Pages

Terima Kasih Anda Semua..

Kata-kata Anjell

ASSALAMUALAIKUM..

Blog ini adalah hasil nurkilan seorang budak science yang perasan nak jadi novelis...

Maaf bila tertypo.. Budak ini masih junior..

Significance of this simple blog to me : 'A PLACE TO EASE TENSION, DIFFERENT WORLD FROM THE ACTUAL ONE'

Friday, 6 February 2015

Hero Seorang Cinderella (BAB 11)

BAB 11

“Dee, pukul berapa kita naik bot?” Zuyyin bertanya kepada Medina. Ketika itu mereka dah tiba di Jeti Kuala Besut untuk ke Pulau Perhentian Besar.

Medina angkat bahu. Entah. Dia pun tak tahu. Kata papa ada orang datang jemput.

“Kita tunggu je la,” kata Medina senang.

Kemudian pandang Zuyyin. Kesian Zuyyin. Dahlah kena paksa datang. Lepas tu jadi hamba abdi orang pulak tu.

“Sabar la, Ying. Kejap lagi sampai la kut,” tambah Medina lagi.

“Aku bukannya apa, tu..” Zuyyin memuncungkan mulutnya.

Medina pandang ke arah yang ditunjuk Zuyyin itu. Hmm.. yang tu malas aku nak ambil kisah! Biarkan dia.

Geleng kepala Medina melihat Puteri yang sedang mengipas-ngipas mukanya dengan tangan. Panas sangat agaknya. Macamlah tangan kau tu cap Panasonic nak kipas-kipas bagai. Bukannya boleh hilang panas setakat kipas-kipas tak ikhlas macam tu.

“Puteri, Cik Puteri taknak duduk ke? Rimaslah kami tengok Cik Puteri berdiri,” tegur Zuyyin. Dengan Medina bolehlah dia beraku-kau, tapi dengan anak Datuk Azizan yang sorang lagi, panggil macam tu memang sedas Puteri bagi hikayat  antara dua darjat kat dia.

“Kau diamlah,” marah Puteri. Dijeling tajam ke arah Zuyyin. Orang tengah panas ni, memang cari pasal la kalau tegur dia.

“Hih.. rimas betul tempat ni. Dahlah buruk, panas pulak tu!” bebel Puteri lagi.

Giliran Medina pula jeling tajam pada Puteri. Dasar tak reti jaga mulut. Dahlah kuat suara dia. Nak kutuk tempat orang, tak tengok kiri kanan. Bukan Medina tak nampak mak cik yang tengah sapu sampah kat hujung sana menoleh bila Puteri cakap macam tu. Rasa sekarang ni macam nak je tarik Zuyyin jauh-jauh dari Puteri. Buat tak kenal.

“Kau cakap jangan ikut sedap tekak kau je. Aku lastik mulut kau baru tahu!” Medina memberi amaran.

Puteri buat muka mengejek pada Medina.

“Kenapalah aku kena pergi tempat ni dengan kau? Benci betul.” Puteri membebel lagi.

Medina bangun.

Hah.. ni aku lemah ni kalau orang sebelah ni dah bangun. Zuyyin garu kepalanya yang tak gatal.

“Oo.. kau ingat aku nak sangat la pergi dengan kau? Kau tu kenapa gatal nak datang sini? Sebab kau la papa suruh aku datang sini tahu?” Medina naik angin. Hilang sabar. Ketidakpuasan hatinya memang kena lepas hari ni. Dah lama dia pendam sejak papa suruh dia ke sini dengan Puteri lagi.

“Weh.. Dee! Dahlah. Jangan gaduh kat sini.” Zuyyin turut bangun untuk menghalang pergaduhan yang bakal meletus itu. Tangan Medina dipegang. Sempatlah nak tarik kalau kaki Medina naik nanti.

“Sabar, Dee. Sabar. Kau macam tak biasa pulak dengan perangai dia tu,” pujuk Zuyyin perlahan. Medina dia tak risaukan sangat. Yang dia risau adalah Puteri. Kalau dibiarkan pergaduhan ni terjadi, rasanya ada je yang kena tendang masuk laut lepas ni.

Medina terus tarik nafas dalam-dalam. Stres betul! Kalau hari-hari macam ni, sakit jiwa dia nanti. Nasib baik ada Zuyyin.

   -------------------

“Cepatlah, panas ni tahu!” marah Puteri. Kepanasan cahaya matahari di atas kepala sangat terasa. Walaupun dah bertopi, bahangnya masih ada.

Medina pandang Zuyyin yang sedang menarik beg roda Puteri yang boleh dikatakan besar itu. Minah tu memang nekad taknak balik Kuala Lumpur agaknya kalau tengok dari gaya begnya. Buat kena gelak dengan orang lain je. Biasanya orang datang sini dengan backpack. Yalah, sebab datang pun bukannya lama. Tapi mereka semua ni datang lama. Jadi memang layaklah beg semua besar-besar. Tapi, beg Puteri ni macam nak duduk setahun!

