Pages

Terima Kasih Anda Semua..

Kata-kata Anjell

ASSALAMUALAIKUM..

Blog ini adalah hasil nurkilan seorang budak science yang perasan nak jadi novelis...

Maaf bila tertypo.. Budak ini masih junior..

Significance of this simple blog to me : 'A PLACE TO EASE TENSION, DIFFERENT WORLD FROM THE ACTUAL ONE'

Monday 24 August 2015

Hero Seorang Cinderella (BAB 25)


BAB 25

Medina ingatkan Tengku Ian cuma bergurau. Namun betul-betul tepat dua puluh minit selepas panggilan mereka dimatikan, Tengku Ian berdiri di depan rumahnya bersama Farizzam. Manis senyuman kedua-dua lelaki itu kepada tuan rumah.

“Eh, ada apa hajat datang sini, Ian, Zam?” Datuk Azizan juga turut terkejut apabila melihat tetamu yang tak diundang itu.

Tengku Ian senyum dulu.

“Saya nak jemput Medina.” Selamba Tengku Ian menjawab.

Medina yang dengar terus luaskan matanya. Memanglah Tengku Ian dah cakap sebelum ini. Tapi, gaya mamat itu cakap tadi macam dia yang minta dijemput. Kalau Tengku Ian tak pekak, rasanya dia ada juga cakap papanya tak izinkan dia keluar.

Datuk Azizan kematian kata. Dipandangnya Tengku Ian dan Medina silih berganti.

“Saya nak minta izin daripada uncle untuk keluar dengan Medina. Saya dengar uncle tak bagi Medina keluar sebab takut Medina keluar dengan lelaki pelik,” jelas Tengku Ian lagi.

Medina dari jauh rasa nak baling je pasu bunga ke muka mamat tu. Tak pasal-pasal papa ingat aku mengadu kat dia! Bila bertentang mata dengan Tengku Ian, lelaki itu cuma selamba. Buat tak tahu bila Medina dah macam nak gigit dia hidup-hidup.

“Ehemm..” Datuk Azizan berdehem dulu untuk mencari ayat. Nampaknya anaknya tak berbohong tadi. Memang betul mahu bertemu dengan Tengku Ian. Dia dan isterinya dah salah sangka rupanya.

Uncle izinkan saya keluar dengan Medina? Medina anak gadis yang baik-baik dan saya takkan sesekali buat apa-apa yang tak patut pada Medina. Saya juga berjanji akan jaga Medina sepanjang dia keluar dengan saya dan saya akan lindungi dia seperti saya lindungi nyawa saya. Uncle boleh percayakan saya.”

Semua yang mendengar terus terkelu. Medina apatah lagi. Ternganga. Banyak betul janji ditabur. Weh.. nak ajak keluar ke, nak ajak kahwin ni?

“Kalau itu yang Ian cakap, uncle nak cakap apa lagi? Uncle izinkan Medina keluar dengan Ian,” jawab Datuk Azizan akhirnya.

Datin Mawar di sebelah dah masam mukanya. Sakit betul hatinya. Bukan main tadi dia gagalkan rancangan Medina dan Tengku Ian untuk keluar bersama. Tapi tak sangka pula Tengku Ian sanggup datang ke rumah mereka senata-mata untuk meminta izin. Sangat-sangat sakit hati! Tapi depan suaminya dan semua orang, mana mungkin ditunjuknya.

“Terima kasih, uncle. Saya janji saya akan bawa pulang Medina dengan selamat,” janji Tengku Ian lagi. Datuk Azizan cuma angguk.

“Apa lagi, Dee? Pergilah ikut Ian. Kata nak keluar tadi, kan?” Datuk Azizan pandang pula anak daranya itu. Rasa bersalah sebab tak percayakan Medina tadi.

Err.. Dee pergi ambil beg Dee dalam bilik dulu.” Teragak-agak Medina menapak ke arah tangga untuk ke biliknya. Kenapa rasa macam baru lepas buat jahat ni? Serba-salah.

“Medina, kami tunggu dalam kereta. Uncle, aunty, kami pergi dulu.” Tengku Ian dan Farizzam bersalam dengan Datuk Azizan.

   ---------

“Amboi, kau! Bukan main. Gatal anak tekak.” Farizzam memerli Tengku Ian. Ketika itu mereka dalam perjalanan menuju ke kereta Tengku Ian.

Tengku Ian yang dengar terus ketawa. Gatal anak tekak? Mampu ke nak garu? Haha. Itu baru sikit ayat dramatisnya, tahu?

“Aku ingat ada apalah kau heret aku tadi. Nak datang culik anak dara orang rupanya,” bebel Farizzam lagi. Sekali lagi Tengku Ian gelak.

“Mana ada culik? Aku mintak izin bapak dia. Kau pun nampak tadi, kan?” Tengku Ian menjawab.

“Bapak dia izin. Mak dia aku nampak macam tak ikhlas je tadi,” kata Farizzam pula.

Tengku Ian terdiam. Dia perasan juga. Muka Datin Mawar masam mengalahkan segala jenis asid. Ukur dengan skala pH mahu cecah kosong. Tapi.. Farizzam perasan?

“Kenapa cakap macam tu?” uji Tengku Ian.

“Yalah.. aku nampak muka aunty tadi macam tak suka je Medina keluar dengan kau.”

“Sebelum ni okey je Medina keluar dengan aku. Muka aunty pun ceria je aku tengok. Tapi, semuanya berubah lepas aku dah jadi Ku Zam. Kau agak-agak sebab apa?” Tengku Ian berteka-teki.

“Mesti sebab dia nak bermenantukan kau la tu. Tapi kecewa sebab Medina cuma anak tiri dia. Dia mungkin nak kau dengan anak dia.” Farizzam bijak meneka.

Tengku Ian tak beri apa-apa komen. Mungkin. Malas nak bersangka buruk dengan orang.

“Ian, boleh aku tanya satu soalan?”

Tengku Ian pelik. Sopan pulak si Zam ni. Musykil.

“Apa dia?” Tengku Ian tetap menjawab.

