkan sehingga wajahnya betul-betul di depanku. Kalau orang tengok, mesti cakap dia nak cium aku. Terus rasa tersekat nafasku. Cik jantung pun faham, mula berdenyut laju.

You outshine the bride today, Hazel.” Perlahan suaranya. Menggoda. Tangannya diangkat. Terhenti beberapa inci dari kepalaku. Dia tak sentuh aku. Tapi, kalau orang lain nampak, memang akan cakap dia usap kepalaku.

Aku teguk liur. Terskru di tempat kuberdiri. Tak mampu nak berganjak. Tak mampu nak tendang dia. Tak mampu bersuara. Dan aku tahu sekarang ni mukaku dah panas. Kembang. Merah.

Dr. Hilman senyum menang. Kenapa senyum dia lawa sangat ni?

“Hazel?” Suara Iwan itu buatkan tangan Dr. Hilman yang terhenti beberapa inci dari kepalaku tadi terus dilarikan.

Dr. Hilman terus tegakkan tubuhnya. Selamba pusing pandang Iwan. Muka Iwan nampak ketat. Muka Dr. Hilman pula, well.. macam muka biasa seorang Dr. Hilman. Tak berperasaan. Macam takde apa-apa berlaku.

“Kenapa ni?” Suara Iwan bertanya. Tapi tetap terselit curiga. Bergilir-gilir pandang aku dan Dr. Hilman.

Geram rasa hati apabila melihat riak curiga dan menuduh Iwan itu. Tengok siapa bercakap. Kuali kalau hitam jangan panggil periuk legam!

“Oh, ada tahi cicak jatuh atas tudung Hazel. I tolong dia buangkan.” Suara Dr. Hilman seselamba mukanya.

Kalau tadi darah berkumpul ke muka, sekarang dah berkumpul ke kaki. Ringan untuk diangkat ke muka orang! Seriously dalam banyak-banyak alasan, tahi cicak jugak yang dia berkenan di hati? Huh.. cuma Dr. Hilman yang mampu buatkan mood aku teralih macam lepas tukar channel TV!

Aku jeling Dr. Hilman. Dia senyum sinis, tak bersalah.

“Hazel, saya laparlah. Jom temankan saya makan.” Suara Iwan seakan-akan merengek mengalih perhatianku kepadanya.

Dari hujung mata, dapatku lihat senyum sinis terukir di bibir Dr. Hilman. Macam nak cakap dia dah buatkan Iwan rasa insecure. Aku mengeluh dalam diam. Kena selalu macam ni ke? Nak dapat perhatian Iwan, aku kena buat dia cemburu.

“Okeylah. Saya pun belum makan juga. Man, jomlah makan sekali,” pelawaku. Aku pun tak tahu kenapa kalau depan Iwan, laju je tekak gugurkan pangkat Dr. itu.

Dr. Hilman sekali lagi senyum mengejek.

It’s okay. Awak pergilah makan dengan tunang awak tu. Saya belum lapar lagi. Lagipun, saya taknak kacau privasi awak berdua.”

Aku tak bertanya lagi. Beriringan turun dengan Iwan ke luar rumah untuk ke khemah makanan.

“Awak dengan dia ada apa-apa ke?” soal Iwan.

“Mana adalah. Dia cuma kawan saya,” jawabku. Jujur.

“Tapi dia macam suka awak.” Kali ini aku rasa nak gelak pulak dengan ayat Iwan itu. Kalaulah dia tahu macam mana Dr. Hilman tu..

“Iwan pun dengar tadi, kan? Dia tahu kita dah bertunang. Lagipun, kalau dia suka saya, saya takde hak nak halang perasaan dia. Saya tak boleh nak sekat kalau ada lelaki lain tertarik dengan saya.” Aku tiru ayat Dr. Hilman. Berlagak hot pulak dah aku hari ni.

“Yang penting, perasaan saya, Iwan. Awak pun tahu saya setia. Kalau ni boleh senangkan hati awak, Hilman tu dah ada kekasih,” terangku. Kenyataan.

Iwan ni pun satu hal. Tak tahu ke kita ni tengah bercakap pasal Dr. Hilman kut! Baru tunjuk remos orang dah tahu dah jadi milik orang. Tu baru remos. Kalau tunjuk muka, cakap bercinta dengan tiga perempuan pun, gerenti takde orang yang pelik.

“Saya tunang awak, Iwan. Takkanlah saya nak curang dengan awak. Selagi saya bergelar tunang, saya takkan mencemarkan tali pertunangan tu.” Di hujung ayatku punya maksud tersirat. Dalam-dalam aku pandang anak matanya. Sesuatu bergetar di balik anak matanya. Oh, adakah aku tertembak sesuatu?

Aku senyum manis. Macam biasa, buat-buat tak perasan dengan wajahnya yang sedikit tergugat itu.