Kesian betul Medina tengok Zuyyin. Dari Kuala Lumpur, sampailah dah tiba di Pulau Perhentian Besar ni, tak habis-habis Zuyyin ikut telunjuk Puteri. Dengan beg besar Puteri lagi, dengan beg sendiri lagi, betul-betul jadi hamba abdi si Puteri ni!

“Hoi, Zuyyin! Jalan cepat sikit boleh? Terhegeh-hegeh. Lembab betul,” marah Puteri lagi.

 Kali ni Medina dah tak tahan. Berlagak diva! Seronok arahkan orang dengan tangan kosong. Betul-betul gaya anak orang kaya yang berlagak. Huh! Sebab orang macam kau ni la semua orang ingat anak orang kaya ni memang spoilt. Medina membebel dalam hati.

Medina letakkan beg sendiri di tepi. Kemudian berjalan ke arah Zuyyin. Beg roda Puteri disambar. Mak oi! Berat nak mampus. Agaknya satu almari baju dia bawak. Entah-entah dengan almari diangkutnya sekali ni!

“Kau angkat beg kau sendiri. Kau ingat Zuyyin ni apa?” Medina berkata kepada Puteri.

“Biarlah. Diakan anak orang gaji. Memang kerja dia pun kan?” jawab Puteri pula.

“Kat rumah ya, dia anak orang gaji. Tapi kat sini, dia kawan aku. Kau berani suruh dia buat macam-macam, siap kau. Dan dia datang sini sebab aku suruh. Kalau dia orang gaji sekali pun maksudnya dia orang gaji aku. Dalam erti yang lain, hanya aku tuan dia, hanya aku yang boleh suruh dia dan dia kena patuh hanya dengan arahan aku. Faham?” Medina tolak beg roda itu kuat ke arah Puteri. Nak terbalik Puteri gara-gara tolakan itu.

“Jom, Zuyyin. Kalau dia taknak angkat, biar dia mati rentung kat situ sampai tahun depan,” ajak Medina. Tak peduli dengan muka merah Puteri. Begnya kembali disambar sebelum beriringan dengan Zuyyin ke arah Resort Aurora Seaview.

“Balik KL nanti, aku nak report kat mama!” jerit Puteri.

Huh! Ada aku kisah? Buat tak dengar dan terus jalan ke hadapan.

“A’aa la. Kalau dia report kat mama dia macam mana?” soal Zuyyin risau.

“Huh.. kalau dia selamat balik KL,” balas Medina selamba. Kemudian sambung jalan.

“Arghh.. aku benci kau!” jerit Puteri kuat.

Benci! Nak taknak, begnya diangkat sendiri. Berat gila!

   ---------------

“Cik Medina?”

Medina angkat muka bila dengar ada orang sebut nama dia. Tapi soalan itu bukan ditujukan kepadanya. Sebaliknya kepada Puteri yang sedang berdiri di tepinya. Puteri nampak terkelu sesaat.

I’m Medina.” Medina menyampuk sebelum lelaki itu kena sembur dengan Puteri yang memang pantang disalahanggap sebagai dirinya. Nak-nak lagi muka Puteri dah merah sekarang ni.

“Oh, sorry.. sorry.. saya tak kenal Cik Medina.” Lelaki itu minta maaf

Medina cuma senyum. Pasti lelaki itu dah tahu dia adalah anak Datuk Azizan tapi tak kenal rupanya macam mana. Hai.. macam manalah orang tak salah anggap Puteri tu sebagai dia kalau dah gaya diva habis? Dengan topi ala-ala Sofea Jane dia, tambah pulak dengan cermin mata hitam, memang sah-sah bawa watak anak orang kaya yang angkuh.

Tak pasal-pasal jatuh maruah aku sebab orang ingat anak Datuk Azizan ni perangai angkuh macam budak tu.

“Dan Cik ni pasti Cik Puteri, kan?”

Puteri tak jawab apa-apa. Masam mukanya. Masih tak puas hati bila dipanggil Medina.

“Dan cik ni pula?”

“Zuyyin.” Zuyyin senyum.

“ You ni siapa?” Puteri bertanya.

“Oh, maaf lupa perkenalkan diri. Saya, Tareq, pengurus resort ni.” Lelaki itu perkenalkan dirinya.

“Baguslah kalau you pengurus. Sebab I memang tak puas hati ni. You tahukan anak Datuk Azizan nak datang hari ni, tapi kenapa takde seorang pun yang tunggu nak angkat beg berat I ni?”

Ternganga sekejap Tareq bila kena sembur dengan Puteri.

“Kami semua minta maaf, Cik Puteri.” Tareq minta maaf.

Medina jeling tajam ke arah Puteri. Dah mula dah!

 “Kau ingat semua orang takde kerja ke nak sambut kau datang. Lagi, kau ingat ni hotel sepuluh bintang ke nak ada orang bentang karpet merah bagai?” bidas Medina.

“Biarlah. Dah anak pemilik resort ni datang, kenalah bagi layanan istimewa.” Puteri menjawab dengan bongkaknya.

Makin terkebil-kebil Tareq melihat pertelingkahan dua beradik itu. Kenapa kontra sangat perangai kedua-duanya?