“Kau dah lama kenal Medina, kan? Mesti kau dah tahu macam-macam pasal Medina. Medina.. mesti dia ada sebab kenapa dia tak sukakan keluarga tiri dia, kan?”
Tengku Ian senyap.

Hmm.. apa kata kau tanya dia sendiri? Lepas ni kan kita nak spend masa bersama. Kau tanyalah soalan banyak-banyak kat dia.” Tengku Ian sengih.

Dia ada motif sendiri kenapa dia mahu Medina keluar hari ini juga. Sebab dia dah ajak Farizzam sekali. Susah nak bawa Farizzam dan Medina keluar bersama. Kalau Medina tak cuti, Farizzam pula yang kerja. Kalau dah kerja tu, faham-fahamlah. Bukan sehari dua. Jadi, dia akan pastikan apa yang dirancangkan terlaksana hari ni.

“Kau ni, macam la dia nak jawab kalau aku tanya. Aku ni bukan mulut manis macam kau.” Sempat Tengku Ian disindirnya.

“Mana tahu mulut aku manis? Kau pernah cium aku ke?”

“Cium-cium jangan sebut. Geli la!”

Tengku Ian ketawa. Nasib baik tak ada orang yang dengar. Kalau tak mesti kena tuduh lelaki berhaluan kiri. Haha.

Farizzam diam bersandar pada pintu kereta sambil menghadap rumah agam itu. Senyap.

“Kenapa, Zam?” Tengku Ian pelik. Dia ada perasan juga. Kali pertama Farizzam datang rumah ni dulu pun Farizzam buat benda yang sama. Berdiri sambil menatap rumah keluarga Datuk Farizzam itu untuk beberapa saat.

“Rumah ni cantik, kan?”

Tengku Ian tak angguk, tak juga geleng. Menanti Farizzam teruskan kata-katanya.

“Kenapa aku rasa aku macam pernah datang rumah ni, Ian? Bila aku tengok pintu pagar, kenapa aku rasa sedih?” luah Farizzam. Dua kali dia datang rumah Datuk Azizan, dua kali dia rasa benda yang sama. Perasaan apakah ini?

Tengku Ian pula terdiam. Farizzam ada ingat sesuatu ke? Mungkin Farizzam pernah tinggal di rumah ini sebelum mereka keluar. Entahlah.. dia pun tak tahu.

“Mungkin.. rumah ni, ada apa-apa ikatan dengan aku ke, Ian?” Farizzam pandang Tengku Ian.

Terkedu Tengku Ian. Langkah Medina yang mendekati mereka itu menyelamatkan suasana. Senyum mereka berdua menyambut kedatangan Medina. Hati Tengku Ian tiba-tiba rasa gundah.

Farizzam.. dia mula ingat sesuatu ke?

  ----------------

“Kita nak ke mana ni?” soal Tengku Ian ketika mereka mulakan perjalanan.

“Kenapa tanya saya pulak? Awaklah nak ke mana? Kan saya cakap hari ni saya nak belanja awak.”

Tengku Ian berfikir sekejap. Farizzam di kerusi penumpang hadapan cuma senyap.

Hmm.. makan dululah. Laparlah. Lepas ni kita fikir balik apa ya saya nak awak belanja saya,” jawab Tengku Ian.

“Kalau macam tu, saya belanja makan je la. Biar saya belanja awak dengan Farizzam sekali.”

“Taknak. Saya nak awak belanja benda lain. Hari ni Zam cakap dia nak belanja makan. Kan, Zam?” Selamba dipetiknya nama si kawan sebelah.

“A’aa.. iya.” Farizzam iya kan aje apa yang dicakap abang angkatnya itu. Malas nak bertanya banyak.

Medina terus terdiam. Pulak dah.

“Kalau macam tu, let’s go. Teringin nak makan tom yam la. Jom kita makan tom yam,” ajak Tengku Ian. Kereta dipandu ke sebuah restoran yang terkenal dengan kesedapan tom yamnya.

   ------------

Suasana restoran itu agak meriah dengan ramai pelanggan. Mungkin kerana kesedapan masakannya, restoran itu selalu penuh. Nasib baik ada meja kosong. Tercapai juga hasrat Tengku Ian untuk makan tom yam hari ni.

Bila pelayan datang menghidangkan semua oder yang ditempah mereka, Tengku Ian mula menadah tangan. Bersedia untuk membacakan doa makan untuk mereka bertiga. Setelah diaminkan, terus Tengku Ian mula makan.

Baru beberapa suap, Tengku Ian berhenti. Mak oi.. pedasnya! Rasa lidah macam kena salai. Terus dia cari air.

“Itulah.. dah tahu tak boleh makan pedas, gatal jugak nak makan. Aku rasa betullah kau ni gatal anak tekak.” Farizzam menyindir. Sengih pandang Tengku Ian yang dah merah mukanya.

Tengku Ian berhenti sekejap. Rehatkan lidah. Memang dia tahu pedas. Tapi dia suka. Medina di depannya dipandang. Sibuk menguis-nguis mangkuk tom yam. Macam Farizzam.

“Kenapa tak makan lagi?” soal Tengku Ian.

Medina angkat muka. Terbantut rutin biasa tiap kali nak makan tom yam.

“Buang bawang. Saya tak makan bawang,” jawab Medina.

Farizzam nampak terkejut.

“Eh, sama la kita. Saya pun tak makan bawang. Tak suka,” sampuk Farizzam.

“Kan.. tak sedap langsung. Kenapalah letak bawang banyak-banyak?” Medina teruja. Gembira jumpa geng. Belia benci bawang.

“Wah, tak sangka korang berdua tak suka benda yang sama.” Tengku Ian pula teruja.

“Alah.. ramailah yang tak suka bawang. Papa saya pun tak suka bawang. Kalau Mak Jah masak, kalau boleh jangan bagi nampak rupa bawang tu. Sebab tu la kut saya pun tak suka bawang. Ikut papa,” cerita Medina.

“Kau pulak Zam, ikut siapa?” uji Tengku Ian.

