BAB
9
“Kakak!
Kakak!” Pagi-pagi lagi suara umi dah jadi penggera bergerakku. Ala.. umi ni!
Kacau aku nak tidur betullah.
Aku masih malas. Syaitan masih erat mengikat aku ke
katil. Kembali pejam mata. Selimut tebal kembali ditarik ke dada. Bantal anak
beruang ditarik menutup muka. Taknak dikacau di pagi hujung minggu yang damai ini.
“Kakak!” Suara mem besar berada dekat denganku. Aku
yakin umi sedang berdiri di muka pintu bilikku.
“Bangunlah. Ya Allah.. budak ni!” Umi mula membebel.
Dapat rasa kedua-dua tangan umi dah selamat mendarat di pinggangnya.
Aku dapat mendengar derap langkah kaki umi mendekati
katil. Beberapa saat kemudian, selimut kesayanganku ditarik kasar. Sejuk
penghawa dingin mula menyentuh kulit. Rasa umi melabuhkan punggungnya di sisi
katilku.
“Anakanda kesayangan umi, bangun sayang.”
Aku buka mata perlahan-lahan. Umi dah lawa berbaju
kurung kuning. Siap bertudung. Nak pergi mana pula dah ni? Anak siapa kahwin?
Tapi kalau ada orang kahwin, takkan nak tunjuk muka pagi-pagi? Umi pun tak
pakai baju lip lap-lip lap, jadi aku
yakin bukan nak pergi kenduri.
“Awal lagi, umi. Bagilah kakak tidur setengah jam
lagi.” Serak-serak suara pagi aku berkata. Serius rasa macam ada batu
diletakkan di atas kelopak mataku. Berat.
“Cepat bangun, kakak. Teman umi pergi rumah Mak Cik
Lyn.”
Dengar je rumah Mak Cik Lyn, terus rasa nak hantuk
kepala ke dinding. Taknak pergi sana! Kenapa? Sebab aku nampak dengan jelas
kereta Mercedes-Benz CLA hitam berkilat yang cantik terletak di laman rumah Mak
Cik Lyn. Tak payah panggil Terence Tao setakat nak tahu jawapannya. Maksudnya,
Dr. Alpha Male tu balik! Lagi aku malas nak ke rumah Mak Cik Lyn.
“Ala.. umi. Umi pergilah dulu. Lepas tu kakak
pergilah.” Aku beralasan.
“Jangan nak mengada, kakak. Cepat bangun. Kalau tak,
umi cubit punggung kamu tu!” Umi mula mengugut.
Terus meluas mata aku. Sepit ketam umi di
punggungku! Tidak! Mahu naik bisul kalau aku biarkan. Aku rela jumpa Dr. Alpha
Male tu daripada menjadikan gluteus
maximus aku menjadi mangsa kekejaman umi.
“Ya.. ya.. kakak bangun!” Bingkas aku duduk daripada
pembaringan.
“Cepat mandi. Umi tunggu kat luar,” arah umi lagi.
Aku jeling jam di telefon bimbitku. Pukul 8.30 pagi.
Mengeluh. Sangat awal bagiku untuk hujung minggu. Dahlah aku tidur lambat
semalam.
“Kita ni duduk kat kampung. Adat berjiran, kena
selalu tolong-menolong. Nak-nak lagi kita ni jiran paling dekat dengan Lyn. Apa
pulak dia cakap kalau kita tak tolong.” Umi mula berceramah. Dah mula dah dia
dengan semangat perpaduan penduduk kampung ni.
“Ya.. umi, kakak tahu. Umi keluar dulu. Kakak
bersiap,” kataku. Lama aku biarkan umi di dalam bilik ini, mahu lagi panjang
umi berpidato. Kalau ada orang dengar, sah kena lamar jadi wakil rakyat.
Umi keluar. Tapi seharusnya sempat bagi satu
jelingan amaran supaya aku cepat bersiap. Aku menggeliat malas. Nak taknak
cepat bersiap sebelum umi datang mengugut lagi sekali.
----------------
Aku
lebih selesa membontoti langkah umi untuk ke rumah Mak Cik Lyn. Makin aku
mendekat dengan rumah banglo besar itu, makin kaki berat melangkah. Kenapalah
dalam banyak-banyak minggu, minggu ni jugak Mak Cik Lyn nak buat majlis tahlil?