Medina tersedarkan sesuatu. Lupa mereka di tempat awam. Kalaulah mereka di rumah, mahu je dibidas balik mulut Puteri tu. Medina senyum pahit.

“Maaf ya, semua. Kakak saya memang macam ni perangainya.” Medina minta maaf. Sempat bagi amaran pada Puteri dengan isyarat hujung mata. Bermaksud, “Berani kau buka mulut lagi, aku bagi kau tidur dengan katak malam ni.” Bukannya dia tak pernah buat!

Nasib baik Puteri diam.

 “Err.. jom saya tunjukkan bilik cik-cik semua,” kata Tareq bila keadaan kembali okey.

   ----------

“Ku Zam!”

Panggilan Tareq buatkan Medina secara automatiknya mengangkat mukanya. Puteri pula terus segar wajahnya bila melihat tiga susuk jejaka berjalan ke arah mereka. Yang paling tepi itulah yang menarik minatnya. Alasan kenapa dia nekad datang ke Pulau Perhentian ni.

“Hai, Encik Tareq,” tegur Farizzam sambil tersenyum manis.

“Macam mana bilik? Selesa tak?” Ramah Tareq menegur.

“Alhamdulillah, selesa sangat. Terima kasih ya, Encik Tareq.”

No hal. Datuk selalu pesan supaya bagi layanan istimewa pada Ku Zam. Ini.. anak-anak Datuk Azizan dah sampai.”

Farizzam berbalas senyuman dengan semua orang di situ. Dia sudah tahu kedatangan anak-anak Datuk Azizan daripada Tareq sendiri. Tareq memberitahu mereka semua ketika mereka semua tiba pagi tadi.

Bila ditanyakan kepada Tengku Ian, Tengku Ian sendiri ternyata terkejut. Cuma sekejap sebelum dia senyum misteri. Farizzam cuma geleng kepala. Malas nak tanya. Mesti adalah tu perancangannya.

“Saya minta diri dululah. Kalau ada apa-apa, Cik Medina, Cik Puteri atau Cik Zuyyin bolehlah terus ke kaunter depan.”

“Okey. Terima kasih ya, Encik Tareq,” kata Medina pula, mewakili mereka semua.

Bila Tareq dah meninggalkan mereka, Medina kembali pandang depan. Mata Medina berlaga dengan Tengku Ian yang sedari tadi memandangnya. Bila Tengku Ian tersenyum manis, Medina balas sekadar cukup syarat.

“Hari ni takde benda jatuh.”

Medina buat tak tahu. Hanya dia yang faham apa yang dikatakan lelaki itu.

Luke di sebelah pandang Tengku Ian dan wanita di depan mereka secara bergilir-gilir. Lain macam je dua orang ni? Ada apa-apa ke?

“Siapa ni, Ku..”

Uhukk! Luke terbatuk bila ulu hatinya disiku Tengku Ian. Kuat pula tu! Mahu senak rasanya. Salah sendiri juga. Sempat sengih bila melihat jelingan tajam Tengku Ian.

Sorry, Ku Zam! Tersasul.

“Ini Luke. Luke, ni Medina, Zuyyin.. Eh, Puteri pun ada sekali?” Seronok tenung anak dara Datuk Azizan yang ni, tak perasan pula dengan anak dara Datuk Azizan yang sorang lagi itu. Hmm.. menarik! Macam mana dua beradik ni boleh bercuti sekali ni?

Hi.. I’m Luke.” Luke keluarkan suara paling macho. Baru tangan diangkat separuh jalan, tangan Tengku Ian lebih pantas menepuk tangannya. Tak jadi terus nak naik.

Bila pandang sebelah, nampak jelingan amaran dari mata Tengku Ian. Seolah-olah berkata, “Kau tengok tudung kat kepala dia, agak-agak tangan dia nak salam kau ke atau naik ke pipi kau?”

Luke cuma sengih. Manalah sempat nak kawal tangan ni. Dah terbiasa, nak buat macam mana?

“Medina.”

Vous etes tres belle,” kata Luke sambil pandang tepat pada wajah Medina.

“Hah?” Medina tak faham.

“Oo.. dia cakap selamat berkenalan.” Cepat-cepat Tengku Ian potong.

Luke ni nak kena agaknya! Dia ingat Medina ni macam mana? Kalau puji perempuan lain macam tu, mungkin adalah aksi ala-ala kucing yang malu atau pakai blusher kat pipi. Tapi kalau Medina orangnya, silap-silap kena cop buaya laut si Luke ni. Nasib baiklah Medina tak faham apa yang dikatakan Luke itu.

Luke sengih seraya mengangguk. Iyakan aje. Selamat berkenalan pun boleh, Ku Zam!

“Oo.. selamat berkenalan juga.”

“Ku Zam nak pergi mana?” soal Puteri pula kepada Farizzam. Tak sangka dapat jumpa Ku Zam lagi. Kali pertama dia rasa sangat gembira bila bercakap dengan lelaki.