Farizzam angkat bahu. Bukan ibu. Ayah dia? Sah-sah tak tahu. Mungkin dia tak ikut sesiapa kut.

“Macam mana kau tahu kedai ni, Ian? Boleh tahan sedap juga masakan dia,” puji Farizzam.

“Haa.. sedap, kan? Inikan Ian. Mestilah tahu kat mana tempat makan yang sedap-sedap.” Tengku Ian puji diri sendiri. Sememangnya dia suka makan. Pasti dia tahu di mana tempat makan yang sedap. Murah tak semestinya tak sedap. Mahal tak semestinya sedap. Janji kena dengan tekaknya, Tengku Ian tak kisah.

“Inilah kerjanya bila kau kena kerja dulu. Aku kat sini sorang-sorang. So, bila bosan, aku carilah tempat makan yang best-best,” tambah Tengku Ian lagi.

“Lepas ni kita nak pergi mana?” tanya Farizzam lagi.

Tengku Ian berfikir sekejap. Beberapa perkara terlintas dalam kepalanya.

Hmm… memandangkan aku stres sangat-sangat, apa kata kita main bowling? Dah lama aku tak main bowling. Dee, awak belanja saya main bowling. Boleh?”

“Saya tak kisah.” Medina menjawab. Dia dah janji. Lagipun main bowling bukannya mahal sangat. Nak pergi pun senang. Mana-mana pusat beli-belah pasti ada tempat bermain bowling. Cuma masalahnya, dia bukannya pandai sangat main bowling.

“Kau, Zam?” Tanya pula pendapat Farizzam.

“Aku okey je.”

    -------------

Mereka bertiga mengatur langkah ke dalam pusat bowling yang terletak di dalam Berjaya Times Square. Sengaja mereka memilih pusat beli-belah itu kerana tempat itu yang paling dekat. Ramai juga anak muda yang datang secara berkumpulan. Yang datang sekeluarga pun ada. Mungkin sebab hujung minggu, sebab itulah ramai agaknya.

“Siapa lagi yang nak main?” soal Tengku Ian. Mata bergilir-gilir memandang Medina dan Farizzam.

“Kau mainlah, Ian. Aku tak reti la. Aku tengok je,” jawab Farizzam.

“Saya pun taknak main. Dah lama tak main. Awak main sorang-sorang je la kalau macam tu. Ambil satu lane je,” jawab Medina pula.

Haish.. tak seronoklah main sorang-sorang. Tak kira, korang berdua kena main jugak!” arah Tengku Ian.

“Kita lawan.” Tengku Ian senyum lebar.

“Hoi, tahulah kau tu dah star. Nak lawan, sah-sah la kau menang. Dua orang main pun belum tentu dapat kalahkan kau, tahu?” Farizzam tak puas hati. Bukan dia tak tahu kepakaran Tengku Ian tu bawah sikit je daripada pemain profesional.

Tengku Ian ketawa. Bangga la jugak.

“Kalau macam tu, kau dua orang bergabunglah. Cuba kalahkan aku,” cadang Tengku Ian. Keningnya diangkat beberapa kali. Mencabar.

Farizzam dan Medina saling berpandangan. Kalahkan Tengku Ian?

“Aku cabar ni. Takkan takut kalah kut?” Tengku Ian sengaja memprovok.

“Berlagak betul.” Medina mencebik.

“Berlagak-berlagak pun, hakikatnya memang saya hebat daripada awak.” Tengku Ian senyum macho. Panas hati Medina.

“Eleh, saya boleh kalahkan awak la. Kalau awak kalah, nak buat apa?” tanya Medina. Kalah takde denda ni tak best!

“Kalau saya kalah, apa-apa yang awak nak di mall ni, saya akan belikan.”

“Sekali pun rantai berlian sejuta ringgit?” Sengaja menguji.

“Ya. Apa-apa je.” Tengku Ian menjawab yakin.

Medina mencebik. Huh.. mentang-mentang kaya, berlagak. Berkobar-kobar semangat nak kalahkan Tengku Ian.

“Okey.. saya akan main. Zam, awak?” Medina pandang Farizzam. Berharap Farizzam bersetuju. Kalau dua tak pakar bergabung, manalah tahu tiba-tiba jadi pakar? Betul tak?

“Okey. Saya join.” Farizzam bersetuju. “Kita kena menang, Medina. Kena kasi mamat ni ingat daratan balik,” tambah Farizzam lagi. Dijelingnya Tengku Ian yang tersengih-sengih tu.

“Betul.. betul.. saya dah nampak dah rantai sejuta ringgit yang bakal dibawa balik lepas ni,” jawab Medina. Turut dijelingnya Tengku Ian.

Tengku Ian terus ketawa. Bukan main semangat dua beradik ni nak kalahkan dia.

“Jangan yakin sangat. We’ll see, friends.”

Tengku Ian terus meninggalkan mereka berdua yang tengah mengatur strategi untuk mengalahkannya itu.

   -------------

“Ya.. ya.. saya dah kalah.” Tengku Ian bersuara bila Medina datang ke tempat duduk mereka dengan senyuman lebarnya. Secara rasminya permainan dah tamat bila Medina mendapat strike untuk pusingan itu. Dia kalah.

“Itulah.. berlagak lagi. Kan Allah dah tunjuk.” Sempat Medina membebel pada Tengku Ian. Tengku Ian cuma selamba.

“Tapi.. kami dah menang. Yes.. kita dah menang, Zam.” Medina berkongsi kegembiraannya dengan Farizzam, rakan seperjuangannya. Lelaki itu cuma senyum. Turut gembira.

“Saya harap awak ingat janji. Jangan nak mungkir pulak!” Medina senyum jahat. Puas hati betul dapat kalahkan Tengku Ian. Tak sangka kombinasi dia dan Farizzam menjadi. Siapa kata Farizzam tak hebat main bowling? Tadi rasanya Farizzam yang banyak dapat strike.

“Saya ingatlah. Jangan risau.”

Tengku Ian turut senyum. Gembira melihat Medina yang bersinar-sinar wajahnya. Betul-betul puas hati dapat kalahkan dia nampaknya.

