Pages

Terima Kasih Anda Semua..

Kata-kata Anjell

ASSALAMUALAIKUM..

Blog ini adalah hasil nurkilan seorang budak science yang perasan nak jadi novelis...

Maaf bila tertypo.. Budak ini masih junior..

Significance of this simple blog to me : 'A PLACE TO EASE TENSION, DIFFERENT WORLD FROM THE ACTUAL ONE'

Tuesday 4 August 2015

Hero Seorang Cinderella (BAB 20)


BAB 20

Tu es toujours dans mon coeur. Tu es toujours dans mon coeur.” Berulang kali Medina menyebut ayat itu. Seronok disebut, tapi sayang dia tak tahu maksudnya apa.

            Macam mana aku nak cari maksud dia? Google translate? Tapi masalahnya eja pun aku tak tahu. Karang tulis ikut bahasa aku, mahu kena gelak dengan google translate. Tak pasal-pasal keluar maksud urdu. Lagipun, google translate bukannya boleh percaya sangat. Main hentam translate ikut bahasa dia je!

            “Apa kau ni? Munkerh.. munkerh.. Apa benda ni?” Zuyyin yang baru keluar dari bilik air membebel. Kawannya itu, sejak semalam lagi asyik mengulang kata-kata itu. Mentera ke?

“Bahasa Perancis la. Kau faham tak maksudnya apa?” soal Medina. Soalan yang tak patut ditanya.

“Pakwe aku memang berkampung kat Paris. Hari-hari aku dengan dia cakap French. Gila kau tak faham?” Zuyyin menyinis.

Medina ketawa. Itu gaya jawapan versi baru ‘tak tahu’. Kenapalah Zuyyin ni tak cari pakwe dari Perancis? Kemudian ketawa Medina mati. Baru perasan sesuatu. Luke!

“Weh, Ying! Luke tahu cakap French, kan?” tanya Medina.

Zuyyin yang sedang mengelap wajahnya dengan tuala putih hanya mengangkat kedua-dua bahunya.

Medina tahu Luke tahu cakap Perancis. Dia masih ingat lagi kali pertama mereka berjumpa dulu. Luke ada cakap sesuatu dalam bahasa Perancis kepadanya. Medina dah tahu siapa selayaknya yang bakal menjadi kamus bergeraknya. Tanpa perlu tahu ejaannya.

Zuyyin yang tengah menyapu pelembab muka itu diperhatikan. Medina sengih. Zuyyin…

  ------------

Medina yang sedang membaca komik Lawak Kampus di hujung katil terasa diperhatikan. Bila angkat muka, Zuyyin sedang memandangnya tepat. Muka nampak serius. Medina letak komik di tepi.

“Kau nak apa ni?” soal Medina. Pantang angkat muka, muka Zuyyin yang dia nampak. Riak tak berubah macam tak puas hati dengan dia.

“Aku baru lepas jumpa Luke.”

So?”

“Aku cakap kat dia apa yang kau ajar aku semalam.”

Mata Medina terus bersinar.

“Dah tahu jawapannya apa? Apa dia?” Medina dah gembira.

Tak sabar nak bersemuka dengan Tengku Ian. Hari itu, Tengku Ian seolah-olah mencabar dia. Seakan-akan tidak yakin dia boleh mencari jawapannya. Huh.. ni Medina la! Dia tak kenal lagi siapa Nura Medina ni. Pantang dicabar. Tak sabarnya nak cakap kat Tengku Ian. Biar dia terkedu kuasa dua. Lepas tu nak tayang muka bangga. Hai.. seronoknya ramal masa depan!

Err.. tapi, Zuyyin tak cakap pun lagi yang Luke tahu ke tak sebenarnya.

“Apa maksud dia? Luke tahu, kan?” soal Medina lagi. Kecewa kalau Luke tak tahu jawapannya. Memang gelap masa depan nak cari jawapan kalau Luke tak tahu.

“Sebelum aku cakap maksud dia, baik kau cakap dari mana kau dapat ayat tu.”