“Keluar ambil angin. Bosan kalau duduk kat bilik je. Cadangnya nak jalan-jalan cari makan,” jawab Farizzam.

“Oh, ya ke? Mesti seronokkan?” kata Puteri. Farizzam cuma senyum.

“Awak pun ikut sekali ke?” soal Medina pada Tengku Ian. Bodoh juga soalan dia tu. Sah-sahlah mamat tu pun ikut sama. Bukan ke dia abang angkat Ku Zam? Nak-nak lagi kat tangan masing-masing tengah pegang cermin mata Ray-Ban.

Yup. Nak ikut ke?” pelawa Tengku Ian. Memang menari tango dia kalau Medina cakap nak. Tak mungkin punya!

“Nak!” Orang lain pula yang menjawab.

Medina turut berpaling ke sebelah. Woi, tak malu betul!

“I boleh ikutkan, Ku Zam?” Puteri bersuara manja sambil pandang Farizzam.

Farizzam pula pandang Tengku Ian. Meminta pandangan Ku Zam yang sebenar. Err.. Tengku Ian sendiri tak sangka Puteri nak ikut mereka. Tu la kau, Ian. Gatal lagi nak mengajak. Ajak orang lain, yang setujunya orang lain.

“Boleh je kalau nak ikut,” putus Farizzam bila Tengku Ian angguk. Ikhlas tak ikhlas.

“Tapi tak manis kalau Puteri je yang ikut sebab nanti Puteri satu-satunya perempuan. Ada eloknya kalau orang lain pun ikut temankan Puteri.” Berkias-kias Tengku Ian berkata. Dituju khas untuk Medina. Haraplah orang yang khas ditujukan olehnya tu faham.

“Zuyyin, kau ikutlah dorang. Aku penat,” arah Medina.

Huh, entah kenapa Tengku Ian rasa kecewa! Sekali lagi, lain yang dipancing, lain yang dia dapat. Betul-betul jinak merpati anak Datuk Azizan sorang ni!

“Oh, okey.” Muka Zuyyin ikhlas tak ikhlas menerima arahan itu. Memang gembira dapat keluar jalan-jalan, tetapi kenapa dengan Puteri? Arghh.. Medina ni!

Bagus juga kalau dia yang pergi. Kalau Medina yang pergi dengan Puteri, silap-silap semua orang syahid dalam perang saudara mereka. Tapi, depan Ku Zam akan terjadi ke semua tu? Zuyyin rasa tidak.

Seronok juga kalau boleh tengok drama lentok manja Puteri lepas ni. Hati Zuyyin gelak jahat. Nak juga dia tahu macam mana gelagat Puteri dengan Ku Zam.

“Masuk bilik dulu.” Medina minta diri. Tak sabar nak rebahkan diri atas katil.

“Selamat berehat,” ucap Tengku Ian.

“Awak semua pun, hati-hati keluar,” balas Medina pula.

Kemudian dia menghilang di balik pintu biliknya.

   ------------

“Ku Zam, marka baru ke?” soal Luke. Ketika itu mereka cuma berdua dan berada agak jauh dari semua orang.

“Siapa?” Tengku Ian buat-buat tak faham.

“Tadilah. Yang cun tu.”

“Banyaklah kau punya marka. Dan berapa kali aku cakap, jangan panggil aku Ku Zam! Nak aku siku lagi ke?”

“Alah, bukannya ada orang dengar pun.” Luke menjawab. Tapi dia tetap berdiri agak jauh dari Tengku Ian. Takut kalau-kalau siku Tengku Ian singgah lagi pada ulu hatinya. Serik!

By the way, dia cun, kan?” soal Tengku Ian balik.

“Siapa?” Luke bertanya.

“Kau ni, tadi bukan main dok vous etes tres belle bagai, kau tanya lagi siapa?”

Luke sengih. Manalah tahu. Semua cun tadi. Haha.

“Ya, cun. Nampak ayu, lemah-lembut je”

Ayat terakhir Luke buatkan Tengku Ian terus tergelak. Memang cun, tapi kau tak kenal lagi dia siapa, Luke. Ayu dan lemah-lembut? Agaknya kalau Medina ni terjun pagar depan dia, mahu mati keras Luke. Haha.

“Tapi, kenapa dia tak ikut kita, Ku Zam? Kalau tak, boleh I berkenal-kenalan dengan dia.” Suara Luke seakan-akan kecewa.

Tengku Ian angkat bahu. Manalah dia nak tahu. Kalau Luke kecewa, dia seribu kali kecewa. Takpelah, esok masih ada.

Tuesday, 3 February 2015

Hero Seorang Cinderella (BAB 10)


BAB 10

Bunyi loceng ditekan membuatkan konsentrasi Tengku Ian pada skrin laptop terganggu seketika. Memandangkan dia satu-satunya yang berada di ruang tamu, Tengku Ian bangun untuk membukakan pintu rumah.

Siapa yang datang? Yang pasti bukan kenalannya. Mana ada orang yang dia kenal di Malaysia ni. Mesti kawan-kawan Farizzam, tak pun Ayana sendiri.

