BAB
5
Berlari-lari
aku balik ke rumah. Kesannya, tak pasal-pasal aku sesak nafas sebaik saja tiba
di depan pintu rumah. Baru aku nak pegang tombol, pintu itu dikuak dari dalam.
Umi.
“Kenapa dengan kakak ni? Baru lepas kena kejar hantu
ke?” soal umi sambil mengerutkan keningnya. Kemudian kerling belakang aku
kalau-kalau memang betul aku kena kejar dengan hantu.
Sempat aku sengih.
“A’aa.. umi. Baru je lepas main lumba lari dengan
pontianak,” jawabku. Loyar buruk macam biasa. Sejak bila Pontianak lari pakai
kaki pun aku tak tahu. Haha.
“Haa.. cakaplah macam tu. Ketuk tingkap kakak malam
ni, baru tahu.”
“Taknak!” Cepat-cepat aku geleng kepala. Serius
meremang bulu roma selepas umi cakap macam tu. Aku ni boleh tahan penakut juga.
“Tahu takut,” cebik umi. Seronok betul dia sebab dia
dah berjaya takut-takutkan aku. Teringin juga nak tanya, kalau keluar depan
umi, umi tak takut ke? Tapi.. memandangkan potensi aku dibebel panjang oleh umi
tu besar, aku batalkan ajelah niatku itu.
“Dah bagi karipap pada Lyn?” soal umi. Risau betul
dia kalau-kalau aku termakan karipap dia tengah-tengah jalan tadi. Haha.
“Dah. Tapi tadi anak dia yang ambil. Dia cakap Mak
Cik Lyn kurang sihat.”
“Hilman?”
Aku angguk.
“Umi.. tak pernah nampak pun Hilman sebelum ni?”
Buat-buat tanya.
“Si Man tu baru balik dari oversea. Baru lepas habis PhD katanya. Dia anak Lyn dengan bekas
suami dia dulu. Ada ramai lagi.”
“Kakak tak pernah tahu pun?”
“Rumah tangga orang, jangan nak sibuk! Jangan nak
jaga tepi kain orang. Lyn pun bukannya suka sangat bercerita pasal sejarah lama
dia.” Tak pasal-pasal umi membebel padaku.
“Habis mana
anak-anak dia yang lain? Kata ramai? Tak pernah nampak pun?” korekku lagi
walaupun dah kena bebel.
Umi mengeluh.
“Entahlah, kakak. Umi tak tahu. Umi pun kenal dengan
Man je. Itu pun baru jumpa beberapa minggu yang lepas. Macam yang umi cakap
tadi, itupun sebab dia baru balik dari oversea,”
terang umi pula.
Diam.
“Baik budak Hilman tu.”
Ting..
ting…
sesi puji-memuji telah pun bermula!
Rasa macam anak tekak kena jolok. Nak muntah hijau bila
umi puji Dr. Hilman tu baik. Tang mana baiknya, malas pulak nak ambil tahu.
“Handsome
si Hilman tu. Budi pekerti pun baik. Selalu juga tengok dia tolong mummy dia di dapur kalau dia balik.
Nampak tak kekok. Husband material.”
Otot muka.. sekarang bukan masanya untuk berkerut
seribu, okey? Naik kejang segala otot bila dengar umi puji mamat tu berbakul-bakul.
Pekakkan telinga sajalah.
“Kalau umi ada anak perempuan lain, memang dah
pinang dah buat menantu. Nasib baik kakak dah bertunang, tahu?”
Okey.. itu seram! Dan nasib baik aku dah bertunang.
Kalau dah sampai tahap nak pinang anak teruna orang ni, serius umi ni dah
berkenan sangat nak jadikan Hilman tu menantu dia. Umi pun dah terkena virus
T.I!
Tapi.. apa nak pelik kalau mak cik-mak cik jatuh
hati dengan Dr. Hilman. Aura alpha male ni memang lain macam. Mampu menarik
perhatian perempuan tak kira lapisan umur. Apa yang dia lakukan pasti nampak
menarik di mata semua orang. Bahaya.. bahaya..
“Umi ni.. baru beberapa minggu kenal kut.