“Dari seseorang la. Aku dengar dia cakap macam tu. Aku nak sangat tahu maksud dia apa,” auta Medina. Sememangnya dia tak pernah cakap pada Zuyyin yang dia mendapat ayat itu daripada Tengku Ian. Nanti kantoilah dia cari jawapan daripada orang yang paling dekat dengan Tengku Ian.

“Biar aku teka. Seseorang tu, Ian, kan?”

Medina sedikit terkejut. Mana Zuyyin tahu? Daripada Luke ke? Manalah tahu ayat tu sebenarnya trademark Tengku Ian? Atau ayat penghubung antara mereka. Manalah tahu? Orang lain jumpa mungkin cakap ‘wassap bro?’.  Mungkin Luke dan Tengku Ian kalau berjumpa akan cakap ‘Tu es toujours dans mon coeur’. Siapa tahu, kan?

“Mana kau tahu?” Medina tak berniat nak menafikannya.

So, betullah ni, kan?” Suara Zuyyin teruja. Kemudian sengih lebar-lebar.

Tak pula Medina angguk atau geleng. Biarkan Zuyyin dengan persepsinya.

“Apa maksud dia?” Hai.. seram je aku tengok senyum minah ni! Medina tak sedap hati.

“Kau nak dalam bahasa melayu ke English?”

“Mana-manalah.”

“Maksud dia.. jangan terkejut pulak.” Zuyyin mengingatkan. Supaya Medina bersedia. Karang tak pasal-pasal kena serangan jantung budak ni. Jenuh pulak nak hantar ke hospital.

“Maksud dia, jangan terkejut pulak?” Medina pelik.

“Bukanlah!” Zuyyin tahan gelak. “Kau tu.. jangan terkejut pulak lepas tahu maksud apa yang dikatakan abang Ian tu,” sambung Zuyyin. Sempat sengih mengusik. Medina buat tak layan. Abang la sangat!

“Maksud dia, you are always in my heart. Itu English. Kalau bahasa melayu pulak, awak selalu dalam hati saya.”

Medina terkedu.

“Jangan nak main-main la.” Medina tak percaya.

“Betullah. Memang itu maksud dia. Itu yang Luke cakap.” Zuyyin menegaskan. Terkelu Medina dibuatnya.

“Kau tahu tak tadi, muka aku ni dah biru lepas Luke cakap maksud dia apa. Kau bayangkan aku cakap benda tu kat dia, tapi aku tak tahu maksud dia apa. Luke tengok aku dalam-dalam, tanya betul ke aku maksudkannya? Unintentional confession. Malu aku tahu tak?” Zuyyin menceritakan balik. Sampai sekarang malu tak hilang-hilang lagi.

“Dee.. apa dah jadi ni? Kau dengan dia ada apa-apa ke?” Zuyyin senyum mengusik. Mula membayangkan Medina dan Tengku Ian.

Dulu, ingatkan nak padankan Medina dengan Ku Zam. Maklumlah, Medina sepadan dengan orang hebat macam Ku Zam. Tapi, apa boleh buat. Puteri memang pandai memancing jerung dan Medina pula tak pernah nak kisah. Maka, sekarang ni peluang Puteri untuk dapatkan Ku Zam makin cerah walaupun Ku Zam tak pernah tunjukkan minat pada Puteri.

Tapi, abang angkat Ku Zam pun apa kurang hebatnya? Dahlah kacak maut. Memang sesuai dengan Medina.

“Mana ada apa-apalah!” nafi Medina. Bukan menafikan, tapi memang kenyataannya.

“Dee, aku rasa dia suka kau la. Kau tak rasa ke?”

Tak rasa ke? Kalau aku rasa, namanya syok sendiri. Dan aku memang taknak rasa-rasa. Arghh.. tak tenang hidup aku! Menyesal pulak aku tahu maksudnya apa.  Dan memang taklah dia nak cakap kat Tengku Ian yang dia dah tahu jawapannya.