“Jomlah, kata lapar tadi, kan?” ajakku.

Dia diam.

“Iwan? Kenapa?” Buat-buat prihatin bertanya. Oh.. sukanya hati aku berlagak tak tahu apa-apa ni. Orang Indonesia cakap apa? Sok-sok suci gitu! Haa.. baru orang tahu the power of silence!

“Takde apa-apa. Jom, sayang. Kita makan.”

   --------------

Sehingga ke malam aku duduk di rumah nenekku. Mengemas apa-apa yang patut. Aku cuma berada di dapur, membasuh pinggan-mangkuk yang dah digunakan. Geng-geng mak cik pulak sibuk berkumpul tepi periuk lauk. Nak bungkus untuk dibawa balik. Banyak juga yang lebih.

“Kamu berdua balik bila?” Soalan nenekku itu buatkan aku turut tertarik. Sebab soalan itu bukan untukku. Tapi untuk Iwan dan Safura. Semua orang dah tahu mereka berdua memang satu tempat kerja.

“Besok, nek. Lusa kami dah kerja.” Iwan menjawab.

“Kejap betul baliknya. Kenapa tak cuti lama? Kamu tu dahlah lama dah tak balik.” Nenek sempat membebel.

“Banyak kerja la, nek. Ni pun terpaksa balik.” Kali ini Safura pula menjawab.

Terpaksa ya? Minggu lepas jumpa di Mid Valley, kalau dia tak balik sini, dia tidur di mana? Aku tertanya-tanya. Maksudnya mungkin tiada siapa yang tahu mereka berdua turun KL minggu lepas. Nak sorok hubungan dengan Iwan punya pasal, keluarga sendiri sanggup dibelakangkan.

“Kamu Hazel, bila balik U?” Nenek beralih soalan kepadaku.

Aku mengelap-ngelap tangan yang basah pada tuala kecil yang tersangkut di tepi singki. Kemudian berjalan ke arah mereka. Duduk di atas satu kerusi.

“Besok jugak, nek. Lusa ada kelas pagi.”

“Balik dengan siapa nanti? Dengan budak handsome tadi tu ke?”

Amboi, nenek aku! Budak handsome dia panggil Dr. Hilman? Bukan main aura Dr. Hilman. Nenek aku pun boleh cair. Nenek, okey!

“Entahlah. Minta tolong abang Qif kut,” jawabku lagi. Seganlah nak balik dengan ‘budak handsome’ tu. Budak handsome tu pun aku tak tahulah dah balik rumah mummy dia atau dah balik rumah sendiri.

“Amboi, nek! Bukan main budak handsome. Berkenan nak jadikan datuk kami ke,” usikku. Aku gelak. Tak boleh bayang Dr. Hilman jadi datuk aku. Haha.

“Mana adalah. Baik bagi kat Safura. Kamu Safura takde calon lagi, kan?”

Gelak aku mati. Terus aku pandang Safura. Dia berpandangan dengan Iwan sebelum pandang nenek balik. Sakit hatiku. Iwan dia dah ambik, Dr. Hilman aku pun dia nak ambik?

Whoa.. dari mana pemikiran itu datang? Sejak bila Dr. Hilman jadi hak kau ni, Hazel?

“Eh,  hari tu Mak Su cakap kau dah ada calon. Siapa?” Aku mencelah.

“Mana ada la.” Safura menafikan lagi.

“Mak Su cakap kau tengah tarik tali dengan dia. Eleh.. mengaku je la, kau dah ada. Siapa nama dia?” usikku.

Hokey.. sekarang aku rasa nak dabik dada. Kagum aku dengan diri sendiri sebab selamba badak bercakap pasal benda ni depan Iwan dan Safura.

Aku nampak Iwan dan Safura berpandangan.

“Iwan!” Saja nak kacau daun.

Iwan nampak terkejut. Muka pucat macam baru lepas nampak pocong golek-golek depan dia. Dia pandang aku.

“Iwan mesti tahu siapa, kan? Iwankan satu tempat kerja dengan Safura. Siapa? Siapa yang berjaya curi hati sepupu kesayangan saya ni? Mesti untung dia. Safura dah la cantik, siapa tak senang nak jatuh hati dengan dia?” Suara kubuat-buat teruja.

Kedua-dua homo sapiens di depanku itu macam lepas terlekat tulang ikan.

“Err.. tak tahulah pulak,” jawab Iwan.

“Laa.. ya ke? Fura.. kamu kalau dah ada calon, jangan dilambat-lambatkan. Bawak jumpa mak abah. Bawak jumpa nenek.” Nenek aku pun dah teruja.

Tak payah bawak, nek. Depan mata nenek dah ada. Kalau nenek tahu, nenek nak kejar Iwan pakai penyapu ke gergaji, nek? Hazel prefer gergaji! Bila lagi nak cipta sejarah sunatkan orang untuk kali kedua pakai gergaji? Silap-silap masuk Malaysia’s Book of Records.