Aku mengeluh. Telinga lintah umi yang cepat
menangkap terus menoleh ke belakang.
“Kenapa, kakak?” soal umi dengan kerutan di dahi.
“Takde apa. Penat,” autaku. Mana mungkin aku cakap
yang aku ni malas nak ke rumah kawan baik dia tu sebab aku dengan anak kawan
baik dia tu masih dalam mod perang dunia. Aku masih sakit hati, tahu?
“Jalan sikit dah penat. Tak fit langsung,” cebik umi.
Bukan tak fit
umi. Tapi nak menghadap anak kawan baik umi tu, perlukan tenaga zahir dan batin
kalau umi nak tahu.
“Ni la anak muda zaman sekarang. Mentang-mentang dah
ada kereta sendiri, nak jalan pun malas. Umi muda-muda dulu selalu jalan,
tahu?” Dah mula dah cerita umi masa zaman Ratu Kebaya dia dulu.
Umi sambung berjalan. Kakiku juga turut melangkah
mengikuti umi. Beberapa saat kemudian, kami berdua berdiri di hadapan pintu
dapur rumah Mak Cik Lyn. Salam diberi sebelum melangkah masuk. Dapur dipenuhi
dengan beberapa orang wanita separuh umur. Takdelah ramai sangat. Maklumlah..
bukan nak buat kenduri besar. Yang datang ini pun cuma jiran-jiran berdekatan.
Selepas bersalam dengan semua orang, aku duduk
bersimpuh di sisi umi. Senyum hormat kepada semua orang yang berada di situ.
Dan aku perasan sesuatu. Aku seorang je anak dara, bujang trang tang tang di
dapur ini. Cis! Ke mana anak dara lain menghilang. Kampung ni dah pupus anak
dara ke?
Aku mula menolong. Tiada apa yang boleh dilakukan
sebenarnya selain menjadi pak turut. Disuruh basuh bekas, aku basuh. Disuruh
cari barang, aku cari. Sebab dah ramai orang yang melakukan tugas dapur.
Kiranya aku datang ni sekadar ambil syarat. Tunjuk muka. Tunjuk rajin.
“Hai, Mak Su,” tegurku apabila nampak ibu saudaraku,
Mak Su Halijah masuk dapur.
Mak Su Halijah agak tersentak apabila ditegur sebegitu.
Dia senyum sebelum ambil tempat di sisi umi.
“Eh, Hazel, Kak Jar! Baru sampai ke?” soal Mak Su
Halijah.
Mak Su Halijah ni adik kepada umi aku. Wajahnya
iras-iras umi. Adik-beradik umi aku ni berdarah kacukan Melayu-Arab-Turki. Jadi
tak peliklah kalau mereka berdua bermata hazel. Sayangnya, untuk generasi
seterusnya, cuma aku yang mewarisi warna mata hazel keturunan umiku. Semua
sepupuku sebelah umi, baik lelaki mahupun perempuan semuanya bermata coklat tua
atau hitam.
“Baru la juga. Sorang je ke?” Umi bertanya balik.
Aku baru perasan Mak Su Halijah tak berteman.
“Sorang je la, Kak Jar. Nak harapkan Nabilah datang?
Hmm.. sampai ke tengah hari la nak kejutkan budak bertuah tu,” jawab Mak Su
Halijah. Dia sedang bercakap tentang sepupuku yang berusia enam belas tahun.
Kalau aku seusia Nabilah pun aku malas nak datang
sini. Semuanya makcik-makcik. Mana nak ngam dengan jiwa remaja? Baik aku
melungkup di bawah selimut.
“Safura tak balik ke, Mak Su?” soalku. Bertanyakan
tentang anak sulong Mak Su Halijah. Dia sebaya denganku tapi dah kerja. Kerja
dengan sijil diploma. Katanya malas nak sambung bila dah dapat peluang bekerja.
Dia pandang aku sekejap sebelum kembali memberi
perhatian kepada umi.
“Dia kerja. Tak tahu bila nak balik budak tu,” jawab
Mak Su Halijah sebelum senyum. Nampak penat.