“Dia cuma nak kenakan aku la. Sebab dia tahu aku tak tahu maksudnya apa. Kurang asam betul mamat tu!” Medina tayang muka marah. Reaksi yang dibuat-buat untuk mengaburi mata Zuyyin.

“Dahlah, aku nak tidur. Petang-petang macam ni, tiba-tiba rasa mengantuk pulak.” Medina mencari alasan untuk menamatkan segalanya. Badan direbahkan ke atas katil.

Mata terpejam tapi kepala masih ligat berfikir. Terbayang kembali peristiwa yang baru terjadi beberapa hari lepas. Teringat kembali renungan Tengku Ian kepadanya. Jantungnya tak salah berdegup ketika itu.

You are always in my heart. Itu maksud Tengku Ian.

And again, you are always in my heart, Medina!” Renungan Tengku Ian ketika itu…

Arghh.. damn! Tanpa Tengku Ian di depan mata pun, cukup dengan mengingatinya, jantung Medina kembali berdenyut laju. Cik jantung, ini sangat-sangatlah tidak patut!

  -----------

“Dee, jom kita pergi jalan-jalan kat kampung nelayan,” ajak Zuyyin. Medina yang tengah bermain permainan Clash of Clans dalam telefon pintarnya angkat muka.

            “Buat apa?” soal Medina balik.

“Jalan-jalan la. Cari sourvenir. Kan esok dah nak balik.”

Medina diam sekejap. Baru perasan ada betulnya kata-kata Zuyyin itu. Esok mereka akan pulang ke Kuala Lumpur. Sedar tak sedar, lebih sebulan mereka semua berada di Pulau Perhentian ni. Bermacam-macam tempat dah diteroka. Sayang pula rasanya nak tinggalkan tempat ni.

“Aku dengan kau je ke?” soal Medina balik. Selidik sebenarnya. Takut Zuyyin bawak anasir-anasir lain bersama nanti.

“Tak seronoklah kalau kita berdua je. Dengan Luke dan Ian sekali.”

Ha.. kan dah cakap!

“Ku Zam tak ikut ke?” Medina bertanya lagi. Pelik.

“Dia dah balik la. Luke cakap dia ada kerja. Maklumlah, orang busy la katakan. Patutlah jarang-jarang dah dia datang sini.”

Macam tu ke? Dan patutlah si Puteri tu balik KL dan tak balik-balik sini dah. Memang dah tahu agaknya Abang Zam dia tu memang jarang-jarang singgah Pulau Perhentian ni. Huh.. nampak bebeno motif kenapa dia datang ke Pulau Perhentian ni.

Tapi, bagus jugak. Takdelah mata nak sakit tengok Puteri yang sudah terang tak payah nak suluh cuba memikat Farizzam. Kalau bukan dia percayakan Farizzam, jangan haraplah dia nak lepas Puteri keluar berdua dengan lelaki itu. Apa yang dia nampak, Farizzam adalah seorang yang menjaga batasan pergaulan. Kalau Puteri tak saja nak menggatal, Farizzam takkan sentuh Puteri.

“Kalau dah dua orang tu ikut, kenapa aku kena ikut jugak? Malas la aku.” Medina beralasan. Dengar je nama Tengku Ian, terus berat hati nak pergi. Tak tahu kenapa.

“Kau ni.. tak kesian kat aku ke? Aku ni perempuan. Dua orang tu lelaki. Kalau jadi apa-apa kat aku, siapa nak tumbuk dua orang tu?” Suara Zuyyin berbaur tak puas hati.

Medina ketawa. Cis, minah ni! Nak aku pergi sebab nak jadi tukang tumbuk orang rupanya.

“Ke kau nak mengelak dari jumpa seseorang ni?” uji Zuyyin.

“Seseorang?” Medina buat-buat tak faham.

“Ya.. seseorang yang kacak, bergaya yang bernama I..”

Pap! Bantal kecil di sebelah Medina dicampak ke muka Zuyyin sebelum sempat perempuan itu menghabiskan ayatnya. Dia tahu nama siapa yang bakal diseru Zuyyin itu. Zuyyin ni, sejak tahu maksud ayat Perancis tu, makin seronok kenakan dia.