Entah-entah kat luar Abang Long Hilman.” Akibat mengutuk anak kawan baik umi,
bahu aku makan penampar sedas. Aku mengaduh kesakitan. Sampai hati umi pukul aku
sebab Dr. Hilman.
Sempat sengih bila umi jeling tajam.
“Tak baik cakap macam tu tahu. Fitnah,” bela umi.
Dalam hati aku mencebik. Kalau betul-betul mencebik depan umi, silap-silap
bibir kena sepit ketam umi. Tak pasal-pasal terjuih, jadi Hazelina Jolie la aku.
“Umi tadi nak keluar pergi mana?” Aku cepat-cepat
ubah topik. Rimas bercakap pasal Dr. Hilman. Seru banyak kali, silap-silap
terpacak dia di depan rumah aku nanti.
“Oh, baru teringat! Umi sebenarnya cari kakak la.
Sebenarnya tadi umi lupa nak suruh kakak tolong ambilkan kain yang umi kirimkan
pada Lyn. Untuk baju raya nanti. Kain dari Kemboja,” kata umi. Baru teringat.
“Ala.. petang nanti la, umi. Kakak penat la
berlari-berkejaran-seindah-bunga-di-taman tadi. Tak lalu dah nak patah balik ke
rumah Mak Cik Lyn.” Aku enggan. Beralasan penat padahal aku malas nak menghadap
Dr. Alpha Male itu.
Akhirnya umi cuma akur.
------------
Jam
menunjukkan pukul lima setengah petang. Cuma aku dan umi yang berada di rumah. Abi
ke rumah kawan dia. Adik aku pula masih belum pulang. Seronok betul keluar
berjoli budak tu. Lepas bagi makan segala binatang peliharaan adikku, akhirnya
aku cari Baby.
“Baby.. Baby..” panggilku.
Mana pulak kucing tu menghilang? Pagi tadi ada di
dalam bilik adikku. Seronok betul dia bersleeping
cutie di atas katil adik aku. Malas nak kacau, akhirnya aku cuma biarkan
saja. Dan sekarang, mana kucing tu menyorok?
Takkan keluar rumah kut? Risau juga aku kalau kucing
itu keluar rumah. Pertama, itu kucing orang. Kedua, kalau keluar, sah kucing tu
kena culik. Kepala sempat ditutup dengan selendang sebelum kaki menghala ke
luar rumah.
“Baby.. Meoww.. Baby.” Terbongkok-bongkok aku
mencari. Manalah tahu tengah menyorok di celah-celah pokok bunga umi.
“Baby..
Bab..” Terhenti suaraku apabila melihat sepasang kasut berdiri betul-betul di
depanku.
Aku angkat kepala. Seluar jeans biru. Angkat lagi,
baju t-shirt belang-belang. Angkat lagi.. aku terus telan liur. Dr. Hilman.
Baby si kucing yang aku seru, kenapa Baby lain pulak yang muncul? Macam tak
percaya dia ada di depan mata. Jelmaan hantukah?
“Assalamualaikum.” Suara dia bagi salam. Sah homo
sapiens!
“Err.. Waalaikumussalam.”
Cepat-cepat aku berdiri. Kaku aku sengih kepada Dr.
Hilman. Segala rasa kecanggungan mula menular di udara. Apa dia buat kat sini?!
Ini mesti sebab dah seru dia banyak kali pagi tadi. Kan betul apa aku cakap.
Terpacak dia di depan rumah aku.
“Awak ni..
semua benda nak dibabykan ke?” Itu
pula yang ditanyanya. Bibir bagaikan sedang menahan sesuatu yang lucu. Muka aku
tiba-tiba rasa panas.
“Mana ada, Baby.. eh, Dr.!” Aloha.. boleh tersasul pulak dah! Tiba-tiba confuse dengan perkataan baby
ni. Sekali si darling hari tu dengar aku babykan baby dia, silap-silap pekak aku dilempangnya.
“Saya cari kucing. Kucing tu nama Baby,” kataku lagi
sambil cuba mengawal malu.
Bila nampak mulut dia senget nak membidas, terus aku
menambah.
“Tu kucing mummy
Dr. Jangan tanya saya kenapa nama dia Baby,” kataku seakan-akan tahu apa yang
sedang bermain dalam fikirannya.