Bukan aku tak tahu nenek pantang kalau rampas tunang atau suami orang. Sebab kata nenek, hak orang jangan diambil. Ni sekarang ni, cucu dia ambil hak cucu dia yang lagi sorang. Agak-agaknya, apalah yang nenek akan cakap ya?

“Tengoklah nanti, nek.” Mudah jawapan Safura.

Kemudian nenek berlalu tinggalkan kami bertiga. Aku turut bangun dari kerusi. Kalau bertiga, aku malas nak beramah-mesra. Tak lalu!

“Hazel, awak nak pergi mana?” soal Iwan.

“Nak balik dululah. Penatlah. Nak mandi, nak rehat,” jawabku. Pandang tubuh sendiri. Baju sama dari pagi lagi. Serius rasa badan berpeluh dan penat.

“Jom, Iwan teman Hazel balik.” Iwan dah bangun dari kerusi. Bersedia jalankan tugasnya sebagai tunang.

No, it’s okay. Hazel boleh balik sendiri.” Awas! Status itu adalah untuk menguji niat sebenar lelaki. Dia betul-betul mahu temankanku atau sekadar mahu berbudi? Lelaki.. kalau dia betul-betul mahu lakukan sesuatu, dia pasti akan bertegas dan berdegil.

Macam Dr. Hilman. Hai.. dah kenapa tiba-tiba banding dengan Dr. Hilman ni?

“Okey.”

Walaupun dah macam boleh agak jawapan Iwan, tapi bila Iwan sahkan, bersepai jugak rasa hati. Dalam hati mengejek diri sendiri. What do you expect, Hazel?

“Okey.. jumpa besok, Iwan, Safura.” Aku minta diri.

Dan sungguh sekarang ni, aku mengalah! Aku dah tawar hati untuk Iwan. Besok aku akan cuba jelaskan perkara sebenar kepada umi dan abi. Kumpul keberanian untuk putuskan segalanya.

Bak kata Dr. Hilman dulu…

To be selfish, you need courage!

    --------------

Dari jauh, aku nampak rumahku gelap-gelita. Cuma lampu putih tangga yang terpasang. Maksudnya mungkin semua orang belum balik lagi. Adoi.. kena patah balik la ni? Sebab aku mana ada kunci rumah. Penat aku bercatwalk sepanjang-panjang tujuh minit tadi. Itulah Hazel! Lain kali sebelum balik, tanya dulu!

Tiba-tiba aku perasan yang gril rumah tak bermangga. Bila tombol pintu ditarik, terbuka. Eh, tak kunci? Pelik. Lupa agaknya. Aku sedapkan hati sendiri. Aku menapak masuk ke dalam rumah selepas memberi salam. Mata belum sempat nak adapt dengan keadaan gelap, jadi aku terpaksa meraba-raba semasa berjalan ke arah suis lampu.

Haish.. kalau dah gelap macam ni, perjalanan ke suis lampu dah macam dari Malaysia ke Korea. Rasa jauh gila!

Bila duduk sorang-sorang kat rumah ni, gelap pulak tu, agak takut juga. Tambah-tambah lagi dalam kromosom XX aku ni memang dominan gene penakutnya. Dua tapak melangkah, aku terlanggar meja kopi. Jatuh sesuatu. Nak melompat aku sebab terkejut.

Adoi.. sakit siot tibia aku! Nasib baik mulut tak sempat sumpah-seranah. Cepat-cepat aku gosok tempat yang sakit. Apalah yang jatuh tu? Tangan mula meraba-raba. Takut benda tajam nanti, tak pasal-pasal arwah kaki aku! Sakit kuasa dua jadinya.

Kemudian teringat sesuatu. Dalam dunia yang cukup moden ni, manusia telah mencipta sesuatu yang bernama telefon pintar. Kat smartphone kau tu ada lampu suluh, Hazel! Bijak kau. Kenapa kau tak fikir sebelum ni? Aku menyumpah diri sendiri sebelum tangan mula meraba dalam beg tanganku. Cari telefon.

Pencarianku terhenti apabila telinga menangkap bunyi sesuatu terjatuh. Dan bulu roma terus tegak berdiri. Apa yang jatuh? Sedangkan aku cuma pegun di sini. Dada mula berdebar laju. Hati rasa tak sedap.

Aku perlahan-lahan berdiri. Pusing belakang dan cari punca bunyi tu atau lari keluar rumah? Hazel.. sekarang bukan masanya nak jadi Sherlock Holmes atau Detective Conan. Pernah dengar curiousity kills the cat? Walaupun orang cakap rasa ingin tahu tu bunuh kucing tapi bukan manusia, kau jangan cipta sejarah jadi manusia pertama yang terbunuh, Hazel! Baik lari keluar.

