Pages

Terima Kasih Anda Semua..

Kata-kata Anjell

ASSALAMUALAIKUM..

Blog ini adalah hasil nurkilan seorang budak science yang perasan nak jadi novelis...

Maaf bila tertypo.. Budak ini masih junior..

Significance of this simple blog to me : 'A PLACE TO EASE TENSION, DIFFERENT WORLD FROM THE ACTUAL ONE'

Monday, 22 January 2018

Dheo's (BAB 3)

BAB 3
“Ayah.. air!” Aku meletakkan satu cawan kecil di hadapan ayah. Ketika itu, ayah sedang duduk di luar balkoni rumah. Tengah hirup udara malam.

“Terima kasih,” ucap ayah seraya menghadiahkan aku satu senyuman.

Aku turut mengambil tempat di sebelah ayah. Ayah tengah membaca buku agama. Tapi ada komputer riba miliknya yang terletak di depannya. Mungkin sedang membuat kerja sambil bersantai.

Ayah.. ayah.. dah tua-tua pun masih kerja kuat lagi.

“Ayah.. ayah janganlah fikirkan kerja sangat. Ayah tak boleh penat. Ayah kena ingat yang ayah tu, dah tua. Kesihatan kena jaga. Rehat kena cukup. Tidur kena cukup.” Aku memulakan syarahan. Geleng kepala.

“Mana ada ayah kerja sangat. Tengok ni.. ayah tengah membaca.” Sempat ayah nak bergurau denganku.

“Rissa tegur je. Rissa tengok sejak kebelakangan ni, ayah asyik sangat fikirkan pasal kerja. Kadang-kadang balik lewat malam. Lesap sikit, mesti tengah kerja. Ayah ada masalah ke?” Prihatin suaraku bertanya.

Dah lama aku perasan. Ayah dah jarang balik awal ke rumah. Biasanya, jumpa ketika sarapan. Jumpa balik, sarapan besoknya. Dan aku perasan ayah kelihatan agak penat. Wajah tua ayah nampak makin lesu. Ayah bagaikan dirudung masalah tapi lebih selesa untuk menghadapinya sendirian.

“Biasalah, Rissa. Adat kerja, ada turun naik. Hari ni kita senang, esok kita susah. Hari ni kita susah, mungkin esok kita senang. Rissa jangan risau, ayah okey je,” dalih ayah. Masih cuba nak sedapkan hati anak dara dia.

“Rissa cuma risau je. Ayah tu ada masalah jantung. Jadi apa-apa nanti, macam mana?” Kuliah kesihatan masih berterusan. Aku memang risau masalah yang satu itu. Ayah memang ada masalah jantung. Memang kena selalu bergantung pada ubat.

“Ayah masih sihat, Rissa. InsyaAllah tak jadi apa-apa.” Mudah ayah jawab.

“Ayah lagi risaukan Rissa. Bila ayah balik lambat, Rissa sorang-sorang kat rumah.”

Eh.. kita pulak yang dia risaukan?

“Rissa dah besar, ayah. Sihat walafiat. InsyaAllah selamat berada dalam rumah sendiri,” kataku balik.

“Haa.. kalau ayah risaukan Rissa, ayah kenalah selalu balik awal. So, takdelah Rissa duduk rumah sorang-sorangkan?” tambahku lagi. Bagi idea cantik punya. Haraplah ayah setuju. Aku pun takdelah makan tak berteman. Ayah pun boleh rehat panjang. Boleh masuk tidur awal. Sempatlah juga nak berfather-daughter bonding denganku.

Ayah ketawa kecil mendengar ideaku itu.

“Ayah ada idea lagi bernas taknak bagi Rissa duduk sorang-sorang kat rumah lepas ni.” Ayah mula senyum misteri.
Okey.. hati dah rasa semacam. Haraplah ayah tak cadangkan benda pelik-pelik.

“Apa kata cari teman serumah? Nanti takdelah kena tinggal sorang-sorang kalau ayah balik lambat. Ada teman berborak. Ada teman bergaduh.”

