Pages

Terima Kasih Anda Semua..

Kata-kata Anjell

ASSALAMUALAIKUM..

Blog ini adalah hasil nurkilan seorang budak science yang perasan nak jadi novelis...

Maaf bila tertypo.. Budak ini masih junior..

Significance of this simple blog to me : 'A PLACE TO EASE TENSION, DIFFERENT WORLD FROM THE ACTUAL ONE'

Monday 23 March 2020

Dia Tetap Sempurna (BAB 11)


BAB 11

Aku duduk di atas pasir putih yang belapikkan seliparku itu. Membuang pandang ke arah pantai kehijauan yang masih dipenuhi oleh ramai pelancong asing. Eskandar di sebelahku turut sama duduk. Kami selesa diam.

Kami sekarang berada di pantai Patong. Pantai Patong merupakan pantai yang paling terkenal di Phuket ini. Pantai yang paling ramai dikunjungi kalau dibandingkan dengan pantai-pantai di Phuket yang lain. Jadi  tak peliklah kalau melihat mat saleh bersepah dengan pelbagai gaya di setiap penjuru pantai ini.

“Cantikkan?” Aku memecahkan kesunyian.                       

Disebabkan hari kian petang, cuaca dah tak panas lagi. Sangat sesuai untuk bersantai di tepi pantai tanpa risaukan kulit terbakar dek cahaya matahari. Seharian kami berjalan di Phuket. Hanya ikut kepala Eskandar seperti yang aku persetujui tadi. Tapi sempat juga aku membeli beberapa cenderahati sebagai kenang-kenangan.

“Ciptaan Allah, mana ada tak cantik,” jawab Eskandar. Kenyataan yang aku tak boleh sangkal.

“Terima kasih untuk hari ini. Saya seronok,” ucapku. Jujur. Aku sangat gembira hari ini. Dapat kenal lebih rapat dengan Eskandar dan dapat lakukan bermacam-macam aktiviti. Walaupun waktu cuma singkat. Sebentar lagi kami bakal berlayar kembali.

Eskandar menoleh ke arahku. Nampak rambut lembutnya sedikit beralun gara-gara ditiup bayu itu. Terus aku sengih ke arahnya.

“Yalah.. aku pun seronok juga.”

“Awak tak nak mandi ke?” soalku lagi.

Seronok melihat aktiviti-aktiviti yang dilakukan di situ. Ada yang mandi-manda. Ada yang bermain banana boat dan ada yang menaiki jet ski. Yang berjemur dan berkelah pun ramai. Aku tak tahulah berjemur apa lagi kalau dah matahari tunggu masa untuk terbenam. Haha.

“Aku dah tak ada seluar. Ada orang tu suruh aku berkubang dengan gajah.”

Aku ketawa kecil.

“Hei.. saya tak paksa awak, okey!” Aku bela diri.

Eskandar senyum sedikit.

“Tapi tak apa. Aku enjoy juga. Itu kali pertama aku mandi dengan gajah. Berbaloi. Got a new experience.”

Aku hirup air di tangan. Rasa kenyang gila hari ini. Macam-macam makanan si Eskandar ini sumbat ke mulutku. Walaupun kebanyakan orang di sini menganut agama Bhuddha, tapi makanan halal amat mudah dijumpai. Ada sesetengah penjual tu siap bercakap dalam dialek Kelantan siam walaupun aku tak berapa faham.

Eskandar tiba-tiba berbaring terlentang sambil sebelah tangannya dijadikan bantal. Cermin mata hitam dipakai untuk menghalau cahaya matahari yang masih silau. Dan wajahnya ditutup sedikit dengan topi.

“Aku nak tidur. Jangan kacau aku.”

Eh, mudahnya dia!

Aku mencebik. Dapatku rasakan dia dah tutup mata di balik cermin mata hitamnya itu. Aku pun malas nak kacau dia. Tibalah masanya untuk ‘Me Time’.

Perlahan-lahan aku bangun. Cuba untuk tidak meninggalkan jejak. Tak nak kacau dia, macam yang dia suruh. Aku ingin berjalan-jalan di tepi pantai. Tak dapat mandi, selam sebelah kaki pun jadilah. Boleh juga aku merakam apa-apa yang cantik.

“Kau nak pergi mana?” Eskandar berbunyi.

Aku pandang dia. Posisi masih sama. Mata pun aku rasa masih tertutup. Dengar aje kan dia ni?

“Jalan-jalan kat pantai,” laporku.

“Jangan terjun laut pulak. Aku tak larat nak berenang selamatkan kau,” pesannya.