Tapi, kalau tu cuma Baby langgar dinding macam mana? Atau entah-entah abang atau adikku nak berlawak tak lucu denganku? Hatiku mula berperang. Cuba berfikiran positif.

Aku ikut naluri hati yang paling kuat. Lari keluar. Sebab sumpah hati rasa sangat tak sedap. Rasa macam sesuatu yang buruk bakal terjadi. Apatah lagi apabila teringat balik yang rumahku yang tak berkunci tadi. Aku tak patut masuk ke dalam rumah!

Aku berlari ke arah pintu. Belum sempat aku membuka pintu rumah, terasa tubuhku dipeluk dari belakang. Aku mahu menjerit. Tapi terasa ada tangan besar ditekap ke mulutku. Suaraku terkumpul di situ.

Aku mula meronta. Tapi orang yang tengah pegang aku itu heret aku menjauhi pintu rumah. Aku makin takut. Tiba-tiba rasa tubuh ditolak kasar. Bahu terlanggar bucu almari sebelum aku jatuh terjelopok. Sakit! Tapi rasa takut sekarang mengatasi rasa sakitku.

Dengan keadaan yang gelap, aku memang tak nampak apa-apa. Cuma susuk tubuh yang aku yakini seorang lelaki sedang berdiri di depanku. Aku cuba bangun tapi tak semena-mena tubuhku ditindih kasar. Bila aku menjerit, sekali lagi dia menekup kasar mulutku. Tangan cuba memukul tapi senang saja dia satukan kedua-dua tanganku dan ditekan erat ke atas kepalaku. Kaki mula menendang tapi dia makin menambahkan berat badannya ke atas tubuhku. Hampir sesak nafasku.

Aku belum mengalah. Kudrat yang ada masih digunakan untuk meronta di bawah tubuhnya. Siapa dia ni? Apa dia nak? Bila aku masih terus meronta, aku terasa ada benda diletakkan di sisi leherku. Dan tubuhku terus mengeras. Terhenti segala rontaanku.

Good girl.” Suara garau yang sangat asing.

Terasa tudungku ditanggalkan dan digunakan untuk mengikat kedua-dua tanganku. Air mata mula mengalir. Apa yang bakal terjadi denganku?

“Kau ambil je la semua yang ada dalam rumah ni tapi tolong.. tolong jangan apa-apakan aku.” Aku merayu.

“Aku taknak semua tu.” Sama macam tadi, nada suaranya perlahan tapi keras.

“Hab.. habis kau nak apa?” Takut-takut aku tanya. Lagi menakutkan sebab aku tak nampak wajahnya. Tiba-tiba terasa pisau di leherku ditekan rapat ke kulit. Aku pejam mata. Sungguh aku takut sekarang ini. Dalam hati tak putus-putus berdoa supaya Allah lindungi aku.

Rasa nafas hangatnya mencecah kulit muka. Dada makin berdebar hebat. Nak tarik nafas pun tak berani. Takut tiba-tiba pisau di leherku itu diseret secara melintang. Memang tamat riwayatku.

“Kau!” Serentak itu terasa pakaianku direntap kasar.

Aku kaku. Takut untuk bergerak. Tak mampu untuk bergerak. Antara nyawa dan maruah diri, yang mana harus aku korbankan?

Bila terasa tangannya mula bermain-main di kulit tubuhku, aku pejam mata. Cuba menahan rasa jijik disentuh lelaki itu. Hanya mampu menangisi nasib diri. Aku tahu malam ini bakal menjadi malam hitam bagiku.

“Dia.. tak layak untuk kau!” bisiknya rapat ke telingaku.

Aku pasrah. Aku terpaksa relakan semuanya. Sungguh.. aku tak tahu apa yang bakal terjadi pada masa depanku. Teresak-esak aku menangis, merayu supaya aku dilepaskan walaupun aku tahu usahaku itu hanya sia-sia.

Friday 24 February 2017

Dr. Alpha Male (BAB 18)

BAB 18

Tak tahulah kenapa sejak kebelakangan ini, aku rasa nasib malang selalu melandaku. Tiga hari lepas, baju koyak masa tengah-tengah family day. Dua hari lepas, melungkup aku jatuh tangga. Sampai ke hari ni lebam di lutut kanan tak hilang-hilang lagi. Semalam pula, bila sampai di depan rumah, baru aku sedar kunci rumah dah hilang. Tak tahulah macam mana boleh hilang. Terjatuh agaknya. Nak tragiskan cerita, masa tu la telefon aku nak habis bateri. Tak pasal-pasal sejam aku kena jadi pungguk tunggu kawan pungguk balik dari kuliah.