Dan aku juga tahu, inilah orang yang
bertanggungjawab menjadi punca Baby dianaktirikan tuan sendiri. Tak pasal-pasal
makhluk Tuhan paling comel itu dihalau rumah gara-gara Dr. Hilman.
“Err.. Dr. datang sini nak cari siapa?” soalku. Baru
teringat mahu bertanyakan niat sebenarnya yang tiba-tiba boleh terpacak di
depan rumah aku pada petang yang hening ini. Mengganggu ketenteraman hidup aku
betullah!
“Oh.. lupa! Mak Cik Hajar ada?” Dia cari umi. Aku
perasan ada satu beg kertas dalam genggamannya.
Belum sempat aku menjawab, kedengaran suara umi
mencelah dari dalam rumah. Bertanyakan gerangan tetamu yang sudi jejak kaki ke rumah
ini.
“Eh, Hilman? Apa hajatnya datang bertandang ke rumah
mak cik ini?” Amboi.. umi! Gaya bertanya macam zaman P. Ramlee dulu. Klasik. Nasib
baik tak berpantun dua kerat dengan Dr. Hilman.
Dr. Hilman senyum manis. Sesiapa yang tengok sumpah
cair meleleh. Rasa macam itu kali pertama aku melihat dia senyum manis dan
ikhlas seperti itu.
“Mummy
suruh bagi kain ni kepada mak cik,” jawab Dr. Hilman pula dengan penuh sopan. Dihulurkan
beg kertas berwarna putih itu kepada umi. Umi semestinya menyambutnya dengan
senyuman paling lebar.
“Terima kasih, Hilman. Buat susah-susah je datang
hantar. Mak cik baru je cadang nak ke rumah Man sebentar lagi,” balas umi
sambil mencuri lihat sedikit isi beg kertas itu. Kain baju raya umi.
Ramah mereka berdua berbual. Aku yang berada
tengah-tengah ni rasa macam berada di dalam dunia lain. Rasa macam
perlahan-lahan nak mengensot masuk rumah. Belum sempat aku nak bergerak, umi
bersuara.
“Duduklah dulu, Hilman. Boleh berbual-bual.
Hilangkan penat kejap,” pelawa umi sambil menunjukkan ke arah kerusi batu yang berada
di halaman rumah.
Aku angkat muka. Seakan-akan berjanji, mata berlaga
dengan mata coklat tua itu. Dalam kepala aku macam-macam doa aku baca supaya Dr.
Hilman tak setuju. Ketidaksenangan aku memang jelas terpancar di mukaku.
Tapi.. cukup aku tengok senyum lawa tapi sinis yang
cantik terukir di bibir merah dia sekarang ini, aku dah tahu apa dalam kepala
dia.
“Boleh juga.”
Cis!
Umi senyum setelah mendengar jawapan Dr. Hilman.
“Kakak layanlah Man ni dulu. Tanya dia nak minum
apa. Umi pergi simpan kain ni dulu.” Umi keluarkan arahan sebelum melangkah
masuk. Mentang-mentang dah dapat kain baju raya dia, tak pandang kiri kanan dah
umi aku. Lebar saja sengihnya.
Aduh.. umi ni! Dia tinggalkan aku main kelip-kelip
mata berdua dengan Dr. Hilman pulak dah. Suruh aku mintak oder bagai! Sejak
bila pulak aku jadi waitress hot ni?
Aku mengeluh dalam diam. Nak taknak, aku menghadap
Dr. Hilman. Tetamu wajib dilayan. Layanan kelas satu. Itu prinsip umi.
“Dr. nak minum air apa?” soalku lembut. Betullah aku
ni ada gaya waitress hot!
Dia tak terus menjawab. Tenung wajah aku dengan
pandangan yang aku sendiri tak dapat tafsirkan. Buatkan aku mula berfikir. Ada
bulu hidung terlebih panjang ke? Atau ada tahi cicak melekat di tudungku?
Aku mula gelisah. Bila tengok aku dah mula
pusing-pusing hujung selendang, dia mula senyum senget. Tanda-tanda dia
terhibur dengan apa yang sedang terjadi sekarang. Sakit betul hati aku. Aku
rasa dia ni memang suka buat aku tak senang duduk. Seronok apabila melihat aku
macam anak kera tengah tahan kencing di depan dia.