Tangan rasa gatal nak cekik orang. Tapi aku tahankan aje. Tanpa menjawab apa-apa, terusku melangkah ke arah gigi pantai. Berjalan-jalan sambil mengambil angin. Hujung seluar yang basah dihempas ombak kecil tak kupedulikan. Seronoknya!

Serene.

   -------

Lebih kurang pukul enam setengah petang, aku dan Eskandar balik ke kapal. Hari pun dah menginjak ke malam walaupun masih awal lagi. Kapal akan kembali berlayar tepat pukul lapan setengah malam nanti. Ketika kami tiba, ramai juga penumpang lain turut sama pulang. Jelas wajah penat tapi gembira semua orang.

Kami menaiki lif untuk ke kabin. Aku lihat Eskandar menekan punat yang bernombor lapan itu. Dan apabila lif terbuka, Eskandar mula berjalan. Aku hanya membuntutinya dari belakang. Bila kakinya berhenti, aku turut berhenti. Baru sedar kami kini berada di depan pintu kayu yang tertulis 8012 itu.

Kabin aku.

Eskandar serahkan beberapa beg plastik kepadaku. Hasil beli-belah di bandar Phuket tadi. Aku terus menyambutnya.

“Terima kasih lagi sekali,” ucapku.

Dia hanya angguk sekali.

“Awak duduk di kabin mana?” soalku. Sampai sekarang aku tak tahu.

“Di dek sepuluh. 1001,” jawabnya.

Dek sepuluh? Royal suite tak salah aku. Di situ merupakan tempat-tempat VVIP. Hanya ada beberapa bilik khusus yang mementingkan privasi. Bahkan ada yang tidak dibenarkan masuk tanpa akses.

Oh, lupa! Eskandar ke sini di bawah nama Audi. Jadi, tak peliklah kalau dia tinggal di kabin dek sepuluh.

Tiba-tiba teringatkan kot birunya.

“Kot awak.” Aku mula mencari kad kunciku. Nak masuk ke kabin untuk mengambil hak miliknya itu.

“Tak apalah. Besok aku datang ambil. Sekarang ni, aku nak naik kabin aku. Penat,” balasnya pula. Seakan-akan menghalangku.

Terus terhenti pencarianku. Angkat kepala pandang dia.

Besok? Adakah itu maksudnya kami bakal bertemu lagi? Jantung tak tahu malu aku itu tiba-tiba berdetak laju. Teruja.

“Aku pergi dulu.” Eskandar minta diri.

Aku hanya angguk. Entah kenapa hilang habis tatabahasaku ketika ini. Sudahnya, mata hanya mampu menghantar susuk tingginya yang kini membelakangkan aku dan berjalan menjauhiku.

Aku masih pegun di depan pintu kabinku itu walaupun dia dah hilang dari pandangan. Kemudian, aku kembali mencari kad kunci. Bila tangan ingin memasukkan kad kunci itu, aku kembali pegun. Tersedar sesuatu.

Macam mana dia boleh tahu ni kabin baru aku? Aneh!

    ----------

Ketika aku melangkah masuk, Suria sedang duduk berlunjur di atas katilnya sambil membelek-belek sebuah majalah. Melihat wajahnya yang dah tak pucat, aku turut lega.

“Kau dah okey, Su?” Aku inginkan kepastian.

Suria senyum manis.

“Dah. Alhamdulillah. Effective betul ubat doktor bagi,” jawabnya ceria.

Kemudian majalah di tangan ditutup lalu diletakkan di sebelahnya. Dia kini duduk bersila.

“Seronok dating dengan Mr. Sexy Hunky?” Suria senyum miang. Bukti nyata budak ini dah sihat walafiat.

Aku terus julingkan mata ke atas. Beg galasku dan beberapa beg plastik yang terisi ole-ole dari Phuket diletakkan di atas katil sebelum aku melabuhkan punggung. Hilangkan lelah.

“Macam tu aje la. Aku pun bukan kenal sangat dengan dia,” jawabku bersahaja. Malas nak cerita panjang.

“Lagi elok. Blind date gitu,” kata Suria lagi.

“Kau tu pula buat apa hari ni? Duduk dalam ni aje ke?” Aku ingin tahu.

“Aku keluar jalan-jalan kat Phuket Town aje. Itu pun dah lewat,” cerita Suria.

“Kau pergi dengan siapa? Seorang-seorang?”

“Tak. Dengan Haidar.”

Giliran aku pula yang senyum mengusik.

“Oo.. mengata aku. Kau pun apa kurangnya. Entah-entah kau sengaja buat-buat sakit sebab nak dating dengan Mr. Sexy Hunky II tu, kan?”

Haip.. mana ada! Aku betul-betul sakit, okey!” nafi Suria. Kemudian dia senyum meleret.