Dan hari ini. Kereta Myviku dah derhaka dengan tuan dia. Boleh pula dia lancar mogok. Dah beberapa kali aku cuba hidupkan enjin, tapi yang kedengaran cumalah bunyi macam kereta tua kena semput. Apalah malang nasib aku ni? Balik nanti kena mandi bunga agaknya. Biar luntur segala badi malang yang melekat.

Sepatutnya hari ini aku balik ke kampungku. Ikutkan hati memang malas nak balik sebab minggu ini memang aku sangat sibuk. Tapi, ada kenduri kahwin pula di rumah nenekku. Bukan nenek aku yang nak kahwin, tapi ibu saudaraku, Cik Ita. Cik Ita ni adik tiri umi aku. Baru berusia dua puluh sembilan tahun. Aku dengan dia memang rapat.

Dan sekarang, baju dah lawa, siap dengan labuci-labuci di hujung lengan. Tapi aku dah macam gangster duduk bercekak pinggang di tepi kereta dengan satu hadiah besar di hujung kaki. Ni yang malas nak pergi ni!

Dengan hati yang tengah panas, aku menelefon umiku. Nak mintak dijemput la kononnya. Tapi.. cuba teka berita gembira apa yang dia sampaikan? Dia, abi dan abang Thaqif tak boleh tinggalkan majlis sebab rombongan pengantin lelaki bila-bila masa akan sampai. Cara penyelesaiannya apa? Dia cadangkan aku balik dengan Dr. Hilman. Yay! Huh.. macam manalah nama Dr. Hilman boleh muncul dalam masalah ni?

Nak taknak aku terpaksa menerima cadangan umi. Kata umi, Dr. Hilman pun balik ke kampung hari ini. Rasa segan bertingkat-tingkat sewaktu menelefon Dr. Hilman untuk minta tumpang. Nasib baik dia dah tahu sebab umi aku terlebih dahulu menelefonnya. Lega.

Setelah memberikan alamat rumah sewaku kepadanya, aku dah ala-ala Juliet tengah tunggu Romeo. Dengan baju lip-lap apabila labuci kena cahaya matahari, warna putih pulak tu, sah orang ingat aku nak kahwin. Sengaja aku tunggu di luar rumah supaya boleh cepat-cepat seludup masuk kereta Dr. Hilman. Takut ada orang nampak. Mesti tertanya-tanya apa hubungan aku dengan Dr. Hilman kalau sampai dia datang jemput.

Sepuluh minit menunggu, akhirnya Romeo yang aku tunggu akhirnya tiba. Macam yang aku rancang, sepantas kilat aku lompat masuk ke dalam kereta dia selepas letak hadiah di tempat duduk belakang. Kemudian  pandang kiri kanan. Macam pencuri pun ada.

Nampak dia kerutkan dahi.

What are you today? An FBI in disguise?” soal Dr. Hilman. Dia mula memandu keluar dari perkarangan rumah teresku itu.

“Mana adalah. Saya takut orang lain nampak Dr. jemput saya. Nanti tak pasal-pasal orang ingat kita ada skandal. Fitnah jadinya nanti. Kesian Dr. Tak pasal-pasal tercalar imej Dr. sebab cuba nak goda saya.”

Statusku bukan main. Dia goda aku ya, bukan aku goda dia. Haha.

Mulutnya senget bagaikan cuba menahan sesuatu yang lucu. Mungkin fikirkan perkara yang sama. Namun dia cuma diamkan sahaja. Tenang memandu.

“Terima kasih, Dr. sebab sudi tumpangkan saya. Nasib baik ada Dr. Kalau tak, memang kena jogging la saya balik sana.”

Kali ini dia tak sembunyikan lagi senyuman lawanya itu. Walaupun kepala tetap menghala ke depan. Agaknya tengah bayangkan aku jogging balik kampung dengan baju kurung moden ni.

No hal la. Lagipun sehaluan.” Mudah jawapannya.

“Ni kereta Dr. ke?” Sibuk aku bertanya. Sekeliling keretanya diperhatikan. Kali pertama dapat merasa naik kereta mahal dia ni. Kalau tak kebiasaannya cuma nampak cantik terparkir dalam kotak parkir staf. Hanya mampu memuja dari jauh je la. Haha.

“Kereta saya la. Habis, awak ingat kereta sewa?”

“Saja je tanya. Sebab dulu saya nampak kereta lain di depan rumah Mak Cik Lyn,” balasku balik.

Aku memang kenal dengan keretanya yang ini. Semuanya kerana aku selalu menjadi babunya untuk memunggah kertas dari kereta ke pejabatnya. Sampai-sampai memang pernah pasang niat nak pakai topeng ninja gara-gara mahu calarkan keretanya. Balas dendam sebab dah buat aku sebegitu. Tapi nasib baiklah aku belum cukup jahat untuk buat semua itu.