Saat pintu rumah dibuka, dilihat seorang jejaka bercermin mata Ray Ban tengah tersengih di depan pintu. Tengok sajalah gaya pemakaian lelaki itu, pasti datangnya dari luar negara. Bila nampak muka dia, makin melebar sengih lelaki itu.

Belum sempat berkata apa-apa, tubuh Tengku Ian dipeluk kemas.

Ku Zam! How I miss you.”

“Kau?” Tengku Ian masih terkejut. Bagai tak percaya bila tengok manusia di depannya itu. Mimpikah? Atau mengigau? Atau halusinasi? Dipejamcelikkan mata beberapa kali. Manusia di depannya tak hilang-hilang.

Sah bukan mimpi!

“Macam mana kau tahu rumah ni?” Terkejut!

Tersengih-sengih lelaki itu tanpa berniat untuk menjawab. Pelukan mereka dileraikan.

“Ian, siapa datang?” Farizzam datang menegur bila melihat Tengku Ian masih tegak di depan pintu rumah.

Nampak seorang lelaki yang tersenyum memandangnya. Farizzam turut membalasnya walaupun dia tak kenal gerangannya siapa.

“Luqman. Tapi orang panggil Luke.” Lelaki itu memperkenalkan diri. Dia menghulurkan tangan untuk disalam Farizzam.

“Farizzam.”

“Oo.. you anak angkat Ku Is tu kan? Teruja I nak kenal. Wow, handsome!”

Terus tersenyum Farizzam mendengarnya. Sah diimport terus dari Los Angeles mamat ni! Habislah Tengku Ian.

“Kau.. kenapa kau datang sini?” Soalan Tengku Ian macam tak sukakan tetamunya itu.

Haish.. kenapa mamat ni boleh ada kat sini ni? Tengku Ian garu pelipisnya yang tak gatal. Dipandang Luke depan mata. Siap bagasi besar di sebelah. Ni memang nekad nak berkampung kat sini ni! Ikutkan hati, nak je ditendang tetamunya itu balik Los Angeles balik.

“Eh, kau ni! Kut ya pun jemputlah masuk dulu.” Farizzam menegur. Muka abang angkatnya dah nampak sangat bunga-bunga nak menghalau tetamu mereka tu. Farizzam dah tahu alasannya. Jadi, sebelum tetamu mereka itu ditendang keluar, baik dia ajak masuk cepat-cepat.

“Siapa datang?” Datang pula Ayana dari dapur.

Luke senyum.

“Hai, aunty.”

“Apa hai-hai. Tak reti nak bagi salam ke?” bidas Tengku Ian.

Tersengih terus Luke bila kena tegur macam tu. Alamak, lupalah! Dia dah berada di Malaysia.

“Assalamualaikum, aunty. Saya Luke. Maaf la kalau datang tak berjemput. Tapi saya datang ni atas arahan orang.”

Kata-kata itu mengundang jelingan tajam Tengku Ian. Aku dah agak dah! Tak perlu tanya arahan siapa, dia dah tahu. Alahai, bondaku!

“Waalaikumussalam. Oo, kawan Ian. Masuklah. Jangan tercegat kat depan pintu tu. Jauh-jauh tetamu tu datang.” Ayana senang hati mempelawa tetamunya masuk rumah.

“Ya ke, terima kasih, aunty.” Luke terus masuk ke dalam rumah tanpa mempedulikan riak wajah tak senang hati Tengku Ian.

    -----------

“Bonda hantar kau, kan?” selidik Tengku Ian. Mahu mengesahkan lagi andaiannya. Kalau tak, macam mana Luke boleh tahu rumah Farizzam ni?

Luke sengih lagi. Lama betul tak menghadap Tengku Ian versi beruang nak beranak ni. Kan dah hilang semua senyum manisnya tu. Sekarang ni, salah jawab, grenti kena halau balik Los Angeles. Tapi, kalau jawab betul pun rasanya kena tendang juga. Ada beza ke?

“Memang betul pun, Ku Zam.”

Tengku Ian mendengus.

“Hih.. bonda ni!” bebel Tengku Ian. Tak puas hati. Tapi tak tahu pada siapa.

Dia tahu kenapa Luke dihantar ke Malaysia. Macam biasa, jadi baby sitter dia la. Apa lagi?

“Kenapa dia hantar kau?” soal Tengku Ian lagi.

Alahai, Ku Zam ni! Tanya soalan yang dah tahu jawapan buat apa? Bukannya tak pernah jadi macam ni sebelum ni.

“Dah, tak payah auta jawapan apa-apa kat aku,” potong Tengku Ian sebelum Luke buka hikayat. Si Luke ni kalau dah bercerita boleh tahan dramatisnya.

Tak suka betul dengan kehadiran Luke tapi dia tahu semuanya bukan salah Luke. Luke memang pekerja mithali. Selalu ikut telunjuk bondanya. Sememangnya Luke adalah orang paling dipercayai keluarganya. Dia pun memang rapat dengan Luke sebab Luke jenis seorang yang setia.