“Rasa dahagalah. Saya nak pergi cari air kejap.” Medina minta diri sebelum dia berlalu. Mata Tengku Ian mengekor langkah Medina. Tak sedar Farizzam yang sedang memerhatikannya itu.

“Kau sengaja kalah tadi, kan?” soal Farizzam bila Medina dah jauh dari mereka. Tengku Ian pandang Farizzam.

“Mana adalah. Kau dengan Dee yang hebat.” Tengku Ian beralasan.

“Alah.. aku tahulah kau sengaja main-main je tadi. Kalau kau main betul-betul, aku rasa mahu semua strike, kan?” selidik Farizzam lagi.

“Aku serius la tadi. Dah lama tak main kut sebab tu jadi macam tu,” jawab Tengku Ian mudah.

Farizzam mencebik. Tak percaya. Bukan dia tak kenal Tengku Ian. Sengaja buat-buat kalah sebab Medina la tu. Saja nak Medina gembira. Berlagak macho! Tapi.. bila tengok Medina gembira tadi, dia pun rasa gembira. Tak sampai hati nak matikan kegembiraan itu.

Dari jauh, mereka berdua melihat Medina datang ke arah mereka dengan tiga botol air mineral. Senyuman manis masih tak lekang di bibir. Tengku Ian mahupun Farizzam, kedua-duanya memandang ke arah Medina.

“Dia cantikkan bila dia senyum?” soal Tengku Ian.

“A’aa.. senyum dia cantik.” Farizzam turut mengakuinya. Mengingatkan dia kepada seseorang. “Macam ibu.”

Tengku Ian pandang wajah Farizzam.

“Dia senyum macam ibu, kan? Kau tak perasan ke?” soal Farizzam pula.

“A’aa.. memang sama pun.” Tengku Ian mengiakan. Memang senyuman Medina persis Ayana. Wajah lebih kepada Datuk Azizan, tapi senyumannya milik Ayana.

“Tengok apa?” Medina yang baru sampai bertanya sambil menghulurkan air kepada Tengku Ian dan Farizzam. Kemudian turut berpusing ke belakangnya. Nak tahu juga apa yang dilihat oleh dua jejaka itu sampai tak berkelip mata.  Kutlah tengah usha perempuan seksi ke, memang ringan jari nak cucuk mata dua orang tu.

“Takde apa-apa la. Jom la keluar,” ajak Tengku Ian.

   ------------------

Puteri menghempaskan badannya ke atas tilam. Terus disambarnya anak patung teddy bear sebelum ditekupkan ke mukanya. Terbayang kembali adegan-adegan yang menyakitkan mata yang disaksikan tadi.

Tak sangka hari ini dia ternampak Medina keluar bersama Tengku Ian dan Farizzam. Itu dia tak kisah lagi. Apa yang menyakitkan hati adalah apabila melihat senyum Medina bersama Farizzam ketika mereka bermain bowling tadi. Bukan main lagi mereka berdua bergelak ketawa.

Farizzam pun nampak ceria. Tak pernah Farizzam tunjuk wajah seceria itu dengannya dulu. Mereka bagaikan sudah kenal lama. Nampak sangat mesra. Gara-gara itulah patah moodnya untuk berhibur bersama kawan-kawannya. Terus dia pulang ke rumah. Anak tak sedar diri tu betul-betul menyusahkan oranglah! Benci betul rasanya sekarang ni.

Puteri menukar posisi kepada duduk. Dendamnya pada Medina kini meruap-ruap. Sakit hati yang tak payah diukur. Kalau di depan mata, nak je tampar laju-laju. Dia masih boleh terima kalau Medina dapat Tengku Ian. Dia masih tak kisah kalau Tengku Ian rapat dengan Medina. 

Tapi, dia tak boleh terima kalau Medina dekat dengan Farizzam. Dia tak rela kalau perasaan Farizzam mula berputik pada Medina. Farizzam hak dia. Tiba-tiba rasa cemburu datang meluap-luap. Apa lebihnya Medina sampai semua orang sukakan dia?

Kalau semua orang suka Medina, dia akan buat semua orang bencikan budak tak guna tu. Dia akan buatkan semua orang jijik dengan Medina. Malah Tengku Ian yang percayakan Medina pun mungkin akan tinggalkan Medina.

Ini Puteri la. Kau ingat kau dah menang ke, Dee? Dia tahu dia takkan dapat Tengku Ian. Tapi jangan ingat dia akan biarkan Medina bersama Tengku Ian. Dan dia akan pastikan Medina juga takkan dapatkan Farizzam. Medina tak berhak memiliki salah satu pun. Tak layak.

Puteri senyum jahat. Bermacam-macam rancangan jahat dalam kepala. Kau tunggu je, Dee.





  -------
SEKIAN DULU.. SETAKAT INI SAJA ENTRY UNTUK HSC. TENGAH GIGIH SIAPKAN FULL MSS.. ADA REZEKI INSYAALLAH PUBLISH TAHUN DEPAN.

SEKALI LAGI PEMBERITAHUAN. SAYA DAH TAK GUNA FACEBOOK ANJELL HOMOSAPIEN. KEPADA KAWAN2 FACEBOOK INI YANG TERCARI-CARI SAYA,  DAN MAHU TAHU SEBARANG UPDATE, PERKEMBANGAN ATAU CERITA2 BARU SAYA, BOLEHLAH ADD DI FACEBOOK BARU ANJELL HOMOSAPIEN II ATAU LIKE PAGE ANJELL NOVELIS.

TERIMA KASIH ATAS SOKONGAN ANDA SEMUA...

Friday 21 August 2015

Hero Seorang Cinderella (BAB 24)


BAB 24

Datin Mawar mundar-mandir di dalam bilik anaknya. Muka tak puas hati. Dari dalam majlis lagi Datin Mawar rasa tak puas hati tapi ditahannya kerana tidak mahu ada yang mengesyaki apa-apa. Puteri cuma diam di atas katil, sambil mata melihat kelakuan ibunya itu.