Zuyyin  terus ketawa. Boleh tahan pijar juga rasa muka gara-gara balingan Medina. Bersyukur dia sebab bantal. Kalau jam loceng, mahu rongak gigi tiga batang. Tapi, kalau tukang balingnya si Medina, jangankan jam loceng, kalau bantal tidur pun, mahu berpusing tiga ratus enam puluh darjah tulang leher dia.

“Nak pergi tadi kan? Jom.” Medina bangun. Pedulikan Zuyyin yang tak habis-habis ketawa.

“Kut ya pun, kita solat zohor dulu la,” kata Zuyyin selepas ketawanya habis. Yes.. berjaya juga misi dia dan Luke nak bawa Medina dan Ian keluar bersama. Sekurang-kurangnya kena bagi mereka berdua peluang bersama sebelum balik besok.

   ------------

Mana Zuyyin? Medina pusing belakang. Lesap. Bayang Zuyyin sudah tiada di dalam kedai cenderahati itu. Tak sampai seminit pun rasanya Zuyyin tengah berdiri sebelah dia.

“Cari apa?” Medina dengar suara garau Tengku Ian menegur. Medina menoleh ke arah itu.

“Ying. Mana dia?” soal Medina. Manalah tahu kalau Tengku Ian tahu.

Tengku Ian turut meliarkan matanya untuk mencari. Kemudian baru perasan sesuatu.

“Eh, Luke pun dah lesap!” komen Tengku Ian. Mencari susuk Luke. Juga tiada.

Zuyyin… ada jugak aku tendang kau tidur luar malam ni! Geram betul hati Medina dibuatnya. Tahu ni semua rancangan Zuyyin untuk tinggalkan dia berdua dengan Tengku Ian. Luke pun sama! Kalau aku jumpa budak dua orang tu, dua-dua aku pusing leher sampai pendek tiga inci!

“Kalau dah tahu nak keluar berdua, baik tak payah ajak orang temankan,” bebel Medina geram.

Tengku Ian yang mendengar cuma senyum.

Let them be. Let’s enjoy our time too,” kata Tengku Ian.

Medina menoleh ke arah Tengku Ian. Tiba-tiba rasa canggung. Hati enggan tapi dia masih kaku berdiri.

“Atau awak nak balik?” soal Tengku Ian balik. Medina nampak macam kurang senang dengannya.

Medina diam sekejap. Kalau dia mengelak, mesti Tengku Ian akan syak sesuatu nanti. Dia rileks je, aku pulak yang lebih-lebih menggelabah, apa hal? Tak pasal-pasal dia ingat aku suka dia nanti.

“Macam awak cakap tadi, let’s enjoy our time too. Sayang nak balik sebab dah datang jauh-jauh. Jomlah kita tengok-tengok barang kat sini,” jawab Medina.

Medina dan Tengku Ian beriringan berjalan di dalam kedai itu. Memerhatikan apa-apa yang menarik untuk dibawa pulang nanti.

    --------------------

“Cari apa?” tegur Medina kepada Tengku Ian yang sedang berdiri di depan sebuah meja yang menjual beberapa produk cenderamata yang diperbuat daripada kayu.

Dari tadi lagi Tengku Ian tak bergerak-gerak. Mata asyik memerhati dan membelek beberapa barangan yang comel-comel itu. Berminat.

“Ole-ole nak dibawa pulang. Comel, kan?”

Medina angguk. Memang comel. Kebanyakan produk di perkampungan nelayan adalah hasil seni kreatif orang kampung di situ.

Mata Tengku Ian menangkap sesuatu. Nampak unik di matanya. Cincin kayu.

“Tengok ni. Cincin kayu. Cantik, kan?” soal Tengku Ian lagi. Cincin di tangannya dibelek-belek.