Dah tak boleh buat apa-apa dah. Orangnya pun dah selamat sampai depan matanya. Ni kalau dia hantar balik Luke ni, silap-silap bondanya sendiri turun Malaysia. Lagi haru!

Tapi, dengan kehadiran Luke ni, mahu rosak rancangannya kalau tak kena cara.

“Ayah tahu kau datang sini?”

“Tahu, Ku Zam.”

Oo.. ayah pun tahu! Baguslah.

“Kat sini kau nak duduk mana?” tanya Tengku Ian.

Tak puas hati belakang kira. Nak taknak kena layan orang depan mata ni. Kebajikan Luke wajib dijaga. Apatah lagi Luke pun dah lama tak jejak kaki ke Malaysia. Luke memang anak yatim piatu. Sebab itulah kut bonda sayang sangat dengan budak ni.

“Tak tahu lagi, Ku Zam. Tapi Ku Is kata dia akan uruskan semua tu.”

“Tak payah. Kau duduk rumah aku.”

“Hah?”

You’ll be staying in my mansion,” ulang Tengku Ian dalam bahasa Inggeris pula.

“Tak faham lagi? Nak aku cakap French tak?” sambung Tengku Ian lagi berbaur sindiran.

Luke sengih lagi sebelum angguk. Bagus juga. Tak payah la dia merayau-rayau cari hotel di Kuala Lumpur ni. Dia pun ingat-ingat lupa Kuala Lumpur ni. Dalam perjalanan dari KLIA ke sini tadi pun dah macam-macam bangunan tumbuh. Berbeza betul dengan Kuala Lumpur yang ditinggalkannya lebih sepuluh tahun dulu.

“Nanti aku hantar kau ke rumah tu.”  

Ada bagusnya juga kedatangan Luke ni. Rumahnya nanti pun takdelah tak berpenghuni kalau dia duduk dengan Ayana dan Farizzam. Takdelah dia sepi kalau Farizzam bekerja nanti. Boleh juga bergelak bergurau dengan Luke.

“Anyway, apa lagi amanat ayah dan bonda?” siasat Tengku Ian lagi. Dia yakin Luke datang ke sini bukan dengan tangan kosong. Entah-entah berkajang-kajang amanat orang tuanya untuknya.

“Ku Is cakap I kena tolong Ku Zam. Tak kiralah dalam apa-apa pun. Lagi, dia lantik I jadi PA Ku Zam kat sini. Ku Sha pula pesan suruh jaga Ku Zam elok-elok.”

Jaga aku? Betul-betul baby sitter ni!

“Ayah dan bonda sihat?”

“Sihat. Mereka rindukan Ku Zam. Ku Sha terutamanya.”

Tengku Ian terdiam. Dia pun rindukan ayah dan bondanya. Dia tahu bonda risaukan dia yang beribu-ribu batu ni. Memang patutlah hantar sorang bodyguard ni.

Tapi, dengan kehadiran Luke, agak leceh sikit. Salah sikit, memamg mengalahkan pos laju maklumat sampai ke LA. Tak mustahil kena seru balik mandatori. Tak pun orang LA turun  melawat kawasan.

Tak lama lagi nak ke Pulau Perhentian. Baru beberapa hari lepas dia dan Farizzam berbincang pasal siapa yang harus berurusan tentang penempahan tiket dan seangkatan dengannya. Dia dan Farizzam kena berhati-hati dalam urusan yang melibatkan nama. Kalau tak, memang terbongkar segalanya. Kalau libatkan syarikat pula, entah-entah sampai ke pengetahuan ayah dan bonda pula.

Dan sekarang, kehadiran Luke bagaikan memberi jawapan kepada semua masalah itu. Dia boleh gunakan nama Luke sebagai wakil untuk berurusan. Lagipun Luke adalah orang kepercayaan syarikatnya. Lagi senang sebenarnya. Tiada yang bakal syak kalau Luke yang campur tangan.

Yes! Dah settle satu masalah. Sayang kaulah, Luke!

Tapi, sebelum tu, kena jalankan satu misi. Misi diamkan Luke!

“Kat LA, ya.. kau kena ikut cakap bonda dan ayah. Tapi, sini bukan LA. Kat sini, aku nak kau ikut cakap aku. Faham?” arah Tengku Ian.

Luke serba-salah. Lain macam je arahan Ku Zam ni? Kalau geleng, kena tendang tak?

“Faham, Ku Zam,” jawab Luke.

“Disebabkan kau akan ikut aku ke mana-mana nanti, aku nak kau janji dengan aku, kau akan jaga rahsia aku.” Arahan Tengku Ian jadi lebih tegas.

Luke angguk. Sememangnya menjaga amanah itu adalah satu kewajipannya.

“Rahsia apa, Ku Zam?”

“Jangan panggil aku Ku Zam. Kat sini, orang tak tahu aku Ku Zam.”

“Hah?” Luke ternganga. Tak percaya. Masakan orang hebat macam Ku Zam ni tak dikenali orang kat sini? Padahal kalau di Los Angeles lelaki itu boleh dikatakan memang popular.