“Eh, Mak Su keluar dulu! Ada orang panggil.” Mak Su
Halijah tunjuk ke arah pintu sebelum bangun. Memang ada salah seorang jiranku memanggil ibu saudaraku itu.
Perhatian beralih kepada umi yang sedang memotong
bawang merah.
“Umi, Mak Su kenapa? Ada masalah ke?” soalku. Aku ni
memang suka menyibuk. Umi pandang aku.
“Kenapa kakak cakap macam tu?” Aku kembali ditanya.
“Mak Su nampak lain,” komenku.
“Begaduh dengan Pak Su la tu. Biasalah tu. Umi
dengan abi pun selalu gaduh-gaduh manja. Dah.. jangan sibuk hal orang. Pergi
basuh bawang yang umi baru lepas kopek ni.”
Umi tolak satu besen sederhana besar yang
mengandungi beberapa ulas bawang merah yang baru lepas dikopek. Tanpa banyak
bicara, aku cuma mengikut. Bangkit dari duduk bersama besen di tangan sebelum
melangkah ke arah singki.
Betul-betul aku siap membilas, tiba-tiba ada tangan
memegang kedua-dua bahuku. Nasib baik aku tak melompat. Tak pasal-pasal ada
yang berenang di dalam singki. Aku pandang ke sebelah. Mak Cik Lyn.
“Hazel sibuk ke?” soal Mak Cik Lyn.
“Tak sibuk pun. Ada apa, Mak Cik Lyn?” Aku bertanya
balik.
“Orang dapur minta bekas lebih. Nak letak daging. Nak
minta tolong Hazel ambilkan bekas besar dalam bilik Nana, boleh? Mak Cik simpan
bekas-bekas dalam bilik Nana.”
“Boleh, no hal.”
Aku setuju. Lagipun aku memang kenal di mana bilik tidur Nana.
“Okey, terima kasih ya, Hazel.” Sempat Mak Cik Lyn
berterima kasih sebelum berlalu macam lipas kudung apabila ada yang menggamit
tangan memanggil. Sibuk betul tuan rumah.
Aku kembali menghantar bawang yang dah dibasuh
kepada umi sebelum berlalu ke bilik Nana untuk mengambil bekas yang dikatakan
oleh Mak Cik Lyn tadi. Ni mesti Nana tak balik sebab tu la Mak Cik Lyn boleh
mengeksploitasi bilik tu. Sebaik berdiri di depan pintu bilik Nana, tangan
terus laju menolak daun pintu.
Tapi, apa yang berada di depan mata sebaik pintu
bilik dikuak buatkan kaki terus kaku terpacak. Hampir terbeliak mataku melihat
Dr. Hilman yang betul-betul baru keluar dari bilik air. Hanya satu dalam
kepala. Shit! Worst timing ever!
Tubuhnya hanya dibaluti satu tuala putih pada
pinggangnya. Sa. Ha. Ja! Itu pun nampak longgar. Kalaulah jatuh… tak boleh
bayang aku! Dan aku taknak bayangkan. Silap-silap mahu koma aku! Dada bidangnya
masih bersalutkan beberapa titisan air. Rambutnya pula nampak masih basah dan
menghala ke bermacam arah. Seakan-akan jemarinya baru lepas bermain di situ.
Aku telan liur. Tolong jangan cakap aku salah bilik!
Mahu aku tak keluar rumah setahun sebab tangung malu. Nak jerit, tapi rasa
macam liur tersekat di kerongkong. Nak lari, tapi kaki macam kena gam. Akhirnya
cuma mampu terkaku di muka pintu dengan mulut yang sedikit ternganga.
Dr. Hilman pula terus berkerut kening memandangku
yang selamba menjadi penceroboh biliknya. Tangannya disilang ke dada. Riak
wajah tenang macam tak terkejut langsung melihat perempuan tiba-tiba muncul di
dalam biliknya. Kemudian kepala didongakkan sekali ke arahku.
“Are you here
to rape me?” Dia memecahkan keheningan antara kami.
Jatuh ke tanah rahangku dengan soalan luar alam dia.