“Benci betul aku. Macam mana semua ni boleh jadi macam ni?” Datin Mawar membebel sendiri lagi.

Mata kembali terbayang majlis yang baru tamat lebih kurang setengah jam yang lalu. Terkejut habis semasa melihat siapa Ku Zam yang sebenarnya. Mahu melopong mulut bila Tengku Ian memperkenalkan sebagai tunggak baru alias pewaris tunggal Tengku Ismadi. Dia rasa bukan dia seorang. Mahu seluruh isi dewan yang ternganga.

Hebat sungguh lakonan kedua-dua beradik itu. Tengku Ian apatah lagi. Hidup sebagai anak angkat Tengku Ismadi dan memperbodohkan mereka semua. Dan mereka berjaya. Dia rasa sangat bodoh kerana percaya. Tengku Ian yang tak pernah dipandang dulu adalah Ku Zam yang sebenar.

Lagi sakit hati bila melihat layanan Tengku Ian dan Tengku Ismadi kepada Medina. Dari jauh dia nampak semuanya. Mereka bergelak ketawa bagaikan sudah mesra. Tengku Ismadi pun nampak senang dengan Medina. Tengku Ian pula memang jelas-jelas sukakan Medina. Tak boleh jadi ni! Kalau dibiarkan, musnahlah impiannya nak bermenantukan Ku Zam.

“Mama.. dah lewat ni. Puteri dah ngantuk,” adu si anak. Sampai je kat rumah, terus mamanya panggil menghadap. Tak lain tak bukan mestilah pasal Tengku Ian alias Ku Zam tu.

“Puteri tak sakit hati ke tengok anak tak sedar diri tadi asyik berkepit dengan Ku Zam? Sakit hati mama ni, tahu?” luah Datin Mawar. Benci betul.

Puteri tayang muka bosan. Dah agak dah. Tak sakit hati ke? Hati dia lebih daripada sakit. Meruap dia cemburu dengan Medina. Pertama kali dia rasa dia amat tewas dengan adik tirinya itu. Tuah selalu menyebelahi Medina.

“Dah tu kita nak buat apa, mama? Salah kita juga tak layan Ian betul-betul masa dia berlakon jadi anak angkat dulu.”

Ya.. kesalahan terbesar mereka adalah mengabaikan Tengku Ian dulu. Kalau dulu, memang Datin Mawar sengaja biarkan Tengku Ian berdua dengan Medina. Biar Medina, asal bukan anak dia. Niatnya cuma satu. Biar Medina jatuh cinta dengan Tengku Ian dan tak kacau daun dalam hubungan Ku Zam dan Puteri. Tapi yang jadi malah sebaliknya.

“Mama, Ian tu bijak, mama. Tengoklah apa yang dia dah buat. Kita pulak yang rasa malu dengan sikap kita.”

Terpukul dengan kata-kata Tengku Ian dalam ucapannya tadi. Dalam hati mengatakan Tengku Ian maksudkan mereka. Memang kenyataannya dia dan mamanya cuma nampak Ku Zam. Anak angkat cuma anak angkat. Takkan dapat menandingi anak kandung walau sehebat mana pun dia. Sebab tu perhatian cuma tertumpu pada Ku Zam.

“Mama nak mulai esok, Puteri kena cuba dekat dengan Ian. Mama tak kira. Puteri kena dapatkan Ian,” arah Datin Mawar. Sasaran sudah berubah.

Puteri telan liur. Mampu ke dia mendekati Tengku Ian setelah apa yang dah diucapkan oleh lelaki itu? Nak menghadap Tengku Ian pun rasanya kena tebalkan muka. Apatah lagi kalau nak cuba dekat. Mahu kena tepis dengan sebelah tangan oleh Tengku Ian.

Tengku Ian bukan Farizzam. Tengku Ian juga terlalu bijak. Dan Puteri rasa mamanya terlupa sesuatu.

“Mama.. macam mana Puteri nak dekat dengan dia? Mama dah lupa ke? Masa mula-mula kita jumpa dia dulu, dia dah nampak apa yang Puteri buat kat Medina. Dia nampak Puteri tolak Medina. Malulah kalau Puteri nak dekat dengan dia,” kata Puteri.

Datin Mawar baru tersedar sesuatu. Betul juga apa yang dikatakan anaknya itu. Selama ini pun Tengku Ian rapat dengan Medina. Dah tiga bulan dan entah cerita apa yang dah dijaja kepada lelaki itu. Datin Mawar mula risau.

“Alah.. nanti buat-buat baik la depan dia. Macam tak biasa pulak Puteri ni. Mesti dia akan suka dengan anak mama ni.”

“Tapi dia dah ada Dee, mama.” Puteri berat hati. Dan dia pun dah ada Farizzam.

Mamanya tak tahu sesuatu. Sepanjang perkenalan dia dan Farizzam, perasaan suka dah berputik dalam hatinya. Dia sukakan Farizzam. Mula-mula memang dia pasang niat untuk dekat dengan Farizzam kerana hartanya. Tapi, makin lama dia mengenali lelaki itu, makin dia jatuh hati dengan peribadi Farizzam. Farizzam sangat baik. Perlahan-lahan niat jahat itu luntur dan dia ikhlas sukakan Farizzam.

Kalaulah semuanya terbongkar sebelum dia betul-betul sukakan Farizzam, pasti dia takkan teragak-agak untuk tinggalkan Farizzam dan mengejar Tengku Ian. Tapi, semuanya dah terlambat.

“Alah.. dorang tu kenal baru tiga bulan. Masih baru. Macam-macam boleh jadi. Lagipun Medina tu belajar kat tempat lain. Puteri lagi dekat dengan Ian. Apa lagi? Godalah dia.” Pandai Datin Mawar mengatur rancangan.

“Mama.. bincang esok la. Puteri ngantuk sangat ni. Mama pergilah masuk bilik. Nanti papa cari mama. Mesti dia syak sesuatu nanti.” Puteri mencari akal untuk mengelak. Secara halus cuba halau mamanya keluar daripada biliknya.