“Jangan nak nganga luas sangat. Aku lastik cicak masuk mulut kau, baru tahu!”

Terus Luke tutup mulutnya. Kemudian sambung mendengar arahan ketuanya itu. Tengku Ian pula pandang sekeliling. Takut Ayana dengar. Line clear!

“Kat sini, orang kenal aku sebagai Ian, anak angkat Tengku Ismadi dan orang ingat Farizzam adalah Ku Zam. Even staf company pun tak tahu aku ni Ku Zam. So, aku taknak orang syak aku ni anak kandung Tengku Ismadi. Dan aku nak kau pastikan yang takde orang yang syak aku ni Ku Zam..”

“Eh, kenapa macam tu?” Luke pelik.

“Jangan tanya banyak benda. Ikut je apa yang aku buat.” Tengku Ian memberi amaran. Luke angguk.

“Selain depan ibu aku, panggil aku Ian. Faham?” arah Tengku Ian lagi.

“Tapi, I dah terbiasa panggil Ku Zam. Tersasul nanti, susah.”

“Biasakan dari sekarang. Dan ingat panggil Farizzam, Ku Zam depan orang lain. Dan lagi satu, ibu tak tahu pasal ni. Jangan tersasul depan ibu pulak.”

Alahai.. banyak betul pantang-larangnya! Depan orang tu kena panggil lain, depan orang ni kena panggil lain. Grenti tersasul nanti. Kenapalah Tengku Ian ni nak susahkan keadaan? Luke tak faham.

“Tapi Ku Zam, kalau Ku Is dan Ku Sha tahu benda ni, jadi masak lemak cili api la I.” Muka Luke rela tak rela. Gerun kalau pihak berwajib di Los Angeles tahu.

“Dan kalau kau berani pecahkan rahsia ni, jadi daging Burger King kau aku kerjakan.” Suara Tengku Ian seakan-akan bergetar amaran.

Haa.. yang tu lagi gerun! Luke garu kepala yang memang tak gatal. Adoi… salah ke keputusan aku balik Malaysia ni?

“Okeylah kalau macam tu. I akan ikut semuanya.” Dalam dilema sebenarnya. Terpaksa jalankan amanah dua pihak serentak. Dari LA dan juga di sini.

“Dan lagi satu, beberapa hari lagi kita akan ke Perhentian Island. Kau ikut aku,” arah Tengku Ian lagi.

Alahai.. baru je mendarat dari penerbangan yang memakan masa hampir satu hari, dah kena mulakan perjalanan baru untuk bercuti?

“Ya, Ku Zam!” Luke patuh.

Tengku Ian lega. Dia tahu Luke akan ikut semua kata-katanya.

“Ku Zam ni.. I datang sini bukannya nak sambut elok-elok. Penat tau perjalanan dari LA ke KL ni,” adu Luke.

Tengku Ian mencebik.

“Ada aku suruh kau datang?” bidas Tengku Ian.

“I datang sebab rindukan Ku Zam. Ku Zam tak rindukan I ke?” Luke tayang muka tak puas hati. Tak menghargai pengorbanan orang langsung la mamat ni!

Tengku Ian ketawa.

“Ya.. ya.. aku pun rindukan kau juga,” jawab Tengku Ian jujur.

Sebenarnya dia memang gembira melihat Luke di depan matanya. Sekurang-kurangnya dia punya kawan yang dia kenal. Yang boleh dipercayai selain Farizzam. Yang dia ada sebelum dia mulakan hidup sebagai Ku Zam sebenar di Malaysia ni.

Tapi sebab terkejut campur geram punya pasal, tak pasal-pasal dimarahnya Luke yang tak bersalah tu. Mana tak terkejut bila orang yang beria-ia nak ikut dia balik Malaysia dulu tiba-tiba ada depan mata. Dulu dia tak izinkan Luke ikut dia memandangkan Luke terikat kerja dengan syarikat ayahnya. Lagipun, masa tu dia balik tanpa pengetahuan sesiapa.

“Dahlah. Sekarang ni, kau dah makan belum ni?” Suara Tengku Ian berubah lembut. Kesian pula pada Luke yang baru mendarat dari penerbangan jauh. Muka lelaki itu pun nampak lesu.

Luke geleng kepala. Hanya Tengku Ian dalam kepala tadi. Perut sendiri pun terabai. Bila Tengku Ian tanya macam tu, baru rasa lapar.

“Jom kita makan,” ajak Tengku Ian.

Luke pantas angguk. Lapar gila ni! Dah bermacam-macam lagu dah perutnya melalak. Makan makanan Malaysia. Seronoknya!

    ------------

“Kota Bharu?” Medina pelik saat terpandangkan tiket kapal terbang MAS di dalam genggamannya. Kenapa Kota Bharu bukan Kuala Terengganu?

Change of destination. Papa nak Dee pergi ke Pulau Perhentian kali ni.”

Pulau Perhentian? Medina tak percaya. Baru beberapa hari lepas rasa kecewa sebab tak dapat ke pulau itu. Dan hari ini bagaikan dimakbulkan pula permintaannya. Bulan jatuh ke ribakah?