“Teman serumah? Ayah nak sewakan bilik untuk orang luar ke?” Berkerut dahiku bertanya. Tak berapa berkenan kalau ada orang luar masuk.

Kemudian aku tersedar sesuatu.

“Oh, no! Ayah nak kahwin lain!” Aku terjerit kecil. Mulut meluas nganga pandang ayah. Tak percaya!

Dan ayah terus menghamburkan ketawanya. Ketawa besar. Sampai terhinjut-hinjut bahunya. Kenapa? Apa yang lawak?

Aku cuma diam. Menunggu hingga ketawa ayah reda.

“Bukan ayahlah. Ayah dah tua. Buat apa? Rissa la yang kahwin,” jawab ayah setelah sisa ketawanya hilang. Hujung jari di bawa ke mata. Gosok mata yang sempat berair lepas dengar entah apa yang lawak.

“Rissa nak kahwin?” Kali ini aku mencebik.

Aku nak kahwin? Haha. Dalam mimpi bolehlah. Siapa yang nak kahwin dengan aku ni? Kalau tak hafal surah Yasin, surah Al-Mulk, jangan haraplah nak mimpi. Kalau jenis yang tolak orang lain untuk jadi imam ketika solat berjemaah, memang ayah pangkah awal-awal. Kalau kisah para nabi dan sahabat tak berada dalam tangan, sila tarik diri awal-awal.

Tengok.. bukan sembarangan syarat ayah letakkan untuk menjadi imam aku. Mana tak menggigil lutut anak teruna orang? Letak syarat macam aku ni bidadari syurga. Siapalah calon yang berjaya curi hati ayah nanti?

Jangan cakap Fateh! Macam mana aku boleh lupa pasal anak angkat ayah yang sorang tu? Anak angkat yang aku tak pernah jumpa. Pelik tapi benar.

“Ya.. Rissa la. Rissa kan dah besar. Dah layak kahwin. Kalau dah kahwin nanti, takdelah ayah nak risau sangat. Ayah pun dah makin tua. Nanti dah tak larat nak jaga Rissa.”

“Muda lagilah ayah. Nanti-nantilah kita bangkitkan pasal kahwin.” Cepat-cepat aku berdalih sebelum dia sebut nama Fateh.

Mulut mula menguap. Patutlah.. dah pukul sepuluh malam.

“Rissa masuk bilik dululah ayah. Ngantuk la. Ayah sambunglah membaca. Tapi, jangan tidur lambat pulak.” Aku minta diri. Sempat turunkan pesanan untuk ayah. Bukan selalu ayah balik awal.

Ayah ketawa sekejap sebelum menjawab. “Yalah.”

  --------

“Hoi, Bunga!” Laungan seseorang itu buatkan aku hampir berlari untuk menyorok di celah kereta orang. Tak pun angkat spanduk ‘ Saya Tak Kenal Dia. Dia Bukan Kawan Saya’

Tak guna punya kawan! Dilaungnya depan khalayak. Tak tahu malu betul. Tak pasal-pasal segala spesis manusia berpaling ke arahku. Tak pasal-pasal aku yang kena tempiasnya.

Dia melambai-lambai dengan gembiranya. Sengih lebar sebelum berlari ke arahku. Gaya macam tak bersalah langsung. Tak perasan agaknya muka aku ni dah macam gunung berapi Karakatoa yang tunggu masa nak meletus.

Sampai je dia depan mata, buku setebal suku kamus dewan tu aku hempuk ke bahu dia. Kalau tulang retak pun aku dah tak peduli.

“Adoi.. sakitlah!” Dia melompat ke tepi. Gosok-gosok bahu kiri yang dah jadi mangsa kezaliman aku tadi.

“Tahu pun sakit. Yang kau panggil aku macam tu, kenapa? Malu aku, tahu tak?” marahku geram.

Ya.. dia panggil aku Bunga. Kenapa? Sebab nama aku ada Rose. Tapi katanya dia taknak panggil aku Rose. Katanya itu sangat biasa. Dan untuk orang abnormal macam dia, jadi dia juga cadangkan sesuatu yang abnormal untuk memanggilku. Maka dia pilih Bunga sebab ros adalah bunga.