“Mama tak kira. Lupakan anak angkat Ku Is. Apa yang kita dapat kalau kejar anak angkat Ku Is tu? Dan mama taknak budak tak guna tu yang dapat Ku Zam yang sebenar. Tak rela mama. Mulai besok, Puteri kena cuba dapatkan Ian,” bicara Datin Mawar lagi sebelum dia keluar dari bilik Puteri.

Puteri termangu-mangu di atas katil. Macam mana ni? Dia ikhlas sukakan Farizzam. Farizzam sangat baik. Walaupun dia tak tahu Farizzam sebenarnya sukakan dia atau tidak, tapi sungguh dia rasa tak sampai hati untuk melakukan semua ini.

Tapi dia taknak Medina menang. Mengingatkan adik tirinya itu, hati kembali sakit. Selalu Medina yang bertuah. Cantik. Bijak. Anak kandung orang kaya pula tu. Tengku Ian pun macam sukakan Medina. Bencinya!

Huh.. daripada aku sakit hati sorang-sorang macam ni, baik aku tidur!

   ---------------

I’m gonna miss you, ayah,” kata Tengku Ian. Ketika itu dia menghantar ayahnya ke lapangan terbang. Dalam beberapa jam lagi, ayahnya akan berlepas pulang ke Los Angeles. Sedihnya rasa. Cuma beberapa hari dia dapat luangkan masa bersama ayahnya.

Me too, son. Duduk sini, jangan buat masalah macam dulu pulak.” Sempat Tengku Ismadi memberi amaran. Dijelingnya Tengku Ian yang tengah tersengih-sengih itu.

“Ya, ayah,” janji Tengku Ian. Faham sangat dengan maksud ayahnya itu. Ayah ni.. sindir orang tak pandang-pandang.

“Jangan lupa janji kamu dengan ayah, Ian. Ayah harap kamu ingat.”

Tengku Ian cuma angguk. Dia selalu ingat dengan janji itu. Janji itulah sebagai tukar ganti dengan kemahuannya untuk menetap di Malaysia selama-lamanya. Selalu dalam kepalanya dan sampai sekarang dia masih mencuba.

Satukan keluarga Izzam! Itulah arahan ayahnya. Serba-sedikit dia tahu tentang keluarga Farizzam. Tentang siapa Datuk Azizan, siapa Medina dan apa hubungan mereka dengan Ayana dan Farizzam. Dia cuma tahu sedikit, bukan semua.

“Ian tak pernah lupa, ayah. Tapi sampai sekarang Ian tak faham kenapa semuanya terjadi kat ibu Ayana?” soal Tengku Ian balik.

Dia tahu Ayana diceraikan dan dihalau rumah beberapa hari selepas dia melahirkan Medina. Dia tahu Ayana menghadapi kemurungan yang teruk sehingga dia melupakan apa yang terjadi. Ayana lupa Medina dan bekas suaminya itu. Sebab itulah sampai sekarang tiada siapa yang berani menyentuh tentang hal itu. Terutama sekali Farizzam.

Farizzam terlalu muda ketika itu. Tangisan Farizzam pada malam tu masih segar lagi dalam kepala Tengku Ian.  Ayana pengsan, Farizzam menangis dan dia hanya bersembunyi di balik dukungan bondanya kerana takut. Terasa bagaikan baru semalam semuanya terjadi.

 “Ayah takde jawapannya, Ian. Semua tu hanya Ayana yang tahu. Ayah pun tak tahu apa dah jadi lebih dua puluh tahun lepas. Ayah cuma rasa bertanggungjawab untuk menyatukan Medina dengan mama dan abangnya,” jelas Tengku Ismadi.

Bertahun-tahun dia mengambil masa untuk menyiasat. Mencari sebab kenapa Ayana dan Farizzam keluar dari rumahnya. Tapi tak semua maklumat yang diperoleh. Banyak cerita yang dia terima dan berlainan versi. Apa sebenarnya yang dah jadi dulu, semuanya masih menjadi persoalan.

“Boleh Ian tahu kenapa ayah buat semua ni?” soal Tengku Ian lagi. Ayahnya bersungguh-sungguh mahu satukan keluarga Ayana. Bukan dia nak mempertikaikan, cuma dia nak tahu sebabnya. Jangan cakap ayahnya bertanggungjawab dalam perpecahan keluarga itu dahlah.

“Keadilan dan kebenaran. Entah kenapa ayah rasa ibu Ayana kena aniaya orang. Kalau tak, macam mana dia kena halau dalam pantang. Ayah cuma kesiankan dia. Ayah rasa bertanggungjawab untuk kembalikan keluarga Ayana. Dan Medina, dah tiba masanya dia tahu kewujudan ibunya,” jelas ayahnya.

Tengku Ian terdiam. Nampak memang senang. Tapi sebenarnya sukar. Macam mana dia nak perkenalkan Medina dengan Farizzam dan Ayana? Nak cakap, “Dee, sebenarnya Farizzam abang kandung awak dan ni Ayana, ibu kandung awak.” Macam tu ke? Kalaulah sesenang itu. Tapi dia kena ambil kira emosi Farizzam dan Ayana. Ayana terutamanya. Kalau trauma kembali menyerang?

“Tunggulah masanya. Ian akan cuba dekatkan mereka dulu sebelum Ian ceritakan hal sebenar.” Tengku Ian serius.

“Kamu ni, asal keluar nama Medina, mesti serius. Macam tu la. Lelaki sejati kena serius dengan perempuan.” Tengku Ismadi senyum mengusik. Tengku Ian tayang muka selamba. Ni yang aku benci kalau ayah dah tahu rahsia aku. Asyik nak mengusik je kerjanya!

“Kahwin nanti jangan lupa jemput,” tambah Tengku Ismadi lagi.

Tengku Ian terus meledakkan tawanya. Apa ayah ni! Gaya cakap macam dia tu member aku. Kahwin nanti jangan lupa jemput? Haha. Apalah ayah ni. Tengah-tengah alam sebut pasal kahwin.