“Tapi, kira bonus la. Mr. Sexy Hunky II tu ada teman aku. Rasa berbaloi aku sakit. Dia baik gila weh,” jawab Suria. Bunga-bunga jatuh cinta.

Aku geleng-geleng kepala mendengarnya. Lega aku bila Suria turut menikmati hari ini walaupun dia sedang sakit. Aku kena ucapkan terima kasih kepada Haidar kalau aku jumpa dia nanti. Juga kepada Eskandar sebab cadangkan kawannya itu untuk menjadi jururawat peribadi Suria hari ini.

“Dahlah. Aku nak mandi. Nak solat. Lepas tu nak tidur,” kataku pula. Penat!

   ------

Ketika sedang bersiap-siap untuk pergi makan pagi, kedengaran loceng kabin ditekan. Berpandangan seketika aku dan Suria. Tertanya-tanya siapa gerangannya. Aku membuka pintu memandangkan aku yang paling dekat.

 Seorang lelaki beruniform berwarna maroon sedang tersenyum manis di depan mata. Mataku tertancap pada sejambak bunga daisi merah jambu dalam tangannya.

Dada terus berdebar laju saat melihat bunga itu.

“Cik Dara Nailufar?”

“Ya, saya.”

“Ini ada hantaran bunga untuk cik,” kata lelaki itu.

“Saya?” Aku minta kepastian.

Dia senyum dulu sebelum angguk sekali.

Teragak-agak aku menerima. Setelah mengucapkan terima kasih, aku kembali masuk ke dalam bilik.

“Wah.. Dara dapat bunga! Wuu..” Suara nyaring Suria terus bergema. Melompat dia dari katil untuk menuju ke arahku. Bunga di tanganku dibelek-belek.

“Siapa bagi, Dara? Eskandar eh?” Suria senyum mengusik. Rusukku dicucuk-cucuk beberapa kali.

Tapi aku masih pegun. Masih tak memberi apa-apa reaksi.

“Dara?” Suara Suria sedikit kebingungan. Mungkin tertanya-tanya dengan reaksiku yang macam batu itu.

Mungkin sebab melihatku yang masih diam, Suria mencari-cari kad di balik jambangan bungaku itu. Sebaik sahaja mendapat kad kecil berwarna merah jambu itu, dibukanya lalu dia membacanya. Untuk mengetahui daripada siapa.

Tapi, aku tahu siapa gerangannya walaupun aku tak melihatnya.

“Adri?”

Macam yang aku agak. Hanya dia yang tahu aku sukakan bunga daisi merah jambu.

Suria pandang aku. Aku terus mengeluh sebelum meletakkan jambangan bunga di atas sofa berangkai tiga itu.

“Kenapa dia bagi bunga kat kau?” Suria dah buka bunga-bunga nak jadi wartawan tak habis menuntut.

Aku cuma angkat sebelah bahu. Tertanya-tanya soalan yang sama. Kenapa? Kenapa nama dia perlu muncul dan merosakkan pagi aku ini? Macam mana dia tahu kabin aku? Aku mula tak tenang.

“Kau belum cerita lagi tentang Adri, Dara. Kau janji nak cerita semalam, kan?” Suria mula cekak pinggang. Tak puas hati.

Aku mengeluh lagi. Nampaknya topik ini sudah tidak dapat dielak lagi. Semalam Suria lupa gara-gara keterujaan melampau setelah mendapat kabin baru. Selepas itu, dia jatuh sakit pula dan kami tidak berhubungan hinggalah ke malam. Masing-masing dah penat jadi perihal Adri memang tak disentuh langsung.

Tapi pagi ini, Adri memunculkan dirinya sekali lagi. Nak tak nak, aku mula bercerita kepada Suria.

“Dia ex-boyfriend aku.”

Mulut Suria sedikit ternganga. Ditenungnya aku dengan pandangan tak percaya.

“Ulang sekali lagi.”

“Adri tu bekas kekasih aku, Suria. Nak aku laung ke telinga kau tak?” sindirku.

Seriously?” Dia masih tak dapat menerima hakikat.

Aku hanya diam. Malas nak mengiakan.

“Macam mana kau kenal dia?” selidik Suria lagi.

Maka bermulalah hikayat aku dan Adri. Macam mana pertemuan kali pertama kami dulu di Bandung. Ketika aku sedang bercuti, dua tahun lepas. Ketika itu aku tidak kenal siapa Adri sebenarnya. Aku tak tahu yang Adri merupakan seorang penyanyi yang bersuara merdu dan juga pelakon yang hebat. Maklumlah, aku bukannya kenal sangat dengan artis Malaysia.