“Kenapa bukan Redang?” soal Medina lagi. Serius pelik.

Tapi papanya itu cuma senyum.

“Papa nak Dee kenal resort kita di Perhentian pula. Dee tak pernah kenal lagi kan?”

Medina pandang tiket di tangannya itu. Tiga? Namanya, nama Zuyyin dan satu lagi? Saat terpandangkan nama Puteri, lama mata Medina di situ.

“Puteri ikut?” soal Medina balik. Terus patah keinginan nak ke Pulau Perhentian. Kenapa masalah tu nak ikut?

“Yup. Ni first time Puteri setuju nak pergi pulau. Dee dah biasa. Sebab tu papa nak Dee pergi sekali dengan Puteri. Tengok-tengokkan Puteri.”

Oo.. itulah rupa-rupanya alasan kenapa papa arahkan dia ke Pulau Perhentian? Sebab Puteri Langsuir tu rupanya. Huh! Entah kenapa rasa kecewa. Ni bukan bulan jatuh ke riba. Ni namanya bulan jatuh dalam longkang!

Kerana Puteri, dia yang kena mengalah? Walaupun sebenarnya dia memang teringin sangat nak kenal dengan Pulau Perhentian sebab dia belum pernah jejak kaki lagi ke sana.

“Kenapa Dee kena jaga dia, papa?” soal Medina. Tak puas hati. Kirim salam awal-awal la aku nak jaga si langsuir tu!

“Puterikan anak manja. Tak tahu sangat pasal pulau-pulau ni. Mana pernah dia keluar melancong sendirian tanpa mama dan papa. Dee lain. Dee dah biasa dengan benda-benda mencabar ni. Sebab tu papa tak bimbangkan Dee.”

Pujiankah itu? Medina pun tak tahu.

“Dia mimpi apa? Tiba-tiba je nak ikut?”  Lagi Medina pelik. Dulu bukan main bergunung alasananya. Mabuk laut la. Mabuk kepayang la. Apa dah jadi ni? Musykil!

Lagi musykil sebab ibu tirinya izinkan anak emasnya tu pergi. Berani pula lepaskan anak dia pergi. Dengan aku pulak tu! Tak takut ke aku bagi lanun culik anak dia tu nanti? Anyway, idea tu boleh tahan menarik juga! Akan dipertimbangkan lagi.

“Mungkin dia pun nak belajar selok-belok resort kita. Dia pun dah makin matang.”

Huh.. malas aku nak cakap apa-apa. Diam lebih baik daripada dia bersuara yang sah-sah kutip dosa kering. Kita iyakan aje kata-kata papa tu.

“Lagipun Ku Zam nanti akan bercuti di resort kita..”

Hah! Itu dia yang dia cari. Kunci kepada alasan kenapa seorang Puteri boleh jejak tanah pulau. Ku Zam lagi!

“Jadi papa nak Dee temankan Ku Zam. Tunjukkan kelebihan resort kita. Dia penting bagi syarikat kita, Dee. Ingat tu,” sambung Datuk Azizan lagi.

Medina mengeluh dalam diam. Papa ni bercakap macam tak lama lagi syarikat tu jatuh ke tangan aku. Papa ni tak faham ke yang aku ni tak minat langsung dalam tolak tambah dunia perniagaan ni?

Orang kata untung jadi orang kaya. Orang kaya lain mungkin, tapi bukan dia. Kerana makin kaya seseorang, makin tinggi tanggungjawabnya. Tengoklah dia. Umur baru dua puluh dua. Tapi dah dipaksa ambil tahu perihal syarikat macam usia dia dah nak cecah tiga puluh tahun.

Dan yang paling dia tak puas hati, kenapa dia, bukan Puteri? Dia yang bersusah-payah, mengalah apabila disuruh papa tapi Puteri goyang kaki? Cukup bulan minta duit elaun. Nak beli barang, zrapp sana, zrapp sini guna kad kredit tanpa had papa. Senangnya hidup, kan?

“Kenapa Dee, papa? Dee perempuan. Ku Zam lelaki. Papa tak takut ke kalau apa-apa yang pelik jadi kat kami nanti?” soal Medina lagi. Saja takut-takutkan papa. Berani pula papa nak dia temankan Ku Zam. Jauh dari keluarga pula tu! Macam-macam boleh jadi.

“Sebab papa yakin Dee bukan jenis perempuan macam tu. Dee seorang yang jaga batasan pergaulan. Sebab tu papa hantarkan Dee sekali. Papa nak Dee tengok-tengokkan Puteri kat sana.”

Nampak sangat papa tak percayakan Puteri. Salah siapakah ini?

“Kalau papa cakap macam tu, apa lagi yang Dee boleh cakap.” Mengalah.

Nak taknak, ke Pulau Perhentianlah dia. Dalam kegembiraan untuk ke sana, Medina turut rasa malas nak pergi. Semuanya sebab Puteri yang ikut serta dan juga tanggungjawab menjadi dayang tak rasmi Ku Zam setibanya di Pulau Perhentian nanti.