Pelikkan? Memang pelik pun. Sepelik perangai kawan baik aku sorang ni. Siapakah dia? Dia adalah Fahim. Ya, lelaki! Satu-satunya kawan lelakiku. Tapi hanya sekadar kawan. Nak lebih dari kawan? Rasanya tak kut. Sebab kalau ikutkan, kadang-kadang macam dia lagi perempuan dariku.

Yup.. no offense! Tapi dia seorang lelaki lembut. Tapi dia sangat sempoi. Tak pernah nak kisah dengan imej sendiri. Selamba pergi kelas dengan t-shirt jersinya, cermin mata besar dan rambut sikat tepinya. Kalau orang tak kenal akan cakap dia nerd. Tapi untuk aku yang terlebih kenal dia ni, kalau cakap dia nerd mahu aku gelak guling-guling dari Dewan Tunku Canselor sampai ke Bangunan Perdana Siswa.

“Nak malu apa? Bukannya aku mencarut panggil kau. Aku panggil Bunga. Ke nak aku panggil Baby next time?” Dia senyum miang di hujung ayatnya. Aku julingkan mata ke atas. Menyampah.

“Tapi nama aku bukan Bunga.”

“Tapi ros adalah bunga.”

Mental aku bercakap dengan budak ni. Ada je yang dia nak jawab.

“Kau kalau aku panggil Kumbang, kau malu tak?”

“Apa ni? Nickname manja-manja ke? Aww.. Bunga! Sho shweet. Of course aku tak kisah. Kau Bunga, aku Kumbang.” Kata-katanya hampir buatkan aku hempuk buku sekali lagi. Tapi kali ni bukan kat bahu dia. Tapi kepala sendiri.

“Bukan Kumbang. Tapi Kambing,” bidasku lagi.

“Aku Kambing, kau Kembang. Kira okeylah. Aku Kumbang Kambing. Kau Bunga Kembang.”

Aku tergelak mendengarnya. Ada-ada je idea dia nia. Mamat ni je la yang mampu hiburkan hatiku. Pada masa yang sama rasa nak cekik sampai biru! Geleng kepala.

“Malas aku nak layan kau ni.” Modal aku bila aku rasa air liurku ni sangat berharga untuk dihabiskan dengan bertikam lidah dengan Fahim.

“Kelas dah habis. Kau terus balik rumah ke?” soal Fahim. Ketika itu kami berdua sedang berjalan ke tempat parking kereta.

Aku geleng kepala.

“Nak ikut.” Bersinar matanya pandangku. Macam budak kecik tak pernah keluar jalan.

“Aku nak pergi I’s Café,” jawabku. Terus masam muka Fahim.

“Bosannya. Asyik pergi I’s Café je. Takde tempat lain ke?” rungut Fahim dengan muka tak puas hati.

Fahim sendiri dah faham sangat dengan perangai aku. Kafe tu pun dah macam rumah kedua dia. Semua orang dia kenal. Semua orang pun kenal dia.

“Takde. Nak ikut ke tak?”

“Nak ikut. I’s Café pun I’s Café la. At least dapatlah jugak makanan free.” Fahim gelak. Antara sebab kenapa dia suka datang I’s Café. Sebab dapat makanan percuma. Hai.. nasib baiklah kawan! Nasib baik jugak seorang. Sepuluh orang kawan aku macam ni, mahu bankrap kafe  tu.

“Tapi I’s Café ada Azrul.”

Kali ini aku pula yang ketawa. Tak habis-habis. Kalau pergi I’s Café, aku pun tak tahulah kenapa Fahim tak boleh nak ngam dengan Azrul. Fahim yang aku kenal seorang yang sangat ramah dengan orang lain. Semua orang akan senang dengan Fahim disebabkan oleh perangai gila-gila dia tu.

Kecuali dengan Azrul. Kalau berjumpa, ada je yang nak digaduhkan. Kadang-kadang tu, keluar jugak perangai terlebih jantan Fahim. Dah macam abang long. Hilang habis aura lelaki lembut dia. Nak tergelak aku kalau diingatkan balik.