“Mana ada fikir pasal kahwin lagi, ayah. Ian muda lagi la. Tak bersedia lagi. Enjoy dulu la,” balas Tengku Ian.

Dia masih muda. Umur pun tak sampai tiga puluh lagi. Medina pun bukannya ada perasaan kat dia. Bagilah masa untuk dia cairkan hati Medina tu. Biar Medina tahu dia serius. Biar Medina sukakan dia juga. Semuanya memerlukan masa. Masih terlalu awal untuk fikirkan perkahwinan. Dan dia belum bersedia untuk bergelar suami orang.

“Amboi, nak main-main dengan anak dara orang ke? Bercinta niatnya cuma satu. Untuk kahwin. Dahlah masa bercinta tu dah banyak kumpul dosa. Cubalah kurangkan dosa tu dengan kahwin cepat sikit. Jauhi zina. Zina mata, zina hati, zina mulut.” Tengku Ismadi berceramah.

Ala.. ni yang aku lemah kalau ayah dah bukak kuliah agama tengah-tengah lapangan terbang ni! Silap-silap kena lamar dengan rancangan Tanyalah Ustaz untuk jadi hos baru.

“Ya, ayah! Bila Ian dah sedia, Ian kahwin.”

“Bersedia tu datang dengan sendiri, Ian. Masa akad nikah tu, barulah Ian tahu yang Ian dah sedia nak jadi suami orang.”

Tuh dia kalau orang berpengelaman dah bercakap! Tengku Ian lega bila melihat langkah bergaya Luke ke arah mereka. Dapatlah keluar daripada topik kahwin ni.

“Nanti sampaikan salam rindu dan sayang Ian kat bonda. Ian rindu sangat-sangat kat dia. Nanti kalau Ian free, Ian balik jumpa bonda.”

“Yalah. Kamu jaga diri. Ingat semua pesan ayah tadi. Jangan buat masalah pulak. Jaga ibu, jaga Izzam, jaga Medina, jaga IGNIUS,” pesan Tengku Ismadi.

“Kamu Luke, jaga Ian ni elok-elok. Kalau dia buat masalah macam dulu, kamu sekeh je kepala dia. Biar betul sikit.” Tengku Ismadi berpesan pula kepada Luke.

Tersengih Luke yang mendengarnya. Sekeh Ku Zam? Sebelum dia sekeh, entah sampai planet mana dia gara-gara penendang Ku Zam tu. Ngeri seh!

Tangan Tengku Ismadi disalam sebelum mereka saling berpelukan. Lama. Tengku Ian tahu, pasti dia akan rindukan pelukan ayahnya itu.

“Hati-hati ayah.”

  --------------

“Medina!” panggilan papanya itu membuatkan langkah Medina mati. Medina menoleh ke belakangnya. Nampak papa bersama isteri kesayangan.

“Ya, papa?” sahut Medina malas. Huh.. nak apa lagi ni?

“Dee nak pergi mana?” soal Datuk Azizan sambil mata menganalisa Medina dari kepala ke hujung kaki. Gaya macam nak keluar.

“Keluar.” Pendek Medina jawab.

“Dee nak ke mana?” siasat Datuk Azizan lagi.

Medina diam dulu. Pelik. Sejak bila papa berminat dengan aktiviti harian dia? Biasanya kalau dia keluar sampai malam pun papa tak pernah nak tanya. Kalau tak balik terus pun rasanya papa takkan perasan.

“Jumpa kawan.”

“Yalah tu jumpa kawan. Entah-entah dia nak jumpa entah lelaki mana. Baik abang tanya betul-betul. Bukan boleh percaya budak ni. Senyap-senyap pasang buah hati,” sampuk Datin Mawar pula.

Medina jeling ibu tirinya tu. Kalau kau diam kan bagus? Takdelah nak tambah dosa fitnah. Nasib baik mak tiri!

“Betul Dee?” soal Datuk Azizan lagi.

Baru je Medina nak jawab, Datin Mawar menyampuk lagi.

“Betul la tu, abang. Abang tak boleh biarkan dia bebas sangat. Salah abang la ni, tak reti kawal anak. Kan saya dah cakap dulu.”

“Mama Dee cakap, sekarang ni Dee selalu keluar rumah. Betul ke?” tanya Datuk Azizan.

Ya, betul! Sebab sekarang ni tengah jalankan research untuk studinya. Memanglah tak boleh duduk diam kat rumah. Hujung minggu pun sibuk kadang-kala.

“Semasa ayah takde, mama Dee cakap Dee balik tengah-tengah malam. Ada lelaki hantar kamu, betul?” tambah Datuk Azizan lagi.

Medina tergelak. Betullah kut kalau mak tiri dia tu tengah mengigau masa tu.

“Dee ke atau anak kesayangan dia tu yang keluar dengan jantan sampai balik lewat-lewat malam?” jawab Medina.

“Madina!” Papanya memberi amaran. Sebab rasa dia biadap sangat kut. Huh.. tak boleh nak sentuh langsung pasal anak tiri dia tu. Benci!

“Tengok abang, Puteri pulak yang dia salahkan. Mana ada Puteri macam tu, abang. Abang pun tengok Puteri keluar dengan kawan perempuan tadi kan?” Datin Mawar bela anaknya.

“Kalau Dee nak keluar dengan lelaki, papa tak izinkan, Medina. Dee tu perempuan. Papa tak suka Dee keluar bersosial.”

“Keluar bersosial?” Medina ketawa lagi. Perit. Senangnya papa percaya kata-kata bini dia tu. Papa ni, kenapa kejap percaya dia, kejap tak percaya dia? Dia ni, teruk sangat ke? Mungkin dia teruk, tapi dia tahu jaga maruah diri.

“A’aa.. memang hobi Dee keluar bersosial. Kalau papa takde, mesti Dee balik lambat. Kalau dekat U, lagilah. Macam-macam Dee buat sebab takde orang nak kawal Dee. Sebab seronok keluar dengan lelaki yang layan Dee macam tuan puteri. Maklumlah.. sepanjang Dee membesar, Dee tak dapat kasih sayang yang cukup daripada seorang lelaki. Sebab papa sendiri pun tak pernah nak sayang Dee,” jawab Medina.