Aku tak pernah tahu betapa terkenalnya dia sehinggalah dia diserang oleh peminat-peminat wanitanya ketika kami keluar untuk pertama kali. Ketika itu, identitinya mula terbongkar. Nasib baik ketika itu nama aku tak dipetik sekali.

Mula-mula rasa nak marah. Rasa macam tertipu. Tapi bila difikirkan balik, rasa kasihan juga dengannya. Kebebasannya tersekat gara-gara dia adalah milik masyarakat. Dipendekkan cerita, kami terus berkenalan dan bercinta.

Adri denganku adalah berlainan dengan Adri yang berada di khalayak. Serba-serbi dia sempurna. Rupa yang kacak. Soft-spoken dan berbudi pekerti yang baik. Tapi hubungan kami dirahsiakan demi keamanan sejagat. Tiada siapa yang tahu kecuali ahli kumpulannya dan Sofea. Katanya, dia tak mahu privasi hidupku terganggu.

Dan gara-gara itu, dia mula digosipkan dengan Tengku Melisa untuk melindungiku. Salah seorang artis dan model wanita yang turut sama gahnya. Di mana ada Adri, di situ ada Tengku Melisa. Tapi, sekali pun Adri dan Tengku Melisa tidak mengiakan atau menafikan hubungan mereka. Biar netizen membuat spekulasi sendiri. Kononnya itu juga salah satu strategi untuk menaikkan nama mereka.

Mereka bagaikan pinang dibelah dua. Sangat secocok dan peminat-peminat pun suka melihat mereka. Aku rasa hashtag Fattzura pun boleh kalah. Semua mendoakan mereka supaya cepat kahwin. Restulah kononnya.

Namun aku lebih tahu hubungan mereka. Mereka tak lebih daripada kawan. Aku juga pernah bertemu dengan Tengku Melisa dan dia sangatlah baik orangnya. Walaupun wajah dan gayanya macam berlagak, tapi dia sangatlah peramah orangnya. Sekali pun aku tak pernah syak mereka punya hubungan di belakang aku memandangkan Adri seorang yang setia.

“Wow, aku masih speechless! Kawan aku pernah bercinta dengan artis. Patutlah kau tak heran dengan Safwan.” Suria masih terpegun.

“Aku dah cakapkan. Aku dah fully move on daripada Safwan. Dah tak jadi kudis dah pun.”

“Habis, kenapa jadi ex?” tanya Suria lagi.

Aku diam dulu. Tarik nafas sekali. Mahu mencari kekuatan untuk sambung bercerita.

“Dia curang dengan aku,” kataku tanpa emosi.

What? Dia betul-betul sukakan Tengku Melisa tu ke?”

Aku geleng kepala.

“Tak. Dengan Sofea. Manager dia,” jawabku lagi.

Mengingatkannya hati menjadi sakit kembali. Masih tak dapat menerima hakikat. Rasa diperbodohkan. Daripada dilihat sebagai seorang yang bodoh dan pathetic, aku harus tunjukkan yang aku selangkah di hadapan. Gara-gara itu, aku terus menghilangkan diri. Apatah lagi memang kepakaranku untuk lesap tanpa jejak ini. Setahun aku berjaya lari darinya sehinggalah sekarang.

“Kenapa? Dia buat apa?” Suria menggasakku.

“Su, aku malas cerita, boleh? Aku tak nak ingatlah.” Rasa sadis pun ada. Memang nasib aku agaknya dipertemukan dengan lelaki yang lebih memilih perempuan lain daripada aku.

“Okey.. okey.. aku tak paksa kau.” Suria mengalah. 

“Tapi Dara, perlu ke aku tumbuk dia sebijik kalau aku jumpa dia lepas ni? Biar jadi geng Safwan,” sambung Suria lagi. Suara serius.

Aku terus ketawa mendengarnya.

“Jangan nak buat gila, Su! Viral kau nanti. Semua netizen kutuk kau. Tak keluar rumah kau nanti.”

Suria pula ketawa.

“Tak apalah, Dara. You deserve better.” Ayat memujuk daripada Suria.

Kemudian bibirnya senyum mengusik.

“Kan ada Mr. Sexy Hunky. Ex-ex kau yang tak guna tu taraf takat jari kelingking aje kalau nak dibandingkan. Tak rugi pun.”

Aku terus julingkan mata ke atas. Sebelum ketawa meletus.

Masalahnya, Mr. Sexy Hunky tu bukannya milik aku! Dan aku lebih tahu hakikat siapa Eskandar Arasyah yang sebenarnya. Semuanya kini hanyalah salah satu cerita dongeng yang bakal tamat setelah berakhirnya pelayaran kapal ini nanti.

2 comments:

Assalamualaikum..
Habis baca jangan lupa komen..
Terima kasih n sudilah jenguk lagi.. : )