So, nak pergi ke tak?” soalku balik.

“Bolehlah. Tapi kau cakap kat Azrul, duduk dalam perimeter sepuluh meter dari aku, okey?”

Aku gelak lagi.

“Apa-apalah.”

Nak perimeter bagai, macam nak pergi perang. Ingat zaman Jepun attack Malaya ke? Fahim.. Fahim..

 “Tapi sebelum tu, balik dulu. Aku nak ambik sketching book dulu.” Macam biasalah. Nurissa dan buku lukisan berpisah tiada.

   -------

“Kau tunggu kat dalam kereta. Jangan nak ikut aku masuk rumah pulak. Karang kena tangkap basah, satu hal pulak.” Aku titipkan pesanan untuk Fahim sebaik sahaja tiba di perkarangan rumahku.

“Kena tangkap basah la best. Dapat kahwin. Dapat bini lawa macam kau.” Fahim sengih.

“Betul nak kahwin dengan aku?” Giliran aku pula senyum sinis.

Laju si Fahim menggeleng. Kalau tak kenangkan sendi kepala yang kukuh, mahu berpusing tiga ratus enam puluh darjah. Haha.

“Taknak. Tak mau. Ngeri seh dapat bapak mentua macam uncle,” jawab Fahim sambil geleng kepala.

See.. dia pun seram. Tapi kira dia special la sebab ayah luluskan dia untuk jadi kawan aku. Maksudnya Fahim memang baik. Dan Fahim memang boleh dipercayai.

Aku gelak dulu sebelum buka pintu kereta. Bila pandang ke arah garaj kereta, baru perasan kereta ayah masih berada di situ. Ayah masih kat rumah? Pelik. Ayah balik makan tengah hari agaknya. Tanpa membuang masa, aku terus masuk ke dalam rumah. Kali ini aku melangkah ke bilik kerja ayah dulu. Sebab aku yakin seratus peratus yang ayah memang ada di dalam bilik itu.

Pintu bilik ayah sedikit terbuka ketika kaki mendekatinya. Lagi pelik. Bilik itu sunyi seperti selalu. Tapi entah kenapa ketika kaki melangkah, aku merasakan ada sesuatu yang tak kena. Hati rasa tak sedap.

Tapi aku tetap juga melangkah. Berjaga-jaga.

“Assalamualaikum. Ayah.. ayah ada kat dalam ke?” sapaku.

Sebaik sahaja memasuki bilik itu, bilik itu kelihatan kosong. Tiada bayang ayah. Ayah biasanya akan duduk di atas kerusi kerja. Tak pun di sofa. Mungkin ayah berada di dalam bilik tidur.

Kaki ingin melangkah keluar. Namun naluri entah mengapa menyuruhku untuk melihat di balik meja kerja ayah yang agak terselindung itu. Akhirnya aku menurut kata hati. Kaki kembali diorak ke meja kerja ayah. Kelihatan ada beberapa kertas sedikit bersepah. Laju tangan ingin menyusun balik.

Aku tunduk untuk mengambil kertas yang berada di atas lantai. Saat aku membongkok, apa yang berada di depan mata buatkan aku terkaku. Segala kertas di tangan terus sembah bumi.

“Ayah!” panggilku kuat.

Susuk ayah sedang terbaring kaku itu dirapati. Menggigil tanganku untuk memegang ayah. Takut! Ya Allah.. apa aku nak buat ni?

Aku pangku kepala ayah.

“Ayah.. ayah..” panggilku lagi. Kali ini aku menggoncang tubuh ayah.

Masih kaku.

“Ayah.. bangunlah. Jangan takutkan Rissa.” Aku goncang lagi. Kali ini air mata yang aku tahan dah mengalir keluar.

“Ris.. sa.” Aku dengar suara lemah ayah.

Betapa leganya aku saat itu. Rasa bersyukur yang teramat. Aku nampak ayah buka mata.

“Ayah.. ayah bertahan, ya? Rissa panggilkan ambulans.”

Ayah geleng kepala perlahan.