Mulut… gaya bertanya macam nak tanya aku ni dah makan nasi ke belum? Rileks
gila!
“Huh.. pleaselah!”Aku
mencebik. Tapi mata masih tertancap pada dada bidangnya itu.
Dia senyum sinis.
“Yes..
please.. Please take your eyes off my luscious body. Shuhh..” Dengan muka berlagaknya jari telunjuk kanannya dihalakan
ke kiri dan kanan sebanyak tiga kali. Mengarahkan aku agar mengalih pandang.
Aku yang bagaikan baru tersedar terus larikan mata
ke arah lain. Muka dah rasa berbahang. Malu apabila aku seperti terhegeh-hegeh
mahu melihat tubuh tegapnya itu.
Tapi.. luscious
body? Serius la mamat ni satu hari nanti nak kena makan pelempang aku
gara-gara mulut dia tu! Aku mendengus kasar.
“Cari apa?” Dr. Hilman bertanya lagi. Rambut
basahnya diraup sekali. Kemudian dengan selamba berlalu ke almari pakaiannya
macam aku tak ada di situ.
Baru saja aku mahu menjawab, aku mendengar namaku
dipanggil sebelum ada satu susuk tubuh lain turut berdiri di belakangku. Mak
Cik Lyn.
“Allah… mak cik lupa nak cakap yang Nana dah
bertukar bilik. Bilik dia sebelah bilik mak cik. Maaf ya, Hazel,” kata Mak Cik
Lyn. Senyum minta maaf.
Alahai.. Dah terlambat dah. Mata saya dah kenyang
sarapan dengan six pack Dr. Hilman,
mak cik.
Jadi betullah bukan salah aku, kan? Aku dah masuk
bilik yang betul. Aku tak tahu nak balas apa.
“Eh, takpe, mak cik. Hazel tak kisah.”
Erk.. kenapa rasa macam tak kena je jawapanku itu? Aku
nak cakap aku tak kisah sebab aku tak salahkan Mak Cik Lyn yang lupa nak cakap.
Dua pasang mata terkebil-kebil memandangku.
“Eh, maksud Hazel, it’s okay. Bukannya selalu.”
Okey.. dah makin lain macam dah jawapan aku!
“I mean,
bukan selalu tersalah masuk bilik lelaki. Tak sengaja. Alpa. Khilaf. Manusia
tak boleh lari dari melakukan kesilapan. Kan, mak cik?” Apa yang aku membebel
ni?
Mak Cik Lyn dah pandang aku semacam. Tapi kepala
diangguk-anggukkan beberapa kali walaupun nampak agak ragu-ragu.
Aku sengih. Hazel!! Baik kau diam sekarang ni! Mentang-mentang
baru lepas tengok ‘luscious body’ yang
macam Dr. Hilman cakap tu, berterabur
segala tatabahasaku.
Dari hujung mata aku nampak Dr. Hilman bagaikan
tengah tahan senyum. Nak je aku lastik, biar terbentuk lengkungan parabola terbalik
di mulutnya itu.
“Yang kamu ni senyum-senyum kenapa, Man?” Ternyata
Mak Cik Lyn juga turut memerhati. Kening berkerut memandang anak bujangnya itu.
“Entah-entah dia memang sengaja nak ceroboh bilik
Man, mummy.” Dr. Hilman tunjuk ke
arahku.
Kalau tadi muka aku warna tomato, sekarang ni dah
dinaiktaraf jadi warna epal masak. Malu campur geram dengan lelaki itu. Amboi..
ingat aku nak hadap sangat masuk bilik dia?
“Hilman! Ada ke cakap macam tu?” marah Mak Cik Lyn.
“Dah.. jom kita keluar, Hazel. Mak cik mintak maaf
dengan perangai budak bertuah ni. Kamu tu Hilman, cepat pakai baju. Tak malu ke
tayang bodi depan anak dara orang? Kalau orang lain nampak, apa pula dicakapnya
nanti?” tambah Mak Cik Lyn lagi berbaur sedikit amarah. Sempat hujung mata
memberi amaran kepada anak bujangnya itu seolah-olah sedang berkata, ‘Behave.’
Dr. Hilman cuma mengangkat sebelah bahunya. Selamba
menarik satu t-shirt hitam dan disarungkan ke tubuhnya.