Cincin bertukar tangan. Giliran Medina membelek cincin itu. Macam yang Tengku Ian katakan tadi, cantik. Tak pernah jumpa lagi cincin kayu. Unik. Ukiran pada cincin itu pun cantik. Ada kelas. Kreatif betul pengukirnya.

“Cuba awak pakai,” suruh Tengku Ian lagi.

Hah? Pakai? Medina agak teragak-agak, tapi diikutkan juga kata-kata lelaki itu. Cincin kayu itu disarungkan ke jari manis kanannya. Betul-betul muat.

It fits your finger very nicely. Pandaikan saya pilih?” Tengku Ian senyum bangga. Tak sangka cincin yang dipilih itu betul-betul kena dengan jari Medina.

Medina mencebik. Tidak mempedulikan kata-kata lelaki itu. Sebaliknya mata Medina bagaikan sedang mencari-cari sesuatu. Beberapa saat kemudian, Medina mencapai sebentuk cincin kayu. Cincin itu dihulurkan kepada Tengku Ian.

“Cuba awak pakai yang ni,” kata Medina.

Tengku Ian tidak membalas apa-apa. Hanya menurut kata-kata Medina itu. Tersarung cincin kayu itu pada jari manis kirinya. Ngam-ngam.

It fits your finger very nicely. Pandaikan saya pilih?” Giliran Medina pula berkata. Kening diangkat beberapa kali. Dia main pilih. Tak sangka betul-betul muat dengan jari Tengku Ian.

Tengku Ian senyum. “Mak saya cakap, kalau ada perempuan bagi cincin kat saya, saya kena pinang gadis tu nanti.”

Medina mencebik. Malas nak percaya mitos Tengku Ian itu. Bab-bab mereka cerita memang nombor satu.

“Ayah saya pulak cakap, kalau ada lelaki bagi cincin kat saya, jangan kahwin dengan dia. Nak-nak lagi kalau cincin kayu.” Medina tak mahu kalah. Nak jugak jadi pereka cerita nombor dua.

Tengku Ian terus ketawa. Cincin di jarinya ditanggalkan dan diletakkan kembali ke tempat asalnya. Medina juga sama. Perlahan-lahan cincin itu dilurutkan daripada jarinya. Belum sempat dia mengembalikan cincin itu, Tengku Ian merampasnya. Dengan selamba dia menyerahkan kepada jurujual itu.

“Awak nak beli untuk siapa?”

“Untuk awaklah.”

“Eh, buat apa untuk saya? Tak payahlah,” halang Medina.

“Suka hati sayalah. Duit saya, bukan duit awak. Nak bagi hadiah, tak payah persetujuan penerima. Penerima tugasnya menerima. Kalau taknak terima, maksudnya tak reti bersyukur.”

Erk! Tak reti bersyukur? Macam tu pulak?

Tak sempat nak buat apa-apa, akhirnya kotak yang berisi cincin itu selamat dibeli Tengku Ian. Diserahkan kotak itu kepada Medina.

“Tadi, saya cuma nak cakap, cincin kayu je? Dahlah murah. Lain kali, nak bagi hadiah kat saya, kena cincin emas, platinum atau berlian,” bebel Medina.

“Awak nak ke?” soal Tengku Ian. Serius. Dia tak kisah. Sepuluh bentuk dia boleh bagi kalau Medina nak.

I prefer wooden ring.” Mendengus Medina dibuatnya. Mamat ni tak reti nak beza ke orang tengah bersarkatikus dengan dia?

Kotak di tangan Tengku Ian dirampas. Dia taknak Tengku Ian ingat dia serius. Dia bukannya perempuan materialistik.

Tengku Ian berpuas hati. Wajah Medina yang agak masam itu diperhati. Marah agaknya. Tapi kenapa? Tapi sekurang-kurangnya, dalam marahnya, Medina tetap terima cincin itu. Risau juga kalau Medina campak ke muka dia tadi. Tiada yang mustahil kalau Medina orangnya.

“Awak marah ke?”

Medina diam. Jawab ‘tak’ karang, rasa-rasanya laungan ‘tak’ dia tu boleh sampai ke Pulau Besar.