“Ayah penat. Ayah rin.. rindu ibu.” Makin lebat air mataku mendengar suara lemah ayah itu.

Aku geleng kepala laju-laju. Tak sanggup nak terima.

“Ayah jangan cakap macam tu. Rissa pelukan ayah lagi. Rissa sayang ayah. Rissa yakin ayah akan okey.”

Tapi ayah cuma senyum.

Aku terus capai telefon pintarku. Dalam keadaan cemas sebegini, otak jadi buntu. Aku tak tahu nak buat apa. Menggigil tangan menekan untuk panggilan kecemasan. Tergagap-gagap aku memberitahu alamat rumah.

Aku pandang wajah ayah. Ayah nampak makin lemah. Aku sendiri tahu masa ayah tak panjang. Tapi aku masih enggan menerimanya. Secebis harapan, aku berdoa semoga ayah selamat.

Kelihatan ayah seakan-akan mahu mengungkapkan sesuatu. Namun gara-gara keadaannya yang lemah, tiada apa yang keluar. Ayah cuba sekali lagi.

“D..”

“Apa dia, ayah?” Lantas aku merapatkan telingaku ke bibir ayah. Siapa tahu itu mungkin menjadi pesanan terakhir ayah?

“Dh.. Dheo.”

Cuma sepatah. Dheo?

Bingung. Tapi aku abaikan semua itu. Semuanya tak penting sekarang ni.

“Ayah kena banyak mengucap,” kataku. Aku bisikan kalimah syahadah ke telinga ayah. Dalam situasi sekarang, hanya itu yang mampu aku lakukan. Aku reda dengan apa yang bakal terjadi selepas ini.

Bertemankan kalimah syahadah dan bersaksikan dengan mataku sendiri, ayah pergi selama-lamanya. Aku menjadi saksi ketika dada ayah berhenti berombak. Dan aku juga menjadi saksi ketika ayah menutup matanya di atas pangkuanku.

Buntu. Sebak. Aku terkaku beberapa minit. Aku masih cuba untuk mencerna hakikat itu. Dengan rasminya kini aku sudah jadi yatim piatu. Ayah dah tinggalkan aku. Dan aku kini tak punya siapa lagi.

Tangan mencapai telefon pintar yang terdampar di sisiku itu. Nombor Fahim ditekan. Dua kali deringan, kedengaran suara garau Fahim menyambut panggilan.

“Fa.. Fahim.. ayah!” Dan terus terhambur segala air mataku. Teresak-esak aku menangis di hujung talian.

   ------

Jenazah ayah dah selamat dikebumikan. Bersebelahan dengan pusara arwah ibu. Melihat jenazah ayah diturunkan ke liang lahad, sehabis mungkin aku cuba menahan air mata. Masih sedih, tapi aku tak nak meratapi. Sekurang-kurangnya aku bersyukur ayah meninggal ketika aku bersamanya. Sekurang-kurangnya aku dapat mengajarkan ayah kalimah syahadah ketika hujung nyawanya.

“Cik Rissa?” Sapaan itu buakan aku terus tegakkan dudukku. Ketika itu aku sedang berada di dalam bilik kerja ayah. Sedang duduk sambil memeluk kedua-dua lutut di atas sofa. Rindu yang membuak-buak buatkan kakiku automatik melangkah ke sini. Aku tahu di sini ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dan aku tahu, di sini jugalah tempat paling bermakna sepanjang hidup ayah.

Aku pandang ke arah insan yang menyapaku itu. Kak Tiqah. Sedang mengatur langkah ke arahku. Dari awal sehinggalah jenazah ayah disempurnakan, Kak Tiqah tetap setia menemaniku. Memelukku erat ketika aku memerlukan sokongan. Kak Tiqah sendiri turut menangis setelah mendengar tentang berita kematian ayah. Malah, seluruh warga yang mengenali ayah turut berduka.

“Baru beberapa hari ayah dikebumikan, saya dah rindu dia.” Air mataku tumpah lagi. Cepat-cepat aku kesat dengan hujung lengan bajuku itu.