Ketika kali pertama kami berjumpa di rumah Mak Cik Lyn, kereta Audi itu tak pernah kulihat. Itu yang boleh terkejut beruk selepas dia buka pintu rumah. Kalau aku nampak kereta ini di depan rumah Mak Cik Lyn, pasti akan bersedia. Ya.. bersedia untuk patah balik ke rumahku!

“Audi tu? Itu kereta daddy. Pinjam sebab kereta ni ada problem,” ceritanya.

“Oh, saya ingat kereta Dr.” Maklumlah.. Dr. kan kaya. Lagipun.. lelaki biasanya gila kereta!

“Kereta saya? Awak ni.. takkanlah saya nak pakai kereta macam tu? Inikan Hilman.”

“Apa masalahnya?”

“Putih. Tak maskulin.”

Aku ternganga. Sebab warna putih je? Patutlah keretanya ini hitam berkilat. Alpha Male sangat! Aku mencebik dalam hati.

Tapi, boleh pulak dia pakai baju putih hari ini? Aku geleng-geleng kepala. Tak faham dengan Dr. Hilman ni. Kemudian aku menoleh ke belakang. Apa yang aku nampak buatkan aku tersenyum lucu. Dengar jugak cakap aku. Tak sangka dia berpegang pada janjinya.

Awww.. Dr. simpan Cik Froggos dalam kereta.”

“Cik Froggos?”

“Tu.. kat belakang warna hijau tu. Takkan tak ingat kut? Dr. jugakkan yang bagi nama kat dia,” kataku sambil tunjukkan patung katak hijau yang berada di bahagian belakang keretanya.

“Froggious, bukan Froggos. Buruk betul bunyinya,” marahnya bila aku sesuka hati tukar nama kataknya. Ah, mana-manalah!

Told you. Awak jugakkan yang paksa saya ambil katak hodoh tu, kan? Sayang pula kalau nak buang lepas berpenat-lelah berenang dalam tepung, lepas tu kena paksa makan aiskrim tak sedap tu semata-mata nak benda ni.”

Dia jeling ke arahku. Aku terus sengih. Teringat balik macam mana muka dia lepas berenang dalam tepung dulu. Aku pun tak percaya kami boleh menang.

Senyap.

“Dr. kenapa tak balik semalam?” soalku lagi. Aku taknak perjalanan kami terlalu sunyi. Canggung nanti, sesak nafas aku.

“Ada meeting. Lepas tu semalam temankan Nayla pergi dinner function. Tak cadang pun nak balik minggu ni.”

“Nayla tu, darling hari tu ke?”

Okey.. lepas aku tanya, sumpah nak sepak mulut sendiri! Serius kau, Hazel?! Dalam banyak-banyak jenis soalan, soalan jaga tepi seluar mamat tu jugak kau nak tanya?

Dr. Hilman menoleh sekilas ke arahku sebelum menumpu perhatian kepada jalan raya. Dia pakai cermin mata hitam. Jadi aku tak boleh tebak pandangan matanya. Sinis? Marah? Tak suka?

“Ya.. darling hari tu.”

Dan lepas tu aku senyap. Matikan terus angan-anganku yang kononnya taknak perjalanan kami terlalu sunyi. Baik senyap daripada mulut celoparku bertanyakan soalan-soalan yang mempunyai potensi tinggi untuk menjadi penyebab aku ditendang keluar dari keretanya.

Dr. Hilman juga memilih untuk terus diam.

   ----------------

Dr. Hilman memarkirkan kereta di perkarangan rumahnya. Rumahnya kosong. Maksudnya Mak Cik Lyn juga dah ke sana. Aku yakin seratus peratus yang rumahku juga sunyi-sepi ketika ini. Dari rumah Dr. Hilman, kami berdua mula berjalan ke rumah nenekku. Rumah nenekku dekat sahaja dengan rumah kami berdua. Adalah lebih kurang lima minit kalau berjalan.

            Ketika kami tiba, rumah nenekku mula sesak dengan tetamu. Nasib baik rombongan lelaki masih belum sampai. Sempatlah kalau aku mahu bergambar berdua dengan isteri baru itu. Dah lama tak jumpa Cik Ita.

Aku berjalan menghala ke pintu masuk rumah. Dr. Hilman pula cuma mengikutku. Mungkin kerana dia tak kenal sesiapa di sini, maka akulah orang yang paling dekat dengannya. Aku tak kisah pun. Lagi suka sebab ada tukang angkat hadiah percuma. Haha.

Beberapa meter sebelum sampai ke pintu rumah, kaki tiba-tiba kaku apabila melihat Iwan di depanku. Pasti bukan bersendirian. Iwan dan Safura sedang ketawa di hadapanku. Kedudukan mereka tidak mencurigakan tapi entah kenapa aku terbayang adegan di Mid Valley tak sampai seminggu yang lepas. Kenapa Iwan boleh ada kat sini?