“Espresso ada?” soalnya balik.
Espresso atas dahi kau! Amboi… ada dia nampak peti
surat rumah aku ni tertulis Hajar Kopitiam ke?
“Espresso is
my favourite.” Automatik terangkat sebelah keningku.
Iya? Tak tanya pun.
Motif bagitahu aku?
“Saja nak kongsi. Espresso is my addiction. I’m easily melted with espresso.” Rileks je dia memberitahuku. Sekarang
aku musykil. Espresso tu.. kopi ke orang?
Hari ini aku tahu dua fakta tentang Dr. Hilman. Dia
tak suka kucing. Dia penagih espresso. Patutlah perangai kelat macam espresso.
“Oo.. ya ke? Tapi maaflah, Dr. Kat rumah ni, espresso
takde. Kopi O ada,” jawabku. Kira adik-beradik la kan?
“O je? Tapi tekak hari ni macam nak kopi S.”
Kopi S? Aku pulak yang blur. Kopi ais ke?
“Kopi susu la.” Dia bersuara lagi bila aku senyap.
“Okey. Dr. duduklah dulu. Saya masuk buatkan kopi S
Dr. tu ya?”
Aku berlalu. Huh.. kopi O, kopi S je dah nak dekat
sepuluh minit! Membazir masa aku betul. Mana la perginya umi ni?
-------------
Aku
tatang dulang bersama satu teko kopi S yang dipinta Dr. Hilman ke luar rumah.
Dari jauh lagi aku dengar suara umi bergelak ketawa. Amboi.. umi. Bukan main
melayan anak kawan baik dia itu.
Tawa umi masih bersisa ketika aku tiba. Dengan lagak
perempuan Melayu terkhir, aku tuang kopi ke dalam dua cawan sebelum diletakkan
di depan Dr. Hilman dan umi.
“Minumlah, Man. Ni.. ada sikit kek gulung dan
karipap. Karipap ni mak cik buat sendiri. Samalah yang mak cik bagi mummy Man pagi tadi. Tak tahu la sedap
ke tak,” pelawa umi.
“Eh, sedap, mak cik! Saya dah cuba. Terima kasih.”
Dr. Hilman berbahasa.
Tiap kali nampak dia berbudi-bahasa-budaya-kita
dengan orang lain, tiap kali tu jugaklah aku tak percaya dengan pertemuan
pertama kami dulu. Buat aku tertanya-tanya. Dia ni ada bipolar disorder ke? Ke dah masuk sekolah tatatertib lepas dia
langgar aku dulu?
Mungkin sebenarnya mood Dr. Hilman hari tu memang tengah buruk. Siapa tahu dia tengah
cirit-birit masa tu kan? Dan nasib aku la kalau dah jadi tempat dia
melempiaskan amarahnya dulu.
“Haa.. kakak pulak kenapa tercegat kat situ?
Duduklah,” kata umi.
Duduk? Atas kerusi sebelah Dr. Hilman tu ke? Terima
kasih je la. Jadi komander di depan tangga ni lagi bagus kut.
Aku geleng kepala.
“Dia segan dengan saya la tu, Mak Cik Hajar.” Dr.
Hilman bersuara. Serius aku rasa nak cekik dia. Apatah lagi, tengok dia macam
tengah senyum sinis.
“Alah.. apa nak segan? Umi tahulah kakak tak berapa
kenal Man ni. Tapi kita ni hidup berjiran, kenalah saling bertegur-sapa. Bukan
orang lain. Anak Mak Cik Lyn juga.”
Tak berapa kenal Man ni? Umi tak tahu yang aku ni,
tiap-tiap Khamis menghadap si Man tu. Oh, baru aku perasan! Umi tak pernah tahu
yang Dr. Hilman itu pensyarah aku. Okey.. minta-minta la kekal menjadi rahsia.
“Saya ni sebenarnya lecturer Hazel, mak cik.”
Ya.. ya.. seharusnya kita ada Dr. Hilman yang
mulutnya memang gatal berbunyi. Cis!
“Iya ke?” Wajah umi jelas-jelas terkejut. Kemudian
pandang aku. “Kakak tak pernah cakap pun?” Umi macam tak puas hati.