“Saya dah takde sesiapa, Kak Tiqah.”

Shh.. jangan cakap macam tu! Semua orang kat sini sayangkan Cik Rissa. Kak Tiqah ada, Azrul ada, Fahim ada. Malah, semua warga I’s Café akan selalu ada dengan Cik Rissa,” pujuk Kak Tiqah.

Dia duduk bersebelahan denganku. Tubuhku ditarik ke dalam pelukannya. Digosok-gosoknya belakangku untuk memberi semangat.

“Cik Rissa jangan sedih. Cik Rissa kena kuat. Ramai orang akan sedih bila tengok Cik Rissa sedih.” Suara Kak Tiqah berubah serak. Seolah-olah turut menahan diri dari menangis.

Aku diam.

“Cik Rissa kena percaya, semua yang berlaku pasti ada hikmah. Allah uji Cik Rissa sebab Cik Rissa kuat. Jangan pernah buruk sangka dengan Allah.” Kak Tiqah memberi kata-kata semangat. Aku cuma membisu. Mencerna nasihat daripada Kak Tiqah itu. Mahu muhasabah diri.

Seketika kami diam. Bila rasa sebakku makin berkurangan, aku leraikan pelukan. Wajah Kak Tiqah dipandang.

“Ada apa Kak Tiqah cari saya?” soalku.

“Jom kita makan. Kak Tiqah taknak Cik Rissa sakit.” Suara Kak Tiqah penuh keprihatinan.

“Kak Tiqah keluarlah dulu. Lepas ni saya keluar. Saya dah okey.”

“Betul ni?” Kak Tiqah macam was-was. Aku senyum hambar.

“Ya.. saya dah okey. Nanti kita makan sama-sama. Saya nak tengok-tengok bilik ni kejap,” ujarku lagi.

Sebab aku masih lagi nak lepaskan rindu.

Teragak-agak Kak Tiqah angguk. Maka, tinggallah aku sendirian di dalam bilik itu. Aku bangkit dari dudukku. Nafas dalam ditarik sebelum dihela panjang-panjang. Sekeliling bilik itu dipandang. Bilik itu masih sama. Dan aku juga rasakan bagaikan ayah juga turut berada dekat denganku.

Aku berjalan ke arah meja kerja ayah. Ada buku cantik tersusun tak bersentuh. Di sebelahnya ada kertas-kertas kerja ayah. Kemudian aku terpijak satu sampul surat. Lantas aku tunduk untuk mengambilnya. Tak salah aku, inilah kertas yang aku kutip hari itu. Seolah-olah berada di sebelah ayah.

Kertas apa ni ya? Entah kenapa, rasa ingin tahu mula menebal. Terus aku buka sampul surat itu untuk mengambil isinya. Beberapa helai kertas dalam genggaman. Aku mula baca isinya.

Surat Pindah Hak Milik. Surat itu menyatakan beberapa harta milik ayah telah berpindah tuan. Ada tandatangan ayah dan ada tandatangan…

Dheo Han?

Lantas fikiranku melayang ketika di hujung usia ayah. Ayah juga ada menyebut Dheo. Dheo Han ke?

Bagaikan ada sesuatu yang tak kena. Hatiku rasa tak sedap. Aku terus berjalan keluar untuk mencari Kak Tiqah. Surat di tangan digenggam kemas. Sehingga renyuk sedikit. Kak Tiqah sedang membasuh pinggan di sinki.

“Kak Tiqah.”

Kak Tiqah berpaling.

“Siapa Dheo Han?”

Dan kedengaran berdenting bunyi cawan kaca terlepas dari tangan Kak Tiqah.

7 comments:

  1. Really look forward for the next n3 :)

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. kak... saya dah start tamak :'( nak lagi :(

    ReplyDelete
  4. X sabar nk baca episod seterusnya...hero nak muncul dh tu

    ReplyDelete
  5. alahaiii tak sabarnya nakk baca bab seterusnyaa.. cepat lah novel keluar...

    ReplyDelete

Assalamualaikum..
Habis baca jangan lupa komen..
Terima kasih n sudilah jenguk lagi.. : )