Entah kenapa tiba-tiba rasa takut. Serangan panik padahal aku bukan berhadapan dengan pembunuh bersiri. Aku cuba mengatur nafas.

Hey, Hazel! Breath!” Dr. Hilman yang sedar dengan perubahanku berkata perlahan. Ada kerisauan terbias dari suaranya itu. Aku tahu dia juga tahu kenapa aku tiba-tiba terpacak macam tiang bendera ni.

Aku cuba bertenang. Bernafas macam biasa. Punyalah trauma aku dengan kenyataan yang tunang aku curang dengan sepupuku, boleh pula diserang panik.

Aku tak tahu nak buat apa. Aku belum bersedia untuk berhadapan dengannya. Sebab aku tak tahu mampukah aku kawal emosi aku apatah lagi melihat dia dan sepupuku di depan mata. Luka aku masih merah. Aku takut majlis kenduri kahwin ni jadi kenduri arwah. Atau tak pasal-pasal aku yang buat persembahan silat hari ni.

“Hazel!” Tubuhku mengeras. Akhirnya mereka sedar juga dengan kehadiranku.

Aku angkat muka. Reaksi pertama?

Buat-buat terkejut, Hazel!

“Eh, Iwan!”

Lepas tu buat-buat teruja, Hazel!

“Macam mana ada kat sini? Kenapa tak cakap nak datang?” Arghh… betapa hipokrit rasa suaraku sekarang ni, buatkan aku nak je hantuk kepala sendiri ke dinding! Pembetulan.. hantuk kepala Iwan ke kepala Safura!

Iwan cuma ketawa. Aku semaksima mungkin cuba pertahankan senyuman plastikku. Sehabis mungkin cuba jaga mata daripada mencerun ke arah Safura yang berdiri di sebelah Iwan tanpa rasa bersalah.

Surprise. Terkejut tak?”

“Mestilah terkejut. Tak sangka Iwan ada. Tak OT ke?” soalku. Bukan Hazel namanya kalau tak menyindir sedas.

“Hari ni tak. Saja.. saya datang nak surprisekan tunang kesayangan saya ni. Buat bekal rindu balik JB.” Iwan macam biasa dengan ayat pencetus kencing manis dia bagi padaku.

Sempat aku kerling Safura. Ada aura cemburu dari matanya selepas mendengar ayat geli tekak Iwan itu. Senyumannya berubah kaku. Tapi aku konon-kononnya buat tak nampak.

Aku ketawa. Kelakar dengan situasi sekarang. Aku atau Safura yang patut rasa macam tu? Siapa perampas, siapa dirampas sekarang ni?

“Datang dengan Safura ya?” soalku tanpa ada aura cemburu atau syak wasangka. Tenang.

Yup. Balik semalam lagi. Lepas habis kerja, terus balik.”

Pernah tak aku cakap yang mereka ni satu tempat kerja? Klise kan? Hubungan kerja mungkin dijadikan alasan untuk menutup hubungan sebenar mereka. Tiada siapa akan syak kalau mereka mesra. Kalau dulu aku tak saksikan dengan mataku sendiri macam mana tangan mereka bertaut, aku juga pasti takkan syak apa-apa.

“Balik berdua ke?” Kali ni aku selitkan sedikit rasa cemburu. Karang pelik pulak kalau aku tak rasa apa-apa bila tunang balik berdua dengan perempuan. Sekali pun dengan sepupu aku. Tak beritahu aku pula tu.

“Ya. Tapi, jangan risau. Kami takde apa-apa.”

Jangan sembang sangatlah!

Tika itu mata Iwan teralih ke arah Dr. Hilman yang cuma diam sedari tadi. Wajahnya macam biasa, tak serius, tak juga senyum. Tapi bila kali pertama orang melihatnya, cuma satu yang boleh dikonlusikan.

Berkeyakinan.

“Siapa ni?”

Rasa nak bagi kaki je bila suara Iwan terselit nada cemburu. Kau dah hilang hak itulah, Iwan! Nak je aku laungkan ke telinganya biar sampai tersembur keluar tahi telinga.

Dikerlingnya aku dan Dr. Hilman secara bergilir-gilir. Apatah lagi aku dan Dr. Hilman sedondon hari ini. Putih. Kemudian sekali lagi rasa nak ketawa. Bagaikan déjà vu pula. Ketika Iwan tertangkap curang dulu, aku dan Dr. Hilman juga memakai baju putih.

Tapi aku cuma senyum.

“Oh, yang kacak bergaya ni ke?” Selamba kata-kataku. Sengaja nak kasi Iwan panas hati bila aku puji lelaki lain di depan dia. Ya.. aku sengaja nak cari pasal dengan dia.

“Ni Hilman. Dia anak jiran saya, kawan saya. Datang berdua tadi. Tapi, jangan risau. Kami takde apa-apa.” Sempat aku menyindir guna ayat dia.