“Awak janganlah marah. Anggap je cincin tu hadiah persahabatan dari saya. Kenangan sepanjang kita berada di Pulau Perhentian ni. Cincin tu sangat cantik kat jari awak tadi. Sayang kalau dia lepaskan tuan yang dah buatkan dia nampak cantik tadi. Lagipun, saya cuma taknak cincin yang saya pilih untuk awak ni dipakai oleh jari orang lain.”

“Lepas kita balik KL nanti, kita mungkin dah jarang-jarang jumpa. Saya banyak kerja, dan awak pun nak sambung belajar. Sekurang-kurangnya cincin tu menjadi kenangan persahabatan antara kita.” Tengku Ian seakan-akan cuba memujuk Medina.

Hati Medina tersentuh dengan kata-kata itu. Turut mengiakan. Besok mereka akan pulang ke Kuala Lumpur. Hari ini merupakan hari terakhir mereka menncipta memori. Aduh.. kenapa rasa sedih ni?

“Saya tak marah. Anyway, thanks for this. Saya tak janji saya akan pakai sebab pelik sangat cincin kayu ni. Tapi saya akan jaga cincin ni,” balas Medina.

Tengku Ian senyum. Dia pun tak mengharapkan Medina memakainya. Cuma dia mahu Medina ingat padanya tiap kali cincin itu dipandang.

“Tak payah pakai pun takpe. Cukup kalau awak simpan dan sayang dengan cincin tu. Awak jangan risau, kalau kita kahwin nanti, saya bagi cincin paling mahal, paling cantik untuk awak pakai, okey?” Tengku Ian sengih mengusik.

“Jangan nak mengarutlah.” Medina tayang muka menyampah. Ni yang aku geram dengan mamat ni. Elok-elok nak sejuk, ada je akalnya nak bagi darah orang naik!

Medina membuka kotak cincin itu. Dibuka dan diambil cincin itu sebelum disarungkan ke jarinya. Cincin persahabatan diperbuat daripada kayu. Kau ada?

“Dee, jangan pakai cincin ni masa mandi,” pesan Tengku Ian.

“Kenapa?” Medina pelik.

“Nanti tumbuh daun.” Dan Tengku Ian gelak.

Sakit hati Medina mendengar suara macho yang bergelak ketawa itu. Kelakar sangatlah tu?

“Jangan gelak kuat sangat depan cincin ni,” pesan Medina pula.

“Kenapa?”

“Nanti ada orang lastik cincin ni masuk perut.” Selamba dan muka tak bersalah.

Makin kuat Tengku Ian ketawa. Tapi kali ni agak berhati-hati. Kalau tak kena gaya, mahu cincin tu dilastik betul-betul masuk perut dia. 

14 comments:

  1. Hahahah....klakar gila ian ngan medina neh....suwiet jer...

    ReplyDelete
  2. Tq Anjelll..Aksk suka sgt2 entry ni! Love this so much!!

    ReplyDelete
  3. Haha luv this story so much..thx anjell!!

    ReplyDelete
  4. antara mrk mmg ada chemistry ... persahabatan insan yg tidak mengharapkan apa apa..telus dan polos

    ReplyDelete
  5. Best...lawak ian ni... nmpk sweet je dorg berdua

    ReplyDelete
  6. Best...lawak ian ni... nmpk sweet je dorg berdua

    ReplyDelete
  7. Hari-hari tunggu anjell update. Thanks. Luv it.😍😍👍👍

    ReplyDelete
  8. So sweet, terlebih gulanya. Cik Anjell nak lagi.

    ReplyDelete
  9. part cincin tumbuh daun tu lawak XD

    ReplyDelete
  10. sweet nyer~ apa la akan jd lepas ni? diorg akn jarang berjumpa..

    ReplyDelete
  11. sweet nyer !! harap xde org ke3 dlm hubungn drg !!

    ReplyDelete

Assalamualaikum..
Habis baca jangan lupa komen..
Terima kasih n sudilah jenguk lagi.. : )