Tersekat-sekat liur ditelan. Umi macam nak menuduh
yang aku sengaja berahsia dengan dia. Walaupun itu semua memang betul.
“Takde cakap eh? Laa.. ingatkan umi dah tahu. Umikan
selalu lepak rumah Mak Cik Lyn. Umi tak tahu ke?” autaku.
“Umi memang tahu Man ni baru jadi lecturer. Tapi tak pernah tahu pula
mengajar di U kakak,” jawab umi.
“Dr. Hilman ajar kakak Research and Statistics,
umi,” beritahu aku lagi.
“Dr.?” Umi pandang aku dah Dr. Hilman.
Buatkan aku turut berpandangan dengan Dr. Hilman.
Sama macam aku, mukanya penuh persoalan.
“Ya la. Dr. la. Kalau dah habis PhD, takkan orang
panggil Sarjan kut?” kataku berbaur gurauan.
“Apa doktor-doktor ni? Ni bukan kampus.” Tinggi
suara umi. Sekali lagi pandang aku dan Dr. Hilman.
Muka aku dah berubah seram. Aku rasa aku faham apa
cuba umi sampaikan.
“Kita ni kan berjiran. Kat sini dah takde status
pensyarah-student. Kenapa nak
berdoktor-doktor?” kata umi lagi.
Bagaikan berjanji, sekali lagi aku berpandangan
dengan Dr. Hilman. Habis aku nak panggil apa? Seakan-akan dapat membaca
fikiranku, umi bersuara lagi.
“Panggil Hilman ni abang Man. Diakan lebih tua dari
kakak.”
Muka aku terus berkerepot lepas dengar benda tu.
Abang Man? Yuck! Mahu lancar mogok
segala organ dalaman aku. Sebelum keluar abang, aku rasa lidah aku dah terputus
dua. Nehi. Never!
“Eee.. taknaklah! Gelilah!” Tak sempat nak jalani
siri penapisan, mulutku laju menjawab. Buatkan umi terus bulat mata mendengar
jawapanku. Berbeza pula dengan Dr. Hilman. Sumpah aku nampak dia senyum
walaupun tak sampai sesaat, sebelum dia tayang muka selamba.
Aku gigit bibir bawah sebelum bagi senyuman paling
manis kepada umi. Matilah aku kena bebel dengan umi lepas ni!
“Err.. Hazel masuk rumah dulu la. Nak cari Baby.”
Sengih, lepas tu angkat kaki masuk rumah. Meneruskan pencarian yang tergendala
gara-gara kedatangan Dr. Hilman tadi.
Mcm biasa , sentiasa terpikat dgn penulisan anjell . Good luck sis .
ReplyDeleteSemoga terus sampai habis cerita gaya penulisan anjel..mcm eksperimen cinta n tunddukan playboy itu..x jadi macam hero seorang cinderella ..penamatan yang tergesa2 dan mengecewakan padahal awalnya sgt menarik..komen ikhlas
ReplyDeleteSalam nurin. Saya harap nurin boleh bagi komen ikhlas juga pada karya saya di nadeanour.blogspot.my. harap sudi ziarah :-)
DeleteBestlah...tak sabar tunggu buku..harap dptlah puluk buku ni dlm tahun ni..😍😍😍😍
ReplyDeleteTq sis update ...dah lama tunggu..
ReplyDeleteOh my dean winchester. Pandai pilih hero :-)
ReplyDeleteBest �� dah lama rasanya tak baca apa yg sis update.
ReplyDeleteI'm dying...update more please😭😭😭
ReplyDeleteThank you bab 6 dh ad
ReplyDeletebest..best..akhirnya update jgk..setelah sekian lama tggu...good job anjel
ReplyDeletepenceritaan yang menarik dan lain dari yang lain wlpn konsep yang sama iaitu percintaan antara pelajar dhn lecture tapi santai dan bersahaja...good job! keep it up!
ReplyDeleteVery Nice And Interesting Post, thank you for sharing
ReplyDeleteInspirational Quotes - Gym Quotes
Best Quotes - Success Quotes
Positive Life Quotes - Image Bank
Future Quotes - Excellence Quotes
كلام جميل - حكمة اليوم