“Medina!” Kuat suara Datuk Azizan. Terkedu dengan ayat terakhir Medina.

Medina tayang muka tak bersalah. Apa yang dikatakan itu hanya sedikit kalau nak dibandingkan dengan sakit hati yang dah dipendam bertahun-tahun.

“Tengok, abang. Kan saya dah cakap anak abang sekarang ni dah lain macam. Entah siapa-siapa yang jadi kawan dia. Ni.. entah dengan siapa nak keluar ni. Abang nak biar ke?” Seronok Datin Mawar mengipas api yang tengah marak. Menanam syak dalam diri suaminya itu.

“Dee nak keluar jumpa Ian la, papa,” jelas Medina sebelum papanya keluarkan perintah berkurung. Muka papa dah nampak merah.

“Haa.. ya la tu! Hidup-hidup nak gulakan kita. Budak-budak zaman sekarang memang suka menipu. Abang sendiri yang cakap Ian tengah sibuk sekarang ni, kan? Buat apa dia nak jumpa Medina? Lagipun, mesti dia minta izin abang kalau nak keluar dengan anak-anak kita, kan?” tambah Datin Mawar lagi.

“Terserah, nak percaya, percaya. Taknak, sudah.” Medina bengang. Cakap benda betul pun jadi salah. Baik kerja menipu 24 jam. Senang hidup. Susahnya kalau dalam rumah ni ada yang rela hati nak jadi pengganti setan untuk menghasut!

“Medina, papa tak izinkan Dee keluar hari ni. Papa tak suka anak papa keluar dengan entah lelaki mana. Bagi papa kunci kereta Dee.”

“Tapi..”

Now!” tegas Datuk Azizan. Dia cuma mahu menjaga maruah anak daranya itu.

Arghh… bencinya! Dalam keterpaksaan, Medina bagi kunci keretanya pada papanya. Medina berpatah balik ke dalam biliknya. Menyesal aku balik rumah minggu ni! Duduk kat kampus lagi seronok. Lagi bebas.

Ingat kereta kena rampas, dia tak boleh keluar ke? Pagar ada la. Cuma dia yang malas. Mood dah bersepai gara-gara insiden tadi. Sakit hati tak hilang-hilang lagi.

Datin Mawar pula tersenyum bangga. Macam dirancang, suaminya itu dalam kawalannya. Pasti akan termakan dengan ‘nasihat’ bernasnya itu. Gembira rasanya dapat menghalang Medina keluar. Bukan dia tak tahu Medina memang mahu keluar dengan Tengku Ian. Dia terdengar perbualan telefon Medina. Sebab itulah dia terus fikirkan cara untuk menggagalkan pertemuan itu.

   ---------

Sorry, kena cancel hari ni.” Medina minta maaf sesudah suara macho Tengku Ian menjawab salamnya.

Rasa bersalah sebab kali ini dia yang berjanji mahu membayar hutang. Dia mahu lakukan sesuatu kerana Tengku Ian sudi meminjamkan tuksedonya dulu. Walaupun Tengku Ian tak pernah berkira, Medina berkeras mahu membayarnya. Sengaja tak mahu terlalu termakan budi.

Tapi jadi pulak macam ni! Tak pasal-pasal kena perintah berkurung. Dan aku pulak baik sangat nak mengikut tu kenapa? Medina mengeluh lagi.

“Lain kali saya belanja awak, boleh?” tanya Medina lagi.

“Kenapa tiba-tiba?” Tengku Ian pelik. Soalan Medina dibalas dengan soalan.

“Papa tak bagi. Dia dah ambil kunci kereta saya. Papa takut saya keluar dengan lelaki pelik,” jelas Medina.

“Saya ni, pelik ke?” Kedengaran ketawa Tengku Ian di hujung talian. Sakit hati Medina yang dengar. Boleh dia gelak dalam situasi macam ni?

“Bini papa yang cakap macam tu. Sakit betul hati saya ni, tahu? Dia tak percaya saya nak keluar dengan awak. Dia cakap awak tengah sibuk sekarang ni. Tak mungkin awak akan keluar dengan saya. Awak memang tengah sibuk ke sekarang ni?”

Tengku Ian diam. Memang dia sangat sibuk sekarang ni. Tapi tak bermaksud dia tak punya masa untuk diluangkan dengan Medina. Susah nak keluar dengan Medina. Bila gadis itu dah ajak, takkanlah dia nak lepaskan macam tu je?

“Kalau awak sibuk, saya taknak ganggu.” Medina bagaikan tahu. Tiba-tiba rasa bersalah sebab dah ganggu Tengku Ian. Patutlah papa tak percaya tadi.

“Memang sibuk. Tapi, tak bermakna saya ni takde masa langsung nak diluangkan. Saya pun manusia biasa. Bukan robot. Ada masa, saya kena bersosial juga. And today, I need you to entertain me.” Sekali lagi Tengku Ian ketawa. Bergurau di hujung ayatnya.

Amboi.. dia ingat aku ni dayang dia?

Sorrylah. Bukan hari ni.” Sekali lagi Medina minta maaf.

Haip.. mana boleh! Janji tetap janji. Saya nak hari ni jugak.” Tengku Ian tuntut janji.

Medina garu pelipis yang tak gatal. Kenapa pulak mamat ni tiba-tiba tak faham bahasa ni?

“Tak bolehlah. Kan saya dah cakap papa tak bagi tadi.”

“Apa masalahnya? Kalau mereka tak percaya awak nak keluar dengan Ku Zam, biar Ku Zam yang datang buktikannya. Saya datang ambil awak kat rumah.”

“Hah?” Medina terkejut. Senangnya dia buat keputusan.

“Biar saya sendiri yang minta izin daripada papa awak. I’m coming now.”

“Tapi..”

“Tunggu saya datang. Jangan panjat pagar pulak.” Sempat Tengku Ian berpesan sebelum talian diputuskan. Macam tahu-tahu apa yang pernah difikirkan Medina.