“Hilman, ni Iwan, tunang  saya. Dan ni, Safura, sepupu saya.” Separuh hati aku perkenalkan mereka bertiga.

“Hilman Ukasyah.” Suara pun penuh keyakinan. Tangannya dihulurkan kepada Iwan.

“Iwan Zulfakar.”

Salam bersambut. Namun aku boleh melihat betapa eratnya genggaman mereka berdua. Macam tengah bertanding, tulang tangan siapa yang bakal merekah dulu? Hampir sahaja aku mendengus. Huh.. lelaki dan egonya!

Namun seketika kemudian, kedengaran suara mengaduh kesakitan sebelum tangan mereka bercerai. Dari mulut Iwan. Aku sekarang tak tahu nak gelak ke, nak bersimpati dengan tunangku itu. Patut ke aku cadangkan dia supaya pergi x-ray tangan?

Oh, sorry! I’m a MMA fighter. Kadang-kadang grip terlebih power. Maaf!” kata Dr. Hilman. Tapi aku tak rasa sebenarnya dia maksudkannya.
“Iwan, Iwan okey ke?” soalku.

Iwan berdehem. Kemudian senyum sebelum buat tenang.

“Okey,” jawabnya yakin. Tak okey pun buat-buat okey la. Janji ego sendiri mencanak tinggi. Tak okey, pandai-pandailah dia seludup ais untuk dituam nanti. Tak pun cik kak sebelah dia mesti sudi untuk tuamkan.

Pandangan Dr. Hilman beralih kepada Safura. Senyuman versi penggoda diorak seseksi mungkin.

I’m Hilman. But for someone as beautiful as you, abang Hilman is acceptable.” Dr. Hilman dengan rasa tak bersalahnya kenyit sebelah mata pada Safura.

Dia flirt dengan Safura depan aku? Sabar ajelah. Tapi.. perhatianku sudah tentu terarah kepada bakal bekas tunangku. Rahangnya diketap sedikit. Tahan sabar agaknya bila buah hati diurat depan mata dia.

“Safura.” Pipi Safura tetap merona merah ketika memperkenalkan diri. Cinta tak cinta, sekali si Dr. Alpha Male ni masuk jarum, pakwe kat sebelah pun boleh pupus dari ingatan walaupun sesaat.

Iwan kunampak makin cuba kawal diri. Tercabar.

Aku di tengah-tengah cuma diam memerhati. Rasa nak tepuk tangan tengok mereka semua berdrama.

Bila tiba-tiba senyuman Dr. Hilman berubah sinis, aku tahu sebenarnya dia sengaja kenakan Iwan. Dia pandang Iwan balik.

Somehow, I think I know you. Kat mana ya kita pernah jumpa? Kenapa I rasa I pernah nampak you?” Kata-kata Dr. Hilman itu buatkan aku rasa macam kena cekik.

Cepat-cepat aku pandang dia. Isyarat mata diberikan. What the fish? Jangan nak buat hal! Risau aku kalau Dr. Hilman pecahkan semuanya.

Tapi Dr. Hilman cuma tenang.

“Tak kut. Ni pertama kali kita jumpa.” Yakin suara Iwan.

Kali ini Dr. Hilman pandang Safura pula.

And I think I know you too.” Dr. Hilman buat-buat perah akal. Bergilir-gilir mereka berdua ditenung.

Kali ini keyakinan Iwan mula goyah. Mukanya dah macam lepas kena rendam Clorox. Luntur warna. Safura pun sama. Gelisah. Aku faham macam mana rasanya berada di bawah renungan seorang Dr. Hilman Ukasyah. Macam yang pernah Sabiha cakap dulu, orang nak kencing pun tak jadi. Tapi aku buat-buat tak perasan dengan semua itu.

Dr. Hilman senyum mengejek. Suka agakya dah dapat reaksi yang dia nak dari pasangan itu.

“Haa.. I dah ingat dah kat mana. I pernah nampak you berdua dalam album di rumah Mak Cik Hajar.”

Jangankan Iwan dan Safura, aku sendiri pun tarik nafas lega. Sakit jiwa aku dengan perangai Dr. Hilman yang tak terduga ni. Seronok dia gulakan Iwan dan Safura.

Sorry, my mistake. You betul. Kita memang tak pernah jumpa.” Dr. Hilman minta maaf pula.

Mereka nampak lega.

“Ke pernah?”

Ah, sudah! Ada je akal Dr. Hilman untuk buatkan Iwan dan Safura macam cacing kena strok.

“Eh, nak jumpa Cik Ita la! Karang kalau pengantin lelaki dah sampai, tak sempatlah pula nak bergambar. Awak pun tadi nak bagi hadiah kat Cik Ita, kan? Jom.” Aku selamatkan keadaan. Sempat mata bagi amaran kepada Dr. Hilman yang mengatakan, ‘follow me now!’