Seketika kemudian, Mak Cik Lyn keluar dari bilik.
Aku pun tanpa membuang masa turut meninggalkan bilik Dr. Hilman itu. Asal tiap
kali aku jumpa dia kat sini, mesti dia tiga suku bogel depan aku? Dua kali kut!
Set dalam kepala, Hazel! Bilik Nana sebelah bilik
Mak Cik Lyn, okey?
-----------------
Selepas
insiden memalukan itu, nasib baiklah aku dah tak terserempak dengan Dr. Hilman.
Aku banyak duduk di dapur dan dia pula selalu berada di luar rumah, menolong
kaum-kaum lelaki yang memerlukan tenaga muda.
“Bagus betul Hazel ni. Muda-muda pun datang
menolong. Rajin.” Aku angkat muka apabila mendengar namaku diseru. Ingin tahu
juga siapa yang dah buat aku kembang semangkuk dengan pujiannya itu. Salah
seorang jiran aku, Mak Cik Imah yang bersuara.
Aku sengih.
“Betul. Payah anak dara zaman sekarang nak turun
padang menolong macam ni. Untung kau, Hajar. Anak kau dahlah cantik, rajin pula
tu. Berkenan aku nak buat menantu.” Mak Cik Zahrah pula menyokong.
Tak payah nak kembang hidung sangat. Aku rajin
datang sini? Mereka tak tahu umi aku ni Ratu Sepit Ketam. Singgah di kulit,
mahu seminggu berbisa. Trauma aku!
“Hmphh..
tak payah nak puji sangat. Datang ni sebab aku yang seret. Kalau tak, takdenya
nak jejak kaki ke sini,” bangkang umi. Aku setuju!
Aku sengih lagi sekali. Umi bawa aku ke sini sebab
nak suruh aku menolong, bukan nak suruh orang puji dia ada anak dara yang rajin
turun dapur. Ikhlas niat mahu meringankan beban kawan baiknya itu. Baikkan umi
aku?
“Biarlah. Seret-seret pun, dengar cakap juga anak
kau. Anak dara aku tu, kerjanya duduk depan laptop.
Gelak-gelak. Entah cerita bahasa alien mana dia tengok. Aku dengar macam bunyi sayur... tauge.. Lepas tu dok berdebab-debab,
nak aje aku bagi bedebuk sebiji,”
kata Mak Cik Imah pula.
Aku ketawa.
“Tu bahasa Korea agaknya, mak cik,” tekaku. Kalau
dah ada sayur macam yang Mak Cik Imah cakapkan, mungkin annyeonghaseyo? Tapi.. yang tauge dan debab tu tak tahulah dari
mana. Ottoke dan daebak agaknya.
“Agaknya la. Kita orang-orang tua ni manalah nak
layan cerita-cerita macam tu.” Dia mengiakan.
“Tu anak kau. Anak aku tu, dua puluh empat jam
pegang telefon. Nak aje aku nikahkan dia dengan telefon tu.” Mak Cik Zahrah
menyampuk.
Lagi sekali ketawaku meledak.
“Biasalah, mak cik. Dorang darah remaja. Tengah
panas sekarang ni.” Bukan mahu membela, tapi memang kenyataan. Kalau aku seusia
lapan belas tahun ke bawah, aku rasa aku pun satu kepala.
“Masa ni la nak belajar. Supaya lepas ni tak kekok
turun dapur. Macam kamu, Hazel. Mak cik nampak Hazel dah biasa buat kerja-kerja
dapur. Untung tunang kamu, Hazel. Kalau kamu ni tak bertunang, mak cik-mak cik
kat sini semua berlumba-lumba nak jadikan menantu,” kata Mak Cik Imah.
“Umi.. dengar tu. Semua dah berkenan nak Hazel jadi
menantu. Untung umi.” Aku cucuk-cucuk pinggang umi. Saja nak mengusik. Umi
senyum lucu.
“Betul tu, Hajar. Nasib baik dah bertunang. Aku pun
berkenan Hazel jadi menantu aku. Dapat kita berbesan,” celah Mak Cik Lyn.
Bernada gurauan. Umi turut ketawa.
Senyumku mati. Jadi menantu Mak Cik Lyn? Alias kahwin dengan mamat alpha male tu ke? Memang tak la! Bukan
taknak beribu mentuakan Mak Cik Lyn. Tapi aku taknak bersuamikan lelaki macam
tu.
“Haha. Tu la kan? Nasib baik dah tunang.” Aku
buat-buat ketawa.
“Eh, Lijah! Safura macam mana sekarang ni? Bila nak
kahwin?” Mak Cik Lyn bertanya pula kepada Mak Su Halijah yang sedari tadi cuma
menjadi pendengar.
Tet.. tet.. soalan pusingan pertama yang berkisar
tentang anak dara turun dapur dah tamat. Masuk pusingan kedua, haruslah bertanya
tentang bila anak nak kahwin?
Aku nampak tangan Mak Su Halijah yang sedang
mengelap pinggan itu terhenti. Angkat kepala, terus berlaga dengan mataku. Cuma
sebentar sebelum pandangan dikalihkan ke arah Mak Cik Lyn.
“Anak aku macam tu la. Kerja. Dah ada calon katanya,”
jawab Mak Su Halijah.
Aku yang mendengarnya cuma diam. Tak lama lagi,
kahwinlah sepupu aku tu.
“Dah tu bila nak bertunangnya? Tunggu apa lagi?
Kerja pun dah. Duit dah ada. Calon dah ada. Benda yang baik jangan dilengahkan,”
sampuk Mak Cik Zahrah.
“Tak tahulah aku nak cakap apa. Macam main tarik
tali dua orang tu. Malas nak cakap apa. Dorang yang bercinta, dorang yang
putuskan.” Senang Mak Su Halijah jawab.
“Dah lama ke dorang bercinta?” soal umi.
Mak Su Halijah diam.
“Lijah, aku tanya kau ni! Dah lama ke dorang
bercinta?” Umi ulang soalan dia.
Mak Su Halijah telan liur. Ngeri dengan kakak dia la
tu. Umi memang garang dengan adik-adik dia.
“Dah beberapa bulan dah, Kak Jar.”
“Lepas ni dapat menantu la kau, Lijah. Entah-entah
si Fura tu yang kahwin dulu dari Hazel ni.”
Mak Su Halijah senyum tawar.
“Hazel bila nak kahwin, Hajar?” Mak Cik Imah
bertanya.
“Kalau ikutkan perancangan asal habis semester depan.
Sebelum Hazel mula latihan industri. Tapi tak tahulah. Kita cuma merancang. Ada
jodoh, adalah.”
Aku malas nak komen apa-apa apabila berbicara soal
kahwin ini. Inilah sebabnya aku malas nak berkumpul dengan mak cik-mak cik.
Pasal kahwin mesti nombor satu dalam kepala. Lepas tu sibuk masukkan anak
masing-masing dalam percalonan carta anak dara laku keras. Aku boleh bayang
perasaan anak dara lain yang yang digasak dengan soalan spesis itu. Stres!
Nasib baik aku ni dah bertunang.
Mesti cousin Hazel rampas tunang Hazel. X pelah Hazel, Hilman ade. Ha6. Next chap pleasee ♡♡♡
ReplyDeleteYalah rasa pun macam tu sebab mak cik halijah asyik tak selesa bila pandang Hazel.
DeleteKan...xpe Hilman ada setia menanti ����
ReplyDeleteKan..mcm rasa sepupu Hazel jer akan jadi perampas tunang Hazel ni.hehhehe...kalu tak,tkkanlah Hilman jadi alpha male dlm cte ni..hheheheh
ReplyDeleteTunang dia pun selamba badak je jumpa.
DeleteKan saya pun rasa mcm tu juga. Nak lagi pls..!!!
ReplyDeleteSetuju.....xpe hilman ada...
ReplyDeleteTq update...hilman ...tak berkenan kat hazel ke...?
ReplyDeleteVery Nice And Interesting Post, thank you for sharing
ReplyDeleteInspirational Quotes - Gym Quotes
Best Quotes - Success Quotes
Positive Life Quotes - Image Bank
Future Quotes - Excellence Quotes
كلام جميل - حكمة اليوم